(sambungan)
“Mak, tak payah cari rebung ke minggu ni?” soal Safi pada mak yang baru pulang daripada bandar setelah selesai menghantar duit pada ateh. Nyaris-nyaris terlompat mak dibuatnya setelah menyedari tentang hari.
“A’ah la! Mak dah lupa dah! Mujur Safi ingatkan mak. Sekarang dah pukul berapa?” soalnya pula sambil membuka tudung kepala.
“Dah dekat lima setengah.” balas Safi pantas.
“Takpa takpa, biar mak sembahyang dulu, lepastu baru kita pergi. Safi dah sembahyang?” soal mak kembali.
“Safi…belum! Hehehe..” balas Safi sambil tersenyum.
“Ha, kalau belum, kita sembahyang dulu. Nanti tak payahlah nak terkejar-kejar.” balas mak yang sudah sampai ke dapur.
“Ok.” balas Safi sebelum turut membuntuti.
“Mak, pokok buluh ni, memang dah ada lama ke kat sini? Semua rumpun-rumpun buluh ni memang tumbuh sendiri?” soalnya yang duduk tercegat di belakang mak dengan memegang tong baldi cat.
“Bukanlah. Bukannya tumbuh sendiri. Semua buluh-buluh ni nenek yang tanam. Nenek tanam untuk kuatkan tebing sungai ni. Nanti kalau banjir, tak adalah runtuh tebing tu.” balas mak sambil tekun menyabit rebung yang sudah tinggi.
“Dah panjang dah rebung ni, minggu lepas rasanya tak ada lagi.” ngomel mak pula sambil terus juga berusaha.
“Hmm, rasanya memang tak ada, yang tu pun.” balas Safi sambil menunjuk-nunjukkan dengan jari.
“Mak nak cari banyak mana?” soal Safi semula setelah menyedari baldi sudah hampir dipenuhi.
“Kita carilah berapa yang ada. Lagipun minggu ni, Kak Mazie mintak lebih. Katanya ada orang mintak dia buatkan katering. Kak Mazie je dah nak 10 bungkus, itu belum lagi Kak Eee, kalau ikut macam biasa, dia nak lima, untuk dua kali masak. Mezah mungkin nak tiga.” tutur mak setelah mencongak jumlah yang diperlukannya.
“Banyaknya, tapi cukup ke mak?” soal Safi tak percaya dengan bilangannya.
“Tak tahulah mak. Takpa, lepas ni kita pergi tengok buluh kat belakang. Doa-doalah ada. Kita kena cepat sebab hari dah nak gelap.” jawap mak sambil menjenguk-jenguk ke arah rumpun buluh yang seterusnya.
“Dulu nenek ada pesan, siapa yang nak ambil rebung dekat sini ambillah, sebab dia kata, dia saja tanam.” tutur mak semula mahu menyambung cerita.
“Macam mana nak tanam buluh?” soal Safi cuba untuk mempelajari.
“La, ambil jelah buluh tu, lepastu cocok dekat tanah.” balas mak sambil menghunuskan sabitnya lagi.
“Ambik, lepastu cocok je? Ni? Buluh yang ni?” soal Safi tak percaya sampai bulat matanya dengan tangan menuding pada batang buluh yang ada di sisi.
“Bukan buluh yang tua macam tu, tapi yang macam ni. Ha, yang muda-muda lagi, yang ada tunas macam ni.”
“Kita ambil potong, lepastu cocok pada tanah, lepastu nanti hiduplah, insyaAllah.” jawap mak yang sudah ketawa tak percaya.
“Ooo…macam tu…” jawap Safi sambil mengengguk-anggukkan kepala setelah berjaya mendapatkan ilmu bukan daripada buku.
“Mak, besar betul pokok durian terung ni. Atok ke yang tanam dia dulu?” soal Safi pada mak yang sedang terbongkok-bongkok menyapu. Sambil mendongak Safi mencekak pinggang dan terus memandang ke arah pokok durian kampung besar yang berbuah kecil itu.
“Tak lah. Pokok ni dah memang ada masa arwah atok dapat tanah ni.” balas mak sambil kekal menyapu.
“Umur dia berapa?” soal Safi semula sambil menepuk betis yang rasa kegatalan.
“Ish Safi ni, manalah mak tahu! Sejak mak lahir pokok tu memang dah ada dekat situ. Besarnya pun dah memang macam tu.” balas mak yang turut sama terdongak memandang pokok durian yang sudah sebesar dua pemeluk orang dewasa dan setinggi ratusan kaki itu. Sambil memerhati mak mengambil peluang mengemaskan ikatan pada pangkal lidi.
“Takut mak tengok pokok ni. Kalau hari angin, tumbang, mahu dihempapnya rumah kita nanti.” tutur mak setelah membuat kajian sendiri.
