Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 98c

Angah dikerumuni oleh beberapa orang jururawat yang datang berlari setelah mengetahui apa yang terjadi. Safi hanya berani memantau keadaan menerusi telinganya di sebalik tirai kain langsir yang ada sedikit terbuka, sebelum dia jadi hilang berani, sepenuhnya. Segera dia menyembunyikan diri ke dalam bilik mandi yang ada di situ, sebelum menangis dengan tersedu-sedu. Telapak tanganya ditelakup pada mulut cuba menyembunyikan esakan yang sudah tidak dapat nak dikawal, sebelum dia akhirnya terduduk di lantai.

“Huuu…angahhh…” tangisnya sedih, dah tak mampu nak menahan sebelum dia didatangi Fizah yang datang mencari dan daripada duduk Safi terus berdiri, kerana dia paling benci dilihat lemah oleh sesiapa.

“Safi…” panggil Fizah sambil mendekat dan menepuk-nepuk bahu Safi untuk menenangkannya.

“Dahlah, jangan menangis. Dah dah.” pujuknya sambil merangkul tubuh adik sahabatnya itu.

“Sakit betul rasa hati ni…sakit!”

“Hati Safi…”

“...hati Safi rasa sakit…” adunya pada Fizah, sebelum teresak-esak, bila tangisan dah tak mampu lagi untuk ditahan.

“Mengucap Safi, mengucap…ingat Allah banyak-banyak. Ingat Allah.” gesa Fizah cuba untuk mententeramkan Safi, juga dirinya sendiri.

 

Selepas serangan kali yang keempat, Safi nampak angah makin ‘hilang’. Sudah tak boleh bercakap, dan angah hanya mampu mengangguk atau menggeleng sahaja bila ditanya, itupun bila moodnya ada dan kebanyakan masa, angah hanya melelapkan mata.

Badan angah ‘dihiasi’ dengan bengkak dan lebam, kesan bekas cucukan jarum, untuk mengalirkan larutan air gula dan garam yang perlu disalurkan ke badan, sampai tangan dan kaki angah dah nampak macam nangka masak. Bila ditekan tak segera balik pada keadaan permulaan.

Sikap pasif angah, membuatkan Safi rasa hilang teman sepanjang tempoh meneman dan untuk menghilangkan bosan, dia mula membaca Al-Quran. Al-Quran bersaiz telapak tangan, hadiah pemberian angah sewaktu dia mengambil keputusan untuk menimba ilmu di tempat orang, dicapai sebelum dia mencari helaian yang bersesuaian.

“Bismillahir rahman nir rahim…”

“Yasin…”

“Wal quran nil hakim…” bisiknya, mambacakan satu-satunya surah yang dikuasai, setelah berjaya dihafal dalam rumi, kerana sehingga kini, setiap kali membaca Al-Quran, dia masih berada pada tahap merangkak-rangkak lagi.

 

“Angah? Angah nak sembahyang?” soal Safi pada angah yang sedang memandang, namun angah hanya menggelengkan kepala, menidakkannya.

“Kenapa…” belumpun sempat Safi menyambung, angah pantas memejamkan mata, dah tak berminat nak menjawapnya dan Safi terus menghela nafas, tak mampu nak mengubah cara angah.

 

Bulan berlalu pergi lagi, dan kini angah dah jadi makin lemah sampai kakipun dah tak mampu nak digerakkan dengan sendiri, cuma bahagian tangan yang masih lagi berfungsi, itupun pada kadar kekuatan minima. Tanpa bantuan, angah dah tak mampu nak buat apa-apa. Safi tenung wajah angah yang sedang memandangnya dengan perasaan yang berbagai. Sedih? Ya memang dia sedih, malah teramat sedih, kerana tak pernah terduga perkara sebegitu akan menimpa. Kecewa? Tak, dia tak pernah rasa kecewa, kerana perancangan Allah takkan pernah salah. Lemah? Ya, dia mengaku yang dia lemah, kerana tak mampu nak berbuat apa-apa, melainkan hanya menanti sahaja. Sebaik-baik dia cuba untuk mengawal emosinya, kerana dia tahu dia perlu lebih bersabar kalau dia sayangkan angah. Dia tak mahu angah mengalah.

“Angah…Safi…”

“Safi sayang angah…” bisiknya hanya di dalam hati, tak biasa menzahirkannya dengan kata-kata, sambil berusaha sekuat hati mengawal gelodak perasaan yang makin lama makin menderanya.

 

“Man, nanti Man balik, Man mintak duit pada abah. Mak dah mintak pinjam 300 daripada abah. Mak tak bawak duit banyak hari tu. Ingatkan datang sekejap, tapi tak sangka pulak boleh jadi selama ni.” tutur mak selesai membelek beg duit, setelah menyedari, bakinya hanya bersisa beberapa note 10 sahaja.

“Iyalah, balik nanti Man ambikkan. Ada lagi apa-apa yang mak nak pesan?” soal Man.

“Dah tak adalah rasanya. Ha, nanti bawak kereta baik-baik. Hati-hati.” pesan mak tak penat mengingatkan.

 

“Duit yang saya bagi pinjam hari tu mana?” soal abah pada mak yang sudah pulang ke rumah.

“Saya ingat awak nak bagi je duit tu.” jawap mak, ingin menguji.

“Kan awak yang janji nak pinjam.” balas abah terang, membuatkan mak pasti akan kehendak si suami dan dengan rasa kecewa dia mengeluarkan uncang yang ada terselit di atas almari tinggi, tempat duitnya disembunyi.

“Ni duitnya.” tutur mak selesai mengira dan menyua.

“Letaklah dekat atas meja tu dulu.” arah abah yang masih berlunjur sambil membaca akbar.

Previous: Bab 98b
Next: Bab 99a

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.