Abah melabuhkan punggungnya di atas akar kayu sambil menghabiskan baki-baki rokok yang masih ada. Mak yang menyedari kedatangan abah kekal sunyi, tak langsung nak mengeluarkan bunyi.
“Ke bandar kita nanti?” soal abah mahu memancing minat mak.
“Huh! Kalau awak nak pergi, pergilah! Saya tak nak!” balas mak bernada marah, kerana hatinya masih berdarah.
“La…jomlah. Sekejap je kita pergi. Kita pergi mengeteh sama-sama.” pujuk abah lagi sambil tersenyum manis, cuba menambah umpan lagi.
“Dah saya kata tak nak, taknaklah! Kalau awak nak pergi, pergi jelah!” balas mak semula, tetap dengan pendiriannya sebelum terjun ke sungai untuk mensucikan diri membuatkan abah menggaru-garu pipi.
“Assalammualaikum.”
“Bukak pintu ni.”
“Mana pulak perginya budak-budak ni?” soal mak sambil terus menanti daun pintu dikunci, dibuka.
“Assalammualaikum, angah!” tuturnya lagi sudah mula nak naik marah setelah agak lama menanti di mata tangga sementara tangan sudah mula mengetuk pintu kayu itu.
“Ha! Sekejap!” balas satu suara diikuti pula dengan larian yang dibuka bersama.
“Kemana kalian? Apa yang dibuat sampai mak panggil pun tak dengar? Tidur tengah-tengah hari macam ni?” dengus mak, dah tak dapat nak mengawal haba yang terhasil di dada. Angah hanya mampu sunyi sambil menyental-nyental mata, kekal cuba menyerap segala-gala.
“Tidur la tu kan? Adik-adik mana?” soalnya semula dengan nada yang hampir sama.
“Ada tidur kat bilik dapur.” balas angah perlahan.
“Kan mak dah pesan banyak kali, jangan tidur masa matahari tengah tegak macam ni, pening nanti.”
“Nasi dah masak ke belum?” soalnya pula, membuatkan angah menyedari apa yang terjadi.
“Be..belum…” balasnya tersangkut, membuatkan mak mencerlung tajam tak mengemari apa yang baru didengari.
“Dah pukul berapa dah ni, tapi masih tak masak nasi lagi? Tulah dia yang jadi kalau asyik nak melayan mata je kerjanya.”
“Ha, kelapa yang mak pesan kukur tadi, dah kukur ke belum?” tutur mak sambil membuka tudung.
“Belum.” jawap angah, sedar yang dia sudah terlajak agak jauh kali ini.
“Semua pun belum! Hai, entahlah…Entah apalah kerja kalian dekat rumah.” balas mak kecewa membuatkan angah segera ke dapur memulakan tugasnya.
Selesai meramas kelapa, mak menapis santannya ke dalam periuk yang sudah diisi dengan lada bawang juga kunyit yang sudah ditumbuk halus serta ayam yang sudah digaul sebati.
“Ambilkan mak besin tu satu.” arah mak pada angah yang ada duduk di situ. Segera angah mencari apa yang mak hajati.
“Bukan yang besar, yang kecik sikit!” balas mak dah mula mendengus, membuatkan angah mengulangi pekerjaannya lagi.
“Yang ni?” soalnya terlebih dahulu, dah tak mahu terus-terusan membuat pekerjaan itu.
“Ha, bolehlah.” jawap mak sambil mengasingkan sedikit baki santan yang masih bersisa di tapis bekenaan ke dalam besen yang baru dicapai.
“Bau..ya-Allah, nasi tu! Dah hangit dah ni!”
“Angah ada dekat situ je sejak tadi. Macam mana boleh tak perasan yang nasi tu dah hangus!” marah mak. Cepat-cepat angah menurunkan nasi dari atas dapur gas sebelum memeriksa keadaan nasi berkenaan.
“Ha, dah hangus dah kan?” soal mak tak puas hati dengan keadaan.
“Mana ada hangus lagi. Cuma…” belumpun sempat angah menerang, mak dah menoktahkan.
“Iyalah tak hangus! Kalau tak hangus, macam mana pulak boleh berbau hangus!” bidas mak beserta jelingan yang tajam menikam membuatkan angah rasa macam nak nangis, kerana seingatnya mak tak pernah melayannya sebegitu. Tanpa menunggu lama, dia bangkit untuk beralih daripada situ.
“Ha, nak kemana pulak tu! Kan ke nasi tu tak masak lagi!”
“Mak masaklah!” rentusnya yang sudah menuruni anak tangga, melihat keadaan itu, mak tambah menyinga.
“Ha,melawan! Dah pandai nak melawan?” balas mak masih tak sudah. Laju sahaja tangannya mencampakkan sisa hampas kelapa yang masih ada di dalam genggaman ke arah angah yang sudah sampai ke anak tangga bawah, tapi itu tak mampu untuk membuatkan angah berhenti melangkah.
“Entah apa-apa entah! Ini salah, itu salah! Orang penat tau tak, penat!” ngomelnya perlahan, tapi sudah cukup untuk didengari mak.
“Ha, menjawab!” bidas mak semula, tak suka dibantah.
“Benci betul! Dah minopous ke apa? Asyik nak marah-marah je kerjanya.”
