Usop berlagak selamba dengan menyelak tudung saji sebelum mengambil baki-baki lauk yang ada untuk ‘berbuka awal’ pagi. Safi hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala seperti biasa, berteman rasa tak gembira.
“Eeee…tak malu! Dah besar-besar pun tak tahu nak puasa. Nak jadi apa?” tutur Safi mempersoalkannya.
“Suka hatilah! Kubur lain-lain!” balas Usop pula sambil tersenyum suka, bila dah tak ada modal lain yang boleh difikirkan.
“Patutlah, bila kejut sahur, liat sangat nak bangun…rupa-rupanya nak mengelat!” keji Safi lagi berteman rasa sakit hati.
“Ingat ya! Siapa bagi yang bagitahu pada mak dengan abah…siap!” ugutnya pula sambil menuding jari.
“Ikut suka la! Nak cakap ke, tak ke. Sibuk apa! Mulut kan lain-lain.” balas Safi masih menjawap membuatkan Usop menyengetkan kepala, lagak kucing jantan mahu menerkam mangsa, dan seperti biasa…Safi takkan mudah tergerak bila digertak. Man yang baru masuk ke bilik segera tersenyum bila melihat Usop sedang makan.
“Eeee…tak puasa!” tuturnya hampir terjerit, bukan tak mempercaya, sebaliknya sengaja disengaja.
“Nak? Makanlah kalau nak!” balas Usop, mempelawa.
“Tak nak! Man nak puasa. Tahun ni, Man nak puasa penuh lagi sebab ateh dengan angah dah janji, kalau Man puasa penuh, nanti dapat sepuluh ringgit.” jawap Man menetapkan pendirian biarpun tujuannya hanyalah untuk mendapatkan habuan.
“Tapi kan?..kalau tak puasa kan berdosa!” tambah Man lagi setelah memikirkan kesannya, membuatkan Usop segera ketawa mendengarnya.
“Buat apa puasa! Tak payah puasa, tak payah! Tengok macam Usop, tak puasa, tapi tak jadi apa pun!” balasnya dalam ketawa membuatkan tekanan darah Safi memuncak naiknya.
“Elok sangatlah tu! Dahlah tak nak puasa, lepastu mengajak orang lain sekali tak puasa. Apa ingat tak dosa?”
“Setan semua dah kena tambat…tapi, ha, macam ada satu lagi je yang tercicir dekat sini! Perangai sama macam abah!” gerutu Safi yang dah berbahang hati.
“Apa kau cakap? Kalau berani, ulang sekali lagi!” tengking Usop mempamerkan kekuatan.
“Suka hatilah nak cakap apa pun! Mulut orang, yang nak sibuk tu kenapa?” tutur Safi sebelum dia teringatkan janji.
“Man ingat ya, kalau Man tak puasa, nanti Safi report pada angah dengan ateh.” tegas Safi sebelum beredar dah tak kuasa mahu menyakitkan hatinya.
“Perangai kau tu sama macam mak!” jerit Usop pula membuatkan Safi segera menghembus.
“Ya-Allah…sesungguhnya aku sedang berpuasa…” bisiknya demi mententeramkan hati.
“Safi, Safi!” tutur Isa rakan sekelas Safi yang sudah memusingkan kerusi ke belakang, sambil duduk bertentang, sedang mereka merehatkan diri menanti kedatangan Cikgu Khalid, guru kelas tambahan mereka petang itu.
“Ha, kenapa?” soal Safi bersahaja, bersedia untuk mendengarnya.
“Safi kau nak tahu tak?”
“Semalam aku nampak abang kau. Dia curi buah kelapa dekat tepi jalan, dekat dengan rumah aku.” tuturnya. Terbeliak mata Safi mendengarnya.
“Maksud kau, dia curi kelapa dekat rumah kau?” soal Safi segera mahu menyelidikinya.
“Bukan kelapa rumah aku! Rumah jiran aku. Kau kenal tak Mak Cik Noor?” tutur Isa, berbalas soalan.
“Kenal kot.”
“Ha! Dekat rumah dialah…Abang kau tak puasa ke?” soalnya lagi.
“Tak puasa la tu. Entahlah, tak tahulah aku. Malas nak cerita banyak-banyak. Lagipun kita puasa kan?”
