Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 118

Naz kekal memerhati kad jemputan yang diterimanya awal petang tadi setelah dia bertemu dengan Safi. Matanya terus berubah sayu saat terpandangkan nama yang tertera di situ.

“Wan Ridzwan…”

“Sayangnya…kau terlambat Naz. Dia dah jadi hak orang lain…” bisiknya sebelum mengukir senyuman tawar, setawar hatinya.

 

Bunyi tombol pintu dibuka, hampir membuatkan Safi yang berada di birai katil terlompat dari tempat duduknya. Sekilas wajah Wan dipandang sebelum segala keberaniannya terbang dan menghilang. Buat seketika Wan terpegun di situ sambil menyaksikan apa yang dimanakan keindahan. Rambut ikal hitam lagi berkilat Safi yang dibiarkan terlepas melepasai bahu, nampak sangat memikat. Serta-merta dia terasa bahang menjalar sampai ke mukanya.

“Assalammualaikum…” tuturnya perlahan membuktikan keberadaan.

“Waalaikumussalam…” jawap Safi, juga perlahan dengan muka yang berusaha untuk diarahkan kepada Wan. Gelora di hati rasa makin meninggi sampai tahap meremangkan bulu tengkok sendiri. Wan membuka langkah dengan penuh berhati-hati sebelum dia mengambil tempat di sebelah Safi.

Di pandangan mata, Safi dilihat masih malu padanya. Wajah Safi yang sedikit menunduk membuatkan tangan terasa ringan untuk menyentuhnya kerana hati ingin melihat perhiasan itu dengan lebih jelas lagi.

Safi terus memejamkan mata sambil berdoa yang segalanya akan baik-baik sahaja. Melihat keadaan Safi itu, Wan jadi makin berani. Pipi Safi disentuh lembut sebelum jarinya beralih ke bahagian bibir yang kelihatan cukup menawan. Ketika Wan sedang berkira-kira mahu menjamahnya, Safi terlebih dahulu mengelak dan menjarakkan diri.    

“Awak! Saya masih belum sedia!” tutur Safi minta diterima sebelum bangkit dan melarikan diri ke arah jendela. Wan hanya mampu tersenyum saat melihat reaksi yang Safi berikan dan seperti dijangka, Safi masih perlukan masa, kerana amat jelas, isterinya itu masih takut-takut padanya. Buat seketika mereka membisu tanpa ada sesiapa yang ingin menyentuh lagi tentang persoalan tersebut sebelum Wan akhirnya bangun dan menghampiri Safi.

“Dahlah. Kalau Safi tak sedia, abang takkan paksa.” tuturnya sambil menyentuh lembut bahu Safi.

“Kita tidur ya.” tambahnya lalu menarik tangan Safi dan memimpinnya ke katil semula.

“Tidur.” bisiknya selesai menyelimutkan Safi. Safi mula dipalit rasa bersalah yang tak sudah bila melihat layanan yang Wan berikan. Namun ingin ditarik, hatinya masih rasa berbolak-balik.

“Assalammualaikum…selamat malam.” tambah Wan sebelum mata mula dipejam.

“Waalaikumussalam…” jawap Safi, melengkapkan doa yang dititipkan.

 

Alas kepala dikemas sebelum Wan mengambil posisi yang dirasakan paling selesa baginya. Safi mula rasa ada yang tak kena pada itu semua. Tidur yang bertemankan belakang bahagian badan Wan saban malam, membuatkan hatinya makin tak ketentuan rasa. Tak berlengah, tangannya segera mendarat di bahu Wan.

“Awak, tolong jangan beri belakang awak pada saya…” tutur Safi meminta, kerana hatinya rasa sangat tidak selesa. Kehangatan sentuhan yang mampu menggegarkan ketahanan jiwanya itu segera dinoktahkan. Tanpa perlu menunggu lama, tubuh dipalingkan sebelum mata mereka saling bertentangan. Hangat, selesa dan berdebar-debar. Itulah apa yang sedang dirasakan oleh kedua-duanya sebelum mereka akhirnya sama-sama saling mengalihkan pandangan.

“Assalammualaikum, selamat malam…dan terima kasih.” tutur Safi perlahan sebelum mengambil keputusan untuk memejamkan matanya, kekal belum bersedia untuk berkongsi malam bersama.

“Waalaikumussalam…selamat malam…” balas Wan dengan mata yang masih luas terbuka dan seperti malam-malam yang sudah, Wan kekal mengotakan janjinya.

 

Helaan nafas Safi yang turun naik, sudah cukup untuk membuatkan hatinya berbunga. Wajah Safi yang nyenyak terlena ditenung dan terus ditenung dengan sepenuh minat sebelum senyumannya terbit dengan sendiri, menandakan kepuasan hati.

