Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 39b

(sambungan)

Safi merehatkan diri di atas titian kayu yang usang dangan nafas yang masih turun naik melepaskan lelah yang masih bersisa. Manataknya, puas main sorok-sorok dengan adik-beradik, sekarang kena main sorok-sorok dengan abah pulak. Penatnya tak ingat!

Sambil duduk dia menjenguk ke arah jalan, manalah tahu, nasib tak beberapa baik dan kalau abah lebih nekad hari, nescaya habislah dia. Sambil berfikir-fikir dia kekal menjengguk ke belakang, tak bersedia untuk diserang hendap untuk yang kedua kali. Seketika kemudian dia jadi pasti yang sememangnya dia tidak diekori.

Abah memang tak boleh dengan Ina. Tak boleh dengar Ina menangis. Pantang sahaja Ina menangis, pasti mereka yang dipersalahkan nanti. Tak kisahlah samaada benar-benar salah mereka atau sebaliknya. Maklumlah anak bongsu, selalu dilebihkan. Itulah sebabnya mereka tak mahu bermain sekali dengan Ina. Manjanya tak bertempat, kalau menangis sampai terlompat-lompat.

Sehelai daun keladi dipatahkan demi untuk mendapatkan hiburan. Sebelah tangan memegang daun keladi, manakala sebelah lagi menitis-nitiskan air pada permukaan daun tersebut. Titisan anak-anak air jatuh laju, sebelum bergabung kembali dengan ibu. Titisan air yang licin, bulat dan berkilat nampak sangat cantik di pandangan mata, berkilau dan bersinar lantas membuatkan hatinya rasa terhibur.

 Seketika kemudian dia teringatkan goreng pisang mak dan pada waktu yang sama, perutnya pun mula berkeroncong pula. Kehangatan goreng pisang mak seperti dapat dirasakan. Keenakannya…hai…tak dapat nak dikata, terutamanya bila makan waktu tengah panas-panas, asapnya tulah yang paling best. Bisiknya di dalam hati dah tak dapat nak mengawal diri lagi.

Tanpa berlengah, langkah diatur berhati-hati, bukan semata-mata takutkan abah, tapi selebihnya takut tertusuk kaca dan duri, berkemungkinan besar terdapat di dalam tanah yang becak kerana dia hanya berkaki ayam saat itu.

 

“Abah mana?” bisiknya perlahan pada Man yang sedang duduk di atas tangga dengan goreng pisang di tangan.

“Dah pergi sungai. Mandi.” balasnya dengan mulut yang dipenuhi goreng pisang.

“Man punya pasal lah ni. Kan dah cakap! Jangan tembak kepala. Yang Man pergi attack kepala budak kememeh tu kenapa?” tuturnya, melempiaskan kemarahan yang masih bersisa,

“Manalah tahu nak kena kat situ. Man tembak je tadi. Bukan sengaja pun.” balasnya bersungguh-sungguh membela diri sampai pisang goreng yang sedang cuba untuk dihadam tersembur keluar daripada mulut kecilnya tu.

“Makan tu elok-elok sikit, boleh tak? Tercekik nanti baru tahu!”

“Makan cepat-cepat macam tu nak kejar apa?” ringan sahaja tangannya menepuk dahi Man yang jendul dan Man seperti biasa hanya membalas dengan senyuman sahaja.  

Safi menjengguk ke dalam rumah dan mak hanya menggeleng-gelengkan kepala menyambutnya. Serentak itu, Safi tersengih menampakkan barisan giginya yang elok dijaga.

“Ha, tangan tu basuh dulu.” ingat mak pada Safi yang baru hendak mencapai goreng pisang di pinggan.

“Dah basuh dah.” balas Safi pantas.

“Bila?” soal mak semula, seperti tak percaya.

“Dah basuh masa kat parit tadi.” balasnya kembali sebelum mencapai seketul goreng pisang yang berada di dalam pinggan.

 

Usop yang duduk bersandar di rumpun buluh dikejutkan dengan batukan abah di jamban mandi. Bunyi air sungai yang terhalang oleh dahan buluh jelas kedengaran, berdesir dan berkocak lembut, mampu menerbitkan rasa ketenangan di dalam fikiran. Abah merehatkan diri dia atas akar kayu sambil menghisap rokok. Setelah selesai merokok, barulah dia terjun ke sungai. Melihat abah berkeadaan begitu, membuatkan Usop pasti yang penantiannya akan berakhir sebentar saja lagi.

