Tahun bersilih ganti, diam tak diam, semua anak-anak telah memasuki alam persekolahan. Satu demi satu bekalan disediakan, khas untuk anak-anak yang bakal ke sekolah hari ini. Beg plastik putih yang sudah diisi dengan mee siput goreng diikat dengan gelang getah untuk mengelakkan kebocoran. Selesai proses mengikat, mak membawanya ke ruang depan untuk diagihkan.
“Ambil bekal ni sorang satu. Bawak masuk dalam beg.” arah mak pada anak-anak yang sudah lengkap berpakaian uniform sebelum dia kembali semula ke dapur untuk mengambil botol plastik minuman yang sudah dipenuhkan.
“Air ni jangan lupa bawak sekali.” tuturnya lagi setelah meletakkan botol air di sebelah bekalan.
“Abah lupa nak tinggalkan duit belanja semalam, tapi mak dah sediakan bekal hari ni, nanti makan jelah bekal ni ya. Duit belanja hari ni, ambil sekali dengan esok.” tambah mak lagi sambil mengagih-agihkan bekalan makanan pada Man dan Ina yang sudah ada di hadapan.
“Yang ni Man dengan Ina punya.” tutur mak sambil memasukkan bekalan berkuantiti lebih kecil kepada Man dan Ina, sesuai dengan selera mereka.
“Mat dengan Safi ambil yang besar.” arah mak semula, dan setiap anak-anaknya mengikut tanpa banyak kata.
“Tak siap-siap lagi ke?” soal ateh sebelum menjeling ke arah jam yang tergantung didinding. Hari dah lewat, sampai cuacapun dah terang-benderang, tapi adik-adiknya itu masih belum selesai.
“Cepatlah, dah pukul berapa dah ni!” sungut ateh setelah selesai menyiapkan dirinya sambil tangan sibuk menuangkan bedak ke atas kertas sebelum membungkusnya untuk dijadikan bekalan kemudian.
“Sekejap.” balas Safi yang masih mencari-cari.
“Sekejap sekejap! Daripada tadi sekejap! Lantak kalianlah. Kalian pergi dengan Mat, ateh nak pergi dulu. Mesti dah lama dah Lina tunggu tu!” balas ateh setelah selesai menyarung kasutnya dah tak mahu menunggu, kerana dia sudah berjanji dengan Lina untuk ke sekolah bersama.
“Ateh, tunggulah dulu..!” tutur Ina, tak percaya ateh dah meninggalkan mereka.
“Takpalah, biar ateh pergi dulu, yang lain-lain ikut Mat.” tutur mak tak mahu menghalang ateh pergi, walaupun ada terdetik rasa terkilan di hati.
“Mat, kenapa kita ikut jalan belakang?” soal Safi tak percaya kerana mereka baru saja melencong daripada haluannya.
“Ha? Tak ada apa. Hari ni kita ikut jalan ni, masuk ikut pagar belakang.” balas Mat segara mematikan segala curiga, namun belumpun sempat sampai ke pintu pagar berkenaan, sekali lagi haluan dilencongkan ke kawasan rumah kampung tinggal yang ada berdekatan.
“Mat kenapa kita pergi sini? Kan pintu pagar ada kat sana?” soal Safi lagi masih tak mengerti, sebelum dibalas senyuman menampakkan gigi daripada Mat yang sengaja buat tak mengerti.
“Kenapa? Tak boleh ke?” soal Mat kembali.
“Hari ni Mat tak nak pergi sekolah. Mat nak duduk kat sini. Kalau Safi, Man dengan Ina nak pergi sekolah pergilah.” tambah Mat lagi sebelum segera meloloskan diri ke dalam rumah kayu usang itu.
“Safi macam mana?” soal Man minta pendapatnya, namun belumpun sempat Safi menjawap, Ina terlebih dahulu menyatakan hasrat untuk menyertainya.
“Ina nak ikut Mat!” tutur Ina sebelum terkedek-kedek mengikut haluan yang sama, membuatkan Safi terus ternganga.
“Man pun rasa macam tak nak pergi sekolahlah. Safi macam mana?” ucap Man berterusan bertanya setelah menyatakan pendiriannya.
“Safi…” balas Safi masih ragu-ragu lagi.
“Safi jomlah.” goda Man semula sambil menarik-narik tangan kakaknya itu.
“Woi, sini!” gamit Nuar pada Mat yang baru saja keluar daripada pintu kelas, namun Mat kekal keras.
