Lipatan kain di dalam almari yang sudah bercelaru, dikemaskan. Puas satu, satu, sehinggalah selesai sebelum dia rasa terganggu dengan bunyi motor yang kedengaran menderu-deru di bahagian rumah depan.
“Assalammualaikum…” panggil satu suara yang sangat dikenali telinga. Mak segera menarik nafasnya sebelum mencari serkup kepala.
“Assalammualaikum…” ulangnya semula, kekal berusaha.
“Waalaikumussalam. Awak lagi! Kenapa dengan awak ni? Setiap hari datang ke sini! Apa yang awak nak lagi?” soal mak dah mula hilang sabar dan abah seperti biasa hanya membalasnya dengan senyuman sahaja.
Mak jadi makin rimas. Malupun ada, bila abah hari-hari mengulangnya demi memenuhi hasrat hati untuk memujuk dia kembali padanya semula. Mak segan dengan jiran tetangga yang melihat perbuatan abah itu. Along pula, pantang balik, menyuarakan hasrat yang sama, supaya dia menerima abah semula. Ateh pun tak ada banyak beza. Katanya, dia nak tengok mak dan abahnya bersatu seperti waktu dulu dan dia mahukan keluarga yang sempurna untuk anak yang bakal dilahirkan itu. Mak makin tertekan, kerana dia didesak dari kiri dan kanan. Akhirnya kerana tepaksa, mak rela bekorban.
“Biar betul kak?! Akak dah fikir masak-masak?” soal Cu Leha, terkejut bila mak selesai menyatakan apa yang difikirkan. Namun, Mak hanya membisu, kerana fikiran sudah tidak dapat nak berfungsi sebaiknya.
“Ha bukannya tak suka, cuma bimbang. Bimbang yang nanti akak akan kecewa lagi. Orang lelaki ni kak, sekali dia buat, biasanya nanti dia akan buat lagi.”
“Betul akak percaya yang dia dah berubah?” soal Ha lagi. Serta-merta kata-kata Imam Salleh malam semalam ketika mereka selesai jemaah di masjid, terlintas di fikiran.
“Aku rasa Husin tu bukannya ikhlas nak balik semula dengan Timah. Tadi aku dengar dia cakap perkara tak elok dengan kawan-kawan masa mengeteh di warung. Memborak, yang dia yakin akan dapatkan Timah semula. Siap bertaruh lagi, siapa yang kalah kena belanja minum.”
“Cuba Cu cakap baik-baik dengan Timah, nasihatkan dia. Minta dia buat solat hajat, minta petunjuk dari Allah. Kita sebagai jiran tetangga bukannya apa, kalau boleh taknak pisang berbuah lagi, cukuplah sekali.” tuturnya. Dalam diam, dia turut memikirkan hal yang sama. Mereka semua prihatin dengan musibah yang menimpa Timah sekeluarga.
“Dah tu kak, macam mana? Betul ke akak setuju nak balik? Akak yakin yang akak tak menyesal nanti?” soalnya lagi.
“Entahlah Ha. Akak dah tak tahu apa yang nak dibuat. Akak malu, bila dia tak habis-habis mengulang ke sini. Anak-anak pun sama, memaksa.”
“Along dengan ateh terutamanya. Kata nak sangat tengok kami bersama semula.”
“Angah dengan yang lain-lain serahkan semua keputusan pada akak, memaksa tak, menghalang pun tak. Akak tersepit Ha, mana nak mengikut permintaan anak-anak, pandangan penduduk sekeliling lagi. Akak betul-betul dah tak tahu apa yang perlu dibuat.” balas mak, masih bercelaru. Wajah Kak Timah Ha tatap penuh simpati. Kebenaran tentang Husin yang diketahui dari Imam Salleh langsung tak diungkit. Dia tak mahu Kak Timah jadi makin serba salah.
“Takapalah kak. Akak fikir baik-baik dulu. Apapun keputusan akak, Ha akan hormat.”
“Akak, Ha rasa sebelum putuskan apa-apa, baik akak buat solat hajat.” tambahnya dan mak segera menganggukkan kepala.
Abah dah tak boleh nak menunggu lebih lama, bila jawapan yang dinanti tak juga kunjung tibanya dan demi mencapai apa yang dihajati, dia telah memulakan ‘perancangan’. Petang itu, abah menyatakan hasratnya pada Min yang ada duduk minum semeja dengannya.
“Min, esok Pak Ngah nak sewa lori Min boleh?” soalnya pada Mukmin, anak saudara mak.
“Esok boleh! Min tak guna lori esok, tapi Pak Ngah nak guna buat apa?” soalnya semula.
“Pak Ngah ingat esok nak angkut barang Mak Ngah kau.” balas abah lancar.
“Ha?! Mak Ngah dah setuju nak balik? Alhamdulillah, elok sangatlah kalau macam tu. Pukul 8 esok bolehlah kita mula.” cadangnya pula.
“Iyalah, pagi esok kita ke sana, tapi…”
“Tapi sebenarnya Pak Ngah…” balas abah, terputus-putus, masih memikirkan keadaan.
“Tapi apa Pak Ngah?”
“Yang sebenarnya, Mak Ngah kau belum lagi setuju nak ikut Pak Ngah balik, cuma Pak Ngah rasa lebih elok kalau terus je kita ke sana dan angkut barang-barang dia. Buat apa nak tunggu lama-lama. Takut pulak nanti, ada yang menghasut. Menambah-nambah, biar jadi lagi kusut.”
“Anak-anak pun setuju. Along kata, kalau dah susah sangat, baik terus je ke sana. Bawak lori, angkut. Selesai kerja.”
“Budak-budak yang lain tu bukannya boleh percaya sangat. Ni, semua ni pun jadi, disebabkan anak-anak.” tutur abah dah mula nak menuduh.
