Hampir dua bulan berlalu dan sepanjang tempoh itu juga, fikiran mak menjadi semakin terang. Biarlah dia jadi orang terbuang, dia tak langsung ambil pusing akannya, asalkan hatinya tenang. Biarpun hanya ditemani Ina dan ateh, dia tetap gembira. Mak tahu itupun tak lama, kerana sekarang Ina sudah di tingkatan 5, sampai masa, Ina juga akan meninggalkannya, dan dia perlu bersedia. Along, angah, ateh, Safi, Man dan Ina semuanya mengikut mak, tinggal Mat dan Usop saja yang setia menjadi pengikut abah.
“Kemana perginya duit niaga ni? Kenapa macam ada banyak yang kurang?”
“Ke?”
“Mat ni mengambil duit ke? Buat beli dadah lagi?” soal abah pada Usop yang ada di sebelah.”
“Entah-entah iya, sebab kan memang dia yang menjaga.”
“Mat tu, bukannya berhenti pun lagi. Abah tak nampak? Ada je kesan jarum baru dekat tangan dia tu. Ha, dekat kaki pun ada sekali. Usop perasan, abah tak perasan?” balas Usop menyampaikan.
“Iya?! Hai, kalau macam tu, memang tak ada lainlah. Memang kerja dialah tu.”
“Usop tahu, banyak yang kurang. Abah kira hari-hari duit tu, alih-alih, esoknya dah luak pulak. Memang sahlah ada ‘hantu’.”
“Kalau macam ni memang dah tak boleh nak dibiarkan lagi. Lepasni nanti, Usop uruskan.”
“Eh, taknaklah abah. Nanti apa pulak cakap Mat. Kan memang dah lama abah beri dia yang memegangnya. Nanti kalau Usop yang jaga, marah pulak dia.” balas Usop menolak.
“Takpa, nanti biar abah bagitahu pada dia. Usop tak payah cakap apa-apa. Senyap-senyap je.” jawap abah memberitahu perancangan.
Plastik beg duit niaga yang ada terdampar di atas meja sempat di jeling sebelum dia memeriksa keadaan sekeliling. Bunyi simbahan air di dalam bilik mandi yang kedengaran sampai ke ruang tamu membuatkan dia sedar, masa akhirnya tiba. Tanpa perlu menunggu lama tangannya membuka simpulan ikatan pada plastik berkenaan sebelum beberapa note RM 10 ‘dicekoi’ dan diselitkan ke dalam kocek seluarnya. Setelah selasai mengikat, dia segera beredar ke dalam biliknya dengan wajah selamba.
“Usop, jom keluar! Abah telipon, ajak minum.” tutur Mat yang baru keluar daripada bilik air.
“Ok, jom.” balas Usop sebelum segera menyalin seluarnya.
Safi dan Ina terserempak dengan Mat di pekan sewaktu berjalan. Bila perasan, mereka cepat-cepat mengelak mengubah arah ke bahagian jalan yang bertentangan.
“Ina, sini! Ikut sini!” arah Safi pada Ina sambil segera memimpin tangannya, namun, sempat juga Safi memandang sekilas pada Mat yang nampak kusut dan tak terurus. Daripada ekor mata, Safi perasan yang Mat seperti mahu menahan, tapi dia dan Ina segera melajukan langkahan.
“Kak Esah, akak ada jumpa dengan mak?! Mak sihat tak?” soal Mat resah pada Kak Esah, jiran sekampung mak yang sedang membeli barang di kedai.
“Ada jumpa. Sihat dia. Baru lagi kami ke hulu, melawat dia.” jawap Kak Esah, bercerita.
“Kenapa Mat tak pergi terus ke sana, lawat dia?” soalnya pula.
“Ha?!”
“Ha…”
“Takpalah kak, nanti kalau Kak Esah ada jumpa dengan mak lagi, Kak Esah tolong kirimkan salam Mat pada mak ya.”
“Kak Esah tolong Mat ya, tolong sampaikan salam Mat pada mak. Akak jangan sampai lupa!” tuturnya, tekun mengulang.
