Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 57

Setelah berfikir, menimbang, menambah serta menolak, mak akhirnya membuat keputusan menukarkan Mat ke sekolah menengah yang terletak di kawasan bandar dan semuanya dilakukan demi untuk memberikan Mat ketenangan yang tak mampu dimilikinya di sekolah lama.

“Betul puan nak tukarkan Muhammad ke sekolah lain? Tapi kenapa puan? Kenapa tiba-tiba?” soal Cikgu Khairul guru kelas Mat, merangkap guru penaung kelab sepak takraw di sekolah berkenaan.

“Ya cikgu. Saya rasa itu yang terbaik.” balas mak tak mahu menceritakan apa yang terjadi.

“Saya bukan apa puan, pertandingan sepak takraw peringkat negeri dah dekat sangat. Mat antara ahli pasukan yang paling berbakat yang pernah saya jumpa. Dah lama saya latih dia. Dia memang ada kebolehan. Kalau kena caranya, saya pasti dia mampu berjaya.” tutur Cikgu Khairul lagi. Seboleh-bolehnya dia tak mahu melepaskan Mat bertukar ke sekolah lain.

“Saya tahu cikgu. Dia memang minat sangat dengan sukan tu, tapi saya dah tak ada pilihan.” jawab mak. Riak wajahnya menunjukkan kekesalan dan segera dapat dibaca oleh guru berkenaan.

“Kalau tak keberatan, boleh saya bertanya? Apa sebabnya puan? Lagipun dah nak sampai hujung tahun. Kenapa mesti tutarkan dia sekarang?”

“Ada sebab tertentu ke puan buat macam tu?” soalnya semula ingin mengetahui punca. Dia pasti yang Mat takkan pergi semudah itu kerana Mat sangat sayangkan pasukannya.

“Nak cakap salah, tak cakap pun salah cikgu.”

“Kalau boleh saya tak nak cakap apa-apa…tapi, Mat selalu cerita yang cikgu baik dengan dia. Tak sampai pulak rasanya saya nak bohong pada cikgu.” balas mak sebelum menghela nafas panjang. Beberapa orang guru yang baru masuk, sempat memandang ke arah mereka.

“Mat kena buli cikgu. Sampai berdarah-darah dahi, hidungnya. Rasa hiba hati ni. Bila diadukan, mak ayah mereka buat endah tak endah.”

“Rupa-rupanya dah banyak kali pekara macam tu jadi, tapi, Mat tak pernah nak bercerita pada kami. Katanya dia tak nak kami susah hati.”

“Kami tahu cikgu, kami orang susah, tapi, kami masih ada maruah dan untuk kebaikan semua, takpalah, biar kami yang beralah.” tutur mak menerangkan.

“Budak sekolah ni ke puan? Siapa? Siapa dia? Budak satu kelas dengan dia ke?”

“Puan bagitahu dengan saya siapa mereka. Kalau diikutkan, mereka akan dikenakan tindakan yang sangat berat, samaada digantung ataupun dibuang.”

“Takpa, puan bagitahu nama mereka, biar saya yang selesaikan hal ini.” tuturnya memberikan jalan penyelesaian yang difikirkan bersesuaian.

“Takpalah cikgu, takpa. Saya dah taknak panjangkan lagi masalah ni. Kalau boleh saya nak anak saya pergi jauh dari pembuli-pembuli tu. Itu saja yang saya nak sekarang.” balas mak menyatan pendiriannya.

“Tapi puan, kita tak boleh biarkan mereka terlepas begitu sahaja. Nanti sampai bila-bila…” belumpun sempat Cikgu Khairul selesai mak dah menyelesai.

“Tak payah cikgu, tak payah. Biarlah. Lagipun Mat yang minta untuk bertukar. Kalau itu yang dia nak, kita ikutkan sahajalah. Lagipun, kalau di besar-beasrkan, takkan ke mana juga perginya.” jawap mak kekal dengan keputusan.

