Batang-batang paip yang sudah sedia diukur dan dipotong itu dibawa ke belakang rumah. Sesudah meletakkannya, Mat bergerak untuk mendapatkan Dr.Hadi pula.
“Pak cik, ni duit lebihnya.” tutur Mat memulangkan baki duit, selesai membeli bahan-bahan yang diperlukan.
“Takpa, tak payah! Mat simpan duit lebih ni.” balasnya menolak.
“Mana boleh macam tu pak cik. Kerjanya tak siap lagi, takkan upah ambik dulu. Takpa, pak cik simpan dulu, nanti bila Mat dah siap kerja, baru pak cik bagi balik.” jawap Mat sambil tersenyum, menampakkan barisan gigi depan yang kejarangan.
“Mat, Mat. Setiap kali pun macam ni. Takpalah, kalau Mat dah cakap macam tu.”
“Mat, nanti dah siap buat sinki tu, pak cik ingat nak tambah dekat belakang ni. Nak buat atap dari sini sampai sana. Biar bagi luas sikit kawasan teduhnya. Senang kalau nak buat kenduri dah tak payah tempah khemah untuk tempat orang buat kerja. Mat rasa Mat boleh buat?” soalnya.
“Nak guna bumbung apa? Nak pakai atap genting ke zink? Ke nak guna atap kilang?” soal Mat sambil membayang.
“Mat rasa yang mana lebih elok? Kalau…” balas Dr.Hadi terus menyatakan pandangannya pada Mat yang memberi sepenuh perhatian.
Keputusan peperiksaan SPM tak melayakkannya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti dan disebabkan itu juga, Man membuat keputusan berani untuk berkelana ke bandar di bawah pengawasan along, setelah along berjanji untuk menjaganya di sana.
“Mak, Man nak ikut along! Nak kerja dekat kilang yang along kerja.”
“Along kata dekat tempat dia tengah ada banyak kerja kosong.” pinta Man setelah duduk di sofa, sambil mengadap mak yang baru meluruskan pinggangnya.
“Ha?! Nak ikut along? Man biar pasal-pasal! Nak kerja apa di sana nanti?” balas mak yang tak jadi merebahkan badannya.
“Along dah carikan Man kerja dekat kilang dia kerja. Nanti senanglah. Apa-apa along boleh tolong tengok-tengokkan.” jawapnya beserta senyuman.
“Takpayahlah susah-susah nak ke sana cari duit! Duduk di kampung ni pun bukannya Man tak ada kerja.”
“Ha, kerja buat rumah dengan Wak pun boleh dapat duit banyak. Tak payahlah ya.” balas mak tak mampu nak merela, bila dia mula teringat apa yang menimpa Mat sebelumnya. Kuala Lumpur…kalau tak kena gaya, hai, tak tahulah apa jadinya. Senyuman Man mati dengan sendiri, bila mengetahui mak tak merestui.
“Tapi Man dah janji dengan along nak ikut! Nanti along balik, nak cakap apa?!”
“Lagipun along dah cakap dah pada orang atas. Dah tu nanti macam mana?” soal Man, terkilan.
“Biarkanjelah! Nanti biar mak yang cakap dengan along.” jelas mak sebelum cuba untuk baring semula.
“Tapi mak, gajinya banyak. Along kata kalau tambah ot boleh sampai seribu lebih. Itu yang Man nak. Man nak kumpul duit banyak-banyak!” tutur Man masih tak rela permintaannya diketepikan begitu sahaja.
“Dah tu nanti, kalau kerja dekat sana Man nak duduk mana? Nak menyewa di mana?” mak bangkit semula, tak jadi mahu meluruskan pinggangnya untuk kali yang kedua.
“Along cakap kilang tu ada asrama, jadi tak adalah susah sangat nanti. Lagipun along kan duduk tempat rumah pekerja, mak tak payah risaulah.” balas Man tegas, kekal mahu mengikut apa yang dirancang. Mak terus terdiam, dah tak dapat nak cakap apa.
“Abah dah tahu ke belum?” soal mak kemudiannya, setelah menyedari dia takkan mampu nak menghalang.
“Man tak cakap lagi dengan abah. Mak tolong Man cakapkan pada abah ya?” pintanya mengharap, membuatkan mak terus tersenyap.
“Assalammualaikum…” tutur along memulakan bicara.
“Waalaikummussalam…” jawap mak, melengkapkan.
“Mak sihat? Dah makan? Makan apa hari ni?” soal along di hujung talian, namun mak masih lagi berada dalam lamunan.
“Mak? Mak dengar tak along cakap apa ni?” soalnya semula, lantas mak tersedar.
“Ha, ha! Mak sihat. Mak dah makan dah, makan sup ayam hari ni. Along dah makan?” soalnya semula.
“Dah, along dah makan dah. Bungkus makan dekat kedai je hari ni sebab Zai tak berapa sihat, tu yang suruh dia berehat.”
