Angah menghampiri mak yang sedang menonton telivisyen, selesai makan malam kerana dia ada perkara yang ingin disampaikan.
“Mak, abah, angah dah kena daftar semula tengah minggu nanti sebab minggu depan dah mula kelas short course subjek yang angah tak ambil haritu. Angah ingat, esok angah dah nak balik.” tuturnya, berbohong lagi, walaupun bukan secara keseluruhan, cuma sebahagian kerana dia merancang untuk bekerja di tempat biasa. Semalam dia sudah menghubungi Miss Lau, pengurus pasaraya tersebut. Mujur mereka perlukan pekerja separuh masa. Paling tidak dapatlah kumpul sedikit duit, buat bayar sewa rumah nanti.
“Dah nak balik dah?” tutur mak terkejut sebelum menghentikan kerja-kerja memasukkan tali ke dalam lubang manik.
“Biarlah dia. Lagipun dia bukan nak buat benda tak elok. Kan dia nak pergi belajar. Takpa, nanti kalau dah habis kelas tu baliklah semula. Esok naik bas pukul berapa?” balas abah yang sedang mengambil angin di pintu depan sambil memandang ke arah angah.
“Naik bas pagi rasanya. Lagipun angah tumpang duduk dengan Fizah. Dia pun ada ambil kelas tu jugak. Senanglah nanti, boleh pergi kelas sekali.”
“Eloklah tu. Esok sebelum balik, singgahlah dekat pasar dulu. Nanti abah hantarkan ke bandar.” arah abah, bersedia mahu melaksanakan tugasnya.
“Tak apalah abah. Angah boleh balik sendiri. Lagipun angah tak nak susahkan abah.” jawap angah, menolak.
“Tak ada susahnya. Biar abah hantar. Esok kan hari Ahad, budak-budak ni ada, boleh tolong mak dekat pasar. Angah biar abah yang hantar.” celah mak, membuat perancangannya.
“Tapi mak…” angah dah mula rasa serba-salah. Dia tak mahu ateh salah sangka lagi padanya. Cukuplah setakat itu. Dia ingin mengelak menjadi punca ateh marahkan mak dan abahnya sendiri.
“Dah, jangan degil.” arah mak membuatkan angah segera menggaru kepala. Nak tak nak dia perlu menerima. Tambahan pula, dia dah mula rasa bosan duduk di kampung. Bukan bosan pada kampung dan keluarga, tapi bosan kena menatap muka ateh yang masam memanjang, mengalahkan tempoyak basi itu. Memuncung ke hulu-ke hilir. Jalan menghentak-hentak, macam orang tak ada otak.
Kalau lama-lama, angah takut yang dia akan hilang sabar macam kes haritu lagi. Nasib baiklah mak dengan abah tak tahu, kalau tak, pasti panas telinga mendengar leteran mereka.
Ateh yang sedang duduk di biliknya dan kekal memasang telinga, jadi gembira tak terkata. Kerana bahagianya, tak dapat nak dicakap sebanyak mana.
“Yes!!! Anak emas tu dah nak balik dah! Barulah senang rasa hati ni. Sampai esok je lagi.” bisiknya pada diri sendiri sebelum senyuman sinis terukir di bibir tanda masih belum belajar menginsafi diri.
“Memang mengada-ngada! Orang nak hantar, banyak pula songehnya. Saja nak bermanja-manjalah tu. Apa ingat orang tak tahu?”
“Pergilah balik cepat! Dah bosan tengok muka tu lama-lama.” ucapnya dapat didengari Safi yang ada di tepi dan seperti biasa Safi kekal sepi. Dia tak mahu masuk campur kerana dia sayangkan kedua-keduanya, tak rela menyebelahi sesiapa. Namun satu perkara yang dia pasti, benci ateh pada angah tak pernah kurang, malah sejak peristiwa dia dimaki tempoh hari bencinya makin menjadi-jadi.
Usop mengayuh basikalnya sekuat hati kerana dia perlu segera mendapatkan mak dan abah. Dibahagian hadapan bajunya terdapat tompokan darah yang masih basah. Sesampainya di pasar dia segera mendapatkan mak yang sedang duduk di atas kotak kayu dan keadaan itu membuatkan mak kehairanan.
“Kenapa ni? Darah apa pulak tu? Tu dekat baju tu?” soal mak bertalu-talu.
