Sudah agak lama Mat memerhatikan gelagat along dan Zai, anak Zam Mara, pemandu bas henti-henti di kawasan mereka. Keakrapan kedua-duanya mengalahkan pasangan, sampai dah tak boleh nak dipisahkan. Bila Zai ke belakang kedai untuk mengambil barang yang diperlukan oleh pelanggan, along pun turut sama menyartainya, begitu juga keadaannnya bila along pergi mengambil barang di stor mamak, bangunan bersebelahan dengan kedai rucit utama itu. Sebagai pembantu, memanglah seharusnya mereka saling bantu- membantu, tapi…nampak macam ada benda yang tak kena di situ.
“Along, dah siap dah? Kalau dah, jomlah kita balik. Entah apa lauk yang mak masak tengah hari ni.” tutur Mat yang sudah selesai menyusun botol-botol air minuman dan bersedia untuk merehatkan badan pada waktu yang dibenarkan.
“Mat baliklah dulu. Sekejap lagi along balik. Along ada kerja sikit lagi ni.” balas along yang sedang menimbang jagung makanan ayam untuk dibungkus dalam kuantiti yang lebih kecil, sekilo dan dua kilo.
“La, dah rehat dah kan? Nanti lepas rehat kan boleh sambung. Jomlah kita balik dulu. Mesti dah lama mak tunggu.” gesanya semula, mahu mencukupkan korumnya.
“Takpalah, Mat balik dulu. Along sekejap je lagi ni. Nak habiskan yang ni dulu. Nanti dah siap, along baliklah.” jawap along pula kekal mahu menghabiskan tugasnya.
“Oklah kalau along dah cakap macam tu. Tapi jangan lambat sangat.” balas Mat sebelum beredar meninggalkan along yang masih kelihatan tekun.
“Mamak, Mat balik makan kejap.” tuturnya pada mamak, pak cik saudaranya itu.
“Iyalah. Jalan elok-elok.” tuturnya pula memberi pesan.
“Ok.” balas Mat ceria, sampai ternampak gigi tengahnya yang jarang dan sedikit berlubang.
“Alamak, tertinggal la pulak!” keluh Mat yang dah sampai ke atas bukit setelah sedar, nila baju yang mak pesan awalnya dan dah dibeli, tak dibawa bersama. Tertinggal pula di bawah meja.
“Nasib baiklah ada basikal, kalau tak…” ngomelnya sambil bernyanyi-nyanyi demi menghiburkan hati.
“Oh terdengar suara halus…bagai dengar dan menghilang…katanya pulanglah oh anakku, iya tiada di sini…” dendangnya senang hati sambil terus berkayuh lagi.
“Dah kemana perginya? Along pergi mana?” soalnya pada diri sendiri selesai mendapatkan nila buku yang diselitkan di satu penjuru. Puas dia mencari, tapi bayang along langsung tak berjaya ditemui.
“Acik, along mana?” soalnya pada mak saudara yang baru lalu.
“Dah balik rehat dah tadi.” jawapnya memberitahu.
“Dah balik? Tapi kenapa tak jumpa waktu pusing tadi?” bisiknya sendiri berteman rasa sangsi di hati.
“Takpalah, kalau macam tu Mat balik rehat kejap.” tambahnya sebelum beredar daripada situ ditemani dengan rasa curiga yang semakin kuat menghentam pintu jiwa.
“Dah banyak kali macam ni…sebenarnya, ke mana along ni pergi?” soalnya sebelum mula mencari dan alangkah terkejut rasa hati bila menyedari apa yang sebenarnya terjadi. Daripada jauh dia nampak along sedang berjalan beriringan bersama-sama dengan Zai di hujung simpang jalan menuju ke rumah taman, tempat tinggal Zai.
“Mak. Along mana? Tak sampai lagi ke?” soal Mat yang baru balik dari kerja.
“Belum lagi. Biasanya kan balik sekali dengan Mat. Dah tu mana alongnya?” soal mak kembali sebelum jarum di tangan berhenti beraksi lalu sebiji keronsang yang hampir siap diletakkan ke tepi. Hari dah hampir Maghrib tapi bayang along masih tak kelihatan kerana kebiasaannya, pada waktu-waktu seperti itu semua anak-anaknya sudah berkumpul di rumah.
