Safi, Man dan Ina tercegat menghadap kedai Mamak, terpegun melihat bola getah yang banyak tergantung tinggi di bahagian hadapan kedai runcit tersebut.
“Safi tu, bola tu…” tutur Man sambil memuncungkan bibirnya ke arah bola yang bergayutan, sedang sebelah tangannya menggaru-garu sisi kepala yang rasa kegatalan.
“Mahal la, mana cukup duit kita nak beli. Dah dah, jom balik.” balasnya sambil memimpin tangan Ina pelajar tahun satu itu kerana dengan mata yang masih cerah, dia dapat melihat harganya.
Terliur betul rasanya nak ada sebiji kat rumah, nanti bolehlah buat main petang-petang, tapi dia segera sedar yang harga bola tu terlalu mahal. Kalau nak dikumpulkanpun makan masa berbulan baru boleh dapat sebiji, itupun kalau dia langsung tak gunakan duit belanja yang abah bagi hari-hari sebab belanja mereka hanya 30 sen sehari. Kalau minta dengan mak, memang takkan dapatlah sebab mak sesekali takkan bazirkan duit untuk benda-benda macam tu, sebab mak kata…bukan boleh buat makan!
“Tahulah mahal, tapi berapa?” soalnya pula.
“A’ah, berapa?” tambah Ina yang hanya terkebil-kebil sambil mulut tetap juga sibuk menikmati aiskrim pop.
“7 ringgit 90 sen! Ada duit ke? Kalau ada bagi sini.” jawap Safi sedikit tak puas hati bila adik-adiknya itu mempertikaikan keputusannya.
“Mahalnya!!!” tutur Man dan Ina seperti tak percaya.
“Kan orang dah kata tadi mahal! Yang tak percaya tu kenapa? Dahlah! Jom balik!” arahnya sebelum berlalu daripada situ.
“Man, jalan depan.” arahnya lagi supaya senanglah dia membuat pemantauan. Tanpa banyak kata adiknya itu patuh pada arahan, tapi tak lama sebelum dia membuat onar semula.
“Safi, jom kita singgah kedai ni.” tuturnya sebelum berkira-kira mahu mendaki anak tangga ke kedar runcit Kak Zah yang terletak tak berapa jauh daripada kedai yang pertama tadi.
“Tak payahlah! Kan dah singgah kat kedai Mamak tadi! Duit belanja pun dah habis, dah tu nak beli apa lagi?” balasnya sedikit tinggi, kerana dia tahu mereka dah tak ada duit lagi.
“Orang nak tengok-tengok je...” jawap Man tetap juga berkeras dan seperti biasa Safi takkan dapat mengawal pergerakan adik lelakinya yang sudah begitu lincah dan akhirnya Safi hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala dengan mata yang tetap juga memerhati.
Kelibat Man yang sedang menjelajah bahagian dalam kedai diperhatikan dengan penuh rasa sabar. Lepas selorong, selorong Man menjelajah, kalau setakat nak buat jelajah tu takpalah, yang dia paling takut, Man ambil barang lepastu tak bayar. Itu bahasa lembutnya, tapi dalam bahasa kasar, Man curi barang orang sebab adiknya tu budak-budak lagi, belajarpun baru darjah dua dan masih perlukan pemantauan rapi.
Selejang, dua lejang dia masih boleh sabar, bila nak masuk tiga lejang, hatinya dah mula jadi panas saat melihat Man yang macam dah nak berumah di situ. Walaupun arahan dengan bahasa muka dan mata sudah diberikan, namun nampaknya Man memang bukan jenis yang mudah mengikut arahan. Jelingan dan gerakan kepala serta tangan sengaja tak diendahkan, tapi takkanlah sampai nak menjerit pulakkan?
“Heee…kalau takda orang lain memang alamatnya dah kena sembur dah. Setiap haripun macam ni! Tertekan betul!” gerutu Safi, tak puas hati dengan tingkahlaku adiknya itu. Lagipun dia baru di darjah 5 dan kesabarannya tak adalah setebal mana.