“Man, mak! Man jatuh pokok! Telinganya berdarah! Terkoyak. Banyak mak, banyak darah yang keluar, tak boleh berhenti!”
“Cepat la mak! Cepat balik tengok Man!” tuturnya terketar-ketar, sampai pucat bibirnya.
“Laillahaillallah…Apa yang kalian buat? Macam mana boleh jadi macam tu?” Kan mak dah pesan, jaga adik. Ni…” tutur mak kesal sebelum dia bertindak menghentikan bebelan.
“Cepat-cepat! Pergi cari abah! Pergi panggil abah dekat kedai Mezah. Suruh abah ke sini cepat!” arah mak dan tanpa menunggu lama, Usop segera mengayuh ke kedai kopi di hadapan simpang untuk mendapatkan abah seperti yang mak arah.
“Kenapanya? Kenapa awak panggil saya? Ayam dah habis ke?” soal abah yang masih tak tahu apa yang terjadi.
“Ayam apanya…Man! Telinganya berdarah, terkoyak! Awak balik tengokkan dia sekejap. Kalau teruk, bawa ke klinik.”
“Hari masih awal lagi. Lagipun banyak lagi ayam yang tinggal ni.” arah mak pada abah.
“Awak jelah yang balik! Biar saya yang tunggu sini! Bawak basikal saya tu kalau nak cepat.” arah abah. Dia memang tak suka berurusan dengan orang lain. Kalau ada apa-apa dia lebih rela isterinya itu yang mengurusnya kerana dia rasa tak selesa.
“Awak ni! Manalah saya boleh bawak basikal awak tu! Saya ni pakai kain!”
“Takpalah. Awak tunggu dekat sini. Biar saya balik sekarang.” ucap mak sebelum mencapai beg kainnya yang telah selesai dikemas. Sudah menjangka akan jawapan yang bakal diterima kerana sejak dulu lagi, tak pernah suaminya itu mahu berurusan dengan orang.
Langkah diatur selaju yang termampu. Bila tak ada orang yang memerhati mak berlari-lari sambil diikuti Usop yang turut sama berjalan sambil menolak basikalnya. Sesungguhnya, dia sangat bimbangkan keadaan Man.
“Ya-Allah, selamatkanlah anakku…” bisiknya dalam hati, tak berhenti sejak tadi. Tanpa dia sedari, air matanya mengalir di pipi.
“Ya-Allah…kenapa boleh sampai macam ni?! Kan mak dah pesan, kalau main tu hati-hati! Tengok sekarang, apa dah jadi.” Mak nyata terkejut saat luka di telinga Man diamati dan darah masih mengalir tak berhenti. Kain sapu tangan yang ada di dalam beg dicapai sebelum dilipat dan ditekap ketelinga Man yang sudah merah dipenuhi darah. Muka Man pucat lesi, terkejut barangkali. Namun, air matanya langsung tak menitis walaupun setitik sejak tadi.
Tanpa perlu memikir lama, mak menyarungkan baju pada badan Man sebelum mendukung dan melangkah sekuat hati.
“Awak, tengoklah anak ni!”
“Cepat awak cepat! Cepat bawak dia ke klinik! Besar lukanya ni. Kena jahit tu. Awak cepatlah bawak dia. Sini, biar saya yang jaga.” arah mak, namun abah kekal dengan muka bersahaja.
“Awak je lah yang bawakan budak tu!”
“Kan saya dah kata, saya tak suka nak berurusan dengan orang di klinik tu. Entah apa yang nak dibuat nanti. Dah alang-alang, awak je lah yang pergi.” balas abah, memberitahu isi hati. Mak nyata kecewa. Man dibelakangnya dipandang, dan wajah Man yang semakin pucat telah membuatkannya jadi makin bimbang.
“Awak memang kan? Dah jadi macam ni pun, masih tak boleh nak diharapkan…” tutur mak kecewa. Dia kecewa kerana semua beban diletakkan ke bahunya. Abah langsung tak pernah nak belajar. Serentak itu juga, mak berpaling dan mula berjalan.
“Tekan luka tu kuat sikit!” pesannya pada Man. Perlahan-lahan Man mengikut arahan. Mak membuka langkah seribu demi untuk menyelamatkan anaknya itu. Biarpun ada mata-mata yang memandang, mak hanya buat tak nampak. Apa yang dia fikirkan saat itu hanya Man dan Man perlu segera mendapatkan rawatan.