Soalan mak dibiarkan tak dibalas sebelum Mat menuntun basikalnya kembali dan mengayuhnya sekuat hati.
“Mat nak ke mana pulak tu???” jerit mak yang hairan dengan perangai anak bujangnya tu. Sekelip mata kelibat Mat hilang di sebalik rimbunan dahan-dahan koko yang memayungi jalan.
“Apa kena dengan budak-budak ni?” soal mak sendiri ditemani perasaan sangsi.
Tak berapa lama kemudian, Mat kembali semula dan melepaskan lelah dia atas anak tangga dengan nafas yang turun naik. Melihat keadaan itu, mak mula bimbang dan segera dia menghampiri.
“Mana alongnya?” soal Mak risau pada Mat yang kekal mambisu.
“Ada apa sebenarnya ni? Along mana?”
“Mat, mak tanya ni, along mana?” soal mak lagi. Wajah Mat dihadapan dipandang lama dan keadaan itu telah membuat Mat jadi serba salah kerana sudah lama dia menyembunyikan perkara tersebut daripada mak sebab dia tak nak mak risau. Dia betul-betul harap yang along akan berubah, tapi nampaknya along betul-betul dah nekad. Selesai berfikir, mukanya dihadapkan ke arah mak.
“Betul mak nak tahu along ada kat mana? Kalau Mat cakap mak jangan terkejut ya!” balasnya berupa peringatan.
“Cakaplah cepat. Mak nak tahu, along kat mana?” segera mak membalas dah tak sanggup nak menunggu lama.
“Kat mana lagi! Dekat rumah buah hatinya tulah! Anak Zam Mara yang sama-sama kerja dengan kami dekat kedai mamak.” jawap Mat geram.
“Mat cakap betul-betul. Jangan main tuduh-tuduh je! Buat apa along ke sana? Sejak bila pulak mereka bercinta? Takkan along nak buat macam tu?” tutur mak tak percaya sambil menggeleng-gelengkan kepala.
“Betul mak! Mat nampak selipar dengan basikal along kat situ tadi! Dah lama Mat tahu! Bila tengahhari, masa rehat, along tak balik rumah makan kan? Mak nak tahu sebab apa?”
“Sebabnya, along pergi makan kat rumah buah hatinya tulah. Mat nak beritahu, tapi Mat takut. Takut nanti along marahkan Mat!” balas Mat menceritakan segala yang disimpan selama ini.
“Bukannya sekali dua mak! Dah selalu sangat. Sejak tahun lepas dah macam tu. Sejak along mula-mula kerja kat kedai mamak.” jelas Mat beserta dengan keluhan yang panjang. Dia kecewa dengan sikap along. Bukannya along tak tahu yang mak dan abah menaruh harapan yang terlalu tinggi padanya untuk mengubah nasib keluarga. Sudah banyak mak dan abah berhabis untuk menyekolahkannya, malah wang simpanannya sendiri juga turut menjadi mangsa. Along minta, kata pinjam nak guna buat belajar, tapi sebenarnya buat belanja keluarga buah hatinya tu. Duit simpanannya yang dikumpulkan selama ini, dah jadi semakin susut. Susut dicekau along. Janji kata pinjam, tapi bayar, haram. Sekarang dah pandai nak main cinta pulak, sampai macam dah lupa jalan balik.
“Betul ke ni Mat? Mat jangan main tuduh-tuduh je. Siasat betul-betul dulu. Entah-entah along ada hal ke sana.” balas mak kekal membela, selebihnya tak bersedia dengan badai yang bakal melanda kerana abah memang tak berkenan dengan keturunan Zam Mara itu.
“Hal apanya mak? Setiap petang pun macam tu. Tengahhari pun sama. Asyik melepak kat situ je. Bila Mat ajak balik, dia suruh Mat balik dulu supaya dia senang melencong ke lain. Mak bukan tak tahu keluarga Zam Mara tu macam mana?”
“Suka sangat memunya anak orang. Mula-mula buat anak angkat, lepastu angkut terus jadi menantu. Orang suka ke, tak suka ke, apa dia kisah, janji dia dah nak! Dah ramai yang terkena. Mat tak nak mak abah merasa sama.” jawap Mat semula sampai berkerut-kerut keningnya.