“Aku dah kata sini! Sinilah!” tambahnya sebelum mencapai tangan Mat dan mengheretnya ke belakang bangunan kelas, kawasan tersorok yang paling sesuai untuk kerja-kerja memeras.
“Kau ni aku tengok dah makin pandai sekarang. Semalam kau pergi mana? Kenapa kau tak datang sekolah?” soalnya semula membuatkan Mat tambah kecewa. Sampai bila dia perlu jadi mangsa, dan tanpa bicara dia mendongak menyatakan kekesalannya kerana sudah bertahun-tahun dia diperas sebegitu, sampai hatinya dah mula jadi keras.
“Berani kau pandang aku macam tu? Kenapa? Tak puas hati? Kalau tak puas hati…ni!” tambahnya sebelum melepaskan satu tumbukan padu ke bahagian perut Mat, serentak dengan itu Mat jatuh melutut sambil memegang perut.
“Sebab kau ponteng semalam, hari ni kau kena bayar satu ringgit.” tutur Nuar semula, memeras.
“Aku mana ada duit banyak tu.” balas Mat perlahan sambil kekal menahan kesakitan akibat serangan.
“Tak ada? Betulke tak ada? Takpa, biar aku periksa.” jawapnya pula sebelum menarik kolar baju Mat mengarahkannya untuk bangun semula. Kojek, si ketua geng hanya tersenyum melihat. Gembira kerana Nuar, sepupunya itu memang pakar dalam tugasan dan dia tak perlukan sesiapa untuk membantunya.
“Betul aku tak ada duit banyak tu…” tutur Mat merayu, minta sedikit belas kerana dia teringin untuk rasa bebas.
“Banyak ni je yang kau ada? 50 sen je?” ucapnya sambil memain-mainkan wang yang baru diperolehinya itu.
“Ok, takpa, tapi ingat! Esok kau kena bayar satu ringgit lagi. Ingat ya, berapa?” soalnya pula sambil merapatkan mukanya ke arah Mat, mahu Mat berjanji namun Mat kekal sunyi, tak mahu membuat janji.
“Aku cakap berapa!” teriaknya marah dan serentak dengan itu satu tumbukan lagi dilepaskan pada perut Mat, membuatkan Mat jatuh terjelepok sambil merengkot.
“Se..seringgit.” balas Mat perlahan, sambil menahan kesakitan, setelah sedar kedudukannya di mana.
“Haaa…tahu takpa, bagus! Tapi ingat, kau jangan berani nak ponteng sekolah lagi. Kalau kau sengaja tak datang sekolah esok, siaplah kau.” tutur Nuar mengugut sebelum beredar dengan hasil yang baru diperolehinya. Masih ada banyak lagi kutipan yang perlu dilakukannya dan tanpa membuang masa mereka bergerak ke lokasi yang seterusnya. Dalam perjalanan dia bertembung dengan Ernie, pengawas sekolah berkenaan.
“Apa?! Ada yang kau tak puas hati ke?” soalnya pada Ernie yang masih tercegat memerhati.
“Nak report? Reportlah! Report kalau kau berani!” ugutnya sambil berjalan melepasi, membuatkan Ernie segera kecut hati, dan serentak dengan itu dia segera menepi memberikan laluan pada gerombolan ‘haiwan’.
Mat hanya mampu tertunduk sebelum dia akhirnya terduduk, bertemankan rasa benci. Dia benci diperlakukan begitu kerana dia juga manusia. Bukankah seharusnya dia mendapat layanan sama-rata, tapi kenapa? Kenapa mesti dia dilayan secara berbeza? Kenapa? Kerana dia orang miskin ke? Kenapa!!! raungnya sendiri, bertemankan rasa benci dan sakit hati.
“Mat, kau ok ke?” soal Ernie pada Mat setelah dia berani menghampiri.
“Aku ok, kau pergi! Jangan datang sini! Nanti kau pun kena sekali!” balas Mat mengarahkan Ernie menjauhkan diri darinya, tak mahu Ernie dilibatkan sama.
“Mat, aku minta maaf, aku tak dapat nak tolong kau.”
“Aku malu Mat, aku malu mengaku aku pengawas, sebab aku tak mampu nak bantu kau.” balasnya tetap juga mendekati Mat, rakan sedarjahnya itu.
