Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 9

Kawasan perhentian bus kecil yang terletak di bahagian pinggir bandar itu nampak sangat sunyi bila malam dah mengganti senja dan perjalanan terakhir daripada Kuala Lumpur tiba melebihi 09.30 malam. Angah yang baru turun menguatkan dirinya untuk mencari teksi prebet sapu kerana hanya teksi jenis itu yang beroperasi saat-saat begini. Tanpa bersusah payah mencari, dia sebenarnya telah terlebih dahulu dinanti.

“Teksi dik? Nak balik mana?” soal seorang pemuda dalam lingkungan akhir 20an pada angah yang baru saja selesai mengambil beberapa langkah.

“Balik Dong, Kampung Bukit Kemuning. Boleh ke?” jawapnya pula.

“Boleh boleh! Kereta ada dekat sini.” balasnya senang hati sambil berjalan ke arah kereta yang berada tak berapa jauh daripada situ.

 

Setibanya di persimpangan jalan yang dimaksudkan angah akhirnya diturunkan. Kawasan kampung nampak sangat gelap kerana tak ada banyak lampu jalan yang didirikan. Hanya ada beberapa biji, itupun dengan jarak yang jauh diantara satu dengan yang lain, masih ada kawasan yang tak dapat dicahayakan dan kekal gelap, sememangnya nampak menakutkan.

Angah gagahkan juga langkahan berbekalkan keyakinan kerana dia tahu, semakin banyak dia melangkah dia dah semakin hampir sampai ke rumah, dan itulah matlamatnya, balik rumah untuk bersatu semula dengan ahli keluarga.

Bunyi desiran air sungai di bahagian bawah jambatan dapat didengari dengan jelas saat dia menyeberangi jambatan kayu yang menyambungkan kampung dengan kawasan luar. Sempat juga dia menjenguk ke bahagian sisi jambatan untuk melihat keadaan semasa air sungai berkenaan sebelum terbit rasa lega di hatinya.

“Alhamdulillah…syukurlah air tak besar, maksudnya taklah banjir.” bisiknya sendiri menyatakan kelegaan, sambil terus berhati-hati melangkah lagi. Jauh di sudut hati terdetik harapan yang menggunung, berharap ada yang menanti dan menemani dikala waktu sukar seperti itu, tapi dia tahu, mak dan abah tak mampu untuk mengadakan semua perkara, telefon terutamanya. Sedangkan peruntukan perbelanjaan untuk keperluan utama pun seringkali tersekat-sekat, inikan pula hal-hal yang jatuh dalam kumpulan kehandak, memanglah tak. Bisiknya, membuat penelitian sendiri.

Syarat pertama bila berjalan berseorangan di dalam kegelapan…tolonglah jangan sesekali pandang ke belakang. Tak kisahlah, kalau ada dengar bunyi pelik atau apa, teruskan sahaja, kalau tak mahu terkejut dan terus berlari setelah terlihat bayang-bayang sendiri. Bibir angah tak henti membacakan qalam-qalam suci untuk menjadi perlindung diri.

Didahulukan dengan surah Al-Fatihah, diikuti pula dengan Surah tiga kul, dan diakhiri dengan bacaan ayat kursi, berulang-ulang, minta pertolongan daripada Sebaik-Baik Penolong, Allah Yang Satu, DIA yang tidak beranak, dan tidak pula diperanakkan. Setibanya angah ke surau yang terdapat di hujung jambatan, angah terlihatkan Burhan dan isterinya yang ada duduk mengambil angin di luar perkarangan surau.

“Siapa?” soal Burhan pada isterinya, tadkala terlihat kelibat orang yang berjalan di dalam kepekatan malam.

“La…anak Kak Timah dengan Abang Husin rupanya…angah!” jawap Kak Munah, sambil membetul-betulkan bontot yang mula rasa penyet akibat terlalu lama duduk di mata tangga yang diperbuat daripada batu itu.

“Angah baru sampai?” soalnya tak percaya kerana jam dah lama melebihi angka 10, atau mungkin juga dah menghampiri angka 11, dia sendiri kurang pasti kerana dah lama dia duduk berangin di situ bersama-sama dengan suami.

“A’ah, baru sampai.” jawap angah ringkas kerana memang itulah sikapnya, terus ke soal pokok, tinggalkan semua akar, dahan dan lain-lainnya, kerana dia mahu kekal bersederhana, sambil memperlahankan langkahnya.

“Angah naik apa tadi? Siapa yang hantar?” soal Kak Munah lagi mahu mengetahui situasi, membuatkan angah berhenti, dan tak jadi meneruskan hayunan kaki.

“Angah naik teksi sapu. Dia hantar sampai kat jalan luar.” balas angah pula, berbahasa dengan sebaiknya.

“Iyalah naik teksi waktu malam-malam macam ni, kan bus dah tak ada. Dah tu, angah nak balik jalan kaki sorang-soranglah ni? Tak ada lampu?” soalnya tak percaya kerana tangan angah tak memegang apa-apa. Serentak itu angah menganggukkan kepalanya.