Man yang keletihan di baringkan di atas lantai. Matanya dipejamkan sebelum dia terlena. Mujur luka pada cupingnya hanya di bahagian luar saja, selesai dijahit dengan lapan jahitan, doktor membenarkan mereka pulang. Usop pantas datang mendapatkan mak yang baru sahaja mengambil tempat duduk.
“Macam mana mak? Doktor cakap apa?” soalnya takut-takut.
“Macam mana boleh jadi macam ni? Kan dah berapa kali mak pesan. tengokkan adik-adik. Ini…hai, apalah kerja kalian.” keluh mak yang sudah mula belunjur. Kakinya terasa amat lemah. Bukan kerana penat, tapi tekejut kerana dia memang takutkan darah sejak dulu lagi, tak pernah berubah.
“Masa panjat pokok koko tadi, Man terjatuh, tu yang jadi macam tu.” jawapnya perlahan, namun kenyataan sebenarnya, hanya dia dan Safi yang tahu.
Safi memandang Usop dengan perasaan tak puas hati. Dasar pengecut! Bila dah jadi macam ni tak berani mengaku! Semuanya sebab dialah. Dia yang beriya-iya suruh Man terjun dari pokok tu. Man takut mulanya, tapi bila dah digalak beranilah dia. Agak-agaklah, adik yang sekecil tu disuruh terjun daripada pokok setinggi itu? Usop memang cetek akal! Gerutu Safi masih tak puas hati sambil menggeleng-gelengka kepala sendiri.
“Dah, biar Man tidur. Jangan kacau dia. Biar dia berehat. Mak nak mandi, dah dekat Asar dah ni, tapi mak tak sembahyang Zuhur lagi. Kalian ni dah sembahyang ke belum?” soal mak pula.
“Dah.” jawap Usop lancar, walaupun bukan yang sebenar, membuatkan Safi menjongketkan bibir atasnya tinggi.
“Penipu!” kulumnya sendiri tak mahu menambahkan bebanan di benak mak. Sedaya-upaya mak bangkit kerana dia mahu melaksanakannya segera, tak rela menjadi hambaNya yang leka.
Along memeriksa penyata akaun kad kredit yang sudah mencanak naiknya, hari demi hari sebelum dia membiarkannya terdampar sepi. Ligat kepalanya berfungsi untuk mencari cara bagi menyelesaikan masalah itu. Jauh di sudut hatinya, dia mula menyesali tingkah-laku sendiri, bila selama ini dia sentiasa berbelanja melebihi kemampuannya. Makan dan pakainya semua bergantung ada kad ‘keramat’ itu dan natijahnya sudah dirasai kini.
“Makkk…” bisiknya berteman rasa kecewa pada diri kerana sekarang barulah dia sedar yang kehidupannya seperti tidak diberkati.
“Assalammualaikum…” tutur Milah yang ditemani Epol, anak bongsunya tu, saat tiba di depan rumah along, kuaters rumah pekerja yang disediakan oleh kilang tersebut.
“Sekejap, sekejap!” jerit satu suara daripada bahagian dalam, sebelum disusuli dengan bunyi kunci.
“Ha, mak. Dah sampai. Ingatkan sampai petang.” balas along yang sudah pulang…biarpun waktu bekerja masih panjang.
“Saja mak bertolak awal.”
“Ni, Epol ni yang tak sabar-sabar nak datang. Dah rindu dengan anak sedara. Lepastu nanti katanya, nak ajak along makan dekat restoran hari tu. La, tempat yang kita pergi dulu.” balasnya pula, memberi alasan dan Epol hanya mampu tersenyum sahaja.
“Ha. Takpalah. Nanti malam kita pergi. Dahlah, masuk dulu, rehat-rehat.” jawap along selesai menyalami tangan ibu mertuanya itu.
“Nak makan dekat situ? Tapi duit gaji bulan ni tak masuk lagi…”
“Nampak gayanya, kenalah pinjam ceti lagi.” bisiknya di dalam hati selesai mencari jalan penyelesaian bagi masalah yang dihadapi.
“Sayang, abang nak keluar sekejap.” ucap along yang sudah menyarungkan kasutnya.
“Abang nak ke mana?” soal Zai yang sudah datang dengan mendukung anak kecilnya itu.
“Keluar, keluar sekejap.” balasnya semula sebelum beredar.