“Nyenyaknya kamu tidur…”

“Andai kamu tahu, betapa kuatnya debaran yang sedang melanda di hati…”

“...saat ini…”

“Tak mungkin kamu akan dapat tidur lena begini.” tambahnya sambil kening, alis, mata, hidung dan pipi yang nampak saling melengkapi diteliti lagi, dan seulas bibir itu…lama pandangannya tertumpu di situ, sebelum dia segera mengusir pergi keinginan yang datang dengan sendiri.

“Astargfirullah hal adzim! Astargfirullah hal adzim…” bisiknya demi memujuk hati sambil menghela nafas sendiri.

“Moga cinta dibalas cinta…”

“Dan setia, balasnnya setia…”

“Ya-Allah, perkenankanlah diri ini untuk sentiasa ada di sisinya…” bisik Wan memanjatkan doa pada yang maha Esa. Letak duduk selimut dikemaskan pada tubuh si isteri lalu dia bangun dan menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Sejadah dan songkoknya sempat dicapai sebelum di beredar, mencari tempat yang lebih sesuai untuk menjalankan ibadat sepertiga malamnya.

 

“Awak, saya nak tanya pendapat awak.” tutur Safi yang sedang menyendukkan nasi goreng ke dalam pinggan.

“Awak izinkan saya bekerja lagi atau awak nak saya berhenti?” soalnya pula, memulakan perbincangan tentang perkongsian kehidupan, demi keselesaan sebuah perhubungan.

“Safi nak macam mana? Safi masih nak kerja?” balas Wan berkongsi soalan.

“Saya ingat nak terus kerja. Lagipun bukan jauh sangat daripada sini kesana, cuma dua jam lebih. Kalau nak ulang hari-haripun boleh. Tapi, itu kalau awak tak kisahlah…” kata-kata Safi terhenti saat melihat wajah Wan yang sudah menunduk.

“Takpun, takpalah. Saya berhenti jelah.” tambah Safi setelah dapat membaca apa yang Wan fikirkan.

“Betul Safi nak berhenti?” soal Wan yang dah tak dapat menahan senyuman dan serentak itu, Safi mengangguk, mengiyakannya.

“Takpa, kalau Safi dah berhenti nanti, Safi boleh tolong abang dekat kedai buku. Tolong jadi cashier dan uruskan kewangan kita.” tambah Wan yang sudah makin teruja.

“Safi tak pernah pergi lagi kedai buku kita kan? Hari ni, Safi ikut abang. Nanti bolehlah abang tunjuk-tungukkan apa yang patut.”

“Hari ni?”

“Macam tak boleh je hari ni, sebab semalam saya dah janji dengan bos nak ke sana, tapi itupun kalau awak kasi. Kalau awak tak izinkan…”

“Takpa, takpa! Kalau Safi nak pergi, abang izinkan. Tapi hati-hati bawa kereta nanti. Jangan pecut-pecut sangat, sebab memang tak ada banyak beza. Paling cepat, awal 15-20 minit, tak berbaloi kalau jadi apa-apa.”

“Ada satu lagi, boleh tak kalau saya tak balik dua tiga hari? Sebab saya ingat dah alang-alang ke sana, nak temankan mak semalam dua. Boleh?” soal Safi meminta kebenaran pada lelaki, pemegang utama hak milik dirinya kini.

“Ok. Nanti kirim salam abang pada mak. Takpun macam nilah. Nanti hujung minggu abang datang sana. Ambik Safi, lepastu dapatlah abang jumpa mak sekali, sebab sejak kita kahwin abang tak pernah lagi balik jenguk mak.” balasnya berkongsi keinginan diri.

“Hmm…oklah kalau awak dah cakap macam tu.”

“Awak…terima kasih.” tutur Safi menghargai.

“Ok, kasih, diterima.” jawap Wan, membuatkan Safi segera melontarkan pandangan sebelum menghadiahkannya dengan senyuman.

“Cukup ke banyak tu? Nak tambah lagi?” soal Safi yang sudah mula memegang senduk kembali.

“Boleh! Hmmm…sedap Safi masak.” jawap Wan selesai menghadam beberapa suapan.

“Ni nanti kalau ada lebih lagi, boleh tak Safi bungkuskan untuk abang. Nanti boleh buat makanan tengah hari, takpayahlah nak keluar dah mencari.”

“Ada lagi bakinya dekat dalam kuali. Takpa, nanti Safi pergi bungkuskan.”

“Nanti-nantilah! Bukannya sekarang. Sekarang kita makan dulu.” tuturnya sebelum mencapai senduk dan mengisi pinggan Safi pula. Safi mula rasa selesa dengan layanan yang diterimanya.

“Jom kita makan.” arah Wan yang sudah mula mendapatkan rentaknya, suapan demi suapan, tanda menghargai jasa seorang insan yang telah diangkat menjadi teman.

Previous: Bab117c
Next: Bab119a

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.