Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 79

Akibat daripada kekangan masa, hasrat untuk menjalankan kenduri kahwin terpaksa ditangguhkan lalu diganti dengan upacara angkat nikah sahaja dan majlis meraikan pengantin akan dilakukan bila ateh tamat pengajiannya di maktab kelak.

“Nanti, ateh kena ingat.”

“Esok kalian memang dah dinikahkan, tapi janganlah pulak bersama dulu. Sebab sekarang ni baru nikah gantung. Nanti bila dah kenduri, ha, barulah bersatu.” pesan mak yang sedang menggubah hantaran. Ateh yang mendengar hanya keraskan badan.

“Kenduri pun bukannya lama sangat, lagi tiga bulan. Tak lama mana sangat pun.”

“Dulu masa mak kahwin dengan abah pun macam tu. Selesai angkat nikah, mak terus balik ke kampung. Lepas 6 bulan baru buat kenduri. Selama 6 bulan tu, sekali pun kali tak berjumpa. Memanglah cuma adat, tapi tak ada maknanya adat, kalau tak diangkat.” terang mak semula dan ateh kekal sunyi tak mahu mengulas apa-apa.

 

“Mak, esok, ateh dah nak kena balik belajar. Abang Hakim kata ikut dia balik sekali la hari ni. Mudah, nanti bolehlah dia terus hantarkan ateh balik ke maktab.” tutur ateh menceritakan rancangan setelah selesai upacara angkat nikah yang diwalikan oleh abah di masjid taman perumahan berkenaan. Mak yang sedang mengemas di dapur tersentak, tak menyangka akan mendengarnya.

“Ha?! Dah nak kena balik belajar?”

“Bukan ke hari tu ateh kata ateh dah ambik cuti dua hari?” balas mak tak dapat nak mempercayai.

“Memanglah cuti, tapi nanti kena balik sendiri. Abang Hakim cakap eloklah kalau balik sekali dengan dia hari ni. Nanti dia boleh hantarkan ateh balik ke sana. Senang, tak payahlah susah-susah nak naik bas nanti.” jawap ateh masih berkeras, membuatkan mak hanya mampu manghela nafas.

“Hmm, ikutlah. Lagipun kalian dah kahwin.” balas mak perlahan dah tak mampu nak menahan.

“Hai…nampak gayanya, memang tak adalah…” bisik mak di dalam hati, berteman rasa kecewa kerana dia memang takkan pernah dapat nak mengatur hidup anak-anaknya.

 

“Kita dah sampai.” tutur Hakim pada ateh selesai menemui lokasi yang dicari-cari, hotel yang ditempah sejak awal lagi.

“Yang ni?” soal ateh pula.

“Hmm. Dahlah, jom.” gesanya, tak mahu bertangguh dan sambil berjalan berpimpin tangan, mereka beriringan menuju ke kaunter pendaftaran tempat penginapan berkenaan.

 

“Kemana pulak perginya kain batik tu?” bisik Safi sebelum membuka almari dan mencari.

“Hari tu kan letak dekat almari luar, dah, macam mana pulak boleh berjalan? Bukannya ada kaki. Eee…! Entah siapalah yang gatal tangan mengalihnya.” tuturnya masih bersunggut.

“Ada? Ada jumpa?” soal mak yang sedang mencari di bahagian ruang tamu.

“Jap! Tengah cari!” balas Safi sambil terus juga menyelongkar lipatan kain yang ada banyak bertindanan.

“Uish! Ya-Allah terkejut!”

“Ni baju apa ni? Baju ke kain dalam?” tuturnya saat terjumpa sehelai gaun malam berwarna coklat tanah, singkat, tak berlengan yang seksi lagi jarang.

“Eee! Ni mesti ateh punya. Tapi…bila ateh pakai? Tak pernah nampak pun.” bisiknya pula, berusaha menahan ketawa.

“Memang...gilalah! Ateh ni memang pelik!” tambahnya sebelum segera melipat dan menyimpannya semula, tak mahu diketahui sesiapa.

 

“Assalammualaikum…”

“Waalaikumusslam.” balas Safi sewajibnya pada salam yang diterima.

“Safi buat apa tu? Dah makan?” soal ateh yang ada di hujung talian.

“Dah, baru lagi balik dari dewan makan.”

“Safi!”

“Ha.” jawap Safi segera.

“Ateh…” balas ateh, kekal memikirkan cara untuk memulakannya.

“Kenapa?” soal Safi semula, sambil kepala ligat memikirkan tentang puncanya kerana dia kenal setiap adik-beradiknya.

“Ateh rasa…”

“Ateh dah mengandung!” tutur ateh dah tak nak berselindung.

“Ha?! Ye ke ateh? Biar benar!” balas Safi teruja sambil tersenyum suka.

“Dah? Ateh dah bagitahu mak?”

“Tak lagi. Ateh takut mak marah. Kan mak dah pesan haritu, jangan bersama dulu. Nanti mesti mak bising.” jawap ateh sebelum melepaskan keluhan, tanda kegelisahan. Mendengarnya, Safi terus tak jadi ketawa.

“La, nak takut buat apa? Kan kalian dah nikah. Dah? Takkanlah mak nak marah.”

“Tapi, bukannya Safi tak tahu mak tu macam mana. Mestilah membebel nanti. Nilah, itulah, hish, penat nak mendengar.”

“Takpa, kalau macam tu, biar Safi yang telefon mak bagitahu, supaya mak tak terkejut sangat nanti. Lepastu nanti, ateh telipon mak pulak. Ha, macam mana?” soalnya minta diterima.

