Pintu bilik ditutup berhati-hati sebelum dia menuju ke meja dan mencapai bekas air minuman yang sudah diisi. Sempat dia mejenguk ke dapur untuk memeriksa api, tak mahu terbeban dengan sangkaan kemudian. Selesai di situ dia terus bergerak ke kereta yang sudah dikeluarkan awalnya.
“Mak, nanti balik, mak balik sendiri ya. Sebab Safi dah nak kena pergi kerja. Hari ni ada yang nak datang beli lembu.” tutur Safi selesai membelokkan kenderaan di hujung lorong.
“Takpa. Bukan jauh pun. Lima lorong je dari rumah. Safi nanti bawak kereta elok-elok. Kot iya pun nak cepat, jangan sampai bawak laju-laju.” balas mak mengingatkan.
“Ok. Nanti bila Safi tak ada, mak jangan naik pergi kebun sorang-sorang. Nanti kalau mak pening ke apa ke, sudah nanti. Bukannya ada siapa-siapa yang boleh tolong.” tuturnya pula, berbalas pesanan.
“Iyalah. Ha, dah sampai dah kita.”
“Ini ke rumahnya? Betul, sini kan? Rumah dekat tengah tu ke?” soal Safi saat terpandang deretan khemah tinggi yang sudah sedia terpasang.
“Iyalah agaknya yang tu. Takpalah mak pergi dulu. Ingat, jangan bawak kereta laju-laju.” pesan mak semula.
“Ok, insya-Allah.” balas Safi sambil memerhatikan mak keluar.
“Mak! Mak! Payung! Bawak sekali payung ni.” tuturnya yang sudah merangkak ke tempat duduk belakang.
“Tak payahlah berpayung-payung. Hari nampak cerah je ni.” balas mak menolak.
“Kalau tak hujan, kan boleh guna bila panas. Ha, kalau tak panas, boleh guna buat tongkat.” jawap Safi yang dah berjaya mencari.
“Jalan elok-elok! Safi pergi dulu. Assalammualaikum…” tutur Safi meminta izin.
“Waalaikumussalam…jangan bawak laju-laju!”
“Iya tak laju. 120 je!” balas Safi sambil ketawa.
“Ha! Tengok!” jawap mak tak mempersetujuinya.
“Tak adalah, orang main-main jelah. Safi bawak 80 je. Elok-elok, assalammualaikum…” ulangnya semula sebelum beredar sambil melambai-lambaikan tangan.
“Waalaikumussalam…” balas mak, melangkapkan.
“Laillahaillallah! Macam mana boleh tertinggal?!”
“Dahlah dah lambat ni. Macam manalah boleh terlupa tadi.” ngomel Safi tak berpuas hati pada diri. Segera kereta dibelokkan sebelum diarah untuk ke rumah semula.
Fail rekod berat lembu semasa yang menjadi rujukan terpenting dalam proses penjualan segera dicapai sebelum dia bergegas ke kereta.
“Hish! Apa ke benda pulak ni?!”
“Denggi lagi?! Kan ke hari tu dah datang, ini datang lagi!” bisiknya setelah terpandang seorang kakitangan pejabat kesihatan yang lengkap berpakaian seragam di bahagian luar pagar rumah.
“Assalammualaikum.” sapa pemuda tersebut.
“Waalaikumussalam.” jawap Safi sepatah tak ada minat nak menambah.
“Kalau puan tak keberatan, saya nak minta kebenaran untuk masuk dan periksa bahagian dalam rumah puan, boleh?” pintanya demi menjalankan kewajipan.
“Sekarang?!”
“Tapi saya nak cepat ni! Lagipun tak ada sesiapa di rumah. Awakpun datangnya tak berteman. Jadi tak eloklah!”
“Oh, tak ada orang, ingatkan ada.” balas Naz terkejut.
“Tak, tak ada!” tegas Safi semula.
“Takpalah kalau macam tu, puan nanti tolong pastikan yang tiada kawasan air bertakung…” tutur Naz menerangkan apa yang biasa diterangkan. Safi hanya mampu menadah telinga sebelum sesekali menjeling ke arah jam tangannya.
“Terutamanya bahagian beranda rumah ni. Puan ada tanam pokok kan?” soal Naz pula.
“Ha? Ha!” jawap Safi sambil berdoa si pemuda segera pergi, tapi nampaknya dia ingin menyambung lagi.
“Nanti tolong periksa kawasan-kawasan air bertakung…”
“Ya-Allah ya tuhanku! Bilalah nak habis dia ni? Bapak punya lama membebelnya. Hai…” rungut Safi tak puas hati, di dalam hati. Segala penerangan hanya masuk telinga kanan dan keluar ke telinga kiri kerana kepalanya hanya teringatkan ladang sekarang. Sekali lagi jam di tangannnya dijeling sebelum dia jadi pasti dia tak boleh nak membazirkan masa lagi.
“Awak, maaflah. Saya nak cepat sangat ni. Ada kerja. Lain kalilah awak cerita, sebab saya betul-betul dah tak boleh nak tunggu lagi lama.” tutur Safi yang sudah mula mengunci mangga pintu pagar rumahnya. Naz terus terdiam, tak menduga kerana dia masih belum selesai dengan tugasnya.
“Saya tahu yang awak sedang jalankan tanggungjawap awak, tapi saya pun ada tanggungjawap saya. Saya betul-betul nak kena cepat sekarang ni.”
“Maaflah. Assalammualaikum.” tambah Safi yang sudah memboloskan diri ke dalam kereta dan beredar.
“Gila kerek perempuan ni! Orang nak mengajar, tapi tak ada yang nak belajar. Patutlah tak habis-habis dengan denggi dekat sini. Sebab perangai macam nilah. Terlalu mudah ambil mudah.” tuturnya perlahan berteman sedikit rasa terkilan.
“Waalaikumussalam.” tambahnya, menjawap salam yang hampir terlupa dibalas.
“Banyak pokok yang ditanam. Mesti ada simpan air juga dekat atas ni.”
“Kalau dah ada air, mestilah ada nyamuk!” syaknya lagi tak dapat nak berhenti.
“Kalau dah kena nanti, baru tahu…”