Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab103a

Sambutan hari raya pertama tanpa angah rasa suram, sesuram-suramnya. Lemang, rendang, seperti tak berperisa, begitu juga dengan lontong dan kuah kacangnya. Tawar dan hambar. Dinding rumah yang kekal kosong, segera mengingatkannya pada angah dan impian angah. Bingkai potret gambar keluarga yang diimpikannya memang takkan mungkin dapat dilengkapkan, sampai bila-bila. Air mata terus bergenang saat memikirkannya.

 

“Saya dah siapkan makanannya. Nanti awak tinggal panaskan. Nasi pun saya masak.” tutur mak yang sudah selesai berpakaian pada abah yang sedang duduk di kerusi ruang tamu.

“Dah lama tak menziarah arwah mak dengan ayah. Alang-alang Man ada cuti lagi ni, bolehlah ke sana. Betul awak tak nak pergi? Tak nak ke awak pergi berjumpa dengan keluarga angkat awak tu? Dah berpuluh tahun awak tak menziarah mereka.” tutur mak semula, kekal memujuk suaminya.

“Tak, malas saya. Awak pergilah.” balas abah sebelum mencapai surat khabar.

 

“Eh! Kemana kita?”

“Man nak ke mana ni?” soal mak pada Man, bila Man dilihat telah melencongkan laluan.

“Dah alang-alang sampai sini, kita terus ke rumah ateh jelah. Dah lama tak jumpa budak-budak. Lagipun tahun ni, ateh raya sana.” jawabnya membuatkan mak langsung bersetuju dengannya.

“Ikutlah, tapi nanti lambat pulak kita balik. Takpa, nanti mak telifon abah.” balasnya sebelum mengorek-ngorek telifon bimbit yang ada disimpan di dalam beg.

“La, tak diangkat pulak…” tambahnya setelah panggilan gagal untuk disambungkan.

 

Petang berganti malam dan keadaan itu telah membuatkan abah makin rasa ‘tercabar’.

“Huh! Tengok! Dah Maghrib pun tak balik-balik lagi. Kata ke kubur je. Dahtu, kenapa sampai sekarang masih tak balik-balik lagi?” rungut abah pada Usop yang sedang belunjur sambil menyaksikan berita perdana.

“Mesti terus merayap ke rumah ateh la tu. Ada ke mak bagitahu abah nak ke sana?” soal Usop pula.

“Mana ada! Katanya nak ke kubur je. Tapi sekarang kelain pulak perginya. Mak kalian tu memang, tak pernahnya nak menghormati abah! Abah ni Usop…” tutur abah meneruskan rungutan, juga sesekali bercamur baur dengan tuduhan dan Usop kekal memberikan sepenuh perhatian.

“Dulu, masa sakit mak dengan ayahnya tu, abah la yang jaga. Keluarkan belanja untuk merawat. Tapi,…” bebelan kekal berterusan dan berterusan.

 

“Man, dah lambat ni Man, baliklah kita. Nanti tak pasal-pasal, mengamuk pulak abah.”

“Dapat ke tak Man telifon abah?” soal Safi setelah menyedari hari, namun Man dilihat masih leka dan tekun melayani kerenah anak-anak saudara.

“Tak dapat. Man dah telifon dah, abah tak angkat, tapi Man ada hantar message pada Usop tadi, bagitahu yang kita ada dekat sini.” jawap Man, menerang.

“Ok, kalau macam tu ok. Tapi, geraklah kita jom. Nanti lambat sangat pulak kita sampai.” cadang Safi setelah memeriksa jam di tangan sendiri yang sudah melepasi angka 8 itu.

 

Suasana rumah yang gelap sepenuhnya membuatkan Safi dan Man segera saling berpandangan. Sempat jam di dalam kereta diperiksa sekali lagi sebelum mereka jadi pasti, waktu tidaklah sampai melangkaui pagi, kerana baru pukul 10 lebih dan biasanya pada waktu-waktu begitu, semuaya masih belum melelapkan mata. Tak rela berteka-teki terlalu lama, mereka akhirnya keluar untuk memeriksa.

“Assalammualikum…” tutur Man sambil mengetuk daun pintu.

“Assalammualikum. Abah…” panggilnya lagi sebelum tangan mengulangi ketukan lebih kuat agar mudah didengari. Namun keadaan kekal sunyi.

“Kunci!” tuturnya setelah besi penekan jeriji pagar gagal digerakkan.

“Motor Usop ada, yang abah punya pun ada. Dah, kemana perginya?” bisik Safi sebelum dia beralih ke bahagian tingkap bilik abah yang terletak bersebelahan dengan pintu utama. Namun, lebih memelikkan, tingkap yang selama ini sentiasa dibiarkan tak berkunci, kini ditutup kemas. Safi sempat menangkap wajah Man yang sudah mula timbul rasa terkilan.

“Man, kita balik rumah kampung jelah. Tidur sana.” cadangnya sebelum mereka didatangi mak pula.

“Mana? Kenapa tak ada yang bukak pintu?” soal mak, sebelum tangannya mula beraksi.

“Assalammualikum…”

“Assalammualikum.” tutur mak sambil membetul-betulkan kaki yang masih rasa kekejangan setelah berjam-jam tak diluruskan. Selesai di situ, mak bergerak ke bahagian tingkap bilik dalam usaha untuk memastikan.

“Kemana perginya semua orang ni? Takkanlah dah tidur? Biasanya sampai pukul 12 pun tak tahu nak balik rumah lagi. Ni baru pukul berapa?!” rungut mak, dah tak dapat nak menahan. Man dilihat masih dengan telifonnya, dan keadaan kekal ‘sunyi’ juga di situ. Bukan sahaja abah, Usop juga, tiada yang mengangkat panggilannya.

“Dahlah mak, kita balik rumah kampung jelah. Tidur sana.” tutur Man setelah pasti memang itu apa yang abah hajati.

“Mak ada kunci rumah tu kan?”

“Ada, ada mak simpan.” jawap mak yang masih tercegat di hadapan pintu rumahnya itu.

“Dahlah mak, dah. Kita balik sana.” tegas Safi pula, dalam usaha untuk tidak menimbulkan kekecohan. Safi nampak muka sedih mak dan mak nampak betul-betul kecewa. Lengan mak Safi tuntun, sebelum mak akhirnya dilihat pasrah bila hati mula kenal makna berserah. Man sudah mendahului mereka dan masuk ke dalam kereta semula. Walaupun beberapa langkah sudah diambil, namun kepala mak masih terarah pada pintu rumah.

“Krekkk!” Bunyi geseran kaki kerusi berlaga dengan lantai dari bahagian dalam rumah, bagai merentap tangkai hatinya kerana sekarang dia sudah mendapat bukti akan kebenarannya.

“Tak guna!” bisik Safi berteman rasa sakit hati.

Previous: Bab102b
Next: Bab103b

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.