“Mak, ada Man bagitahu yang dia nak ikut along kerja kat sini?” soal along, tak nak sembunyi-sembunyi lagi kerana Man telah menyatakan apa yang terjadi, namun mak masih tak rela nak memberi.
“Mak!”
“Ha? Haaa…ada. Semalam Man ada bagitahu mak. Betulke ada kerja kosong kat sana? Apa kerjanya? Gajinya pulak berapa?” soal mak, terang, kerana seboleh-bolehnya dia mahu menghalang.
“Memang ada kerja. Memang tengah ada banyak kosong sekarang ni. Kerjanya sama macam along, tolong buat-buat kerja dalam kilang ni, tapi bahagian dia tak samalah dengan along. Sebab along kerja dekat bahagian kualiti. Tapi Man nanti…” kata-katanya terputus di situ sebelum segera dilencongkan.
“Mak, gajinya banyak. Kalau tambah ot boleh sampai 1200 macam tu, lepastu tiap-tiap tahun ada dapat bonus. Bonus pun banyak, kadang-kadang sampai 6-7 bulan, itu yang seronok kerja dekat kilang ni. Memanglah penat, tapi hasilnya…” jelas along teruja, tapi mak hanya diam sahaja kerana dia masih belum dapat melupakan peristiwa yang berlaku pada anak ke-tiga.
“Takpa mak, along kan ada! Along boleh tengok-tengokkan Man. Mak janganlah risau. Nanti dekat sini Man boleh duduk dekat hostel. Hostel tu pun ada dekat belakang kilang je. Jadi senanglah nak pergi kerja, jimat minyak.” tambahnya meyakinkan, namun mak masih lagi bimbang.
Kepanasan di bahagia atas kilang rasa sangat berbahang. Selesai melakukan kerja-kerja pembersihan bersama beberapa rakan, Man dan yang lain-lainnya mula merehatkan badan. Baju uniform yang sudah basah ditanggalkan sebelum dijadikan alas perbaringan. Sesekali tangan diarahkan ke dahi untuk menghapus keringat yang belum habis berkejaran.
“Assalammualaikum…”
“Waalaikumussalam…Angah! Man nak datang rumah boleh?” soal Man pada angah yang sudah ada di hujung talian, membuatkan angah kehairanan.
“Bila? Sekarang ke? Kalau nak datang sekarang, angah tak balik lagi sebab angah tengah kerja lagi ni. Kenapa? Man ada masalah ke?” soal angah yang sudah dapat mengagak permasalahan adiknya itu, kerana dia sudah biasa.
“Ha. Man nak pinjam duit boleh? Gaji bulan ni belum masuk lagi.” tuturnya menyatakan apa yang dia sudah terbiasa.
“Takpa, kalau macam tu, Man datang sini. Dah sampai nanti bagitahu.” balas angah mahu membantu.
“Man, gaji dah masuk kan? Along nak pinjam 100 boleh? Sebab along tak keluar duit lagi ni, tapi susu budak-budak dah habis. Nanti, dah keluar duit, along pulangkan semula.” tutur along saat Man mengunjunginya. Berkerut kening Man, tak menyangka yang dia bakal dikikis lagi.
“Yang dulu-dulu pun along tak pernah bayar, dahtu sekarang nak menambah-nambah lagi?” soalnya, hanya dalam hati, tak cukup berani nak mengeluarkannya di bibir sendiri. Along perasan, Man macam tak berkenan.
“Man bolehla ya? Seratus je, nanti dah keluar duit, along pulangkanlah semula. Kesian budak-budak tu, asyik menangis nak susu.” pintanya semula langsung tak menghiraukan apa yang dilihat mata.
“Acai, sekejaplah!” gamit along pada rakan sekerja yang baru melintasi kawasan hadapan rumahnya.
“Ha, kenapa?” soalnya segera.
“Pinjamkan aku 50 boleh? Nanti dapat gaji aku bayarlah. Mak mertua aku ada datang, tapi aku tengah sengkek ni. Nak buat beli lauk pun dah tak ada.”
“Kau pinjamkan aku dulu boleh? Nanti dapat gaji aku bayarlah, sekali dengan yang lama-lama tu.” pujuk along dengan muka manisnya.
“Hai! Dah pukul berapa dah?! Kenapa awak tak masak lagi? Saya dah lapar dah ni!” tutur abah tadkala terlihatkan mak yang masih asyik menyiapkan barang-barang jualan.
“Dah lapar? Baru pukul berapa?”
“Takpalah, tunggulah sekejap saya masakkan. Ikan tadi nak buat masak apa?” soal mak pula.
“Kan saya dah cakap buat kari, sekali dengan bendi! Awak tu, sibuk sampai tak ingatkan benda lain. Sampai memasak pun boleh lupa!” marah abah pula.