“Kan aku dah cakap, jangan datang sini, nanti kaupun kena sekali! Dah, jangan masuk campur hal aku, kau pergi!” arahnya lagi, tapi itu tak mampu membuatkan Ernie berhenti.
“Mungkin aku tak mampu nak lawan mereka bagi pihak kau…tapi paling tak, kau bagilah aku tolong kau ya. Jom aku bantu kau ke kelas.” tutur Ernie sambil membantu Mat bangun sebelum menuju ke kelas.
“Mat, kau dah makan?” soal Ernie yang masih memimpin tangan Mat.
“Belum...” balas Mat seraya menggeleng.
“Kalau kau sudi, kau makanlah bekal aku.” tutur Ernie selesai mendudukkkan Mat di kerusi.
“Takpa, aku ok. Kau makanlah, aku boleh lagi.” balas Mat menolak.
“Aku dah makan dah tadi, yang ni memang untuk kau. Kan kau suka burger malaysia mak aku. Itu yang aku tinggalkan. Makanlah, nanti kau lapar.” arahnya sambil meletakkan bekas makanan berkenaan di hadapan Mat.
“Kojek dengan geng-geng dia tu memang…memang tak guna! Tak habis-habis nak memeras orang je kerjanya.”
“Minggu lepas pun ada pelajar yang report pada cikgu disiplin, nama diorang dah naik sampai atas, alih-alih senyap. Sebab apa? Sebab Kojek tu anak pengatua. Nuar tu sepupu sepapat dia juga.”
“Bukan kau sorang je yang kena Mat, ramai lagi yang kena. Dah nak buat macam mana? Dia ada bapak yang berkuasa, tak macam kita orang biasa, tapi takpa, Allah kan ada, kita tinggal doa je.” tutur Ernie manyatakan kekesalan hati.
“Dahlah, tak guna kita nak buang masa fikir tentang setan-setan tu. Kau makanlah ya, aku nak pergi bertugas, sebab hari ni aku kena jaga kat kantin. Aku pergi dulu ya, assalammualaikum.” tambahnya sebelum beredar.
“Waalaikummussalam…” balas Mat perlahan setelah mendapat semula sedikit kekuatan.
Mat memberikan isyarat mata pada Safi, meminta persetujuannya untuk ponteng sekolah lagi, dan tanpa banyak fikir Safi yang dah makin seronok membuat kesalahan, memberikan balasan. Perlahan-lahan kepalanya dianggukkan sebelum memulakan rancangan.
“Ya-Allah, kenapa tak siap-siap lagi? Hari dah pukul berapa dah ni? Tu, tengok kat luar tu dah cerah dah! Kalian memanglah, tak habis-habis nak melambatkan orang!” gerutu ateh, mula tak menentu kerana dia tak suka dengan cara yang begitu. Dia tak suka lambat sampai ke sekolah, tak suka. Perjalanan yang memakan hampir 20 minit dengan berjalan kaki itu membuatkan dia dah tak mahu menunggu.
“Lantak kalianlah, ateh dah malas nak tunggu!” gerutunya lagi sambil tangan, kasar menyarungkan kasut sekolah ke kaki.
“Mak, ateh pergi dulu, assalammualaikum.” tambahnya lagi sebelum berlalu pergi meninggalkan adik-adiknya terkulat-kulat sendiri. Mak yang melihat hanya mampu mendiamkan diri, tak menyangka ateh terlalu mementingkan diri.
“Anak tudung Safi kat mana? Ada sesiapa nampak tak anak tudung Safi kat mana?” soal Safi sambil tercari-cari lagi.
“Ya-Allah, hilang lagi? Setiap hari pun macam ni. Semalam Safi bukak letak kat mana?” soal mak pula.
“Safi letak kat sini, ha, kat sini! Safi ingat lagi, Safi bukak lepastu letak kat sini, dah tu mana dia pergi.” jawap Safi sambil terus mencari, membuatkan mak terus rasa lelah di hati. Daripada depan, mak bergerak ke dapur untuk mencarikan sebelum dia terpandangkan kain putih yang seakan-akan bergulungan di sebelah pintu dapur.
“Ini apa? Safi nilah, dekat lain Safi letak, kat lain pulak Safi cari. Dah-dah cepat pakai, dah lambat sangat dah ni.” arah mak sambil menyuakan anak tudung tersebut pada Safi yang kehilangan.
“Takpa, nanti kalian pergi sekali dengan Mat.”