“Iyalah, insyaAllah…” balas Kak Esah. Mat yang mendengar kelihatan sudah mula kurang resah.
Selang beberapa hari, ketika jam sudah melepasi waktu Maghrib, Man yang ada pulang ke kampung tergesa-gesa menongkatkan motosikalnya sebelum mendapatkan mak yang kebetulan baru hendak menunaikan solat. Mak hairan saat terpandangkan wajah Man yang nampak pucat tak berdarah.
“Mak!”
“Mat kemalangan dekat jalan depan kedai roti tu!”
“Sekarang ni dia masih lagi tersepit dalam kereta, sekali dengan Azrie. Bomba tengah cuba keluarkan. Anak Pak Bahar bagitahu, kebetulan, tadi dia lalu dekat situ.” tutur Man terketar-ketar. Mak hanya diam. Wajah Mat yang tersenyum manis di dalam mimpinya beberapa hari lepas segera terbayang di mata.
“Katanya, kereta Mat nak potong treler dekat depan, tapi tak sempat, lepastu bertembung dengan kereta kenari yang datang dari arah bertentang.” terang Man lagi, namun mak tetap terdiam.
“Mak, Man pergi tengok Mat ya!”
“Baru sekejap tadi Usop telipon. Usop pun bagitahu benda yang sama. Boleh ya Mak?”
“Boleh tak Man pergi tengok Mat?” pintanya mengharap dengan mata yang sudah mula memerah.
“Pergilah. Abah kalian dah tahu?” soal mak perlahan.
“Dah! Usop cakap abah dah tahu, tapi abah tak nak ikut. Abah nak tunggu dekat rumah je.”
“Mak, Man pergi dulu ya.” balasnya sebelum mencapai topi keledar di atas meja.
“Bawak motor tu elok-elok.” pesan mak dan Man membalas dengan anggukan. Seketika kemudian kelibat motor Yamaha RXZ kepunyaannya itu hilang entah ke mana.
Sesampainya di hospital, mereka nampak sekujur tubuh yang telah di selimuti kain putih. Man dan Usop sudah mula menitiskan air mata bila mereka sedar, Mat dah tiada.
Jenazah Mat yang sudah selesai dimandi dan di kafankan, terbaring kaku di ruang tamu. Keadaan fizikal Mat tak seteruk mana. Tulang kaki kananya jadi patah dua, di bahagian betis dan peha, manakala kening, mulut dan lidahnya ada kesan terkoyak.
Mak tak tahu perasaannya tika itu. Sedih? Ya dia sedih, namun tubuh tak dapat menzahirkan perasaannya. Mungkin kerana masih terlalu kecewa dengan perbuatan si anak selama ini, ataupun kerana terlalu terkejut, tak pernah menjangka Mat akan pergi terlebih dahulu daripadanya.
Sejak daripada mendengar berita itu, setitis pun air matanya tak mahu keluar. Mak, angah, ateh, Usop, Man dan Ina semuanya duduk mengelilingi jenazah Mat sambil membacakan ayat-ayat suci, tapi abah tiada. Dia duduk terperap di dalam bilik sendirian…sambil melayan mata.
Safi sudah mendapat perkhabaran itu melalui ateh. Malam tu juga, dengan bantuan warden asrama, dia bertolak dari Ipoh ke Kuala Lumpur menaiki keretaapi, demi menjimatkan masa. Esok pagi-pagi boleh terus mengambil bas pertama untuk balik ke kampung.
Sambil menanti, sekali lagi jam ditangan diperhati, dan waktu nampak macam tak berapa laju gerakannya. Tiket bas ke kampung yang paling awal sudah diperolehi, namun dia tetap terasa yang dia bakal juga terlambat.
Penat tegak dia duduk di hujung kerusi besi yang ada disediakan di dalam terminal bus berkenaan sambil ditemani dengan seribu kenangan. Kenangan Mat saudara kandung lelaki yang paling dihormati satu waktu dahulu sebelum segala-galanya berubah dalam sekelip mata, angkara sengketa.