 

“Nah. Ambil air ni cepat.” ucap Usop di hujung tangga, seperti yang telah dijanjikan dan Safi pantas menyambut beserta dengan senyuman, bergembira dengan habuan yang diterima selesai memperolehi kemenangan.

“Ada sekali lagi kan?” balasnya minta kepastian.

“Apanya?” soal Usop kembali, jelas tak puas hati dengan persoalan yang dihujahi.

“Iyalah! Janji 4 baldi, ni baru 2.” jawap Safi mengingatkan tentang janji.

“Tak larat lah, yang tu esok pulak. Lagipun hari ni kena angkat banyak. Esok ada orang tempah ayam nak buat kenduri.” balas Usop dah malas nak menambah-nambahkan kerjanya.

“Benci ah! Hari tu pun macam ni jugak! Cakap banyak ni, tapi bagi banyak ni. Usop ni memang suka mengelat kan? Tulah, kalau tak sanggup jangan berani nak berjanji. Entah apa-apa entah.” ngomel Safi geram sambil menuangkan air yang berada di dalam baldi ke dalam besen-besen besar tempat penyimpanan air yang berada di hujung lorong, tempat membasuh pinggan dan mangkuk tak kecuali tempat mereka mengambil wuduk.

“Dah orang kata nanti tu, nantilah! Memang tak faham bahasa kan?” marah Usop, sakit hati bila diperli.

“Tulah sebabnya, kalau tak boleh buat, jangan janji.” sindir Safi, mengungkit lagi dan serentak dengan itu, Usop mula naik angin, bila dah terbit rasa benci.

“Mulut kau ni kan! Kalau ikut hati…” kata-katanya mati di situ sambil berusaha sekuat hati menahan diri, tapi daripada jelingannya, sudah cukup menggambarkan bara yang makin marak terbakar di dada.

“Apa?” cabar Safi makin berani, kerana dia paling benci pada manusia yang tak pernah nak menepati janji.

“Apa lagi tu ha?” marah abah yang baru selesai bersolat Asar, dah tak mampu nak bersabar mendengar pertelingkahan mereka. Anak-anaknya tu tak ubah macam anjing dengan kucing. Asyik bertekak sahaja kerjanya, tak pernah nak bersepakat.

“Dah tak boleh nak bercakap elok-elok? Awak tu adik! Cuba hormat sikit!” tambah abah lagi. Safi memuncung sambil mencerlung marah. Tak suka diarah-arah kerana dia tahu yang abah pasti akan menyebelahi Usop lagi, sama seperti selalu.

“Dah dasar anak emas! Eeee! Rimas!” gerutunya, hanya dalam hati, nak meluahkan? Tak cukup berani, kerana dia belum bersedia untuk kehilangan kaki. Namun matanya kuat menekan bebola mata Usop yang kelihatan sangat menjengkelkan. Manataknya Usop nampak sangat gembira, sampai dah boleh tersenyum sumbing pula.

“Nanti tolong Usop angkat air dalam tong tu! Penuhkan tong depan sekali!” arah abah sesuka hati, menunjukkan kekuasaan diri. Usop ketawa dibuatnya, tak menyangka yang taktiknya berjaya. Memang tak sia-sia dia cari pasal kerana dia tahu, abah kalau dah marah, pasti ada yang bakal menerima hukuman.

Safi mula naik hantu, kerana dia sangat tak berkenan dengan keadaan yang sebegitu. Tanpa berlengah, dia segera mengosongkan dua baldi air yang ada berhampiran dengannya sebelum berkira-kira mahu turun ke tanah, tapi Usop masih kekal berdiri di tengah-tengah tangga, tak mahu membukakan jalannya.

“Best?!” bisiknya perlahan sambil menaikkan ibu jari, tak lain bertujuan untuk memerli. Safi pun apa lagi, terus meremang bulu tengkok dibuatnya, bila gunung berapi yang cuba ditahan sedari tadi meletus kini.

“Tepilah sikit!” ucap Safi kuat pada Usop yang masih berdiri di tengah jalan, walaupun tahu yang dia mahu memulakan perjalanan.