“Mat, Mat dah siap ke belum?” soal mak pula sebelum menjengah ke bilik Mat yang masih ditutupi kain langsir.
“Dah, Mat dah siap dah.” jawap Mat sambil berjalan keluar dengan beg sekolah yang sedia tersandang di bahu.
“Mak, kami pergi dulu. Assalammualaikum…” tambahnya lagi selesai meminta restu.
“Waalaikummussalam, jaga adik-adik tu elok-elok.” pesan mak sambil melambai-lambaikan tangan.
“Ok.” jawapnya ringkas sebelum berlalu pergi.
Seperti hari-hari yang sebelumnya, mereka melencong lagi dan destinasi yang dituju, tak ada lain, melainkan rumah kayu tinggal yang dipagari semak dan nampak menakutkan.
Cikgu Siti Endon yang kebetulan melalui kawasan berkenaan mula dihambat perasaan kehairanan saat terpandangkan kelibat beberapa orang pelajar sekolah menyusup ke kawasan rumah tinggal tersebut. Setelah diamati barulah dia pasti yang itu adalah Safi.
“Ya-Allah, Safi kan tu? Apa yang dia buat kat situ? Dengan adik-adiknya sekali? Patutlah dah berhari-hari tak datang sekolah, rupanya mereka menyorok kat sini.” tuturnya masih sukar mempercayai apa yang baru dilihat.
Safi menjengukkan kepalanya keluar daripada tingkap kayu yang terbuka sambil matanya memerhatikan keadaan semasa di dalam kawasan sekolah. Lokasi rumah kayu dua tingkat yang strategik itu membolehkan mereka memantau situasi di dalam perkarangan sekolah dengan mudah.
“Mat, tak boleh balik lagi ke?” soal Safi pada Mat yang sedang duduk bersandar di dinding sambil membelek-belek buku yang ada di dalam begnya dan mencapai satu.
“Safi! Jangan tengok kat situ! Nanti orang nampak!” arahnya, takut kedudukan mereka terdedah.
“Safi nak tengok, ingat dah boleh balik.” balas Safi sebelum segera menyorokkan diri semula.
“Mana boleh balik. Loceng kan tak bunyi lagi. Tadi kan dah bunyi loceng rehat, nanti bunyi loceng lagi sekali, kita baliklah.” jawap Mat. Buku teks bahasa melayu yang ada ditangan diselak-selak dengan malasnya.
“Mat, nanti kan, kalau mak dengan abah tahu kita ponteng kan, mak dengan abah tak marah ke?” soal Man yang sedang duduk di atas timbunan papan yang ada tersusun di situ.
“A’ah, nanti abah tak marah ke?” soal Ina pula mengulangi apa yang Man cakap sampai terkebil-kebil matanya memikirkan.
“Gila! Kalau mak dengan abah tahu, mestilah kita kena marah. Tak tahu lagi ke macam mana perangai abah? Abah, kalau dah marah, matilah kita nanti.” balas Mat, hilang minat sebelum buku yang berada di tangan segera dilipat.
“Tapi, kalau kita tak cakap, macam mana mak dengan abah nak tahu. Kan awal-awal lagi Mat dah cakap, biar pecah di perut jangan pecah kat mulut.” tambahnya memberikan peringatan dan serentak dengan itu Safi, Man dan Ina menganggukkan kepala bersepakat dengan apa yang telah dibuat.
“Mat, masuk hari ni dah berapa hari dah kita tak pergi sekolah. Dah tu sampai bila kita nak ponteng macam ni?” soal Safi seketika kemudian, membuatkan Mat terdiam sendiri.
“Kalau cikgu kita bagitahu pada mak dengan abah yang kita dah lama tak datang sekolah, macammana? Dah berapa hari dah Safi tak pergi kelas Cikgu Siti Endon, Ina pun ada kelas dengan dia kan? Entah-entah dia dah perasan. Lagipun dia kan beli ayam dengan mak, kalau dia cakap pada mak macammana?” soal Safi lagi mahu mengetahui apa yang dia rasa sangsi dan serentak dengan itu Mat mula menyesali perbuatan sendiri.
“Itu…” jawapnya ragu-ragu, kerana dia sendiri tak pernah memikirkan sampai sejauh itu.
“Takpalah, mulai esok kita pergi sekolah semula. Dah tak payah ponteng lagi dah.” jawap Mat memberikan penyelesaian atas segala persoalan lagipun dia juga dah mulakan rindukan kawan.