Ernie tersenyum sampai ke telinga saat terpandangan Mat yang baru memasuki pintu kelas. Asim yang duduk bersama kawan-kawan turut membuang pandang pada Mat, tak menyangka Mat datang juga akhirnya setelah beberapa hari tak menghadhirkan diri. Bila Mat menoleh ke arahnya, cepat-cepat pandangannya dialihkan tak suka dikaitkan. Mat rasa terkilan bercampur sedih melihatnya, setelah sedar rakannya memang tak ada sebanyak mana.
“Mat kau pergi mana? Kenapa dah lama tak datang sekolah? Cikgu Khairul cari kau. Setiap kali jumpa aku, dia mesti tanya tentang kau.” tutur Ernie menceritakan apa yang berlaku.
“Dia cari aku? Ada dia cakap kenapa?” soal Mat pula ingin mengetahui puncanya.
“Kau dah lupa ke Mat? Dah berapa kali kau tak datang latihan takraw. Bukan ke bulan depan ada pertandingan peringkat daerah, itulah sebabnya dia cari kau.” terang Ernie turut sama bimbang.
“Aku bukan tak nak datang, cuma aku…”
“Mat, Kojek kirim salam. Dia pesan, balik sekolah nanti tunggu dia dekat kelas.” tutur Asim yang baru melintas membuatkan Mat hilang kata-kata. Ernie yang mendengar turut sama merasa debarannya.
“Assalammualaikum…datang jugak kau ya, akhirnya! Sini!” arah Nuar sambil menarik kolar baju Mat dan mengheretnya ke belakang blok bangunan sekolah berkenaan, kawasan kebiasaan Mat dikerjakan.
“Kau ke mana? Kan aku dah cakap, jangan berani ponteng, yang kau buat jugak kenapa?” soalnya sebelum menekan badan Mat ke dinding. Mat hanya mampu melihat segala kekerasan yang dilakukan, langsung tak melawan kerana dia dah bersedia dengan hukuman bila sedar, dia tak mempunyai wang yang mencukupi untuk diberikan.
“Masuk hari ni dah lapan hari kau tak bayar, jadi sekarang kau kena bagi aku empat ringgit, kan? Betul tak kawan-kawan?” soalnya pada yang lain pula.
“Betul!” balas yang lain-lainnya dalam sinis, lambang tersaruk iblis.
“Bagi aku empat ringgit!” tegasnya lagi sambil menadah tangan meminta duit perlindungan.
“Aku tak ada.” balas Mat lancar dah tak mahu berselindung lagi. Berubah riak muka Nuar mendengarnya dan tanpa berlengah satu tumbukan padu dilepaskan pada perut Mat untuk memuaskan hati, tapi nampaknya dia belum cukup lagi, tanpa belas kasihan, belakang Mat yang sudah merendah dihentak pula dengan sikunya membuatkan Mat tersembam sambil mengerang kesakitan.
“Wei! Korang tak puas-puas lagi ke? Sampai bila nak berperagai macam ni! Mak bapak korang tak ajar korang ke ha?” sergah Ernie daripada belakang sebelum meluru untuk membantu.
“Ernie, jangan datang sini!” tegah Mat, tak mahu Ernie terlibat.
“Oh, penyelamat kau dah datang. Kau tak tahu malu ke? Tak malu minta tolong daripada perempuan?” tutur Nuar mengejek sambil ketawa geli hati, tak menyangka ada yang datang membela.
“Nuar, ini masalah kita, jangan libatkan dia!”
“Ernie kau pergi, jangan ambil tahu hal aku…” rayu Mat sebelum berusaha untuk bangun semula dan seperti selalu Ernie tetap juga datang membantu. Keadaan itu membuatkan Kojek dan ahli-ahli gengnya rasa kurang gembira.
“Syuk, Ripin, kau pegang dia ni. Dia yang nak menyibuk sangat kan? Sekarang tengoklah puas-puas apa yang aku akan buat pada kawan baik kau ni, opss silap, buah hati kau ni!” tuturnya sebelum menghujankan beberapa tendangan pada tubuh Mat melempiaskan segala kemarahan yang ada.
“Nuar jangan!” tegah Ernie tapi tak cukup untuk membuatkan Nuar berhenti sebalikya Mat disepak dan dipijak lebih kuat lagi.
“Ha, tadi kata nak menolong sangat! Sekarang tolonglah! Tolong dia cepat!” sindir Nuar pada Ernie yang dirantai di kiri dan kanan oleh Syuk dan Ripin. Terkekeh-kekah mereka ketawa tanda kepuasan hatinya.
“Lepas, lepaslah!” tutur Ernie tegas sambil meronta-ronta minta dilepas tapi itu belum cukup untuk membuatkan dia bebas.
“Sampai hati korang buat dia macam tu. Korang memang tak guna!” tambah Ernie menyumpah, bila hati dah rasa tak tertahan. Nuar yang mendengar rasa tercabar, dan tanpa berlengah dia merapati Ernie yang ada ditepi.