“Terima kasih sebab sampaikan pada aku.” tutur Safi menoktahkan.
“Hai…apalah…buat malu company je.” bisik Safi menyatakan kekesalan setelah berjaya dikejutkan.
“Khong khong khong khong!!! Bunyi anak batu bertemu ibu lesung. Masuk kali ini, sudah kali keempat dia menumbuk lada. Dan dalam dua kali sahaja lagi tugas itu bakal disiapkan. Permukaan kulit tangan jadi makin panas dan haus disebabkan kerja-kerja tumbukan yang sudah terlalu banyak dilakukan. Sesekali telapak tangannya itu disental untuk mengurangkan sedikit rasa kegatalan.
Safi yang baru pulang membantu di pasar sempat meninggalkan pesanan yang dibawa.
“Angah, abah pesan! Ayam tiga ekor ni buat rendang.”
“Lepastu daging tiga kilo ni pun sama. Semua buat rendang.” tutur Safi sebelum akhirnya memandang. Riak muka angah terus berubah sebelum mukanya mencurut tak sudah dengan wajah yang direndah. Safi dah tak berani nak menambah, kerana dia tahu kalau tak kena gaya, dalam sekelip mata, angah boleh berubah menjadi ‘super saiya’.
Selesai meninggalkan pesanan, Safi bergerak ke depan untuk menukar pakaian dan dari kejauhan dia dapat melihat angah mengesat air mata yang berlinangan.
“Hihihi…angah menangis?” soalnya pada diri sendiri berteman jawapan yang berjaya dicari.
“Jom kita ambik gambar!” tutur angah pada yang ada. Abah, awal-awal lagi dah ke bandar nak mencari teh kedai pertama sejak sebulan berpuasa. Along dah pergi beraya. Mat dan Usop tak berminat dan lebih rela duduk ‘memoya’ sambil menelaah komik sahaja. Ateh pula sengaja memberi alasan pergi basuh baju ke sungai. Along dah keluar beraya awal-awal lagi dan yang tinggal hanyalah mak, angah, Safi, Man dan Ina.
Mak dengan terujanya menggantungkan permaidani yang dihiasi lukisan tema rusa di bahagian belakang, biar nampak lebih ceria. Sambil-sambil itu, angah memasukkan filem pada kemera pertama yang berjaya dimilikinya.
“Mat, tolong! Tolong ambikan gambar.” tutur angah pada Mat yang kebetulan ada lalu di situ.
“Ha.” balasnya sebelum kamera bertukar tangan.
“Tekan yang ni kan?” soal Mat pula, memasti.
“A’ah. Tekan yang tu.”
“Kejap-kejap! Mak dahlah tu. Dah cantik dah tu.” tutur angah pada mak yang masih belum selesai merapikan hiasan latar.
“Safi, Man, Ina, cepat. Jom kita bergambar.” arah angah. Safi, Man dan Ina apa lagi, terlompat-lompat mereka menghampiri sebelum baju raya yang terpasang di badan segera dirapi. Safi dan Ina, seperti biasa dengan lagak borianya, manakala Man lengkap berpakaian t-shirt putih jalur kelabu dipadankan dengan seluar jean biru.
“Dah ke? Semua dah?” soal Mat sambil memeriksa.
“Man duduk hujung sini, lepastu Safi duduk tengah.”
“Mak dengan angah duduk dekat belakang. Ha, Ina tak payah gerak, duduk situ je.” arah angah menyusun mengikut kesesuaian. Bila dah pasti barulah dia meminta gambar untuk diambilkan.
“Ok Mat. Dah ok dah.” tambahnya sambil mengangguk, namun Man dah mula nak mengacau.
“Ina, yang lubang hidung tu kembang sangat kenapa?” soal Man, sengaja mahu mengganggu pesaingnya. Semua yang mendengar dah mula tersenyum saat terdengarkan dan angah seperti biasa, ringan sahaja tangannya untuk melepaskan tamparan. Namun, belumpun sempat mereka kembali bersedia, gambar terlebih dahulu dipotretkan.
‘Klick’, tangkapan gambar kenangan keluarga pertama berjaya diabadikan…walaupun jumlahnya, tidak semua.