“Tapi…”

“Biarkanlah, takpa. Kami tak nak bawa sampai sejauh tu.” jawap mak kekal menegah.

“Kalau itulah keputusan puan, saya akan hormati. Saya harap Mat akan berjaya tak kiralah di mana pun dia pergi. Dia memang seorang pelajar yang cemerlang.”

“Sayang rasanya nak lepaskan dia, sebab saya dah anggap dia macam adik saya sendiri.” tutur Cikgu Khairul perlahan.

“Takpalah, kalau macam tu, puan tunggu sekejap. Saya akan sediakan dokumen-dokumen yang terlibat.” tuturnya sebelum bangun lalu menuju ke pejabat pengetua.

“Terima kasih cikgu.” ucap mak menghargai jasa baik yang ditunjukkan oleh cikgu muda itu.

 

“Mat, mak dah cuba cari buku-buku Mat yang hilang tu, tapi tak ada satu pun yang mak jumpa. Dah puas satu bandar mak pusing. Semuanya cakap benda yang sama, mereka tak ada jual buku-buku tu.” ucap mak memulakan bicara. Wajahnya ditundukkan. Tak sampai hati menatap mata Mat yang penuh pengharapan. Dah berminggu Mat tak ke sekolah bila pihak sekolah meminta mereka menyediakan buku-buku teks tersebut terlebih dahulu, tapi mak tak mampu nak mengadakannya juga.

“Takpalah mak. Lagipun Mat dah mula kerja kat kedai mamak. Seronok jugak. Boleh dapat duit. Bila duit Mat dah banyak nanti, Mat ingat, baru Mat sambung belajar lagi. Mak tak payahlah risaukan Mat.” balasnya. Senyuman terukir di wajah, namun kesedihan di hati hanya mampu dilihat oleh Allah.

Memikirkan tentang adik-adik yang masih kecil, menguatkan lagi tekadnya untuk bekerja. Dia mahu membantu meringankan beban keluarga. Mungkin sudah tersurat semua itu akan berlaku. Dia perlu pasrah, namun bukan bererti mengalah. Ada banyak lagi cara untuk berjaya dan pendidikan hanyalah salah satu daripadanya. Dia sudah menanamkan azam. Dia janji untuk berjaya satu hari nanti dengan caranya sendiri. Mungkin rezekinya di tempat lain. Siapa tahu?

Dia sudah tidak mahu menaruh harapan pada pendidikan dan persekolahan lagi, buat masa ini. Dia dah tawar hati. Walaupun tak dinafikan, keseronokan menimba ilmu ibarat pengembaraan mencari sesuatu yang tak pernah terlintas di fikiran. Amat menyeronokkan dan mampu melekakan. Ibarat permainan minda yang tak bersempadan, namun semuanya tepaksa dilepaskan dan segala-galanya itu dilakukan atas dasar pengorbanan. Dia sudah tak sanggup melihat mak bersusah-payah kerananya.

“Esok mamak ajak Mat temankan dia pergi ke Bentong, ambil barang. Bentong tu jauh ke mak dari sini?”

“Kalau naik lori berapa lama baru sampai?” soalnya ingin tahu kerana dia tidak pernah pergi sejauh itu. Dia bertekad untuk mecari sebanyak mana wang yang dia mampu, kerana dia tahu, wanglah puncanya kenapa mereka dipandang sebelah mata.

“Tak jauh sangat. Kalau naik lori tak sampai pun sejam.” jawap mak.

“Taklah jauh sangat kalau macam tu. Nanti…” Mat masih menceritakan keterujaannya untuk bekerja dan mencari pendapatan sendiri kerana sedikit sebanyak kedukaannya rasa terubat dan mak memberikan sepenuh perhatian sebagai tanda galakan.

 

“Mak…” suara Mat mengejutkan mak daripada lamunan yang panjang.

