Bau aroma nasi lemak yang hangat dan berlemak, mencucuk-cucuk rongga hidung dan mampu membuka selera sesiapa sahaja. Pagi yang tenang dan ceria untuk semua. Siulan burung murai yang bergemersik menyampaikan berita, walaupun tak dapat dipastikan apa, sudah cukup untuk menerbitkan senyuman di muka.
“Entah apalah yang dicakapnya. Sejak seminggu dua ni, macam tulah. Tapi bukan pulak piciong-piciong.”
“Ha, kalau bunyi piciong-piciong tu, alamatnya adalah…”
“Piciong tu apa?” soal Safi pula.
“Piciong tu maksudnya, pejam.”
“Ish, boleh ke percaya? Tak berdosa?” soal Safi lagi.
“Kenapa pulak berdosa? Bukan burung tu pun datangnya sama dengan kita? Daripada Allah juga. Burung kan memang boleh bercakap, sama macam kita. Cuma kita ni yang tak berapa tahu apa maknanya.” jawap mak yang sudah bergerak ke arah periuk dan membalik-balikkan nasi.
“Betul jugak, kan Nabi Sulaiman boleh bercakap dengan burung, tapi mak janganlah percaya sangat…”
“Takut dia bawak berita palsu.” balas Safi yang sudah ketawa dan turut dibalas mak juga.
“Mak, telurnya nak goreng ke rebus?”
“Buatlah apa-apa. Mak tak kisah.”
“Kita rebus la ya. Safi suka telur rebus.”
“Ikutlah, tapi Safi buat telur mata sebiji dua, sebab Usop biasanya nak makan telur goreng.” arah mak yang sudah bergerak ke meja dan meneruskan kerja-kerja menumbuknya.
“Ha, mak! Ada tak ateh bagi mak duit?” soal Safi seraya teringat.
“Duit? Duit apa?”
“Duit, duitlah. Ada?”
“Takada. Lagipun masuk bulan ni dah dekat tiga bulan dia tak balik. Nanti Safi tolong mak potong timun tu. Dah nak pukul lapan dah, sekejap lagi mesti abah balik menjemput. Hari ni kita kena cepat sebab nak siapkan ayam kenduri orang di hulu tu. Janji pukul 10, nak dipotong sekali. Lama jugak tu nanti.” jawap mak sebelum meneruskan paluan dan Safi terus menjalankan apa yang sudah diarahkan sambil di dalam hati masih memikirkan tentang kebenaran.
“Tak ada? Bukan ateh dah janji nak bagi mak dengan abah duit gaji tertunggak dia tu? Tapi kenapa tak bagi lagi?”
“Kan dah berbulan-bulan dia dapat. 30 ribu tu, takkanlah tak boleh nak bagi sikit pun pada mak dengan abah? Ateh tipu?”
“Ateh ni memang…memang tak boleh percaya!”
“Kesian mak dengan abah…”
“Susahnya jadi orang tua…” bisik Safi namun hanya di dalam hati dengan mata memandang ke arah mak yang kekal tekun menyediakan hidangan makan pagi mereka.
“Semua mak dah siapkan. Nasi goreng yang ada dekat bawah tudung saji tu nasi yang tak pedas, untuk budak-budak. Yang kita ada dekat dalam kuali.” pesan mak sambil mencapai botol air yang sudah siap diisi.
“Nanti panggilkan Hakim, ajak dia makan. Mak dah nak ke seberang.” tambahnya. Parang yang ada terselit di belakang meja tv sempat diambil dan takkan pernah lupa dibawa bersama.
“Sampai bila mak dengan abah nak berniaga? Tak penat ke?” soal ateh yang sedang mendodoikan anaknya.
“Entahlah abah kalian tu. Mak dah cakap, berhenti, tapi dia masih nak bekerja lagi. Katanya kalau dapat 600 sebulan, barulah dia berhenti.” tutur mak menyampaikan.
“600! Nak makan apa sampai nak 600 sebulan?!” jawap ateh antara terkejut bercampur dengan marah membuatkan mak terus tak jadi menambah.
“Mak, ateh tak dapatlah nak bagi duit bulan ni. Tak sempat nak keluarkan.” tutur ateh yang sudah selesai bersalaman.
