Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 21

Mak mengira baki ayam-ayam yang masih ada dia dalam tong sambil mencongak-congak keadaan. Sempat jam besi yang ada tersarung ditangan diteliti sebelum dia jadi pasti bahawa ayam-ayam tersebut perlu disimpan lagi. Manataknya, dah hampir pukul tiga, tapi jumlah yang ada masih banyak. Tanpa berlengah beberapa ekor daripadanya dicapai dan dimasukkan ke dalam tong yang berisi air batu.

Selasai di situ, mak duduk semula di atas tong kayu yang sudah mula bergoyang-goyang itu. Suasana pasar yang sunyi sepi sedikit sebanyak mendatangkan rasa ngeri di hati, tapi mak dah tak boleh nak lari. Suka atau tak mak kena juga setia menanti rezeki. Tak berapa lama menanti, abah akhirnya tiba setelah selesai menyegarkan diri.

“Tak habis lagi ayamnya?” soal abah sesampainya dia ke gerai.

“Separuh pun tak luak lagi. Yang lebih-lebih tu saya dah simpan kat bawah ni.” mendengarnya abah terus menggaru-garukan kepala tanda tak selesa.

“Dahlah, saya balik dulu, awak tunggulah ya.” tutur mak lagi sebelum mencapai beg kertas berisi segala perkakas.

“Ayam tu belah dulu, kan dah tak ada yang berbelah tu.” arah abah membuatkan mak segera menangguhkan hasratnya itu, tapi sedang sedap-sedap memotong dia diganggu.

“Dah berapa kali saya cakap! Kalau buat ayam belah, jangan potong panjang sangat kaki ayam tu, biar banyak yang tinggal! Ha, tu, yang bahagian berleher tu, jangan dipotong banyak lehernya, rugilah nanti!” tegah abah dah mula naik darah saat terlihatkan hasil kerja mak.

“Dahlah, awak pergilah balik! Biar saya yang buat!” marah abah sebelum bangun dan menggantikan tempat mak, membuatkan mak tak terkata.

“Diikut salah, tak diikut salah, hai…apalah.” bisik mak kecewa, tapi tak mengapa, kerana hatinya dah biasa dan tanpa banyak bunyi mak terus membersihkan tangannya sebelum berlalu pergi.

 

Keadaan pekan rabu meriah dengan pengunjung yang tak mahu ketinggalan mendapatkan keperluan mingguan. Daripada barang-barang kering sampailah ke semua bahan-bahan basah termasuk daging lembu dan kerbau, tak terkecuali kambing juga, semuanya ada, tinggal sediakan duitnya sahaja. Buah-buahan tak payah cakaplah, daripada sekecil-kecil cili api, sampailah ke sebesar-besar tembikai merah, dengan isi yang dah merekah, sememangnya membuatkan pekan berkenaan menjadi tempat pilihan utama untuk disinggah.

Safi duduk bersandar di dinding pasar sambil memerhatikan kemeriahan yang dipamerkan, terutamanya daripada perniaga-perniaga yang becok membuat promosi barang jualannya, tak kurang juga keletah pembeli yang pandai dalam urusan tawar-menawar untuk mendapat kepuasan diri dalam membeli. Ada yang datang dengan pakaian yang cantik berseri, macam orang nak pergi kenduri, tapi ada juga yang kekal berserdahana, ataupun memang itu sahaja yang mereka ada, samalah macam dia.

“Safi! Safi tak lapar lagi? Bila kita nak pergi beli makanan?” soal Man yang ada duduk di sebelahnya mematikan konsentrasi Safi yang sedang seronok membuat pemantauan sendiri.

“A’ah Safi, bila kita nak pergi beli nasi lemak?” soal Ina pula sambil mendongak.

“Kejap. Kalian tunggu sini, biar Safi pergi mintak duit kat mak.” balasnya sebelum mendekati mak yang sedang sibuk berurusan, membuatkan Safi memberikan laluan pada mak untuk menyudahkan.

