Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 1

Bukit Kemuning(1980’an)

 

Suasana subuh yang hening digemparkan dengan bunyi mak(Timah) mengerang, menahan kesakitan sebelum mak bangun dan meraba-raba perutnya yang sudah sampai bulan. Tak berapa lama kemudian, abah yang masih lagi sedang lena tidur di sebelahnya dibangunkan.

“Abang, dah sakit sangat ni. Dah sampai masa agaknya.” tutur mak, serentak itu, abah yang sedang berbaring segera bangun untuk memeriksa keadaan mak.

“Ha? Awak boleh tahan lagi tak ni? Awak nak suruh saya panggilkan Bidan Meah sekarang?” soal abah pula, kerana dia sudah mula bimbang.

“Saya boleh tahan lagi rasanya. Awak hantar dulu anak-anak ke sekolah, dalam perjalanan tu nanti awak siggahlah rumah dia, bagitahu dengan dia.” balas mak perlahan ditemani keringat yang sudah mula terbit di segenap ruang badan, sambil didalam diam menahan kesakitan.

“Takpalah, kalau macam tu, sekejap lagi lepas siap hantar anak-anak ke sekolah saya terus ke sana, panggilkan dia.” balas abah sebelum segera bangkit, berkira-kira mahu membersihkan dirinya dan tanpa berlengah, kain pelikatnya diikat dan digulung tinggi.

“Along, angah, Mat bangun! Dah subuh dah ni, bangun mandi, gosok gigi!” gesa abah yang baru melepasi ruang tamu, tempat anak-anaknya melelapkan mata. Along, angah dan Mat terus terjaga tadkala terdengar suara abah menyapa telinga, takut berlambat-lambat kerana mereka tahu abah memang tak suka mengulangi pekerjaannya. Tinggal ateh dan Usop sahajalah yang masih menunggu kawasan tiduran kerana mereka masih belum boleh bersekolah.

Perlahan-lahan ketiga-tiganya bangkit untuk turun ke tanah bagi mengikut abah yang sudah membuka engsel pintu kayu rumah usang itu. Along sempat mencapai baldi kecil yang berisi peralatan mandian dan sehelai tuala lusuh yang tersidai di ampaian. Hari ini mak hanya dapat menghantar anak-anaknya dengan ekor mata kerana badannya sudah rasa tak berapa berdaya, tak seperti semalam. Mak takut kalau dia berkeras-keras anaknya yang bakal lahir itu akan juga keluar deras.

 

Sebelum ke sekolah along, angah dan Mat, menuju ke arah mak untuk meminta restu seperti kebiasaannya. Sampai saja giliran angah, angah jadi macam tak nak pergi sekolah, sebab dia nak temankan mak.

“Mak, hari ni angah tak nak pergi sekolah boleh?” pintanya tiba-tiba, dengan mata yan berkaca. Terkejut mak dibuatnya saat permintaan itu diutara.

“Mana boleh macam tu. Kenapa angah tak nak pergi sekolah?” soal mak kembali dan angan hanya mampu menundukkan kepalanya sepi.

“Angah nak temankan mak?” duga mak pula. Serentak angah mengangguk perlahan. Mak tersentuh dibuatnya bila tahu angah bimbangkan keadaannya.

“Angah pergi sekolah dulu, lepastu balik sekolah nanti, insyaAllah dah boleh tengok adik.” tutur mak lagi, memujuk.

“Betul ke balik sekolah nanti dah boleh tengok adik?” soalnya tak percaya dengan apa yang baru didengarinya sambil matanya terus tertumpu pada perut mak.

“InsyaAllah, angah doa sama-sama dengan mak ya.” balas mak sambil merapikan tudung kepala angah, pelajar tahun dua itu.

“Hmm, ok! Kalau macam tu angah pergi sekolah dulu. Assalammualaikum mak.” tuturnya kembali, ceria saat mendengar apa yang mak nyatakan. Gembira kerana tak lama lagi dia akan mendapat adik yang baru.

“Waalaikumussalam…” balas mak perlahan sambil terus menahan ngilu yang makin lama, makin ketara dirasakan.

 

Sesampainya bus sekolah yang membawa pulang mereka di persimpangan jalan besar, mereka diturunkan. Along, angah dan Mat segera memboloskan diri dan menuruni tangga bus dengan berhati-hati. Pak Hamid, pemandu bas sekolah, merangkap anak saudara mak sempat juga memberikan pesanan seperti kebiasaannya kepada sepupu-sepupu kecilnya itu.