Senyuman Mat yang manis dan sikapnya yang bertanggungjawab takkan mudah untuk dilupa sampai bila-bila, namun disebabkan oleh ‘najis dunia’, dadah yang durjana, Mat akhirnya berubah sepenuhnya. Ditambah pula dengan sikap abah…emosinya mati saat nama abah muncul di kepala kerana apa yang dirasa hanya sengsara! Tanpa sedar air mata kecewa datang menemaninya. Segera dia menundukkan kepala untuk mengelak daripada diketahui oleh sesiapa.
“Adik…adik nak balik mana? Dah beli tiket?” sapa seorang lelaki di awal usia 30’an pada Safi yang masih ‘bertarung’ dengan perasaan membuatkan dia segera menyeka air mata dengan belakang tangannya.
“Dah.” jawap Safi sepatah setelah memandang sekilas pada pemuda berkenaan, sekadar isyarat, dia tak mahukan gangguan.
“Waalaikummussalam, ya ibu. Dah sampai dah? Dekat mana?”
“Ok, ok. Ibu tunggu situ. Sekejap lagi Wan sampai!” tutur pemuda berkenaan yang sudah mula bangun daripada tempat duduknya.
“Adik, kalau tak keberatan...” tuturnya setelah menghulurkan sehelai sapu tangan ke atas ribaan Safi dan segera beredar. Safi yang masih melongoh tak sempat untuk menyatakan pendirian kerana dia sudah ditinggalkan.
Sudah masuk dua kali jenazah Mat dimasukkan ke liang lahat, dan setiap kali itu juga jenazah terpaksa diangkat keluar semula. Masih tak muat, biarpun sudah dibesarkan. Mak hanya memandang kosong ke arah jenazah.
Mak nyata masih terkejut. Segala kenangan tentang arwah berlegar-legar di fikiran. Kenangan manis ketika Mat bergurau senda dengannya, senyumannya yang dihiasi dua lesung pipit yang sangat dalam tu takkan dapat dilupa, juga gigi jarangnya. Tak berkecuali kenangan pahit yang merobek hatinya. Semuanya punah dek kerana salah faham dan fitnah. Mat yang tak sempurna akalnya mempercayai segala-galanya dengan mudah, tanpa langsung mencari kebenaran atas segala tuduhan yang ditimpakan ke atasnya. Mak Long yang sedang duduk di sebalah, mencapai tangan mak lalu menggenggamnya dan serentak dengan itu mak terus tersedar.
“Mah…”
“Maafkanlah dia Mah. Dia dah tak ada.”
“Biarlah dia pergi.”
“Dia perlukan restu maknya, restu Mah.”
“Mah tak kesiankan dia? Tak kesian ke Mah tengok dia jadi macam tu?” tuturnya sambil mengemaskan genggaman tangan.
“Redhakanlah dia. Kalau ada apa-apa yang Mah masih terasa hati pada dia, lupakanlah. Kesian Long tengok dia.”
“Betul Mah tak tak kesiankan anak tu?” soalnya semula sambil bebola mata bertaut kemas dengan mata mak yang ada duduk bersila di sisinya.
“Lepaskanlah…lepaskanlah dia pergi...” bisik Mak Long, memujuk lagi. Serta-merta air mata mak berlinangan bila empangan yang sudah sarat muatan pecah juga akhirnya. Mak pasrah, Mat dah tiada. Anaknya itu pergi terlebih dahulu daripadanya.
“Mat…” rintihnya sedih, dalam linangan air mata, lambang kehilangan.
“Mak ampunkan Mat…”
“Mak ampunkan segala dosa-dosa Mat pada mak. Mak…” bisiknya terketar-ketar berserta dengan tangisan.
“Allah, ampunilah dia…ampunkanlah anakku…” tambah mak sambil menadah dan berkat redha Allah, jenazah Mat akhirnya dapat dimasukkan ke dalam liang lahat seperti yang diharap-harapkan.