“Boleh tak kalau nenek nak beli peha ayam tu satu?” soal seorang nenek pada mak yang baru selesai, membuatkan Safi menangguhkan lagi hasratnya, tak mahu mengganggu kelancaran urusan jualan.

“Nak sepeha ni?” soal mak pula sambil mencapai suku peha ayam berkenaan dan meletakkannya ke atas dacing timbangan.

“Bukan, bukan! Nenek nak beli pehanya je, separuh daripada tu, boleh?” tuturnya membuat pembetulan, serentak dengan itu mak memandang kearah abah.

“Boleh.” balas abah sebelum mencapai dan memotong mengikut kesesuainan demi memenuhi permintaan pelanggan. Langkah yang sama diulangi, lalu ayam yang diminta ditimbang kembali sambil diteliti.

“1.00” tutur abah sebelum meneruskan dengan pesanan yang lainnya. Mak yang mendengar mula memikirkan keperluan untuk mengambil bayaran, sebelum dia pasti apa yang seharusnya dia lakukan.

“Tak payah la mak cik! Tak payah bayar!” tutur mak pada nenek yang masih mengorek-ngorek duit. Bunyi deringan duit syiling yang berlaga sesama sendiri membuatkan Safi lemah hati. Tak sangka ada lagi orang yang lebih susah daripada mereka di dalam dunia ni. Abah yang mendengar mula rasa tak senang, kerana hatinya tak berapa rela nak memberi.

“Betulke ni nak?” soal nenek itu kembali, sukar untuk mempercayai.

“Iya, mak cik ambillah.” balas mak pantas sebelum segera pula memasukkan pesanan yang lainnya ke dalam beg plastik pembungkus.

“Terima kasih nak, terima kasih.” ulangnya tanda syukur.

“Sama-sama.” balas mak melengkapkannya dengan rasa gembira. Biarpun tak banyak, dia boleh menolong sedikit, kerana itulah pegangan arwah maknya dalam berniaga. Biar kita lebihkan memberi dan jangan sesekali dikurangi.

“Berapa?” soal seorang pembeli yang lain sesudah memilih ayam yang montok dan besar pada abah yang baru selesai menimbang.

“Yang ni 14, boleh?” soal abah kembali.

“Boleh, tapi potong kecil-kecil sikit ya pak cik.” arahnya pula dan serentak dengan itu abah mengangguk. Mak memerhatikan abah berteman rasa kecewa, kerana sudah acap kali perkara seperti itu berlaku. Setelah selesai berurusan dengan pelanggan tersebut dan tiada lagi pelanggan yang menunggu, mak terus menyatakan kekesalannya.

“Berapa ringgit awak jual ayam tu?” soal mak perlahan dah tak larat nak menanggung, membuatkan abah sunyi tak berbunyi sebelum puntong rokok berasap yang dibiarkan di sisi meja sejak tadi, dicapai semula untuk melepaskan giannya.

“Awak tahu kan yang menipu tu berdosa! Nak-nak menipu dalam kerja-kerja timbang-menimbang ni? Ayam tu baru 2 kg 100gm, awak letak harga 6 ringgit setengah. Dah, kalau macam tu baru 13 ringgit 65 sen, yang awak cakap 14 tu kenapa?” tambah mak lagi meluahkan ketidakpuasan hati, dalam kepayahan dia berusaha untuk merendahkan suara, tak mahu ada sesiapa yang mendengarnya.

“Huh! Awak ingat kita ni apa? Malaikat? Tak ada rasa lapar? Tak payah makan?” balas abah membantah, tak dapat nak merelakan nasihat yang diberikan. Lagipun dia ketua keluarga, dan seharusnya dia yang menentukan semuanya. Terlopong mak dibuatnya.

“Dah? Sebab nak sangat makan, sanggup awak guna cara yang salah?”

“Elok sangatlah tu! Buatlah selalu, lepastu bagi anak-anak makan duit jahanam macam tu. Awak ingat berkat sangat?” balas mak yang sudah ditoreh hatinya. Mendengar kenyataan mak itu abah makin rakus pula menghembus, sampai dah berasap-asap seluruh kawasan gerai. Safi yang masih menanti melihat segala-galanya dengan mata terbuka sambil memikirkan alasan kedua-dua orang tua.