“Bahaya jalan gelap-gelap macam tu! Takpa, angah tunggu sekejap, akak ambilkan lampu.” tuturnya sebelum bergegas mencari lampu suluh yang ada di atas almari.

“Akak, tak payah la kak, sebab abah dah tinggalkan lampu suluh kat batang pokok durian kat hujung jalan. Angah boleh ni, takpalah.” balas angah tak mahu membebankan sesiapa, lagipun kan ada bulan, lampu besar bercahaya kuning keemasan yang Allah ciptakan dan di boleh bergantung padanya. Tanpa menunggu lama angah meneruskan langkahan yang terhenti sebelumnya.

“Angah tunggu! Ambil lampu ni! Guna dulu, nanti baru pulangkan!” gesa Kak Munah yang sudah berada berhampiran membuatkan angah mula rasa serba salah, samaada nak menerima atau sebaliknya.  

“Ambil pakai dulu, nanti-nanti baru pulangkan. Takpun…biar kami temankan angah jelah.” tutur Burhan pula, mahu meyakinkan setelah sekian lama menyaksikan.

“Takpa-takpa, tak payah. Angah boleh.”

“Lagipun bukannya jauh sangat. Dekat depan sana je.” balas angah meyakinkan.

“Iyalah kalau angah dah cakap macam tu, tapi, ambil lampu ni. Pakai dulu!” tegas Burhan lagi kekal mahu membantu.

“Ok. Nanti esok angah pulangkan semula. Terima kasih.” tuturnya tetap menzahirkan penghargaan, tak mahu disalah tafsirkan. Lagipun bukan dia yang meminta, dah memang ada yang nak memberi, jadi dia seharusnya mensyukuri.

“Jalan tu elok-elok!” pesan Kak Munah mengingatkan, dan serentak dengan itu angah memulakan perjalanan selesai melambaikan tangan.

“Berani betul angah tu, jalan sorang-sorang waktu malam-malam macam ni.” bisiknya sesama sendiri sambil kekal menghantar angah pergi dengan pandangan mata sendiri.

 

Sambil berjalan angah tertoleh ke kiri dan ke kanan, penuh hati-hati kerana dia sudah sampai ke kawasan yang paling getir kini, kawasan kebun koko abah yang gelap bila cahaya rambulan sudah tak dapat dilihat dengan jelas lagi kerana dihalang oleh dahan-dahan koko yang tumbuh tinggi dan merimbun, sehingga membentuk satu lorong gelap yang mempunyai dua tamatan, permulaan dan pengakhiran.

Ayat kursi yang menemaninya sejak tadi kekal dibaca, dibaca dan terus dibaca berulangan, tanpa langsung ada senggangan, meminta dipermudahkan segala urusan. Daripada jauh angah dah dapat melihat cahaya di hujung lorong yang gelap itu, tempat yang dia ingin tuju, tapi entah kenapa, walaupun dah banyak melangkah, jaraknya macam tak banyak yang berubah. Macam- macam perasaan yang dia rasa. Takut, risau, sedih semua tu ada tapi dia tahu dia harus terus memberanikan diri kerana rumahnya hanya ada di hujung sana sahaja.

“Huh! Huh! Huh!!!” sergah sekumpulan kerbau pendek yang ada mengorek di bawah pokok rambutan, sesampainya dia di kawasan berkenaan. Angah pun apa lagi, terlompat-lompat dia berlari, mengalahkan lipas kudung yang baru tercabut kaki. Dia tahu, dia perlu kekal berani, tapi seberani-berani macam manapun, airmatanya tetap jatuh juga kerana kerbau pendek bukannya mengenal mangsa. Kalau dimakannya macam mana? Hatinya berbisik, memikirkan kemungkinan yang paling menakutkan itu.

Termengah-mengah angah melepaskan lelah setelah mendapat kejutan yang paling tak diinginkan dalam waktu-waktu seperti itu sebelum dia akhirnya sampai ke destinasi, rumahku, syurgaku.

“Huu…” tangisnya perlahan, sambil tangan cepat-cepat menyeka air mata yang makin galak terhasil.

“Assalammualaikum…” tuturnya tersekat-sekat sesampai di mata tangga, sebelum tangan cepat-cepat menanggalkan kasutnya pula.

“Waalaikummussalam…kejap-kejap!” balas satu suara yang sangat dikenali, mak yang dah mula dirindui, kerana dah terlalu lama mereka tak bertemu.

“Dah kenapa dengan angah? Kenapa angah menangis?” soal mak pada angah yang sedang menyalami tangannya. Angah tak menjawap apa-apa sebaliknya dia hanya menggeleng-gelengkan kepala.

“Kalau tak ada apa-apa, mengapa menangis?” soal mak lagi dan angah tetap menjawapnya dengan cara yang sama.

“Angah, kenapa?” soal abah pula bila dia mula rasa prasangka.

“Ke ada orang buat apa-apa pada angah? Orang teksi tu ada buat apa-apa pada angah ke?” soal mak bertalu, kekal menyelidiki puncanya dan jawapannya tetap serupa, angah menidakkannya juga. Abah kekal tercegat sambil menggaru-garu kepala dan perut bulat.

