Wajah Man dan Ina yang kekal tersenyum suka hati, dipandang lagi dan setiap kali, perasaan geram tu kekal datang menemani. Esok hari pertama persekolahannya, tapi dia rasa macam tak seronok pula. Tak seronok kena pergi sekolah, tak seronok kena tinggalkan rumah, tak seronok kena bangun, bersiap dan mandi setiap pagi hari, kecuali untuk dua hari cuti dan paling tak seronok buat kali pertama dalam seumur hidupnya, dia perlu memakai tudung!
“Argh…panas, rimas, semua ada, betul-betul rasa tak selesa. Kalau waktu olok-olok pun dah begini, macam mana pula waktu betul-betul?” bisiknya di dalam hati sambil menggaru-garu pipi.
“Tudung ni besar. Mak dah jahit untuk kecilkan sikit, tapi macam besar jugak lagi ni. Takpa kita boleh guna pin kat situ.” tutur Mak sedang tangan berusaha untuk mengetatkan bahagian dagu dengan pin baju.
“Boleh ke ketat ni? Ke ketat sangat?” tambah mak lagi minta pendapat pada yang akan mendapat manfaat dan serentak dengan itu Safi mengangguk perlahan kerana tak tahu apa yang perlu untuk diulaskan.
“Along, esok, jangan pakaikan kasut Safi daripada rumah. Sampai kat surau baru pakai, sebab tanah tu dah lecak, kalau dipakai dari rumah kotor kasut sekolah tu nanti.” pesan mak pada along.
“Ok mak.” balas along yang ada duduk berlunjur di dalam bilik belakang.
“Esok, mak tak dapat nak hantar Safi masuk sekolah, sebab mak kena pergi ke bandar beli ikan, abah nak pergi menoreh. Nanti Safi pergi dengan along ya.” ucap mak sambil membetul-betulkan hujung tudung sebelum dibalas anggukan lemah daripada Safi, mengikut segala perancangan yang dah ditetapkan. Namun muka sedikit bercuka yang ditunjukkan oleh Safi membuatkan mak memikirkannya semula.
“Ke Safi nak mak jugak yang hantar?” soal mak setelah perasan pada perubahan sikap anaknya itu kerana sejak awal lagi Safi telah meminta dia untuk menemankannya ke sekolah pada hari pertama persekolahan. Safi hanya senyap, mengiyakan tak, menidakkan pun tak dan serentak dengan itu mak langsung mendapatkan jawapan.
“Kalau Safi nak mak jugak yang hantarkan…” belumpun sempat mak membuat janji abah terlebih dahulu membuat pintasan.
“Pergi sekali dengan along je nanti! Mak dengan abah ada kerja, memang takkan sempatnya nak ke sana. Biar along yang hantarkan.”
“Lagipun kalau dah pergi nanti lama, berjam-jam pun belum tentu selesai. Along bawak duit ni untuk bayarkan yuran Safi nanti.” arah abah dengan suara garaunya, melancarkan keadaan, membuatkan Safi dan Mak hanya mampu berpandangan.
“Basuh kaki dulu, lepastu baru pakai kasut.” tutur along yang sedang terbongkok-bongkok di tebing sungai dan mencebok air dengan kedua-dua belah tangan untuk membersihkan kesan kekotoran pada kaki Safi sebelum membersihkan kaki sendiri.
“Safi pegang sini. Safi pegang kat bahu along.” tambahnya pula, selesai membersih, lantas Safi segera menurut.
“Angkat kaki yang sebelah tu dulu.” tuturnya sambil memakaikan sarung kaki Safi sebelum menyarungkan kasut kanvas putih berkenaan.
“Ha, sekarang yang sebelah tu pulak.” arahnya lagi sebelum mengulangi langkahan yang sama sekali lagi.
“Ok dah siap. Jom kita jalan.” ujarnya sebelum menyelitkan selipar Safi di kawasan yang agak tersorok, tak mahu kehilangan.
“Safi tak suka ke pergi sekolah?” soal along bila melihatkan sikap Safi yang nyata berubah, tak banyak cakap sejak semalam, asyik duduk menyorok. Safi tak segera membalas kerana dia sendiripun tak tahu akan perasaannya.
“Ke Safi tak seronok sebab along yang hantar Safi pergi sekolah hari ni?” duganya lagi dan serentak dengan itu Safi menggeleng-gelengkan kepala.
“Tak adalah.” ucapnya segera membalas sebelum tersenyum suka bertemankan mata galaknya, tak suka buat along kecil hati.
“Ha, macam tulah adik along!” ucap along gembira, suka bila melihat Safi mendapatkan dirinya semua.
“Safi tak payah takut, nanti along teman Safi sampai Safi balik sekolah.”
“Sampai Safi balik sekolah? Kat dalam kelas? Betul ke?” balasnya terkejut.
“Betullah…tapi bukan dalam kelas, dekat luar kelas, tapi tengoklah nanti macam mana. Safi kena berani, tak boleh takut-takut lagi. Nanti Safi carilah kawan baru. Ha, along rasa mak kata, anak Mak Ngah Dauyah pun ada masuk sekolah darjah satu, saing dengan Safi, nanti bolehlah Safi kawan dengan dia.” tambah along mencadangkan.