“Ina tunggu Safi kat sini. Safi nak ambik Man kejap.” arahnya dan serentak dengan itu Ina menganggukkan kepalanya tanda faham berteman mulut yang masih tetap menyedut, menikmati kemanisan aiskrim pop perisa oren tersebut.
“Apa bendanya yang lama-lama sangat ni?” tuturnya sebelum mencapai tangan Man dan memimpinnya untuk keluar daripada situ, tapi cuma seketika bila dia seperti telah menyedari sesuatu.
“Tu dalam tangan tu? Ada apa dalam tangan tu?” soalnya bertalu, namun masih dalam kadar berbisik, tak mahu menarik perhatian sesiapa, terutamanya suami Kak Zah yang sedang berurusan dengan pelanggan di kaunter hadapan. Man hanya keraskan badan. Tanpa menunggu lama, tangan Safi segera beralih untuk memeriksa apa yang Man sembunyikan dalam genggamannya.
“Safi tanya ni kan? Ada apa dalam tangan tu? Cepat bukak!” ulangnya lagi, lebih tegas kali ini, tapi Man hanya menggeleng-gelengkan kepalanya tetap mahu menyembunyikannya.
“Sini!” arahnya sambil berusaha untuk memeriksa. Dalam pada itu sempat juga dia membuang pendang pada Ina yang ditinggalkan di bahagian luar kedai berkenaan, takut adik kecilnya itu dilarikan.
“Man, kenapa buat macam ni? Kan Safi dah cakap, jangan ambil barang orang!” tuturnya kesal bila matanya terpandangkan apa yang Man sembunyikan, sebiji gula-gula coklat Catbury, dan dah tak ada keraguan, Man memang ada niat nak buat benda jahat.
“Man ni kan…” tambahnya yang sambil menjeling marah, tapi tak lama bila perasaan marah tu berubah saat melihatkan Man yang hanya mampu bisu, tertunduk sambil mata tetap juga tertumpu pada coklat tersebut dan serentak itu juga Safi melepaskan keluhan berat.
“Tak ingat ke apa mak pesan? Kan mak selalu cakap, jangan ambil barang orang, nanti kena potong tangan, dah lupa? Man nak ke kena potong tangan?” tutur Safi mengingatkan. Perlahan-lahan Man menggeleng, menidakkan.
“Dahlah, jom bayar. Kali ni Safi belanja, tapi ingat ya, kali ni je. Lain kali nak beli kena pakai duit belanja sendiri.”
“Dah, pergi ambil sebiji lagi. Nanti kongsi sekali dengan Ina, cukupkan seposen.” tambahnya sebelum mengeluarkan duit sekupang yang masih ada berbaki di dalam kocek baju kurung sekolahnya itu. Ingat nak masuk tabung, tapi nampaknya…hai, tak adalah.
“Mak, Usop balik rumah kejap ya. Tadi air sungai besar, ingat nak pergi menjala kat jeram.” tutur Usop yang dah bosan menunggu pelanggan di pasar. Rasa dah lama sangat menunggu, sampai punggung pun dah naik kematu.
“Nak pergi menjala?!! Janganlah! Tadi kan Pak Bedul kata, di hulu hujan, tu yang air sungai besar, bahaya. Nanti kalalu tiba-tiba air naik macam mana? Takpayah. Kalau nak pergi, nanti kita pergi sama-sama lepas habis niaga ni.” balas mak tak mengizinkan kerana kedua-dua matanya telah melihat sendiri keadaan air sungai yang naik tinggi ketika melalui kawasan jambatan di surau pagi tadi. Waktu pergi mandi sebelumnya, air asih lagi cetek, tapi hanya dalam beberapa jam paras air meningkat dengan mendadak namun itu keadaan biasa bagi mereka yang berumah di kawasan tepi sungai. Walaupun biasa, namun bahayanya tetap ada.