“Ok, nanti bila dah siap call mak, Safi call ateh semula tau.”

“Ok!” balas Safi mempermudahkan urusan.

 

“Assalammualaikum…mak, buat apa tu?”

“Waalaikumussalam, mak tengah duduk-duduk je ni, tengok berita.”

“Hmm, abah mana mak? Abah?”

“Abah? Entah. Sejak keluar tadi, tak balik-balik lagi. Usop pun sama. Selesai buat ayam, semuanya hilang.” balas mak menyampaikan.

“Mak, ateh tak ada telipon mak?” tutur Safi memulakan ‘operasi’.

“Tak ada pulak. Minggu lepas adalah memelipon. Minggu ni tak ada lagi. Ada ateh telipon Safi?”

“Ada. Baru lagi tadi ateh telefon. Kalau Safi cakap, mak jangan terkejut. Ateh bagitahu…” belumpun sempat Safi menghabiskan, mak dah memotong barisan.

“Ateh dah mengandung?” pintas mak, menuruti firasat hati.

“Wah! Hebatnya mak! Macam mana mak boleh tahu?!” balas Safi teruja bila mak dilihat lebih dan lebih lagi mengenali anak-anaknya.

“Mak dah boleh agak dah. Masa angkat nikah haritu lagi mak dah rasa benda ni nak jadi.”

“Dah? Kenapa Safi yang cakap? Mana atehnya? Malu nak cakap sendiri?”

“Mak janganlah marah-marah. Bukan mak tak tahu perangai ateh tu macam mana. Merajuk pulak ateh tu nanti. Kan ateh dah kahwin. Sedang yang tak berkahwin pun boleh dapat anak, inikan yang dah bernikah. Bukannya berdosa pun. Cuma melanggar adat, sikit. Biarkan jelah.”

“Nanti kalau ateh telipon, mak buat biasa-biasa je. Jangan marah-marah.” pesan Safi.

“Hmm.” jawap mak sambil menggeleng-gelengkan kepala, pasrah.

   

Kelihatan ramai tetamu yang hadir meraikan persandingan ateh hari itu. Sebahagian besar adalah pelajar-pelajar yang pernah diajarnya, tak lupa juga guru-guru di sekolah yang pernah dia berkhidmat dan teman-teman rapat. Ateh nampak berseri dia atas pelamin yang dihias cantik dan Abang Hakim tak kurang juga kacaknya. Hari yang meriah demi meraikan kedua mempelai yang dipenuhi oleh keceriaan dan kegembiraan.

Mak bertungkus-lumus menjayakan majlis tersebut. Sejak pagi, mak hanya sempat menjamah mee goreng, itupun tak sebanyak mana. Mak kata, dia tak ada selera, maklumlah ini merupakan kenduri perkahwinan pertama yang pernah diadakan kerana waktu along, dia tak berkesempatan.

Abah dan Usop hanya melihat dari jauh, tak berapa mengambil kisah, langsung tak menghulurkan bantuan, cuma Mat yang sesekali datang membantu mengisikan bekas makanan yang sudah mula kekosongan. Man dan rakan-rakan pula ditugaskan untuk menguruskan lauk-pauk. Bila majlis mula usai, barulah mereka dapat menarik nafas lega, tapi semuanya belum berakhir lagi.

Esok, majlis menyambut menantu akan diadakan di Pekan. Rombongan pengantin perempuan hanya ada dua kereta, along dan Abang Hakim sahaja. Angah tak dapat turut serta. Katanya dia on-call, jadi, tak boleh pergi jauh, takut-takut kalau ada berlaku kecemasan di hospital. Ateh tak puas hati mendengarnya kerana dia rasa angah sengaja mahu membalas dendam pada kata-katanya semalam.

 

“Kalian nak ke mana pulak tu?!” soal ateh bila terlihatkan Safi dan Ina yang sudah lengkap berpakaian.

“Keluar kejap! Pergi bandar.”

“Angah ajak ronda-ronda. Lagipun semua dah siap kan?” balas Safi. Ina hanya memandang ke arah ateh dan mak yang sedang menyiapkan hiasan tepak sirih.

“Pergilah! Ikut suka hati kalianlah! Dah memang keluarga kita macam ni kan? Nak buat macam mana!” bidas ateh tak menghiraukan keadaan, yang dia tahu, hanya mahu melempiaskan kemarahan.

“Ateh, bawak bersabar. Malu didengar dek orang!” bisik mak menasihati ateh kerana masih ada beberapa orang jiran yang membantu menyiapkan gubahan hantaran di ruang tamu rumah berkenaan.

“Iya lah mak! Tengoklah keluarga kita ni! Bukannya macam keluarga Abang Hakim tu, semuanya sepakat. Senang nak diajak berbincang.”

“Ni tak, langsung tak ambil tahu hal orang, membantu? Tak payah cakaplah. Semuanya hanya tahu pentingkan diri sendiri.” ngomel ateh lagi. Betul-betul tak sayang mulut. Angah di luar rumah mula rasa bulu mukanya meremang. Dia tahu kata-kata itu sengaja ditujukan khas untuknya dan ateh seperti selalu, memang melampau dan tak dapat dikawal. Pada hari baik sebegitu pun masih buat perangai, keluh angah di dalam hati.

“Jomlah! Siapa nak ikut baik cepat. Siapa lambat angah tinggal!” tutur angah sambil laju membuka langkah menuju ke kereta. Safi dan Ina saling berpandangan sebelum pantas mengejar daripada belakang, manakala ateh masih memerhatikan segala-galanya dengan perasaan geram.

 

Previous: Bab 78
Next: Bab 80a

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.