“Nuar jangan! Jangan apa-apakan dia!” tutur Mat, takut dengan tindakan yang akan Nuar lakukan.
“Kau ni kan, makin lama aku tengok makin cantik la pulak…” balas Nuar sambil mendekatkan wajahnya ke arah Ernie yang terpasung kedua-dua belah tangan.
“Nuar dah, sudah!” arah Kojek yang sudah hilang minat pada rentak permainan. Serentak dengan itu Nuar menghentikan perbuatannya.
“Jomlah kita balik. Dah boring lah.” tambahnya lantas berlalu pergi diikuti ahli-ahli geng yang lainnya, tak lama sebelum dia teringatkan sesuatu.
“Ernie…kau jangan pandai-pandai nak report hal ni pada bapak aku. Sedar sikit siapa diri kau tu. Kau tu anak tukang kebun je. Bila-bila masa je aku boleh minta bapak aku pecat bapak kau.”
“Jadi, tolong ingat sebelum kau buat apa yang kau terfikir nak buat.” ugut Kojek dengan jelingan hina pada kedua-duanya.
Mat dan Ernie berjalan beriringan pulang di jalan yang lengang kerana hari sudah lewat dan kebanyakan pelajar-pelajar lain boleh dikatakan sudah pulang. Sambil berjalan, sesekali wajah Mat yang tertunduk dipandang. Sejak tadi Ernie nampak Mat senyap, langsung tak nak bercakap.
“Mat..” tuturnya sebelum terhenti kerana sama seperti tadi, Mat langsung tak menoleh ke arahnya, sebaliknya makin laju kaki dihayun untuk menjarakkan mereka sampai dah terkejar-kejar Ernie dibuatnya.
“Mat, tunggulah…kita jalanlah sama-sama.” pinta Ernie tak mengenal putus asa, namun Mat tetap tak mengendahkannya.
“Mat…” ulangnya lagi, tapi kali ni terus terhenti bila terlihatkan beberapa susuk tubuh yang baru melepasi.
“Setan ni lagi! Kenapalah kecik sangat dunia ni!” gerutunya di dalam hati setelah identiti mereka diketahui.
“Woi, jumpa lagi kita. Agaknya jodoh kita ni memang kuat kot.” tutur Nuar sebelum menghentikan basikalnya dihadapan jalan, menghadang langkahan daripada diteruskan. Kojek yang ada di belakang turut sama menghentikan kayuhan untuk menyaksikan aksi yang bakal dihidangkan.
“Korang nak apa lagi ni? Kan aku dah cakap aku tak ada duit? Kau nak aku buat macam mana lagi?” tutur Mat sedikit tinggi membuarkan Nuar menjenggilkan matanya tak puas hati.
“Kau marah aku? Kenapa? Tak puas hati? Kalau tak puas hati, tumbuklah! Tumbuk! tumbuk kat sini.” tuturnya sambil menghulurkan kepalanya sendiri. Mat mengetap gigi sambil menggenggam erat buku lima menahan diri. Saat itu dia hanya terkenangkan mak dan janji dia pada mak. Dia dah berjanji pada diri yang dia takkan buat mak kecewa lagi dan dengan rendah hati, penumbuk yang dah dikepal dilonggarkan.
“Pengecut!” ejek Nuar lagi setelah sedar Mat tak seberani yang disangka, tanpa menunggu lama beg Mat disentap dan dilarikan ke kawasan kedai usang yang sudah dihuni anai-anai, selaput tunggul dan wulan yang berjalaran.
“Wei, jangan lah wei, tolonglah jangan buat aku macam ni. Korang nak apa lagi daripada aku? Apa lagi yang kau tak puas hati? Apa lagi yang aku kena buat supaya korang tak kacau aku?” tutur Mat merintih, minta sedikit belas, namun apa yang dibalas? Kojek, Nuar dan Syuk hanya tertawa mendengarnya.
“Kau nak tahu apa yang kau kena buat supaya kami tak kacau kau lagi? Nak tahu sangat? Nilah yang kau kena buat!” jawapnya sebelum melambungkan beg sekolah Mat ke atas atap rumah berkenaan, membuatkan Mat dan Ernie yang melihat betul-betul rasa terkilan.
“Korang ni memang dasar setan!” marah Ernie tak menyangka apa yang baru terjadi.
“Hahaha, pada muka…pergilah ambil semula. Sekarang barulah puas hati aku.” balas Nuar sebelum bergegas membontoti Kojek yang dah bergerak terlebih dahulu, meninggalkan Mat serta Ernie dalam keadaan mati kutu kerana mereka hanya mampu memandang beg itu.
“Mat macam mana? Macam mana kita nak ambil beg tu?” soal Ernie gelisah sebelum bergerak ke arah semak, namun segera ditegah Mat.
“Ernie, tak payah! Biarlah…biarlah beg tu dekat situ.” balas Mat sebelum berlalu ditemani hati patah dan jiwa yang kecewa.
