Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 18b

Mak membelek-belek kasut kanak-kanak yang ada berlonggok di dalam bakul di bahagian luar kedai pakaian itu. Kasut-kasut contoh yang sudah lama diperagakan biasaya akan dijual dengan harga murah bila dah sampai hujung tahun. Sedang mak mencari-cari dia disertai oleh seorang wanita seusia lingkungan dengannya. Sempat mereka berbalas pandang sebelum tersenyum bersama.

“Yang ni berapa harganya?” soal wanita tersebut pada mak.

“Dua belas ringgit. Kalau ikut harga biasa, boleh sampai 30 ringgit, tapi itu yang barulah.” balas mak.

“Banyak murahnya.” jawap wanita tersebut sukar untuk mempercaya, sebelum turut berusaha mencari pilihannya. Serentak dengan itu mak mengangguk-anggukkan kepala turut sama berkongsi rasa teruja. Satu demi satu kasut terus diteliti sebelum dia berjumpa dengan kasut yang dihajati. Kasut kulit bewarna merah gelap yang sudah berhabuk itu diperiksa dengan lebih kemas kali ini sebelum dia mengeluarkan tali rafia, tali ukuran panjang kasut Safi yang sudah diambil lebih awal. Setelah pasti mak menghulurkan kasut tersebut pada jurujual berkenaan.

“Berapa?” tutur mak minta dikira.

“Yang ni 12 mak cik, mahal sikit. Yang sebelah sana tu 10.” balas pemuda berkenaan.

“Takkan tak boleh kurang?” jawap mak pula ingin tawar-menawar, seni  jual beli, membuatkan penjual berkenaan memikirkannya lagi.

“Sekejap, nanti saya tanya tokey.” balas pemuda itu sebelum bergerak ke kaunter.

“Tokey, yang ni boleh kurang lagi ke?” soalnya membuatkan apek yang dah berusia itu menghentikan tugasannya sebelum memeriksa.

“Bolehlah, kira cincai. 10 ringgit.” tuturnya sebelum memasukkan kasut berkenaan ke dalam beg plastik, membuatkan mak bersyukur di dalam hati.

 

“Safi, cuba tengok kasut ni, padan ke tak?” soal mak pada Safi yang baru pulang daripada sekolah.

“Kasut? Mak belikan Safi kasut? Mana-mana?” soal Safi tak percaya, kerana mak tak pernah membelikan kasut padanya, selipar tu biasalah.

“Ni, cuba pakai. Mak rasa muat, sebab mak dah ukur dah semalam. Ikut saiz kasut sekolah Safi.” jawab mak sambil menghulurkan kasut itu minta dicuba. Safi apa lagi, tak perlu menunggu lama, terus dia menyarungnya. Man dan Ina hanya mampu melihat kerana bahagian mereka tiada. Abah yang sedang berbaring sambil membaca surat khabar turut sama membuang pandang.

“Muat, muat!” tutur Safi ceria selesai memakai. Tak cukup dengan itu, dia bangun lalu cuba berjalan menggunakannya. Senyumnya sampai ke telinga, akibat daripada perasaan bangga, membuatkan Man dan Ina terus-terusan dijeruk rasa. Mak perasan riak muka Man serta Ina dan demi keadilan mak akhirnya membuat kenyataan.

“Minggu depan, mak belikan untuk Man, lepastu minggu lagi satu mak belikan untuk Ina pulak. Mak tak cukup duit nak belikan serentak, jadi mak belikan untuk Safi dulu minggu ni sebab Safi kena pakai ke sekolah nanti.” tutur mak memujuk dan serentak dengan itu terus berubah riak muka keduanya, tak ubah macam waktu redup berganti cerah. Abah yang mendengar lantas diselubungi dengan perasaan takpuas hati setelah mendengar janji yang diungkapi.

“Senang-senang berjanji nak belikan itu ini, nak guna duit apa? Duit niaga?”

“Patutlah selama ni beniaga tak pernahnya nak untung, tak sangka ada yang mengambil rupanya!” bisik abah di dalam hati mula menuduh.