“Abah, tengok Safi ni…” tutur Usop mengadu-domba, masih belum berpuas hati, kerana Safi perlu sentiasa diingati, siapa yang paling tinggi kedudukannya di sini.

“Apa ke lagi tu?” tutur abah sebelum bertindak menghampiri keduanya.

“Orang kata tepi, tepilah! Yang tak faham bahasa tu kenapa?!” bidas Safi tegas sebelum tubuh Usop ditolak ke tepi. Nyaris-nyaris terjatuh Usop dibuatnya dengan tindakan tak semena-mena Safi itu. Mujurlah sempat dia berpaut pada kayu jenang pintu yang ada di situ.

“Perangai tu tak pernah nak berubah! Sama je macam mak kalian! Keras kepala!” ucap abah lagi sambil mencekak pinggang, ibarat memaku dulang, tak memikir yang akhirnya air merecik ke muka sendiri. Mak yang sedang membuat batas, segera berhenti kerana hatinya terguris…lagi. Suaminya itu memang tak pernah berubah. Pantang ada peluang pasti dia akan disindirnya. Semuanya pasti gara-gara dia membela anak-anak awal tadi. Safi menghampiri mak yang nyata terkesan dengan kata-kata abah.

“Abah memang tak tahu nak jaga mulut!” bisiknya di dalam hati, tak suka melihat mak kecewa begini.

“Mak nak tanam apa ni?” soal Safi pada mak, tak mahu mak terlalu memikirkan kelancangan mulut abah dan serentak dengan itu mak meneruskan tugasan, membuat batas tanaman.

“Entahlah, tak tahu lagi. Mak ingat nak tanam cili padi. Kalau ada lebih boleh dibawak ke pasar, kita jual.” balas mak, setelah cangkul di tangan beraksi semula. Sampai berlepuk-lepuk bunyinya, menandakan ketekunan.

“Mak lama lagi ke?” soal Safi pula mahu merencana situasi.

“Kenapa?” soal mak kembali, berusaha untuk memahami.

“Nanti mak tunggu Safi boleh? Safi nak mandi sama-sama, tapi Safi nak kena angkat air dulu.”

“Kerja Safi dah siap dah tadi, awal-awal lagi Safi dah siap angkat air kat atas rumah, tapi sekarang, abah suruh Safi penuhkan air tong, suruh tolong buat kerja Usop pulak. Menyampah betul!” rungut Safi.

“Dia yang saja nak buat kerja lambat-lambat, lepastu sekarang Safi pulak yang kena. Bukannya tak tahu yang esok memang nak pakai air banyak!” ngomel Safi lagi, masih tak puas hati bila keadaan itu diingati dan mak hanya mampu tersenyum mendengarnya.

“Nanti mak tunggu Safi ya.” pintanya lagi, berharap, kerana hari dah mula nak gelap.

“Hmm, iyalah. Nanti mak tunggu. Pergilah cepat, sebab hari dah nak gelap dah ni.” tutur mak pula, tak mahu kelewatan.

“Okey.” balas Safi sepatah sebelum bergegas ke arah sungai, mahu menyelesaikan tugasannya dengan kadar yang segera. Tanpa berlengah Safi bergegas ke sungai yang terletak lebih 50 meter dari rumah kerana dia perlu cepat. Kalau lambat, nanti hari gelap dan kalau dah gelap…mesti banyak yang datang ‘merayap’. Man dan Ina berlari mengikutinya beserta dengan beberapa helai beg plastik ditangan.

“Safi, Man pun nak tolong.” ucap Man sebelum diulangi Ina pula membuatkan Man rasa tak puas hati dibuatnya.

“Ina pun! Ina pun nak tolong.” sampuk Ina pula menyatakan minatnya.

“Eee…Ina ni lah, tak habis-habis nak mengikut orang!” marah Man kerana dia memang tak suka dengan sikap Ina yang terlalu suka meniru segala apa yang dilakukannya.

“Dah dah dah! Jangan nak bergaduh! Kalau nak tolong sangat cepat!” gesa Safi, gembira kerana ada adik-adik yang sedia membantu sambil mereka beriringan menuju ke sungai dan mak tersenyum melihatnya. Walaupun kerap sangat bergaduh, mereka sebenarnya sangat rapat dan sentiasa bersama, tak ubah seperti aur dengan tebing yang sentiasa beriring.

 

Previous: Bab 39a
Next: Bab 40

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.