“Boleh ke sampai?” soal Safi tak percaya sambil sama-sama mengagak jaraknya.
“Mahu tak sampai. Tinggi pokok ni. Tu, Safi nampak tak, pangkal dia pun dah berlubang, dimakan dek anai-anai. Takut mak menengoknya.”
“Mak ingat nak panggilkan Pak Bedul, nak suruh dia panjat dan buangkan bahagian lambung pokok tu, biar jadi pendek sikit, tak adalah bahaya sangat nanti.” jawap mak sebelum meneruskan kerja-kerja menyapu daun-daun durian dan koko kering yang berselerakan.
“Nak panjat? Biar betul! Boleh ke?” soal Safi mencurigai.
“Tak tahu lagi, tapi rasanya boleh, sebab itu memang kerja dia. Mak dah suruh abah cakap dengan dia, lepastu dia kata nanti dia datang tengok. Tengoklah sehari dua ni kalau dia datang.” tutur mak sebelum terus menyapu lagi.
“Adoi! Dah sakit dah pinggang mak. Safi tolong mak sapukan yang tu, boleh?” soal mak meminta bantuan selebihnya mahu mendidik anak tentang kebersihan.
“Boleh boleh! Yang ni? Semua ni? Nak kumpul dekat sebelah sini?” soal Safi meminta kepastian.
“Ha, kumpul dekat sebelah situ, sebab dekat sebelah ni dah banyak. Takut mak bakar banyak-banyak, nanti api dia jadi besar, kalau merebak kang, tak pasal-pasal terbakar kampung kita.” balas mak menzahirkan kebimbangan dan tanpa membuang masa penyapu lidi mula beralih tangan.
“Mak ingat lagi, dulu nenek selalu cerita. Nenek kata, dia naik kapal laut datang ke sini. Lalu dekat laut yang ada air berpusing dekat tengah, mendarat dekat Kuantan. Lepas selesaikan semua urusan, atok dengan nenek balik ke kampung ni. Masa tu, rumah dengan tanah ni tak ada lagi. Atok dengan nenek tumpang berteduh dekat rumah ayah Mincun, Pak Majid.”
“Pak Majid tu pun asalnya datang dari Kuok, satu kampung dengan atok dan nenek. Dialah yang bersusah-susah buat urusan bawa nenek ke sini dulu, sebab atok masa tu baru lagi sampai dan dia tak tahu sangat macam mana nak buat.”
“Dah tu, atok dengan nenek guna kad pengenalan merahlah.” soal Safi tiba-tiba bila persoalan itu muncul di benaknya.
“Ish, mana ada kad pengenalan lagi masa tu, merdeka pun kita belum lagi. Masa tu baru tahun 30’an, yang ada cuma surat kerakyatan.” jawap mak, segera Safi mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Masa dah merdeka, kerajaan beri semua yang ada dekat sini jadi warga negara, termasuklah atok dengan nenek sekali.”
“Maksudnya, masa zaman Jepun dengan komunis, atok dengan nenek dah ada lah kat sini?” soal Safi lagi, mahu mengetahui sejarah negara daripada yang masih ada dan yang pernah merasa.
“Adalah, masa tu mak dah lahir dah, tapi masih kecil sangat lagi, umur baru setahun dua. Nenek kata, waktu tu, kalau tengah memasak, lepastu dengar dia datang, nenek terus padamkan api dapur, dan duduk ontok-ontok je dalam rumah, jangan buat bising. Kalau tak nanti, takut dia singgah.”
“Dah? Tak masaklah nasi!” balas Safi pula sukar untuk mempercayainya.
“Bila dia dah pergi nanti, sambunglah semula. Jepun dengan komunis semuanya sama. Dekat kawasan kita ni ada kubunya. Dekat hulu sana, dekat kawasan kebun getah kita. Ha, dekat situlah kawasan kubu dia, dekat bukit belakang tu.” tutur mak menerangkan segala yang diketahuinya.
“Mak ingat lagi, ada sepasang suami isteri tu, baru sangat lagi kahwinnya…” tutur mak mahu terus bercerita dan Safi kekal tekun mendengarnya.
“Masa lalu dekat kawasan hutan tu, kereta mereka kena tahan, yang si isteri dilarikan, tapi yang paling kasihan si suami, keretanya dibakar bersama-sama dengan dia sekali.”
“Dah tu, mati?” soal Safi yang dah tercegat, sukar mempercayai apa yang didengari.
“Matilah…kalau dah kena bakar. Zaman dulu bukan macam zaman sekarang, jalan berselirat, hospital dan klinik pun dah ada banyak, dekat-dekat. Bila nak bagi bantuan pun cepat, tak macam waktu dulu-dulu.” terang mak yang telah merasa nikmat pembangunan.