 

“Safi tau tak, abah kata kasut yang mak beli tu, mak kutip kat tong sampah!” tutur Usop sambil ketawa, langsung tak mengambilkira perasaan sesiapa waktu mengungkapkannya. Safi terus terdiam, tak tahu nak kata apa sebelum kasut yang ada ditangan dipandang semula.

“Kan bah, kasut tu abah nampak mak kutip kat tong sampah kan? Hahaha, bodohlah Safi ni, suka sangat bila dapat kasut kutip!” ejek Usop sambil ketawa lebih besar lagi. Paling teruk abah pun ketawa sekali, membuatkan Safi rasa macam dikhianati.

“Tak nampak ke kasut tu dah berhabuk, dah kotor, bukannya kasut baru pun.” tambah Usop menambahkan lagi kekecewaan dihati Safi dan entahlah kenapa matanya tiba-tiba jadi panas pula. Disebabkan dah tak sanggup nak mendengar, kasut tersebut terus ditinggalkan.

“Takkanlah mak pungut kat tong sampah? Kan mak kata mak beli? Takkan mak tipu Safi?” soalnya pada diri sendiri sebelum berjalan ke sungai untuk mendapatkan penjelasan mak. Sambil berjalan dia mengesat air mata yang datang dengan sendirinya tanda kecewa, marah, sedih, benci semuanya ada. Makin lama makin laju langkahan kakinya, kerana dia mahu tahu segara. Bunyi kain yang dihempas pada papan kayu membuatkan dia pasti yang mak ada di situ.

“Mak!..” tuturnya sedikit kuat sebelum dia tertunduk, tak sampai hati nak menyatakan isi hati sambil tersedu-sedu sendiri.

“Ha? Dah kenapa? Kenapa Safi menangis?” soal mak tak sangka, kerana semasa ditinggalkan tadi anaknya itu gembira saja.

“Tak ada apa-apalah.” balas Safi perlahan, tak sanggup nak mengajukan soalan dan semuanya dilakukan atas dasar kasihan, kerana hatinya tak mampu nak merelakan.

“Gaduh dengan Usop lagi? Usop buat apa pulak kali ni?” soal mak, cuba menduganya sendiri, dan serentak dengan itu Safi menggeleng-gelengkan kepalanya sambil menyapu air mata yang masih bersisa, lagipun dia nak jadi orang macho, dan orang macho pantang menangis! Bisiknya di dalam hati, tak suka dengan apa yang terjadi.

“Dahlah, biarkan je la Usop tu. Tak payah dilayan.”

“Mak dah siap basuh baju sekolah Safi dah ni, jomlah kita mandi. Nanti lambat nak jemur baju sekolah ni, takut tak kering menjelang esok pagi. Kalau tak kering, susah nak gosok.” cadang mak lalu mencapai sabun mandi dan menggosok-gosokkannya pada lengan sendiri sebelum Safi datang untuk menyertai.

 

 “Mak, mak beli kasut tadi pada siapa?” soal Safi masih tak puas hati, pada mak yang sedang menyudu isi pisang lenyek yang sudah diadun bersama tepung beras, santan dan gula ke atas daun pisang yang sudah dilayur.

“Mak beli kat kedai Ching Fatt. Tempat kita beli kasut sekolah Safi dulu, Safi tak ingat?” balas mak sambil melipat-lipatkan daun berkenaan supaya kemas dan tak ketirisan.

“Kasut tu kasut lama, sampai masa bila dah lama sangat, tak ada yang membelinya, dia jual lelong-lelong je macam tu.” tambah mak lagi sebelum memasukkan daun pisang yang selesai dilipat ke dalam pengukus. Mendengar jawapan mak, Safi lantas tersenyum kerana itulah jawapan yang diinginkannya, tapi tak lama, sebelum dia teringatkan tuduhan yang Usop dan abah lemparkan.

“Hish! Tak guna punya Usop. Abah pun, abah pun sama, dua-dua penipu! Takpa, sampai bila-bila Safi takkan percaya pada kalian lagi!” gerutunya di dalam hati bertemankan perasaan sakit hati.

 

Previous: Bab 18a
Next: Bab 19a

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.