Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 93b

Rawatan kali kedua berjalan mengikut jadual, namun bezanya kali ini angah tak perlu dimasukkan ke wad kerana berdasarkan pemantauan pada sesi permulaan, tiada kesan sampingan yang keterlaluan dan disebabkan itu, kelonggaran telah diberikan. Angah tak perlu diberikan pemantauan secara berterusan.

Esok mereka bercadang untuk balik ke kampung, atas permintaan angah dan kebetulan Man bercuti, dapatlah permintaan itu dipenuhi.

 

Alunan lagu InsyaAllah, nyanyian Maher Zain yang dipasang melalui pemain cakera di dalam kereta, segera menerbitkan rasa kurang selesa kerana sudah terlalu banyak kali ianya didengari.

“Boleh tak?!”

“Boleh tak tukar lagu lain!” tegas angah, membuatkan Man dan Safi sama-sama saling berpandangan.

 

Setibanya mereka di kawasan pasar, mereka seperti ternampak kelibat abah yang sedang memunggah peralatan-peralatan untuk berniaga di pekan.

“Itu…itu abah kan?” pantas angah menyoal.

“A’ah, abah!” balas Safi dan Man serentak.

“Berhenti, berhenti!”

“Angah nak jumpa dengan abah!” gesanya lagi sambil segera membuka tali pinggang keselamatan yang masih dipasang. Abah berhenti bekerja saat melihat ada kereta yang datang menghampiri dan setelah selesai mengamati dia tersenyum sendiri.

“Ingatkan siapalah tadi. Rupanya kalian. Dah sampai dah?” tutur abah saat terlihatkan kelibat angah yang sudah turun menjengah.

“Abahhh…” tutur angah lemah sebelum menghulur tangan minta diterima, dan seperti biasa abah membalasnya. Angah jadi hiba dengan serta-merta, tak tahu kenapa.

“Eh?! Kenapa menangis ni?” soal abah terkejut dengan reaksi susulan yang diberikan oleh anaknya itu. Angah hanya menggeleng-gelengkan kepala kerana dia sendiri juga kurang pasti sebabnya.

“Dah dah! Pergi balik rehat. Kejap lagi nanti abah balik. Abah nak keluarkan papan meja je lagi.”

“Safi dengan Man bawak angah balik dulu.” arah abah pada Safi dan Man yang ada turut sama memandang.

 

“Assalammualaikum…” tutur angah setibanya di pintu rumah dengan senyuman semanis kurma, bahagia dan gembira kerana waktu sebelumnya dirasakan bergerak terlalu lama. Lama sungguh rasanya tak bersua muka dengan mak yang sentiasa terlekat di minda.

“Makkk…” serunya lagi membuatkan mak segera datang menyambut mereka.

“Waalaikumussalam…ha! Alhamdulilllah, dah sampai dah kalian.” balasnya sambil mengesatkan tangan yang kebasahan.

“Makkk…” ulang angah hiba dengan linangan air mata sebelum segera mendakap mak yang dah terlalu dirinduinya.

“La, kenapa? Kenapa menangis ni?” soal mak sambil membalas pelukan. Ditepuk-tepuk bahu angah lembut untuk mententeramkannya sebelum dahi dan pipi itu dikucup. Tanpa sedar airmatanya sudah turut sama bergenang.

“Dah dah! Jangan nagis lagi.”

“Angah duduk. Nak makan tak? Mak ada masak nasi lemak pagi ni. Bila dengar angah nak balik mak masak. Angah suka makan nasi lemak kan?” tutur mak menceritakan keadaan.

“Suka…” balas angah seraya mengangguk menegaskannya. Safi yang jadi pemerhati sejak tadi pantas menyapu air mata yang tiba-tiba menuruni lekuk pipi. Segera dia beralih dan bergerak ke bilik untuk meletakkan beg pakaian yang ada ditangan.

 

Selesai makan tengah hari, dan seperti biasa angah akan melakukan ‘urusan’ sebelum dia terkejut dengan apa yang baru dilihatnya. Bulu tengkoknya pantas ternaik saat menyaksikan apa yang telah dikeluarkan. Ketulan-ketulan darah beku yang sebesar batang penyapu ditatap seketika sebelum dia jadi pasti yang dia perlu keluar segera. Sesudah membersih, dia keluar untuk memberitahu apa yang berlaku. Kaki rasa tak bermaya dan kepala mula berpinar-pinar mengenangkan, malah, makin terhuyung-hayang rasa pergerakan.

“Sa..Sa…”

“Safi! Tu!” tuturnya pada Safi yang ada duduk di ruang tamu.