“Takpa, tengoklah! Tengoklah nanti. Bila angah dah kerja dan dah berjaya, angah pergi jauh dari rumah dan takkan balik ke sini lagi dah!” niatnya sambil bergegas menuju ke sungai untuk menyejukkan hati yang dirundung kedukaan.
Mak melintasi Safi, Man dan Ina yang sedang leka menjamu mata dengan rancangan yang disiarkan di kaca tv. Musim cuti sekolah yang sudah bermula membuatkan mereka tak melepaskan peluang untuk menyaksikan setiap satu cerita yang disiarkan. Habis satu siaran, satu siaran lagi disambung, daripada celik mata sampailah ke malam buta.
“Tak pernah padam-padam ke lagi tv tu?” soal mak yang sudah datang semula ke rumah depan selesai menghantar plastik barang ke dapur, membuatkan anak-anaknya itu tertunduk sahaja.
“Dah! Padam. Meletup tv tu nanti baru tahu!”
“Kalau dah rosak nanti mulalah nak diganti. Tutup!” arah mak lagi.
“Sekejap, sikit je lagi. Jap lagi habislah cite ni.” balas Man yang paling berani.
“Dah dah dah! Tutup!” tegas mak agak tinggi membuatkan anak-anaknya itu segera mematuhi.
“Pergi cakap dengan abah kalian yang gula dah habis. Suruh dia beli.” arah mak yang sedang menumbuk lada kering di muka pintu dapur ketika melihat kelibat abah yang sudah bersedia untuk keluar bagi melengkapkan kuota jumlah lawatan ke kedai kopi kepada lima.
“Abah, mak pesan suruh beli gula.” tutur Man selesai mendapat arahan.
“Gula? Lagi? Ada apa-apa lagi?” balas abah lembut benar bunyi, demi mengambil semula hati si isteri yang dah dihancurkan tangannya sendiri. Tapi mak hanya buat dengar-tak dengar saja.
“Cuba pergi tanya, ada apa-apa lagi ke yang nak dibeli.” arah abah pula, minta pertolongan daripada talian hayat kecemasan, anak-anak yang sentiasa isterinya itu lebihkan.
“Mak, abah tanya, ada apa-apa lagi ke yang nak dibeli?” tutur Man pula yang dah berlari semula ke dapur demi menyampaikan pesanan. Safi dah mula tersenyum bila bertentang mata dengan Man yang dah tak dapat menahan senyumnya kerana walaupun mereka masih kecil, mereka dah dapat memahami apa yang terjadi. Mak, merajuk dengan abah!
“Huh! Tak ada!” balas mak ringkas.
“Abah, mak kata tak ada.” sampai Man pada abah semula, sebelum abah menjuihkan bibirnya tanda kecewa.
“Hello, assalammualaikum…” tutur mak selepas gagang dilekapkan ke telinga.
“Waalaikummussalam…” balas suatu suara yang berada di hujung talian.
“Siapa ni? Nak cari siapa?” soal mak pula ingin mengetahui pemilik suara yang gagal dikenalpasti olehnya.
“Saya ni, Mokhtar.” jawapan yang segera membuatkan mak mengerutkan keningnya.
“Dah macam mana awak boleh dapat nombor ni? Rasanya tak pernah pulak saya memberi.” jawap mak setelah berjaya mengingati setiap satu yang terjadi.
“Saya dapat daripada Cik Meah, dia yang bagi tahu nombor telifon awak ni pada saya.”
“Dah tu ada hal apa?” soal mak, terang, tak mahu terlalu lama beramah mesra.
“Saya nak mengajak awak datang ke rumah. Ada buat kenduri hujung minggu ni. Peja dah nak kahwin. Mak Long dengan Mak Su nak sangat jumpa dengan awak. Awak datang ya?” tuturnya mengharap, namun mak kekal senyap.
“Saya tahu, biarpun awak tak cakap, tapi sebenarnya awak masih marahkan saya kan? Awak masih tak dapat nak maafkan saya lagi kan Mah?” tambah Mokhtar cuba membuka lembaran lama.
“Buat apa nak di ungkit kisah lama? Dah berpuluh-puluh tahun benda tu jadi, tapi kenapa baru sekarang awak nak minta maaf dengan saya?”
“Kalau awak tanya saya samaada saya masih marah atau tak, jawapnya tak, sebab saya langsung tak pernah ada perasan apa-apa pada awak. Yang beriya-iya nak menjodohkan kita, mak awak. Bukannya mak ayah saya.” balas mak, menjawap akhirnya.
“Takpalah, kalau kita tak jadi dulu, apa kata kalau kita berbesan je nanti? Kita jodohkan anak-anak kita supaya hajat arwah mak tercapai.” balas Mokhtar memberi buah fikiran.
“Takpayahlah, takpayah. Kami sedar yang kami ni orang miskin, manakan sesuai nak diganding dengan orang macam awak.”
“Takpalah, awak kirimkan salam saya pada Mak Long dengan Mak Su, Peja pun sekali. Tengoklah, kalau ada masa saya datang, tapi saya tak janji apa-apa. Assalammualaikum.” balas mak sebelum meletakkan gagang, meninggalkan Mokhtar yang masih mahu menambah kata-kata.