“Mak, nanti mak jangan lupa bincangkan dengan abah ya mak. Mat tak berani nak cakap sendiri. Takut, nanti abah tak kasi. Mak tolong Mat ya mak?” pintanya lagi, berharap.

“InsyaAllah nanti mak bagitahu, tapi Mak tak janji. Semuanya bergantung pada abah.”

“Itu pun dah cukup mak. Mat pergi kerja dulu ya.”

“Sedap mak masak!” ucapnya sebelum menyalami mak. Mak rasa bahagia mendengarnya.

 

Selesai melabuhkan punggungnya di atas kotak kayu, abah menghulurkan sebungkus teh ais ke arah mak.

“Nah, air yang awak pesan.” tutur abah dan mak menyambutnya sebelum menghirup seteguk dua. Lega. Mujurlah suaminya itu tak melupakan pesanannya.

“Panas sangat rasa hari ni. Dah nak sampai masa agaknya. Harap-harap tahun ni taklah seteruk tahun-tahun lepas.” balas mak sambil mencapai kepingan kotak yang sudah dipotong dan mengipas-ngipaskannya ke muka.

“Hmm…harap-haraplah. Kalau lagi besar, haru kita. Silap haribulan, kena pindah pulak kita.” jawap abah yang masih menyelak surat khabar dengan teliti.

“Harap-harapnyalah…” doa mak pohon perlindungan. Cuaca panas yang dialami adalah fenomena biasa setiap kali tahun masuk ke hujungnya. Mereka perlu bersedia menerima kunjungan musim tengkujuh yang sentiasa ditakdirkan datang pada waktunya itu dan rumah pasti akan ditenggelami air lagi seperti tahun-tahun yang terdahulu.

Hasil jualan terkumpul di belek-belek ala kadar sebelum dia sedar yang jumlahnya tidak bertambah banyak daripada yang sebelumnya. Mujur tokey tak datang hari ni, kalau tak, pasti merah telinga mendengar leterannya. Maklumlah, hujung bulan, semua dah mula nak berjimat, sampai makan pun berkelimat-kelimat. Takut tak cukup menjelang dapat gaji. Kalau yang makan gajipun berhati-hati, petani, apatah lagi.

“Banyak lagi yang tinggal ni. Sekarang dah pukul berapa? Nampak gayanya kena simpan lagilah harini.” keluh abah. Melihatkan keadaan abah mak jadi serba salah, tapi, dia sudah berjanji dengan Mat tadi. Nak tak nak dia kena menyuarakan hasrat anaknya itu.

“Awak…”

“Hmm. Kenapa?” soal abah, segera.

“Tadi Mat bagitahu saya yang dia nak ke KL ikut along bila along balik semula ke bandar nanti.”

“Katanya along dah carikan kerja di sana. Satu tempat dengan along jugak. Gajinya pun banyak. Mat beriya-iya sangat nak pergi.”

“Dah? Apa kata awak?” soal mak inginkan pendapat abah.

“Huh!” rengus abah sebelum menyandarkan badannya ke dinding. Wajah mak ditatap sekilas, lantas, hatinya mula jadi panas kerana dia paling tak suka berbicara tentang along.

“Dah tu awak janji apa pada dia? Awak setuju?” suara abah mula naik tinggi, tak puas hati, membuatkan mak segera menguatkan diri.

“Saya tak kata apa-apa lagi. Saya kata nanti saya bincang dulu dengan awak. Dah tu awak rasa macam mana?” soal mak lagi.

“Kalau awak tanya saya, saya memang tak kasi! Tapi, awak tu, awak tu macam mana?” soal abah kembali.

Safi yang baru balik dari sekolah menjulurkan kepala daripada belakang dinding. Keberadaan abah sedikit sebanyak merencatkan kegiatan mereka untuk memberikan kejutan pada mak seperti biasanya. Berteman Man dan Ina, mereka akhirnya hanya mengambil tindakan untuk tercegat sahaja. Namun, dengan sekali dengar, Safi sudah dapat menangkap isi perbualan kedua-dua orang tuanya.