“Alah mak! Tak ada apalah! Lagipun Usop bukan nak pergi menjala kat tengah-tengah, Usop jala kat tepi-tepi pasir je. Bolehla ya? Sekejap je, dua tiga kali tebar, Usop baliklah.” balasnya meyakinkan. Mak menarik nafas dalam, tak tahu nak cakap apa dah, sebab dia tahu anaknya yang baru di tingkatan 2 itu memang susah untuk ditegah.
“Bolehlah mak ya?” soalnya lagi, lebih tekad kali ini.
“Tak pun tunggu abah balik menoreh, lepastu pergi sekali dengan abah. Lagipun dah tak lama dah, sekarang kan dah pukul 11 lebih, sepatutnya sekejap-sekejap lagi sampailah abah tu.
“Lambatlah kalau tunggu abah! Nanti kalau lambat ada orang lain yang datang menjala dulu. Tak adalah lagi ikannya nanti.”
“Takpalah, nanti kalau abah dah balik, bolehlah pergi menjala lagi.” balasnya tetap juga bertegas kerana sebenarnya dia mempunyai agendanya yang tersendiri, bila tekaknya dah rasa tak tertahan, minta diasapi.
“Kalau dah nak pergi sangat, pergilah, mak izinkan. Tapi hati-hati. Tengok adik elok-elok. Jangan bagi adik main air.” jawap mak mengizinkan. Dia tahu, mahu tak mahu dia tetap perlu memberikan restu dan lebih baik begitu, kerana kalau tak direstu, bimbang musibah lain pula yang menunggu.
Usop mencari plastik lalu menyampul dan mengikatkannya pada kedua-dua belah tangan sebelum bergerak ke arah Bodok yang masih bertambat. Sambil menanti, Bodok mengonek-ngonekkan ekor, minta dilepas.
“Bodok jom! Jom kita pergi menjala.” tuturnya dan seperti memahami, Bodok pun terus berlari menuju ke semak belakang, jalan menuju ke jeram selesai rantainya ditanggalkan.
“Bodok!!!” panggil Safi, tapi Bodok hanya menoleh sekali, sebelum terus mencium-cium jalan yang bakal dilalui untuk memeriksa keadaan terlebih dahulu, manalah tahu kalau ada bala yang menunggu.
Asap berkepul-kepul keluar daripada mulut Usop, melepaskan ketagihan yang sudah terlalu lama ditahan dan dengan hanya berkaki ayam, Safi, Man dan Ina mengekori langkahan besar abangnya itu. Sambil berjalan, sempat juga Safi menggerak-gerakkan tangannya bagi menghalang kesan asap yang ditingalkan daripada turut sama dihisap ke dalam badan. Tiba-tiba dia terfikir apa baiknya menghisap rokok? Bukannya sedap pun sebab dia sendiri dah pernah cuba.
“Ina, esok Ina periksa apa?” soal Safi pada Ina yang sedang duduk menyiput di lantai.
“Esok Ina periksa lukisan.” balasnya sambil mengemaskan alatan penulisan.
“La! Seni jugak? Man? Esok Man periksa apa?” soal Safi pula dah mula rasa cemas di dada.
“Esok Man periksa…entahlah! Kejap ya, Man nak tengok jadual dulu.” jawapnya sebelum segera membuka belakang buku.
“Ya-Allah, teruknya! Baru sekarang nak tengok?” balas Ina sengaja memula.
“Sibuk la Ina ni! Suka hati oranglah, yang Ina sibuk-sibuk tu kenapa?” tutur Man pula, sempat juga dia menjeling marah pada adiknya itu.
“Dah, dah. Jangan nak bergaduh!” tegas Safi, tak suka mendengar terlalu banyak bunyi.
“Ha! Esok Man periksa Bahasa.” jawap Man setelah mendapatkan kepastian.
“Mujurlah Man tak periksa lukisan jugak, kalau tak…hai, macam mana nak bahagi-bahagi warna ni.” balas Safi sambil membuka kotak pensil warna dan berkira-kira mahu mengeluarkan barang sebatang dua.