“Kesiannya…dah tu isteri dia macam mana?” soal Safi semula mahu mengetahui pengakhiran semuanya.
“Entahlah, tak ada siapa yang tahu apa yang jadi pada isteri dia. Entah hidup, entah mati.” balas mak beserta dengan rasa simpati.
“Masa tu semua orang hidup dalam ketakutan, sampai makanan pun dicatukan oleh kerajaan.”
“Dah tu, kerajaan jahatlah!” pantas Safi membidas.
“Eh? Kenapa pulak kerajaan jahat?” soal mak terkejut.
“Iyalah, kerajaan tak bagi rakyat dia makan, kan jahat tu!” balas Safi mengeluarkan apa yang difikirkan.
“Bukan sengaja kerajaan buat macam tu. Tujuan dia supaya orang ramai tak tolong beri makanan pada komunis, sampai nak beli beras pun kena pakai kupon. Siapa yang tak ada kupon tak dapat nak beli beras, kalau nak beli pun dihadkan jumlahnya ikut kepala.”
“Sebab masa zaman Jepun ramai yang sokong komunis, sokong tindakan komunis yang berperang nak kalahkan Jepun, tapi bila dah menang, lain pulak jadinya.”
“Nenek kata masa zaman tu memang susah sangat hidup. Kalau dah dapat makan nasi kosong dengan garam pun dah nikmat sangat rasanya. Bila beras dah tak ada, atok dengan nenek gali ubi kayu dan buat rebus, itulah yang kami makan tiga beranak. Nak keluar rumah pun tak berani, takut terjemuh dengan mereka. Kalau dah terjumpa, tak tahulah apa nasib kita.” tutur mak meceritakan pengalamannya.
“Mak syukur sangat sekarang, sebab negara kita dah aman, dah bebas. Dah boleh bergerak tanpa ada rasa takut pada sesiapa dan nikmat ni perlu dikekal sampai bila-bila.”
“Kalau semua usaha, insyaAllah kita boleh teruskan.” tambah mak, mendoakan kesejahteraan tanah tumpah darahnya kerana tak pernah terdetik di hati untuk mengalami keadaan yang sama buat kali kedua. Safi yang mendengar segera mengangguk-anggukkkan kepala kerana itu jugalah hasratnya.
“Mak ingat lagi dekat paya We Kipah tu. Tengah kami duduk-duduk berehat dekat situ, lepas buat kerja paya, helikopter pun lalu. Lepastu dia pasang pembesar suara suruh komunis menyerah diri. Sambil-sambil bercakap, dia taburkan gambar-gambar komunis yang dah menyerah kalah.”
“Mak dengan kawan-kawan pun apa lagi, berlari-lari kami pergi mengutip dan kumpulkan gambar-gambar tu. Macam-macam rupa ada, tapi yang banyaknya muka dah cengkung dan badan pun dah kurus kering.”
“Dah tu gambar tu mana? Mak tak ada simpan gambar-ganbar tu?” soal Safi yang dah mula teruja.
“Buat apa pulak nak disimpan!” balas mak dalam ketawa.
“Iyalah simpan, buat kenangan.” tutur Safi menyatakan apa yang terdetik di fikiran.
“Hish! Tak dibuat dek orang, menyimpan gambar komunis, macam dah tak ada kerja lain.” jawap mak yang sudah mencari tempat untuk duduk, akar durian yang terbonjol, bangku semulajadi yang tak mudah untuk dicari.
“Safi sapu yang tu dulu, lepas Safi siap mak sambung pulak. Mak nak rehat sekejap, boleh?” soal mak yang dah penat bercerita.
“Hmm.” balas Safi yang sudah menyambung kerja-kerja menyapu, ditemani persoalan-persoalan yaang masih berlegar-legar di fikiran.
Safi sangat suka mendengar mak bercerita tentang hal dulu-dulu. Perihal atok dan nenek terutamanya, kerana segala maklumat berkaitan mereka hanya dapat dibayangkan dalam minda, bila semua kenangan tentang keduanya hanya diketahui melalui cerita-cerita yang disampaikan oleh mak. Walaupun tak pernah bertemu, tapi rasa sayangnya tetap mekar dan bercambah pada arwah atok dan nenek.
“Mak, atok dengan nenek meninggal masa umur berapa?” soal Safi tiba-tiba.
“Atok, masa umur dia 67, rasanyalah kalau mak tak silap, nenek 63. Kenapa Safi nak tahu?” soal mak kembali dan serentak itu Safi menggeleng-gelengkan kepalanya, sambil mencongak-congak umur semasa abah dan mak pula.
“63..je…tapi, sekarang mak dah 48…” bisiknya sendiri sambil ditemani perasaan bimbang yang datang dengan sendiri.