Mak mencapai plastik berisi sayur sawi yang ada dibeli dan membawanya ke pintu rumah dapur sebelum abah yang baru menyalin pakaian datang mengampirinya.
“Nak masak apa kita tengah hari ni? Sawi ni nak buat apa?” soal mak pada abah.
“Mee kuning yang saya pesan tadi, awak ada beli?” soal abah pula.
“Ada. Ha, ni dianya.”
“Hmm, nak senang, kita buat mee bandung. Tak payah susah-susah masak lauk. Sekali siap. Lagipun dah lama saya teringin nak makan.” cadang abah membuatkan mak ternganga sahaja.
“Mee bandung? Macam mana nak buat? Saya tak tahu. Tak pandai saya. Kalau mee sup tu tahulah.” jawap mak, mengakui.
“La, senang je. Sama jugak macam buat mee sup tu. Cuma bezanya diisi lada. Ha, udang kering ada? Ada ke lagi udang kering?” soal abah pula memberitahu resepi.
“Entahlah, tapi rasanya macam ada. Sekejap saya tengok.” balas mak, lalu menyelongkar plastik beg yang bergayutan di paku meja sebelum dia menjumpainya.
“Ha, ada. Mujurlah ada lagi.” tutur mak seraya menunjukkannya.
“Haaa…dah memang jodohnya tu. Kalau tak ada tak lengkap rasa.”
“Nanti awak sediakan alat-alatnya. Biar saya yang masak hari ni.” ucap abah, ingin berkongsi resepi.
“Iya, awak masak?” soal mak sedikit terkejut, bukan tak percaya, cuma jarang-jarang dapatnya.
“Iyalah. Hari ni biar saya yang masak. Nanti awak sediakan bawang-bawang untuk supnya. Lepastu tumbukkan saya lada kering sekali dengan udang tu. Tumbuk asing-asing.” arah abah pula.
“Iyalah. Rencahnya apa? Nak isi udang dengan sotong tadi ke? Ayam macam mana? Ayam? Nak diisi juga?” soal mak pula ingin mendapatkan pengetahuan tentangnya.
“Mestilah kena isi. Sebab itulah penyedap kuahnya. La, macam nak buat sup biasa, cuma bezanya kena isi udang kering sengan lada, tapi tak boleh letak awal-awal, dah siap sup tu baru masuk. Lada dengan udang tu bukan nak buat tumis.” jawap abah sebelum mula melakukan ‘hobinya’.
“Sedap ke macam tu?” soal mak sambil membayangkan rasanya.
“Awak rasalah nanti macam mana. Ha, jangan pulak lepas ni hari-hari awak suruh saya masak sudah. Jenuhlah saya.” jawap abah sambil tersenyum dan mak membalas dengan senyuman yang sama, tak lama sebelum damainya terasa diganggu.
“Awak ni, bilanya nak berhenti? Tadi baru siap merokok, ni merokok lagi. Hai…baru lagi kata hari tu nak berhenti, ni? Apa ni? Berhenti apa macam ni?” tegur mak yang sudah menutup hidung dengan hujung bibir dan abah hanya mampu tersenyum sambil menggaru kepala.
“Awak dah fikir dah apa yang saya cakap semalam? Tentang Safi tu.”tutur abah, membawa perbincangan ke arah lain. Man dan Ina yang ada di rumah depan segera menjenguk, memasang telinga.
“Entahlah. Saya tak tahu macam mana. Nak dihantar ke sekolah berasrama? Nak ke dia? Tapi, saya rasa…” balas mak, masih tak dapat nak merelakannya.
“Saya daripada dulu lagi ada satu impian ni. Kalau boleh, saya nak sangat ada dikalangan anak-anak saya jadi doktor. Teringin sangat saya. Ingat hari tu, angah, tapi, hmm…tak jadi. Tak larat katanya, takut tak mampu nak dibawak sampai kena tukar ke bahagian farmasi.”
“Harap-harap, kali ni jadi.” tambah abah sebelum menghisap lagi.