“Safi dah pandai baca dan kenal a,b,c kan? Dah boleh mengeja?” soal along lagi, lambat-lambat Safi menganggukkan kepala setelah sedar tahap penguasaannya.
“Cuba Safi baca a,b,c, along nak dengar.” arahnya pula.
“A,b,c,d…e..f…g, h,i,j,k,..l,..l…” tutur Safi terbelum terhenti di situ.
“lmn! l..m..n!” tutur along memberi tunjuk ajar sambil menguatkan genggaman tangan, bertujuan untuk memberikan galakan.
“l,m,n..o,p,q,..” balas Safi menyambung sebelum terhenti lagi serentak wajah along dipandang, minta bantuan lagi.
“r,s, lepastu apa?” soal along, sambil dalam hati mula sangsi pada Safi.
“r,s…r,s…r,s..” ulang Safi berkali-kali, tapi langsung tak bergerak ke mana-mana.
“Safi tak hafal a,b,c lagi? Angah dengan ateh cakap Safi dah pandai? Dah tu macam mana ni? Habislah Safi nanti!” jawap along dengan nada cemas, sengaja nak menakut-nakutkan.
“Haaaa! Taknaklah! Kalau macam tu Safi tak nak pergi sekolah. Safi nak balik! Jomlah kita balik!” rengeknya sambil menarik tangan along, dah mula rasa takut.
“Along acah je la, nak takut apa tak pandai a,b,c, kan ke tujuan sekolah untuk buat kita pandai, dah pergi sekolah nanti pandailah.”
“Dahlah, jom cepat, nanti kita lambat.” gesanya sebelum berlari-lari anak sambil membetulkan beg sekolah Safi yang mula menyusur turun ke lengan.
“Jom kita lari!” tambah along lagi dan dengan suka hati Safi berlari membuntuti sambil menggenggam erat tangan along, abang terbesarnya itu.
Sambil melayur ayam, mak mendongakkan kepala melepasi tembok simen setinggi empat kaki yang menjadi dinding penyekat antara satu gerai dengan gerai yang lain. Setelah selesai, ayam yang sudah berbau harum itu di bawa ke gerai jualan untuk disusun diatas blok air batu yang sudah dibaluti dengan plastik untuk mengurangkan sedikit tindakbalasnya dengan haba kerana waktu dia berniaga agak lama, kadang-kadang sampai ke pukul lima, dan kalau tak kena gaya, air batu dah habis mencair sebelum sampai waktunya.
Hamid, anak saudara sepupu mak yang baru tiba, berjalan melepasi gerai mak tanpa langsung menoleh kearahnya dan keadaan itu membuatkan mak mula rasa sedih. Sudah bertahun sejak kali terakhir mereka bertegur sapa dan kali yang terakhir adalah semasa mak meminta dia membayar hutang anak ayam yang mak dengan abah dulukan sebagai bantuan sewaktu dia mahu berjinak-jinak dalam sektor penternakan. Bagi memudahkan, mak dan abah bersetuju untuk menolak sahaja hutang berkenaan dengan bayaran sewa bulanan bus sekolah along dengan angah. Sejak dari peristiwa itulah hubungan mereka jadi makin renggang sampai dah tak bertegur sapa dah.
Kecewa, sedih, itulah yang mak rasa. Kenapa boleh jadi seteruk ini? Salah mereka ke semua tu jadi? Tapi, mereka hanya menuntut hak sendiri, dan bukankah sudah menjadi kewajipan bagi yang berhutang untuk melangsaikan hutang? Bisik mak didalam hati sebelum menghela nafas dalam.
Kekecewaan itu segera terganti bila yang dinanti sejak tadi akhirnya menampakkan diri. Daripada jauh mak dapat melihat kelibat along dengan Safi, berjalan kaki di jalan besar yang terletak agak jauh, sayup mata memandang, jauh, sampai along dengan Safi dilihat hanya sebesar ibu jari dan serentak dengan itu mak terus menuju ke luar pasar, agar anak-anaknya dapat dilihat lebih besar.
Along dan Safi menoleh ke arah pasar tempat mak mencari rezeki sebelum mereka tersenyum sendiri.
“Mak! Tu mak! Safi, lambai kat mak!” ucap along teruja sebelum mereka sama-sama melambai-lambaikan tangan memberi pengenalan dan tanpa menunggu lama mak membalasnya bangga, tak menyangka kehadirannya dapat dirasa.
Salakan Bodok yang kekal berterusaan, membuatkan mak terjaga daripada lena. Suaranya keras dan kasar, jarang sekali didengar dan kebiasaannya keadaan seperti itu hanya akan berlaku bila Bodok betul-betul dah naik marah. Bunyinya beralih-alih arah tanda dia sedang mengejar sesuatu.
“Entah apalah yang di hambatnya tu.” tutur mak perlahan sebelum dia berusaha untuk menyambung lenanya semula.
Mak terbongkok-bongkok untuk mengelak dahan-dahan koko yang rendah sebelum matanya tertumpu pada kesan tapak kaki yang ada banyak di situ. Bila diamati dia jadi pasti, itu adalah jejak kaki pak belang yang datangnya tak pernah diundang. Cepat-cepat mak merangkul dan membawa pergi dahan pokok langsat yang sudah kering, tak betah berlama-lama di situ.