“Hmm, takpa.” jawap mak tak bisa meminta-minta, kerana itu bukanlah darah dagingnya.
“Kami balik dulu abah.” tuturnya pada abah pula sambil menghulur tangan.
“Hmm, iyalah.” jawap abah, namun walaupun tak banyak, sedikit kekecewaan tetap ada.
“Bukan ateh singgah isi minyak ke semalam, masa beli air dengan roti? Dah? Kenapa tak keluarkan duit sekali?” bisik Safi tak puas hati.
“Kesian betul mak dengan abah. Memang macam ni ke kalau orang dah kahwin? Langsung tak boleh nak diharap apa-apa dah?” soalnya sambil mencari jawapan secara bersendiri.
“Apa ni? Angah beli apa?” soal Safi menyelidiki.
“Ni? Tengok ni. Angah beli tripod. Nanti raya ni, bolehlah kita ambik gambar keluarga. Lagipun tahun ni ateh beraya dekat sini kan?” balas angah sambil tangan bekerja untuk mengeluarkan.
“Angah beli yang baru, yang lepas tu kecik sangat. Yang ni baru kuat.” tambahnya sambil tersenyum.
“Tapi…Mat dah tak ada…” jawap Safi perlahan setelah sedar gambar keluarga mereka takkan pernah dapat dilengkapkan lagi.
“Takpalah, kita ambik mana yang ada je. Jangan sampai jadi macam tahun lepas, lepas makan, semuanya hilang entah ke mana. Dah sekerat hari, baru nampak semula muka.”
“Angah teringin sangat nak simpan gambar keluarga kita, sama macam orang lain. Sekeping pun jadilah, tapi punyalah susah. Daripada dulu sampai ke sekarang, tak pernahnya nak dapat. Bila yang ni ada, yang ni pulak tak ada. Harap-harap tahun ni menjadi.” tuturnya menceritakan impian.
“Angah, angah! Cepat-cepat! Abah dah siap dah!” bisik Safi meminta angah menyediakan kelengkapan photografinya.
“Mak? Mak? Mak mana? Panggil mak sekali.” balas angah pula sambil segera menyeluk begnya.
“Usop dah? Kalau dah jomlah. Abah nak cari surat khabar. Nanti kalau lambat mesti tak dapat.” gesa abah yang baru membuka pintu bilik Usop.
“Kejap, Usop bersiap. Man jom!” arah Usop pula pada Man yang masih leka melayan telifonnya.
“Abah kejap! Angah nak ambik gambar.” tutur Safi, namun jawapan yang didengari membuatkan dia rasa sedikit kecil hati.
“Tak payahlah nak bergambar-gambar! Buat apa ke?” balas abah sebelum keluar, tak suka untuk turut serta. Angah yang mendengar terus mati rentak berteman camera digital kesayangan yang tak sempat pun diletak pada kakinya yang sudah ditegak.
Sudah lebih 7 tahun tempoh perkhidmatannya di hospital bertaraf separa kerajaan itu, namun dirasakan dia masih lagi ditakuk yang sama. Jawatan yang sama, dengan peluang kenaikan pangkat yang sangat terhad kerana dia perlu bersaing dengan beberapa yang lain termasuk Fizah dan Izam, rakan karibnya sendiri. Walaupun sudah beberapa kali mengambil ujian, tapi, semuanya tetap tak berjaya, sedang rakan-rakan seangkatan di sektor kerajaan sudah meniti ke tingkat gaji yang baru, lama dulu.
“Fizah, kita keluar nak? Tukar masuk KKM?” cadang angah pada Fizah yang sedang duduk makan di sebelah.
“Serius ke Has? Betul kau nak tukar?”
“Kalau kau nak, aku pun nak jugak!” jawapnya tutut menyatakan apa yang ada di fikiran.
“Penatlah. Dah berapa kali kita ambik ujian, tapi tak naik-naik pangkat jugak. Geng-geng kita yang lain dekat KKM semua dah naik gred 48, tapi kita, masih lagi 41. Tercabar juga rasanya.”
“Kalau nak mengharapkan dekat sini, sampai berjanggut pun tak ada juga rasanya.”
“Lagipun aku nak pindah duduk dekat kampung. Nak jaga mak.” tambahnya sambil tersenyum dan Fizah ada sedikit terkejut mendengarnya kerana selama mereka berkawan, Has sangat menyimpan ketat hal-hal berkaitan keluarganya.