“Tapi awak, Safi tu kecik lagi. Rasa tak sampai hati pulak saya nak biar dia pergi jauh-jauh. Dulu masa angah lainlah, angah dah tingkatan tiga, dah masuk sekolah menengah, dah besar dah. Masa along dulu…” belumpun sempat mak menambah abah dah naik marah.
“Dah dah dah! Tak payah disebut lagi nama tu. Dah malas saya nak mendengarnya.” bidas abah membuatkan mak sedar mereka telah kehilangannya dan serentak itu, mak tertunduk sunyi. Melihat keadaan itu, abah dah tak jadi nak menambah lagi.
Safi yang baru balik dari sungai menghampiri Man dan Ina yang sedang tersenyum-senyum memandang kearahnya.
“Kenapa? Apa benda? Yang kalian senyum-senyum macam ni kenapa?” soalnya berbisik, menyelidiki, namun Man dan Ina hanya membesarkan lagi senyuman.
“Kalian ni dah kenapa? Senyum, senyum!”
“Sepak nak!” marah Safi yang sudah kehilangan sedikit kesabaran.
“Cepatlah cakap! Apa? Apa bendanya?” soalnya semula, belum dapat nak melepaskan rasa kecurigaan.
“Purba!” tutur Man berteman senyuman.
“Apa?”
“Purba!Purba!” balas Man semula membuatkan Safi segera melancarkan ‘serangan’.
“Ha, ambik!” tuturnya selesai membuat piatan di bahagian telinga kembang adiknya itu, namun Man tetap menyambutnya dengan ketawa, dan Ina juga sama, geli hati dengan telatah kedua-dua saudara.
Selesai memilih, mak menuju ke kaunter kedai untuk membayar harga surat khabar yang ingin dibeli. Sesudah membayar, dia melalui deretan tin-tin biskut yang bertindanan sebelum matanya tertumpu pada biskut mini dihiasi aising, biskut kegemaran dia dan juga anak-anaknya itu dan tanpa membuang masa, mak meminta.
“Kak, bagi setengah kati biskut ni. Biskut yang ada ising ni.” pinta mak pada isteri Hj. Deris, pemilik kedai berkenaan.
“Ha, sekejap.” balasnya sebelum datang dengan plastik putih yang diperlukan untuk pembungkusan.
“Setengah kati?” soalnya semula.
“Ha, 300 gm. Budak-budak tu suka sangat makan biskut ni.” jawap mak sambil tersenyum sebelum berhati-hati mengeluarkan uncang kecil yang ada terselit di bahagian hadapan dada, tempat penyimpanan rahsia, setelah memeriksa suasana.
“1 ringgit 50 sen.” tuturnya selesai mengikat mulut plastik biskut.
“Duitnya kak, seringgit, lima puluh sen. Saya beli.” tutur mak berakad jual beli sebelum berlalu pergi. Namun, langkahan kakinya terhenti saat terpandangkan penumpang yang baru turun daripada bus kerana diantara mereka ada anaknya.
“A..along!” lauhnya, tapi tanpa suara.
Mak nampak tangan along penuh dengan beg-beg plastik berisi barangan di kiri dan di kanan. Paling sedih, mak nampak along menoleh, namun seketika cuma, sebelum dia membuka langkah laju meninggalkannya.
“Jangan pandang, jangan pandang, jangan pandang! ” bisik along demi menguatkan diri agar tak tergerak hati sebelum lengkahan dibuka lebih deras lagi, meninggalkan mak yang masih memerhati.
Sudah berhari-hari mereka menanti, namun, Bodok masih tak pulang-pulang lagi. Safi kekal tercegat sambil pandangannya tertumpu pada tempat Bodok berehat.
“Kemanalah Bodok ni pergi…”
“Tak lapar ke dia ni?” soalnya, pada diri sendiri.
Usop pulang dengan berkayuh selaju yang termampu sebelum dia menuju ke bawah rumah dan tergesa-gesa menolak keluar kereta sorong. Safi yang sedang berdiri di tingkap sempat mengalihkan pandangan sebelum mata kedua-duanya bertemu.