“Ha, dah nak pergi beli nasi?” soal mak, baru perasan pada Safi yang ada berdekatan.

“Hmm.” balas Safi perlahan sambil mengangguk.

“Nah, ambil duit ni. Nanti pegang tangan adik-adik masa jalan. Jangan sampai ada yang hilang.” tutur mak memberikan pesan.

“Ok.” balas Safi patuh lalu bergerak semula untuk mendapatkan Ina dan Man sebelum bersama-sama menuju ke perut pasar yang sesak dengan perniaga dan pelanggan sambil berpegangan tangan.

 

“Abah, esok cikgu suruh bayar duit buku latihan matematik.” tutur Usop pada abah yang baru selesai makan malam.

“Berapa harganya?” soal abah sepatah sambil memandang ke arah Usop yang sedang memerhati.

“12 ringgit 90 sen. Ni dia bukunya, abah nak tengok?” jawap Usop sambil mencari-cari buku yang baru diberi siang tadi, membuatkan abah terjenggil biji  mata tak percaya.

“Huh! Buku apa yang sampai mahal sangat macam tu? Ni memang tak ada lainlah, mesti sebab nak makan komisen, lepastu suruh anak-anak murid membeli. Tak habis-habis nak menyenagkan diri sendiri!” marah abah, pesimis, tanpa usul periksa sebelum dia bergegas mencapai kotak rokok dunhill dan mancisnya. Melihat keadaan abah, Usop terus tak jadi nak menunjukkan.

“Kalau nak esok, abah tak ada duit. Tunggulah sampai minggu depan.” tambah abah tegas sebelum membuka pintu dan turun ke tanah untuk mengambil angin. Mak yang melihat turut merasa terkilan mendengarkan tuduhan.

“Mana bukunya? Bawak sini, biar mak tengok.” tutur mak perlahan cuba untuk bersikap positif, tak mahu terlalu terburu-buru membuat kesimpulan, paling utama, tak mudah terpengaruh pada pandangan.

“Elok ke bukunya?” tambah mak lagi dan tanpa banyak kata Usop menghantarnya.

“Tebal bukunya, tapi isinya macam mana?” soal mak pula minta pendapat pada yang bakal mendapatkan manfaat, sambil cuba meneliti isi yang dia sendiri kurang mengerti kerana belumpun sempat tamat sekolah rendah dia dah disuruh berhenti, bila arwah ayah dah tak nak membiayai kos pendidikannya lagi. Tiba-tiba kenangan lama datang menjenguk semula, namun mak segera sedar dan tak mahu terbawa-bawa.

“Ada banyak latihan dalam buku ni. Soalan-soalan pun sama macam soalan periksa.” tutur Usop menjelaskan.

“Memang kena bayar esok ke? Tak boleh tangguh dulu?” soal mak semula sambil memikirkan caranya.

“Entahlah, tak tahu.” balas Usop sebelum beredar dari situ dengan riak muka kecewa.

 

“Usop ambil duit ni buat bayar buku latihan yang Usop cakap semalam.” tutur mak perlahan pada Usop yang sedang memasukkan buku ke dalam beg sekolah.

“Abah bagi duit? Tapi semalam abah kata tak ada.” balas Usop tak percaya.

“Bukan duit abah, tapi ni duit mak. Jangan Usop bagitahu abah yang mak dah bagi duit untuk buku tu. Nanti bila abah bagi duit, Usop bagi semula pada mak.” terang mak, menjelaskan letak dan duduk keadaan.

“Hmm, ok.” jawab Usop sebelum menyelitkan duit berkenaan ke dalam kocek seluar.

 

“Semua orang dah bayar duit buku tu?” soal abah yang sedang tegak sambil mengasap ditingkap tinggi bilik dapur pada Usop yang sedang menelaah pelajarannya.

“Dah bah, semua dah bayar.” balasnya perlahan, sebelum meneruskan.