“Oklah kalau macam tu. Nanti kita isi borang. Tapi Has, janganlah bagi tahu siapa-siapa dulu. Kita buat senyap-senyap.” balas Fizah berkongsi rancangan.
“Ok!” jawap angah, patuh.
Puas memohon jawatan yang dirasakan bersesuaian dengan dengan taraf pendididikannya, usah dikatakan buah, bunganya pun masih tak kelihatan dan disebabkan itu, Safi membuat keputusan untuk fokus pada minatnya didalam sektor penternakan. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, iklan pengambilan siswazah dalam latihan keusahawanan anjuran sebuah jabatan kerajaan yang dilihat secara kebetulan di kaca tv mememungkinkannya berada di tempat dia menimba ilmu kini.
Ladang feedlot, tempat penternakan lembu dan kambing, tempat pilihan dia untuk berkursus, penuh dengan pengetahuan berkaitan dengan haiwan dan pengurusan yang dirasakan perlu sebelum dia menceburkan diri di dalam bidang itu. Di situ dia belajar selok-belok tentang penternakan dan pengurusan ladang dengan tekun dan cekal biarpun terpaksa duduk jauh di pedalaman.
Angah perasan ada perubahan pada saiz perutnya, bila perut rasa terlebih berat, membonjol dan rasa senak. Badan pula mudah rasa letih, dan cepat mengah. Kulit makin kusam dan mula ditumbuhi bintik-bintik seperti ruam di muka serta bahagian pelipat-pelipat badan yang lain. Paling membimbangkan, haidnya makin jadi tak tersusun.
Dalam sebulan boleh datang sampai dua kali, sehinggakan dia sendiripun dah tak tahu macam mana nak bersolat bila tak dapat nak bezakan yang mana darah sakit dan yang mana satu haid. Sistem perkumuhannya juga sudah jadi tak sebaik dulu. Kadang-kadang, berhari-hari dia tak ada rasa mahu membuang air besar, sedangkan dia makan dan minum seperti biasa dan keadaan itu membuatkan dia makin bimbang.
“Kenapa rasa macam ada yang tak kena pada badan ni?” tuturnya sendiri sambil memeriksa perutnya lagi.
“Nampak macam makin lama makin besar je perut ni…” soalnya sambil terus memeriksa saiz perut yang sudah menyamai perut ibu mengandung itu.
“Takkanlah sebab makan je perut boleh jadi besar macam ni?” bisiknya lagi sebelum cuma untuk memicitnya.
“Keras…” tambahnya pula.
Atas nasihat rakan-rakan sepejabat, angah akhirnya membuat pemeriksan dan alangkah terkejutnya rasa hati bila dia mengetahuai apa sebenarnya yang terjadi.
“Akak…” kata-kata Dr. Umairah mati di situ, masih tak mampu untuk memberitahu.
“Takpa, Umai. Terus terang je pada akak. Akak boleh terima. Memang ada kan?” soal angah dah bersedia mendengar jawapannya. Perlahan-lahan pegawai perubatan tempat angah bertugas itu menganggukkan kepalanya. Angah segera meneguk air liur yang dirasakan kekeringan.
“Memang ada kak. Ada ketumbuhan di dalam perut akak, dan setakat ni, daripada ujian yang dah dibuat, kami diagnose akak ada ovarian tumor.” jawap Dr. Umairah lagi, menjelaskan hasil ujian.
“Ovarian tumor?”
“Ya-Allah…kuatkanlah aku ya-Allah.” bisiknya di dalam hati sambil berusaha mengawal hiba yang datang menjelma.
“Tapi, berita baiknya, tumor tu, effect sebelah kiri ovari akak je. Yang sebelah kanan tu masih baik.”
“Akak, saya refer akak terus ke hospital besar ya. Tak payah tunggu lama-lama. Sekarang ni akak ada dua pilihan, samaada nak buat pembedahan tu di hospital besar di Kubang Kerian, ataupun di Kuantan sebab hanya dua hospital tu sahaja yang terdekat. Akak buatlah pilihan yang mana satu lebih mudah untuk akak.” terang Dr. Umairah, setia menanti jawapan angah.