Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 48b

(sambungan)

Beg pakaian yang telah siap dikemas dicapai. Terasa bergegar rumah dibuatnya dek kerana hentakan kaki along yang jelas sengaja bertindak untuk melepaskan geram. Kasut disarung kasar sebelum dia bergegas menuruni anak tangga. Safi dan adik-adiknya hanya mampu menandang dalam diam. Ateh dah mula berlinangan air mata sebelum laju menitis ke dalam pinggan, ‘menambah kuah’. Seperti virus, bila terlihatkan keadaan ateh, mereka bertiga turut serta menangis. Nasi yang ditelan terasa ketat dan terlekat di kerongkong, tak mahu lalu. Mat dan Usop juga serupa, serta-merta kehilangan selera.

“Nanti dulu! Abah tak habis cakap lagi!” ucap abah marah, tapi along tak mengendahkannya. Betul-betul sudah banyak berubah kerana dahulu sikapnya tak seperti itu.

“Selangkah along tinggalkan rumah ni…jangan along mimpi nak balik lagi nanti!” ugut abah buat kali yang penghabisan, namun along tetap melangkah pergi.

“Along tunggu, jangan pergi!”

“Awak tu pun, kan saya dah pesan. Kawal sikit baran tu. Tengok apa yang jadi. Tak boleh ke dibawa berbincang elok-elok?” marah mak pada abah dan abah membalas dengan jelingan, masih tak mahu mengaku keterlanjuran. Serentak mak terpandangkan beg plastik bekal yang ditinggalkan. Segera beg berkenaan dicapai sebelum mak bergegas menuruni mata-tangga.

“Along tunggu! Ambik bekal ni! Along, along…” tutur mak merayu, sambil meluru laju, tak rela melepaskan anaknya itu, tapi dia hampa kerana along sudah terlalu jauh meninggalkannya.

“Sudah! Awak naik! Biarkan dia pergi! Kita tengok jelah apa yang jadi nanti!”

“Kalau awak nak sangat ikut dia, awak pergi. Tapi ingat, jangan balik lagi ke sini!” pekik abah, melepaskan amarah, sehinggakan mak turut mendapat tempiasnya, membuatkan mak terpenjara di tempat dia sedang berpijak.

“Kalau dia nak pergi sangat, biar dia pergi! Tapi selagi saya hidup, jangan sesekali dia berani nak jejakkan kaki ke rumah ni lagi!” jerit abah, menambah dan along masih dapat mendengarnya daripada jauh. Serta-merta darahnya naik sampai kepala dan amarahnya menerpa.

“Ya! Along takkan balik lagi! Along takkan balik sampai bila-bila!” jeritannya kuat, sengaja mahu menyatakan hasrat. Sesekali dia tidak akan menoleh ke belakang lagi. Dia sendiri tidak mengerti kenapa sejak akhir-akhir ni emosinya terlalu sukar untuk dikawal, tapi berdosakah dia? Berdosakah dia kerana cinta? Bisik lintasan hatinya yang datang secara tiba-tiba.

Mak terjelopok ke tanah berteman bekalan yang masih ada di tangan sebelum menangis semahu-mahunya. Abah melepaskan keluhan yang panas lagi berat bila pijarnya terasa sampai ke muka.

Safi, segera menyental mata lalu bangun dan meninggalkan pinggan makan yang masih berbaki lebih daripada sebahagian sebelum diikuti ateh, Ina dan Man. Selesai di situ dia turun ke tanah dan mendapatkan mak. Air matanya jatuh lagi saat melihat mata mak yang masih memandang ke arah jalan, mungkin menantikan kepulangan along semula. Serta merta air matanya jatuh lagi, tak sampai hati menyaksi.

“Huuu…” tangis mak syahdu, melepaskan segela kesedihan.

“Mak, dah lah. Dah. Dah.” pujuk Safi sambil menggenggam lengan mak lembut, namun yang menyahut, hanyalah esakan tanda kekecewaan. Tidak pernah mereka menyangka, kegembiraan yang dipinta, tapi duka yang menjelma dan cinta along, berakhir dengan bencana.

 

 

Sudah berbulan-bulan along menyepi, dan hari-hari mak menangisi. Safi perasan. Mata mak selalu merah setiap kali mak duduk sendiri, kerana bila sendiri mak mulalah fikirkan tentang along yang tak habis fikir tu. Buat keputusan terburu-buru. Cinta apa namanya macam tu? Cinta ikut nafsu. Cinta sejati seharusnya mendekatkan kita pada llahi, tapi cinta along hanyalah cinta duniawi. Tak mengira apa. Cinta buta. Akhirnya nanti, akan tiba masa along menyesali.

“Along tu baik sangat masa kecilnya…” ucap mak perlahan memulakan bicara sambil pucuk paku yang bertimbunan dia atas batang, dibersihkan satu persatu.

“Mak ingat lagi. Dulu masa dia baya-baya Man…dia berdiri atas batang tengah tu, lepastu dia jerit kuat-kuat. Dia kata dia nak belajar rajin-rajin, dia nak ubah nasib mak dengan abah. Dia tak nak mak dengan abah hidup susah.” tambah mak lagi sebelum sendunya datang kembali. Suara mak terketar-ketar saat tangisannya datang menyapa. Kenangan itu seperti baru semalam berlaku dan masih segar di dalam ingatannya. Walauapapun yang terjadi, satu perkara yang dia sangat pasti…kasihnya pada along tetap tak berubah, biarpun seinci.

Safi hanya diam dan memberi sepenuh perhatian pada mak. Dia kasihankan mak. Angah dan ateh jauh, manakala Mat dan Usop dilihat dah tak tahu apa yang hendak dikata. Mereka masih rasa bersalah kerana membocorkan rahsia along dulu. Tidak mereka sangka along lebih rela memilih keluarga ayah angkatnya itu daripada darah dagingnya sendiri. Man dan Ina masih kecil dan tak tahu apa-apa, yang mereka tahu…along sudah tiada.

Abah pula sejak kejadian itu anginnya tak menentu. Lebih banyak mendiamkan diri, pantang ada kesilapan di mana-mana, cepat sangat naik darahnya. Keadaan rumah jadi suram serta muram, daripada pagi sampailah ke malam.

 

Previous: Bab 48a
Next: Bab 49

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.