“Mat nak ke KL??? Tak mungkin! Tak pernah pun dengar Mat kata nak pergi kerja dekat bandar selama ni! Tapi kenapa tiba-tiba?!” soalnya pada diri sendiri, tak dapat nak merelakannya lagi kerana tak ada siapa pun yang tahu tentang hasrat Mat. Dia sayangkan abangnya itu dan Mat sangat disenangi oleh mereka adik-beradik kerana sikapnya yang suka melawak dan penyayang.

“Kalau Mat pergi…sunyilah rumah nanti.” bisiknya lagi.

“Safi?!! Mat nak pergi tinggal kita ke?” soal Ina pula sebelum Safi segera meletakkan jari ke bibirnya seraya mengangguk lemah. Man pantas memanjat dinding lalu duduk di sebelah abah. Matanya bulat memandang Teh O beng yang tersangkut di kepala paip.

“Ambillah kalau nak minum.” pelawa mak, lantas disambut dengan senyuman yang penuh dengan kegembiraan.

“Ina nak jugak!” tutur Ina sebelum turut memanjat batang paip dan menjulurkan kepala minta dikongsi bersama.

“Ha, ha, ha, elok-elok! Jangan sampai jatuh pulak nanti.” tutur mak menyampaikan pesanan sebelum dia fokus semula pada topik perbincangan.

“Saya bukannya apa awak. Dulu kita tak dapat nak bantu dia. Selama hari ni, tak pernah dia minta apa-apa daripada kita. Dia dah buktikan, yang dia mampu berdikari sendiri.”

“Saya pun tak tahu sebenarnya nak buat apa. Setiap kali tengok muka dia saya teringat kisah dulu. Tak kesian ke awak pada anak tu?” tutur mak meluahkan perasaannya, membuatkan abah sunyi tak berbunyi.

“Dah elok-elok dah kerja di sini, nak ke bandar pulak! Apa yang baiknya sangat bandar tu? Saya takut dia leka nanti.” jawap abah masih belum mahu membenarkannya.

“Macam tu jugaklah apa yang saya rasa. Takut saya, takut. Takut dia hanyut.” balas mak turut bekongsi kebimbangan yang disuarakan abah sebelum kedua-duanya terdiam.

“Dah tu, macam mana sekarang?” soal mak kekal mencari penyelesaiannya.

“Manalah saya tahu. Yang along tu pun satu! Yang dia beriya-iya sangat mengajak adik tu ke bandar kenapa? Apa yang baiknya?!” balas abah sedikit tegang, membuatkan Man beralih semula ke bahagian luar bangunan sebelum saling memberi isyarat pada Safi dan Ina dengan ekor matanya. Jawapan Safi kekal serupa, meletakkan jari di bibirnya.

“Awak ni punlah. Cuba jangan marah-marah. Bolehtak kalau kita fikirkannya sama-sama. Sebab saya betul-betul dah tak tahu nak buat apa ni.” luah mak pula sambil menghela nafasnya, membuatkan abah segera menggaru-garu telinga.

“Kalau saya benarkan, awak tak bantah?” tutur mak sejenak kemudian.

“Hmm…suka hati awak lah! Awak yang percaya sangat pada along tu.”

“Percaya awak dia boleh jaga Mat dekat sana?”

“Lepas apa yang dia buat, awak masih boleh percayakan dia?” soal abah serius kerana dirinya masih kurang pasti. Mak terdiam lagi, masih mencari jawapan itu sendiri. Jauh di lubok hatinya, dia betul-betul berharap yang along dapat melaksanakan tanggungjawabnya kali ini. Biarpun kemaafan dah diberi, tetapi, hati masih ada sangsi, namun dia sedar, dia perlu bersedia pada kemungkinan yang paling ingin dielakkan…perpisahan.

 

Previous: Bab 55b
Next: Bab 58

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.