“Mat!” tutur Ernie yang masih mahu mencuba sebelum dia akur pada arahan yang baru diterima. Kakinya tetap bergerak sedang mata masih kekal menemani beg yang bakal ditinggalkan.
Mak mengibas-ngibas baju sekolah anak-anaknya yang baru selesai dibasuh lalu menjemurkannya dia ampaian sebelum dia melihat kelibat Mat yang baru pulang daripada sekolah.
“Dah balik dah? Bukak baju tu, biar mak basuhkan. Nanti kalau lambat takut tak kering.” tuturnya membuatkan Mat menghentikan langkahan dan menyiapkan apa yang mak perlukan.
“Mak, ni.” balasnya sambil meghulurkan baju yang mak minta. Kening mak berkerut tadkala melihat baju yang ada di tangan.
“Kenapa baju ni kotor sangat? Bertanah. Mat jatuh?” soalnya tak percaya sebelum menatap wajah Mat pula. Cepat-cepat Mat menundukkan mukanya tak mahu mak tahu, tapi keadaan itu telah mambuatkan mak bertambah curiga. Dia kenal semua anak-anaknya kerana dia yang mengandungkan mereka.
“Kenapa baju Mat kotor?” soal mak, namun Mat masih mahu berahsia. Sambil tertunduk dia mula menggaru-garu belakang kepala.
“Mat, kan mak tanya Mat ni! Kenapa baju boleh jadi kotor macam ni? Baik Mat cerita dengan mak apa sebenarnya yang jadi!” tegas kerana dia mahu segera mengetahui kebenaran, tapi Mat kekal menutup mulut, tak rela menceritakan apa yang terjadi.
“Mat, beg sekolah Mat mana?”
“Mat! Mak tanya ni kan? Beg sekolah Mat mana?” soal mak sambil memegang kedua-dua belah bahu Mat lalu menggoncangkannya dan tanpa menunggu lama air mata yang cuba untuk ditahan sejak tadi akhirnya menitis juga. Teresak-esak Mat menangis di hadapan mak. Melihat keadaan itu, mak jadi pasti, memang ada perkara yang dah terjadi.
“Kojek mak…Kojek dengan kawan-kawan dia…dia ambik beg Mat, lepastu baling kat atas bumbung rumah kedai yang ada dekat seberang jalan, dekat dengan sekolah agama tu…” tuturnya sambil mengangkat kepala, minta dibela.
“Mat tak tahu macam mana nak ambil beg tu, sebab tinggi, Mat tak sampai nak ambik.” tambahnya lagi dalam linangan air mata.
“Astagfirullah hal adzim…dah tu baju Mat ni kotor pun sebab mereka jugak? Mereka pukul Mat?” soal mak untuk memastikan segala-galanya dan serantak dengan itu Mat menganggukkan kepalanya.
“Ya-Allah, ya rahman, ya rahim…” balas mak sebelum mendakap Mat erat, meredakan kesedihan yang sarat di jiwa anaknya itu. Mat menangis sepuas-puasnya di dalam pangkuan mak kerana sudah bertahun-tahun dia bertahan, dan mungkin dah sampai masa untuk dia melepaskan seluruh kesengsaraan. Mak cuba sedaya-upaya menahan air mata supaya dia dapat dilihat teguh dan boleh digantung harap.
“Dahlah, jangan nangis lagi. Mak nak Mat tunjuk pada mak dekat mana beg tu.” ujar mak setelah selesai memikirkan apa yang perlu didahulu.
“Hmm.” balas Mat sambil menyental air mata yang jatuh secara berterusan. Mak bergegas naik ke rumah untuk bersiap-siap, tak boleh berlambat-lambat kerana di dalam beg berkenaan ada banyak buku-buku teks yang dipinjamkan oleh pihak sekolah, dan mak tak mahu ada yang hilang.
“Mana? Dekat mana begnya?” soal mak pada Mat sesampainya mereka di rumah kedai usang berkenaan. Dalam pada itu matanya masih tercari-cari sambil meneliti kawasan lurah yang dipenuhi dengan selaput tunggul dan wulan, mendominasi tanah yang ditinggalkan.
“Tadi ada dekat situ, dekat atas atap tu, tapi kenapa sekarang dah hilang?” balas Mat kehairanan dengan mulut terlopong, sukar untuk mempercayai kerana baru seketika dia meninggalkannya. Mak mengela nafas dalam supaya hatinya jadi tenteram, sebelum dia jadi pasti, dah tak ada cara untuk diikhtiarkan lagi.
“Dahlah, jomlah kita balik, dah tak ada rezeki agaknya.” balas mak sambil memimpin tangan Mat dan beredar daripada situ dengan perasaan hampa bercampur dengan kecewa. Betul-betul rasa sayang, kerana beg itu dah hilang.
“Tapi mak…tadi memang ada dekat situ.” tutur Mat masih sukar untuk mempercaya sambil tetap terjenguk-jenguk untuk mencarinya.