“Tunggulah sehari dua lagi, tunggu sampai abah jual getah, lepastu bolehlah Usop bayar duit buku tu.” jelas abah sambil memeneruskan kerja-kerja pengasapan.

“Takpa bah, lambat pun tak apa.” jawap Usop perlahan membuatkan abah rasa sedikit tak percaya kerana bukan begitu sebelumnya.

“Kenapa pulak boleh lambat? Cikgu bagi tangguh bayar?”

“Bukan sebab cikgu, tapi sebab mak. Mak dah bagi duit untuk bayar buku tu dulu.” balas Usop, tak berpegang pada janji.

“Mak dah bagi? Tapi kenapa Usop tak cakap awal-awal pada abah?” soal abah mula rasa tak puas hati, membuatkan Usop cepat-cepat bertindak membela diri.

“Bukan Usop tak nak cakap bah, tapi mak dah pesan jangan bagitahu pada abah.” balas Usop perlahan tak mahu menimbulkan sebarang kekecohan, baginyalah, tapi tak sedar tindakannya itu telah membuatkan abah jadi makin tak gembira pada mak.

“Huh! Macam tulah perangai mak kalian, tak berubah-ubah! Langsung tak jujur pada abah. Tadi beriya-iya dia ingatkan abah tentang duit buku tu. Ha, mati-mati abah ingat tak bayar lagi, tapi…memang macam nilah! Memang macam nilah perangai mak kalian, langsung tak pernah nak berubah.”

“Dari mana dia dapat duit tu kalau bukan daripada abah!” tambah abah yang sudah mula marah. Mujurlah bunyi radio yang sedang bernyanyi berjaya menenggelamkan sebahagian daripada gemanya.

“Abah! Jangan cakap kuat-kuat sangat, nanti yang lain dengar.” balas Usop sambil mendekatkan jari ke mulut, takut didengari oleh yang lain, lebih takut kalau tindakannya itu diketahui oleh mak. Kalau dah dasar pengecut memang begitu, hanya berani membaling batu. Safi yang ada di pintu dapur kekal sunyi, bila dilihat dari luar, tapi di dalam kepala? Langsung tak sama dengan zahirnya. Terkebil-kebil mata menganalisa segala data yang diterima. Ini apa??? Mengumpat ke? Soalnya pada diri sendiri, sambil teringatkan pesanan Ustazah Jamilah.

“Biar la kalau ada yang mendengar pun, bukannya benda salah, dah memang benda betul. Dia dapat duit tu daripada abah, hasil merosakkan perniagaan abah.” tutur abah menuduh lagi, membuatkan Usop memikirkan setiap perkara yang terjadi.

“Apa yang tak betul lagi? Dah memang sah. Mak kalian tu yang merosakkan perniagaan abah! Dia sengaja potong leher dengan kaki ayam tu panjang-panjang, supaya dia dapat kutip semua tu dan jual untuk buat duit dia sendiri. Lepastu kalau jual hempedal, ada ke dibuang lemaknya sebelum ditimbang? Rugilah nanti, sebab dah ringan.”

“Buat apa-apa langsung tak memikir. Apa ingat kita ni malaikat, tak payah makan?” tambah abah menyatakan ketidakpuasan dan serentak dengan itu Usop menganggukkan kepala tanda setuju.

“Usop pun ada nampak mak buat macam tu, tapi Usop tak boleh nak cakap apa-apa, takut mak marah. Kalau ikutkan, memanglah.” balas Usop mempersetujuinya, langsung tak menggunakan akalnya yang kecil untuk berfikir. Safi yang baru selesai meneguk dah malas nak mendengarnya dan tanpa membuang masa, dia kembali semula ke laman belakang untuk menyertai mak yang masih belum selesai menebas.

 

“Kak, kaki dengan leher ayam tu buang.” tutur Misi Noor pada mak yang sedang melakukan pemotongan.

“Hati dengan hempedalnya tu pun saya tak nak.” tambahnya mengulangi kebiasaan dan mak yang mendengar segera mengikut apa yang diminta.

“Iyalah.” balas mak sambil tangan terus bekerja.

Previous: Bab 20b
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.