“Anak mana yang Pak Ngah maksudkan?” balas Min ingin tahu.
“Anak-anak perempuanlah, yang mana lagi. Angah dengan Safi, yang berdua tulah! Yang lain elok je mengikut. Yang berdua tu, pandai sangat nak masuk campur urusan orang tua.” jawap abah dengan wajah mulus dan tenang, lagak manusia termulia di dunia dengan gigi selembut melebihi lidahnya, agar yang melihat mudah jadi terpikat.
“Biasalah tu! Anak perempuan! Memang suka menyebelah maknya.”
“Takpalah Pak Ngah. Kalau macamtulah ceritanya, Min pun rasa baik kita terus je ke sana. Tak payah bagitahu dulu. Sampai sana esok kita punggah je barang naik lori dan pindahkan semula ke rumah taman tu. Senang cerita.” tutur Min mempersetujui.
“Elok sangatlah kalau Min pun dah fikir macam tu. Esok pagi kita terus gerak ke sana, tapi duitnya macam mana?”
“Tak payah berduit-duit Pak Ngah, lagipun kita nak buat benda baik, buat apalah nak berkira sangat.”
“Mana boleh macam tu Min, takkanlah nak percuma je. Minyak lori ni bukannya murah.” jawap abah menolak.
“Takpa Pak Ngah, Min ikhlas nak tolong. Takpun macam nilah, nanti pak ngah belanja kopi ni pun dah kira cukup dah.” balasnya memberi penyelesaian mudah.
“Betul ke ni? Kalau macam tu, alhamdulillah, syukur pada Allah.” balas abah yang tersenyum sampai ke telinga, gembira bila makin bertambah regunya.
Bunyi deruan enjin yang kuat lagi besar mengejutkan mak yang sedang berada di bahagian dapur. Ina yang ada di situ segera menjengukkan kepala daripada daun pintu rumah belakang untuk memastikan.
“Assalammualaikum…Assalammualaikum!” tutur abah yang sudah sampai di tangga rumah.
“Siapa? Siapa yang datang?” soal mak mahu mengetahui jawapan.
“Entah? Tapi ada lori merah dekat depan rumah.” balas Ina sebelum bergegas ke bahagian hadapan rumah untuk membukakan pintu.
“Lori merah? Lori siapa pulak? Ke…” soal mak sebelum dia dapat mengagak siapa.
“Ha, memang lori Min. Dah kenapa pulak dia ke sini? Ada apa halnya pagi-pagi ni?” tambah mak, tapi belumpun sempat mak ke sana abah terlebih dahulu memunculkan dirinya.
“Assalammualaikum.” sapa abah pada mak yang sedang memandangnya.
“Wa..waalaikumussalam! Apa hal, awak datang ke sini dengan lori Min pagi-pagi macam ni? Awak nak buat apa?” soal mak tak percaya berbaur marah pun ada.
“Saya nak bawak awak balik. Ni, Min ada datang dengan saya. Dia bagi pinjamkan lori dia. Hari ni kebetulan dia tak ada kerja, jadi mudahlah kita.” ucap abah memberitahu hajat.
“Awak ni kenapa? Bila masa pulak saya kata yang saya nak balik? Bila saya setuju! Awak memang pandai-pandai je kan?!” balas mak kecewa kerana dia masih belum mampu untuk membuat keputusannya dan abah hanya tertunduk diam, tak tahu mahu berkata apa sebelum kedua-keduanya didatangi Min yang makin menghampiri mereka.
“Mak Ngah…” sapanya sambil mengangkat sebelah tangan dan mak segera menganggukkan kepala, berbahasa.
“Bolehlah kita mula. Lagipun Min tak boleh lama, sebab tengah hari nanti Min ada tempat lain nak pergi.” tuturnya memberi alasan, selebihnya mahu mempengaruhi keadaan. Mendengarnya, mak akhirnya pasrah sahaja dan dalam tempoh yang singkat, semua barangan yang ada sudahpun diangkat.
“Ni, lepas ni nanti, kita uruskan hal kita je. Hal anak-anak biarkan, jangan lagi dipedulikan tentang masalah budak-budak tu.” tutur abah yang baru melepasi mak, membuatkan mak tertanya-tanya akan maksudnya.
“Mak, ni mak!”
“Mak minum air ni! Ni air yang Wak jampikan untuk mak. Katanya boleh buat buang benda-benda tak elok daripada badan.”
“Tu, nanti sapu sekali lutut mak tu dengan air ni. Ulang sampai habis. Kebetulan Usop ke sana tadi, tu yang Usop mintakkan dia buat air ubat untuk mak.”
“Ha, kejap, biar Usop ambikkan cawannya.” tutur Usop yang baru pulang dan mak hanya mampu memandang.
“Bil eletrik bulan ni, dekat seratus lima puluh…bil air...” tutur mak sambil meneliti kertas bil utiliti yang ada di kanan kiri.
“Safi nanti tolong mak boleh? Tolong pergi pejabat pos. Bayarkan bil air dengan eletrik ni. Tolong mak kira. Betulkan, tak sampai dua ratus sepuluh ringgit untuk dua-dua ni?” soal mak pula minta dikira.
“Ha, betullah, dua ratus lapan, 40 sen.” jawap Safi selesai ditambahi.
“Ni, bawak duit ni. Nanti Safi tolong mak bayarkan ya.” tutur mak sambil mengorek pokek beg duit.
“Tapi, kenapa mak yang bayar? Abah? Sejak bila mak mula kena bayar bil ni? Kenapa tak mintak duit dengan abah?” soal Safi, mula tak sedap rasa.
“Takpa, biarlah mak yang bayar.” jawap mak patuh, manakala Safi kekal berteman kerutan di dahinya.