“Safi ambil warna hitam, oren dengan biru tua. Yang lebih tu Ina guna.” tambahnya lagi sebelum memasukkan gabungan warna-warna yang jarang diguna dengan panjang separa itu ke dalam bekas pensil besi yang angah beri.
“Ok, tapi tiga je? Cukup ke?” soal Ina pula seperti tak percaya.
“Cukuplah, asal ada. Lebih baik ada tiga daripada langsung tak ada.” tutur Safi sebelum mengemaskan beg sekolahnya pula.
Selesai mencoret, Safi mula mewarna. Tema bebas dalam ujian seni hari ni memudahkan tugas untuk memadankannya dengan warna yang dia punya. Lukisan biasa budak-budak sekolah rendah, mesti ada gunung kat belakang dengan kehadiran matahari di tengah atau di sisi, tak lupa beberapa ekor burung yang sedang berterbangan, lanskap biasa untuk pemula sepertinya. Ditambah pula dengan sebatang pokok kelapa yang berdaun lebat dan berbuah berat di tengah-tengah sawah padi yang hijau kekuningan merupakan hasil lukisan terpaling selamat untuk dibuat.
Tengah sedap-sedap mewarna, dia mula terhenti sebelum menggaru-garu dagu sendiri sambil otak ligat mencari cara untuk mewarnakan sawah padi berkenaan.
“Alamak, lupa la pulak…warna hijau kan tak ada.” bisiknya sendiri sebelum cuma menggabungkan warna oren dan biru yang ada di situ dan hasilnya jadi seakan-akan unggu gelap.
“Uish! Warna apa ni? Takkan jadi unggu? Tak ke pelik sangat jadinya nanti?” tuturnya sebelum mencongak hasilnya.
“Hai lupa pulak tadi, sepatutnya tak buat sawah ni…tapi kalau nak tukar sekarang, masa dah tak panjang.” ngomelnya di dalam hati, sambil berusaha memikirkan apa yang boleh dilakukan lagi. Rita yang berada di sebelah dah lama memerhati, sebelum dia akhirnya tergerak hati.
“Nak pinjam?” soalnya perlahan membuatkan Safi segera memberi perhatian.
“Ambiklah guna mana yang kau nak.” tambahnya sebelum menyambung kerja-kerja mewarna.
“Aku..aku nak warna hijau, boleh?” pinta Safi tak lama kemudian.
“Ambiklah. Tu ada banyak lagi pensil warna kat dalam tu. Kau pakailah mana-mana yang kau nak.” balasnya mesra, keadaan yang tak disangka-sangka oleh Safi, kerana tak pernah pula Rita melayannya dengan mesra, kecuali di saat ini.
Safi memerhatikan mak yang sedang berbual-bual dengan Mak Ngah, mak Rita dari kejauhan, tak berani nak mendekatkan diri, bila sedar penampilannya tak sekemas mana. Baju kurung lusuh lama kepunyaan ateh itu dibelek-belek sebelum dia pasti yang dia harus terus menanti.
“La…Safi! Buat apa duduk di situ! Marilah ke sini!” lauh Mak Ngah, seorang tenaga pengajar di sekolah menengah. Safi cepat-cepat menggeleng-gelengkan kepala menolak sebelum bertindak lebih menjarak.
“Sini! Kak, panggillah anak tu ke sini. Buat apa duduk jauh-jauh di situ.” tuturnya pada mak pula membuatkan mak segera menggamitkan tangannya.
“Safi mari sini!” arah mak dan nak tak nak Safi tahu dia perlu datang segera. Rita yang sudah ada bersama hanya memandang kearahnya.
“Safi sekelas dengan Rita kan?” soalnya.
“Hmm.” balas Safi sepatah sambil mengangguk mengesahkan.
“Elok sangatlah tu. Berkawan elok-elok.”
“Dulu mak dengan Mak Uda pun satu sekolah, tapi tak sama darjah sebab mak muda sikit daripada Mak Uda. Berapa tahun ya beza kita kak? Tapi rasanya...” terang Mak Ngah semula, menceritakan sejarah lama dengan gembiranya.