Mak terdiam. Dia menyedari kebenaran kata-kata anaknya tu. Hal itu tak boleh dibiarkan. Dia perlu segera berbincang dengan abah. Bimbang jika dibiarkan lebih lama, takut melarat. Kelak mereka juga yang menyesal tak sudah. Bisiknya di dalam hati sambil memikir pilihan-pilihan yang mungkin ada untuk menyelesaikan.
“Mak, abah mana?” soal Mat ingin mengetahui kedudukan abahnya pula.
“Ha? Abah? Abahnya pun sama je. Dua kali lima. Dah dekat sangat dah dengan Maghrib, tapi masih tak balik-balik.”
“Mat tak perasan abah ada ke tak dekat kedai tadi? Kat kedai Mak Tam, tak ada?”
“Biasanya waktu-waktu petang macam ni dekat situlah dia mengeteh. Takpa, biar mak bincang dengan abah nanti. Tengoklah apa yang boleh kita ikhtiarkan.” tutur mak membuat ringkasan pada masalah yang munculnya tak langsung dapat nak dijangka.
Mak nyata kecewa dan dia seperti tak percaya yang along sanggup bertindak seperti itu. Usianya baru 20 tahun, masih terlalu muda untuk berpasangan. Pelajaran pun belum tamat, tapi dah pandai nak main cinta.
Adik-adik yang baru selesai berendam di sungai sampai di tangga dan Safi nampak wajah Mat lain saja. Mulutnya tak ramah seperti selalu sebelum pandangannya dialihkan pula pada mak yang kelihatan sama, dengan muka kepucatan.
Man dan Ina masih lagi tertawa ceria berteman keseronokan bermain rakit yang masih lagi terasa. Puas ditolak rakit ke hulu, sebelum mereka sama-sama berhilir. Mandi sehingga biru bibir, sampai matapun dah naik merah. Kalau ada angah, pasti lunyai mereka dikerjakan.
“Mat, kenapa? Ada apa?” soalnya perlahan berteman rasa ingin tahu yang naik mencanak. Mat hanya menggelengkan kepala sebelum segera naik dan masuk ke bilik, membuatkan Safi bertambah lagi curiganya.
“Mak? Kenapa???” soalan yang hampir sama ditanyakan pada mak pula.
“Tak ada apa. Naik salin baju tu! Tak elok lama-lama dengan baju basah kat badan macam tu. Demam, nanti susah.” perintah mak dan seperti biasa, mereka segera menurut.
“Safi, kenapa?” bisik Man, turut sama merasakan kejanggalan.
“Entah?” balasnya sepatah seraya mengangkat bahu, betul-betul tak tahu.
Abah duduk terbaring di ruang depan sambil membelek-belek surat khabar. Daripada hari terang, sampai ke malam, tak habis lagi ditelaah dan kebimbangan yang mak utarakan nampak seperti langsung tak memberi kesan apa-apa pada abah.
“Tak ada apanya lah tu. Kita tengok dulu macam mana. Along tu masih mentah. Takkanlah sampai ke situ awak fikir.”
“Tapi bukan awak tak tahu perangai keluarga Zam Mara tu macam mana. Pantang ada anak orang yang berjaya, mulalah jadikan anak angkat. Lepastu ambil terus jadi menantu.” Abah masih terdiam. Tak mahu terlalu mengambil kisah.
Kalau along nak berkawan dia tak halang, tapi kalau kahwin dia sendiri tak pasti kerana mustahil jugaklah along nak kahwin dalam usia semuda itu. Tambahan pula pengajiannya masih berbaki dan kerjanya pun belum tentu dapat lagi. Abah percayakan along kerana dia yakin along pasti tidak akan menghampakannya. Cuma isterinya itu yang dihambat perasaan yang berlebihan.
“Awak cubalah ubatkan. Buat apa-apa yang patut. Saya tengok along tu macam dah lain. Makan minum pun dah tak nak di rumah.”
“Kalau balik kampung pun, susah nak lekat di rumah. Asyik menghabiskan masa di sana je. Saya dah ingatkan awak. Kalau jadi apa-apa nanti, awak jangan menyesal tak sudah.” tutur mak mengingatkan abah dan didalam diam abah mula memikirkan kebenaran kata-kata isterinya itu.