Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 65

Sudah lebih setahun Mat di pusat dan hukumannya masih berbaki kurang setahun. Sepanjang tempoh Mat ditahan, Mak tak pernah gagal untuk datang melawatnya. Along sudah mula menjauhkan diri. Mungkin kerana malu, bila dirasakan dialah punca kejadian yang menimpa Mat itu.

Abah kembali aktif dalam aktivitinya yang ‘tak sihat’ bersama rakan-rakan. Ke hulu ke hilir mencari barang yang boleh digunakan untuk kegiatan tak berfaedah itu. Pelik tapi benar. Terlalu ramai yang mempercayai perkara-perkara tahyul sebegitu. Paling menyedihkan, kepercayaan abah kini turut dikongsi Usop yang sudah mula bekerja setelah menamatkan pengajiannya. Mak tambah kecewa. Bukannya tak dilarang, tapi nasihatnya yang tak dipandang. Hanya Allah tempat mak memohon, meminta agar mereka diberikan hidayah dan pengampunan.

Mak masih sibuk di dapur mengisi lauk-pauk yang bakal dibawa bersama nanti. Safi turut membantu menyendukkan nasi ke dalam bekas mangkuk tingkat. Beberapa ketul ayang goreng turut diletakkan dalam tingkat yang lainnya.

“Mak, pergi sorang-sorang? Abah tak nak ikut?” soal Safi.

“Abah kalian?”

“Kalau dah hitam katanya, hitamlah. Tak boleh dah nak diubah. Biarlah dulu, abah tu masih tak bersedia agaknya.”

“Nanti mak balik pukul berapa?” soal Safi pula, ingin mengetahui perjalanan urusan.

“Macam biasa. Kalau sempat, mak naik bus petang daripada Pekeliling. Tak boleh lambat, sebab kalau lambat nanti, tak sempat nak kejar bas akhir dari bandar ke sini.”

“Kalau dah tak ada bus, maknanya, kena naik prebet sapulah nanti.” terang mak memberitahu perancangan. Dalam pada sibuk menguruskan bekalan, mak sempat memandang jam yang tergantung di dinding untuk memeriksa hari.

“Mak jangan lupa kirimkan salam Safi pada Mat ya, ha, angah sekali.”

“Safi nak ikut, tapi cikgu nak buat kelas tambahan hari ni, jadi, tak dapatlah nak pergi.” bebel Safi. Cuti penggal kedua yang penuh aktiviti kerana persediaan untuk memduduki peperiksaan SPM sudah semakin hampir kini.

“Lain kali kan boleh. Takpa, nanti lain kali mak bawak Safi. Pergi sekolah nanti elok-elok. Mak kena cepat ni, nanti tertinggal bas.”

“Safi tolong mak kemaskan dapur ya, mak takut tak sempat. Gulai dalam periuk tu jangan lupa tindan dengan lesung batu. Kalau tak nanti diselongkar pulak dek Bontek.” arah mak setelah teringatkan kucingnya yang seekor itu. Memang tak makan saman. Semua benda habis dibedal dan kalau tak kena gaya, putih mata.

“Hmm.”

“Banyak ni mak! Tak berat ke? Macam mana mak nak bawak semua ni nanti?” soal Safi hairan tadkala melihat bekalan yang bakal dibawa, melebihi biasa.

“La, apa yang beratnya? Kan bawa pakai bas.”

“Yang dalam plastik merah tu untuk angah. Ha, yang satu tu untuk Mat, biar Mat makan dengan kawan-kawan dia nanti. Dalam mangkuk tingkat tu untuk buat makan sama-sama. ”

“Nanti senanglah sikit, angah dah tak payah masak.” mendengar penerangan mak, Safi segera menganggukkan kepalanya.

“Ina ni mana? Hari-hari cuti macam ni, kemana pulak perginya?” soal mak selesai memeriksa.

“Tadi Ina cakap dia nak pergi rumah Mak Ngah, nak jumpa Izah. Kata nak buat ulangkaji.” tutur Safi, menyampaikan.

“Hmm, ke rumah Izah, ingatkan kemana hilangnya. Kalau ke sana belajar, takpalah. Ha, Safi jangan lupa ya, pesan mak tadi.”

“Apanya?” soal Safi tak pasti.

“Gulai tu, jangan sampai lupa tindan, kalau tak nanti, tak makanlah kalian.” jawap mak sambil mengemaskan bahagian kelepek tudung dengan jarum peniti.

“Lepastu, jangan lupa kunci rumah bila Safi nak keluar nanti. Api dapur tu periksa dulu, jangan sampai ada yang terpasang.”

“Mak nak kena cepat ni! Bas Mara tu lalu pukul 9, ni dah 8 setengah lebih dah. Kalau tertinggal kena menapak ke pekan la jawapnya.” balas mak sambil tergesa-gesa menyiapkan diri.