“Mana ada saya lupa. Kan ke baru pukul 11 tu, belumpun pukul 1.” jawap mak yang sudah mencapai periuk nasi dan mengisi.
“Dah. Dah boleh makan dah.” tutur mak yang sudah siap menghidang. Gulai lemak keladi dengan ayam goreng belada, ‘tempahan’ suaminya.
“Biarlah dulu. Rasa kenyang lagi perut ni. Nanti-nantilah baru saya makan.” balas abah yang sedang menonton berita tengah hari.
“Awak ni, memang macam burung tak berbulu. Bila saya tak masak, awak nak makan, tapi bila saya dah masak, awak tak nak makan…”
“Ke awak memang saja je? Saja nak mengada-ngada?” balas mak mencurahkan isi hati dan abah membalasnya dengan senyuman di pipi.
Selasai membersih dan menguncikan gerai, mak berjalan menuju ke pintu hadapan pasar berkenaan. Sesudah itu mak berdiri dan kekal menanti kedatangan abah yang masih belum pulang dari kedai kopi. Puas menunggu, mak memulakan perjalanan, mendaki bukit yang nampak seakan-akan landai di pandangan mata sahaja tidak pada hakikatnya. Lelah berjalan, mak menoleh semula kebelakang, mencari kelibat abah, namun hampa kerana abah masih belum juga tiba.
“Kak Timah, sorang je? Abang Husin mana?” soal Majid yang sudah menghentikan keretanya di sebelah mak.
“Abang kau tu biasalah, di mana lagi kalau tak di kedai kopi. Dah puas akak menunggu, tu yang jalan dulu. Ansur-ansur, lama-lama sampai juga nanti.” balas mak sambil melepaskan lelah yang semakin terasa. Terik mentari lewat tengah hari rasa membakar seluruh bahagian kulit yang terdedah.
“Takpalah kak, naik! Biar kami hantarkan.” pelawa Zainab, isteri Majid yang ada bersama.
“Takpalah, takpa! Akak boleh jalan kaki. Lagipun tak jauh sangat lagi. Takpa, Nab teruskanlah.” balas mak menolak. Selebihnya dia masih mengharapkan kedatangan abah.
“Janganlah macam tu kak. Naiklah, biarlah kami hantarkan, lagipun kita kan tinggal satu taman.” bidas Zainab berkeras, masih mahu menumpangkan sebelum segera turun lalu membukakan pintu tempat duduk belakang kepada mak dan mak dah tak dapat nak menolak.
“Kemana awak?! Puas saya tunggu awak di pasar, tapi awak dah tak ada! Awak balik dengan siapa?” tutur abah dah mula nak meradang bila wajah mak dipandang.
“La, dah puas saya menunggu awak di pasar tadi. Daripada terus menunggu di situ, saya beransurlah dulu. Sambil-sambil jalan, terjemoh pulak dengan Majid dengan Nab, baru balik dari kedai, tu yang mereka tumpangkan.” balas mak menerangkan. Berdesing telinga abah mendengarnya, tak menyangka.
“Yang awak pandai-pandai balik dengan orang lain tu kenapa?!”
“Ada saya izinkan? Tak ada kan?”
“Dah, lepasni, jangan awak pandai-pandai nak menumpang dengan sesiapa! Saya tak izinkan!” gerutu abah yang sudah mula naik marah.
“Apa salahnya menumpang Majid tu? Lagipun dia kan duduk di lorong belakang. Takkanlah sebab tupun awak boleh nak marah? Lagipun bukannya dia sorang kat dalam kereta tu. Isterinya pun ada.”
“Orang yang dah beriya-iya mengajak, macam mana nak ditolak?” tutur mak kesal, tak menyangka hal sebegitupun boleh mendatangkan kemarahan suaminya itu.
“Dah! Saya tak kisah! Lain kali saya tak nak tengok awak menumpang dengan siapa-siapa dah!” bentak abah sebelum masuk ke bilik dah tak mahu mendengar apa-apa alasan lagi. Mak tergamam sebelum sedikit demi sedikit rasa hormat yang cuba dikekalkannya itu, jadi makin terhakis.
“Nak pergi kerja ke?” soal abah pada Majidah, warga Indonesia yang bekerja di kompleks sukan yang ada di bahagian belakang taman perumahan tempat tinggalnya.
“Ya pak cik. Mahu kerja.” balasnya ringkas.
“Takpalah, kalau macam tu biar abang hantarkan.” pelawa abah sebelum bergerak sedikit ke hadapan, memberi ruang pada bakal pembonceng motosikal berkenaan.
“Takpalah pak cik, takpa! Biar saya jalan kaki saja. Lagipun dah dekat.” balas Majidah menolak.
“Takpa, takpa! Biar abang hantar. Penat nanti nak mendaki bukit ke kompleks tu.” tambah abah meyakinkan, membuatkan Majidah akhirnya menerima tawaran yang diberikan.