“Turun tu elok-elok.” tuturnya, tak mahu ada yang mengalami kecelakaan.

“Ha.” balas ketiga-tiganya serentak.

Angah dah tak dapat nak tahan diri lagi, daripada berjalan kaki dia terus berlari, sebab sepanjang hari dia ingat apa yang mak cakap pagi tadi, dah balik sekolah nanti boleh jumpa dengan adik.

“Yey, yey, dapat adik!” tuturnya gembira sambil berlari-lari, meninggalkan along dan Mat jauh di belakang. Beg sekolah yang memberat di pinggang langsung tak dapat menghalangnya. Sesekali dia berhenti untuk melepaskan lelah, sebelum berlari lagi sehinggalah sampai di tangga rumah. Tergesa-gesa dia membuka tali kasut sekolahnya sebelum mendaki tangga kayu yang melebihi ketinggian orang dewasa itu dengan berhati-hati, takut terjatuh, kerana mata tangganya besar, masih tak berapa sesuai dengan kaki kecilnya dan perkara pertama yang ingin dicarinya adalah mak.

“Assalammualaikum…mak…” panggilnya perlahan sambil menuju ke bilik mak, bertiraikan kain langsir yang sedia tersingkap di bahagian tepinya. Angah nampak mak sedang berbaring sambil memeluk adik barunya itu. Mulanya dia hanya terpegun, namun tak lama sebelum dia merangkak dan menuju ke arah mak. Bulat matanya melihat, sambil terkebil-kebil meneliti adik yang sedang terlena di dalam dakapan mak.

“Waalaikumussalam…dah balik dah? Mana yang lain? Along dengan Mat mana?” soal mak, sedikit terkejut kerana hanya angah yang kelihatan, sedangkan along dan Mat masih belum kedengaran.

“Ada, along dengan Mat tak sampai lagi, ada kat belakang.” balasnya sambil tangan sudah terangkat-angkat mahu menyentuh si adik kecil. Mak mencapai tangan angah dan mengarahkannya ke bahagian dada adik, dan serentak dengan itu angah tersenyum gembira kerana diberikan kebenaran untuk menyentuhnya. Lama dia berkeadaan begitu dengan mata yang masih tertumpu pada segenap ruang wajah adik dengan penuh minat kerana sudah lama dia menanti, dan akhirnya mereka telah dipertemukan kini.

“Mak, nama adik apa mak?” soal angah tiba-tiba, serentak mak teringat yang dia masih belum memikirkannya.

 

Badan mula rasa kepenatan, serentak Safi yang masih berada di dalam buaian diturunkan. Sudah agak lama angah berusaha menidurkan, tapi nampaknya adik kecilnya itu belum bersedia untuk lena. Adik yang belum mencapai usia setahun itu dipangku dengan berhati-hati, takut perkara yang tak baik berlaku, lagipun mak dengan abah dah keluar bekerja dan sebagai kakak yang paling tua dia harus menjalankan tugas menjaga rumah ketika mak dan abah tiada.

Kerjanya bunyi macam mudah, hanya perlu jaga dan tengok adik, kalau adik menangis bancuhkan susu, kalau adik buang air besar, biarkan sahaja tak payah buat apa-apa, sebab mak kata nanti tengah hari mak balik dan masa tu mak akan gantikan lampin adik, tapi mak kata lagi…kalau pandai cubalah ganti.

“La ilaha illallah, muhammadul rasululullah, la ilaha illallah...” ulangnya beberapa kali sambil menepuk-nepuk dada adik lembut, dengan sebelah tangan cuba menutup mulut, bila rasa mengantuk itu makin datang mengetuk. Pandangannya dialihkan pula pada along, ateh, Mat dan Usop yang sudah lama melayan mata setelah perut diisi seadanya.

“Angah dah mengantuk…tapi kenapa Safi tak nak tidur-tidur lagi ni?” soalnya pada si adik sambil menguap lagi dan serentak dengan itu dia mencapai bantal kecil yang berada di dalam buaian sebelum beralih, lalu menyandarkan badannya ke arah dinding, dan dengan berhati-hati dia meletakkan adik di bahagian celahan kaki yang dirapatkan, berbantalkan alas kepala yang baru saja diletakkan.

“La ilaha illallah, muhammadul rasulullah, la ilaha illallah, la ilaha illallah, muhammadul rasulullah, la ilaha illallah…” zikirnya, berulang dan terus berulang sebelum dia turut sama hilang, bersandarkan dinding di bahagian sebelah kayu alang.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.