“Apa?! Kenapanya?!” balas Safi sebelum datang segera, namun belumpun sempat apa-apa, dia nampak tubuh angah longlai dengan sendirinya, mujurlah dia sempat sampai, kalau tak tentu angah dah jatuh tersembam ke lantai.

“Mak! Abah!”

“Angah!!! Tengok angah ni!” jeritnya pada mak dah abah yang ada di luar rumah.

“Ha? Kenapa?! Apa jadi dengan angah?” balas mak yang dah datang bergegas.

“Makkk…”

“Angahhhh…” tangis Safi tak berhenti dah tak tahu mahu melakukan apa lagi sambil memeluk tubuh angah yang sudah kaku.

“Ya-Allah. Angahhh…” tutur mak pula sebelum dia segera tersedar akan keperluan yang perlu didahulukan.

“Angkat, angkat! Kita angkat angah! Bawak baring atas katil!” arah mak pada abah yang baru sampai.

 

Tangisan kesedihan berterusan sehingga basah lengan menahan, namun airmata kekal jatuh berlinangan. Mak, abah dan Safi saling berkongsi rasa meratapi apa yang baru terjadi. Safi masih tak puas hati. Dia takkan mudah nak menerima selagi tak memastikannya sendiri. Berbekal sedikit pengetahuan, dia segera memeriksa denyutan nadi di tangan angah yang masih terbaring tak bergerak sebelum dia pasti yang pergerakannnya masih ada lagi.

“Angah! Angah!” panggilnya minta dibalas.

“Angahhh…” rayunya lagi sebelum dia tertunduk sendiri, setelah tak ada apa yang mampu difikirkan lagi.

“Huhuhu…” sedu mak dan Safi, menangisi. Keajaiban! Ya, mungkin itulah perkatan untuk menggambarkan apa yang berlaku selepasnya.

Kenapa…”

Kenapa kalian menangis?…” tutur angah perlahan saat matanya sedikit terbuka.

“Angahhhh…” tutur Safi sebak, tak menyangka angah akhirnya kembali semula.

“Angah! Tadi angah pengsan! Angah tak sedar?” soalnya sebelum segera menyeka air mata dan angah hanya membalasnya dengan gelengan sahaja.

  

 Setelah mendengar apa yang berlaku, pihak hospital memintanya untuk di masukkan ke wad supaya mereka dapat memantau keadaan dan perkembangan angah dengan lebih dekat. Lebih seminggu di sana, dan kini situasi angah dilihat jadi makin baik daripada sebelumnya.

“Safi…”

“...angah nak keluar jalan-jalan…”

“Jom kita keluar.”

“Kita sarapan dekat bawah…”

“Angah teringin nak makan roti jala.” tuturnya sebelum terus meminta.

“Safi, tolong…”

“Tolong ambik serkup kepala angah…”

“Ambik beg tangan angah sekali.” tambahnya pula dan Safi segera melaksanakannya.

“Dah lama, angah tak makan roti jala dekat situ.”

“Rotinya lembut, karinya pun sedap.”

“Ha, laksa!”

“Safi suka makan laksa kuah lemak kan?”

“Nanti bolehlah Safi makan…”

“...sebab laksa dia memang best!” tuturnya teruja, bercerita. Safi hanya tersenyum mendengarnya, suka bila melihat angah gembira.

“Ok.” balasnya sepatah sebagai langkah menurut perintah. Selesai menyematkan pin pada tudung, angah segera melangkah.

“Angah angah! Kita pakai kerusi rodalah ya. Senang sikit, tak adalah angah penat sangat nanti. Jangan jadi macam hari tu, penat. Sampai kena berhenti berehat.”

“Kejap ya, angah tunggu sini sekejap. Safi nak pergi ambil kerusi roda.” ucapnya sebelum bergerak mencari dan angah hanya mampu memerhati setelah sedar akan kemampuan kaki sendiri.

 

“Safi, bangun…”

“Bangun.”

“Bangun sembahyang subuh…” tutur angah mengejutkan Safi yang terbaring di atas lantai beralaskan kain cadar hospital yang dipinjam awalnya.

“Hmm…” balas Safi sebelum segera bangun dan mencapai tudung yang ada tersangkut di bucu meja.

“Angah? Angah nak sembahyang ke tak?” soal Safi pula dan seperti hari-hari yang sebelumnya, angah hanya menggelang sahaja.

“Kenapa angah tak nak sembahyang?” bisiknya di dalam hati berteman soalan yang tak pernah ditemukan jawapan. Pelik tapi benar, tapi angah nampak macam…‘lain macam’.

Previous: Bab 93a
Next: Bab 94

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.