“Bodok! Bodok ada dekat kubur!” tutur Usop menyampaikan.
“Ha? Dekat kubur?”
“Bodok buat apa dekat situ?” soal Safi terkejut saat mendengarnya. Man dan Ina juga turut sama menjulurkan kepala, memeriksa.
“Dah? Nak buat apa dengan kereta sorong tu?” tambahnya lagi, tak dapat membaca terus apa yang terjadi, namun Usop kekal sunyi. Sebaliknya dia terus menuju ke reban ayam dan mengambil beberapa helai plastik putih, bekas makan ayam yang ada dikumpulkan.
“Nak ikut ke tak?!” soal Usop yang sudah bergegas untuk mendapatkan kereta sorong itu kembali.
“Nak nak! Nak ikut!” tutur Man dan Ina yang sudah datang berlari, dan Safi turut sama tak ketinggalan untuk melibatkan diri.
“Huuu…huuu…huuu…Bodokkk…” tangis Safi, Man dan Ina saat terpandangkan sekujur tubuh Bodok yang terbaring, dah tak bernyawa.
“Bodok dah mati ke? Betul ke Bodok dah mati?” soal Ina sambil memandang ke arah Safi dan Safi hanya mampu mengangguk sekali.
“Bodok! Bodok!” tutur Usop pula sebelum menggoyang-goyangkan tubuh anjing kesayangannya itu, namun Bodok kekal keras.
“Huuu…tu! Tengok tu, Bodok muntah!” tutur Man pula setelah terlihat apa yang tertangkap matanya. Bekas kertas makanan yang ada di situ turut sama membuatkan mereka rasa curiga dengan serta-merta.
“Ke? Ada orang yang racun Bodok?” tambah Man lagi sambil menyapu air mata. Usop dan Safi saling berpandangan setelah mengetahui kebenaran.
“Kesian Bodok. Sampai hati kan? Siapa yang sampai hati buat Bodok kita macam ni?” soal Safi pula sebelum turut sama menyental air mata dengan lengan.
“Dahlah, dah! Jom kita angkat Bodok.” tutur Usop pula selesai mengesat air mata jantannya.
“Sarung tangan tu dulu. Safi dengan Man angkat dekat situ, biar Usop angkat dekat sini.” arahnya lagi sambil mengagih-agihkan plastik yang dibawa tadi dan dengan satu kali angkatan, Bodok berjaya dinaikkan.
“Huuu…Bodokkkk…” tangis Safi, Man dan Ina kerana masing-masing masih sukar untuk mempercayainya, yang Bodok dah meninggalkan mereka. Kereta sorong usang itu ditolak secara bersama, Usop menolak, manakala Safi dan Man menarik di kiri dan kanannya untuk sama sama berkongsi beban. Lelah menolak mereka berhenti, tak lama sebelum meneruskannya lagi.
“Huuu…” tangis mereka berkekalan membasahi setiap satu langkahan, menangisi nasib diri yang dah kehilangan.
“Huuu…” esakan berterusan dan terasa tak mudah untuk ditamatkan. Penat menyangkul, Usop menegakkan pinggang dan mengesat air matanya semula. Safi yang memerhati, turut sama ingin menyumbangkan bakti untuk menyediakan tempat tinggal Bodok yang abadi.
“Biar Safi pulak.” tuturnya selesai mengesat-ngesat muka dan Usop hanya menerima sebelum dia beralih ke arah Bodok pula. Entah kenapa, setiap kali Bodok dipandang, air matanya merembes lagi.
“Bodokkk…” bisiknya untuk menenagkan hati, tak lama sebelum dia melengkupkan muka pada lututnya dan teresak-esak lagi. Safi, Man dan Ina pun apa lagi, serta-merta menyambut dan menangis semula.
“Huuu…Bodokkk…” rayu mereka, mengharapkan keajaiban, yang takkan mungkin akan termakbulkan.