“Dah tu kenapa? Kenapa angah menangis?” soal mak semula sebelum dia jadi pasti dia takkan mendapatkan jawapan apa-apa.

“Dahla, takpa, kalau angah tak nak cakap takpa. Angah nak mandi?” soal mak kembali, setelah memikirkan apa yang lebih perlu dan serentak dengan itu angah mengangguk lembut.

“Awak tolong pasangkan colok, lepastu temankan kami ke sungai.” tutur mak, meminta bantuan.

“Iyalah.” balas abah sebelum mencapai kotak rokok dan mancis apinya lalu turun ke tanah, seperti yang diarah. Ateh yang turut terjaga masih lagi memasang telinga, sebelum perasaan tak puas hati itu datang semula.

“Mengada-ngada! Dah memang dasar anak manja!” gerutunya sendiri tanda ketidakpuasan hati sebelum dia terus menyambung lena yang terhenti.

 

“Pak cik, ayam dua ekor.” pinta Hairi setelah sampai ke gerai.

“Yie nak yang mana?” soal abah pula, memberi peluang pada pembeli untuk membuat pilihannya sendiri.

“Bagi yang ni dengan yang ni.” jawapnya tak perlukan masa yang lama untuk membuat keputusan. Mak yang sedari tadi duduk pantas bangun untuk membuka plastik, membuat tugas-tugas pembantu.

“Hari tu saya ada hantar anak pak cik balik. Ada anak pak cik cerita?” soalnya tiba-tiba.

“Ada, la…Yie ke yang hantar dia? Pak cik ingat siapalah. Pak cik tanya dia, dia kenal ke, tapi dia kata tak. Rupa-rupanya Yie.” tutur abah lega kerana sudah beberapa hari persoalan itu bermain-main di mindanya dan sebagai seorang bapa dia turut berasa bimbang.

“Dia tak perasankan saya la tu. Masa dia bagitahu yang dia anak Pak Husin saya dah tahu dah, tapi dia yang dah lupa. Iyalah dah lama dah tak jumpa. Sejak mak dengan ayah pindah ke kawasan rancangan, balik ke sini pun dah jarang dah.”

“Rumah kampung tu dah teruk sangat, tulah sebabnya saya balik dan pindah ke sini, bolehlah jugak saya menjaganya. Siang saya buat kebun, malam saya bawa teksi sapu.” balas Hairi.

“Mak dengan ayah apa khabar? Sihat?” soal abah pula mahu mengetahui perkembangan mereka.

“Mak alhamdulillah sihat, tapi abah la, dah kurang sikit. Biasalah, umur pun dah berapa, dah dekat 80 tahun ni. Mujurlah ada kakak duduk sekali, bolehlah dia tengok-tengokkan.”

“Eloklah tu, masa muda-muda nilah kalau nak kerja lebih-lebih, bukan apa, senang, kalau dah tak larat nanti, simpanan dah ada.” balas abah sambil ketawa ceria menandakan kelegaannya tak kurang mak juga. Mereka berasa lega setelah teka-teki siapa yang menghantar angah pulang tempoh hari berjaya diselesaikan.

“Takpalah pak cik, kiralah berapa. Ingat hari ni nak menebas kebun, bersihkan mana yang termampu dulu. Pokok-pokok besar tu boleh upah orang potongkan kemudian.” tuturnya sebelum mengeluarkan dompet duit untuk melangsaikan bayaran. Segera abah mencapai mesin kira untuk menghitung jumlahnya.

“24 ringgit 80 sen. Takpa, kira 24 jelah.” balas abah sebelum memulangkan bakinya.

“Terima kasih pak cik, mak cik, saya beli. Assalammualaikum.” ucapnya sebelum beredar.

“Waalaiumussalam, pak cik jual.” balas abah melengkapkan akadnya.

“Barulah rasa lapang hati ni, ingatkan siapalah yang hantar angah balik malam tu, rupanya dia.” tutur mak setelah Yie dah jauh pergi.

“Entah apalah sebabnya angah menangis malam tu, entah-entah dia takut tak? Iyalah berjalan sorang-sorang malam-malam. Dahla gelap, takpun macam nilah. Lain kali kalau dia nak balik, awak pergi jemput dia di pekeliling, jadi tak perlulah dia balik sendiri lagi.”

“Saya yang dah tua macam ni pun tak berani nak ke tanah sorang-sorang malam-malam, inikan nak berjalan.” tambah mak memberi penyelesaian. Lagipun memang bahaya jika anak gadis berjalan bersendirian di waktu-waktu yang seharusnya dielakkan, mungkin kali ini angah bernasib baik, tapi lain kali belum tentu lagi. Bisiknya di dalam hati kerana sudah ketetapannya begitu, manusia memang sama hitam rambutnya, tapi hati…hanya Allah yang mengerti.

“Iyalah. Lain kali biar saya yang naik ke KL, lebih selamat.” balas abah memberi jalan penyelesaian yang paling tuntas.

 

Previous: Bab 8b
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.