“Biar Safi hantar mak sampai jalan besar ya. Berat ni kalau mak bawak sendiri.” tuturnya sambil mengangkat beg kain yang berisi bekalan, tak ketinggalan beg plastik besar yang sudah dipenuhi dengan muatan.

“Tak lambat ke nanti? Kelas Safi mula pukul berapa?” soal mak, sedikit tidak mempersetujuinya.

“Pukul 10, lambat lagi. Takpa, sempat lagi. Biar Safi hantar mak dulu, lepastu nanti baru Safi balik bersiap.” balas Safi yang sudah terlebih dahulu membuat perkiraan tentang itu.

“Iyalah. Ikut suka Safilah.” jawap mak, sambil tangan memeriksa segala dokumen yang diperlukan, terutamanya buku lawatan kedatangan bersaiz sebesar tapak tangan.

“Mak jangan sampai lupa kirimkan salam Safi dengan adik-adik pada Mat. Kata kat Mat, kami kirim Happy Birthday sekali.” ucapnya sebelum membawa beg yang lain ke rumah depan.

“Iyalah, insya-Allah. Safi doakan. Doakan mak selamat pergi, selamat balik.” pinta mak, minta dipermudahkan dan Safi segera memenuhi permintaan.

 

Jam ditangan diamati sebelum angah pasti yang dia tidak melangkawi waktu, sebaliknya melebihkan waktu menunggu.

“Hmm…ada sejam lagi. Baik datang awal daripada lambat. Nanti kalau lambat, lagi susah.” bisiknya selesai mengemaskini, waktu yang takkan pernah dapat dihenti.

 

Hari yang penuh bermakna. Biarpun Mat jauh mak tetap datang untuk meraikannya. Kotak kek yang siap dihias, tersusun kemas diatas meja melawat, kek yang angah tempah khas untuk Mat, adik lelaki pertamanya. Mak dan angah masih menunggu, sambil menanti ketibaan Mat yang dirindu.

“Mat ke tu?” soal mak saat terpandangkan seorang yang berjalan menuju ke arah mereka dari kejauhan.

“Bukan, bukan Mat. Mat kan dah pakai baju putih.” balas angah, selesai memeriksa.

“A’ah. Dah lupa pulak mak.” ujar mak, setelah mengingati.

 

Masa berlalu, dan sudah agak lama mereka di situ, tapi bayang Mat masih tak kelihatan, namun mereka tetap sabar dan sabar juga menanti. Mak tak mahu Mat rasa tersisih. Mak nak Mat tahu, walau apapun yang terjadi, Mat tetap anaknya yang sama, tak ada beza dan dia tetap sayangkannya. Tidak berapa lama kemudian mak seperti nampak kelibat Mat yang diiringi seorang warden, tapi, dia masih belum benar-benar pasti.

“Tu, siapa tu? Mat ke tu? Mak tak berapa nampak. Cermin mata mak ni…” soal mak sambil membetul-betulkan lekat duduk carmin matanya. Dengan kepala yang belenggeng, dari jauh, semuanya dilihat seakan-akan sama, cuma yang memudahkan pengecaman adalah pakaian, kerana warna digunakan untuk membezakan tempoh tahanan. Semakin menghampiri, barulah mereka semakin pasti, itulah saudara yang dinanti. Mat tersenyum gembira sampai berlekuk pipinya.

“Mak!” seru Mat saat mak terlihat. Gembiranya tak terkata, tak jauh beza dengan yang menanti juga.

“Mat…” tutur mak dan angah serentak, berteman senyuman yang dah tak mampu lagi disimpan. Selesai bersalaman dan berkucupan, mereka duduk di meja yang disediakan.

“Abah tak datang?” soal Mat pada mak yang sedang sibuk membuka mangkuk tingkat.

“Abah tak dapat ikut. Kalau abah ikut, siapa yang nak tunggu adik-adik.” balas mak, menyembunyikan kenyataan. Mat tetap tersenyum kerana dia faham dengan situasi keluarganya itu. Dia menyesal kerana gagal mengawal emosi lalu terjebak dengan gejala dadah. Bukan niatnya untuk memalukan keluarga, tapi dia tewas dengan godaan dan ajakan rakan-rakan. Mula-mulanya, ya, dia hanya ingin mencuba, tapi, tanpa disangka, dia akhirnya terjebak sama.

“Selamat hari lahir Mat. Ni, kami ada bawakkan kek hari lahir ni untuk Mat. Angah yang belikan.”

“Adik-adik dekat kampung, semua kirim salam. Lepastu mereka pesan, sampaikan ucap hari lahir pada Mat sekali.”

“Safi tak dapat ikut, sebab ada kelas tambahan. Man kena tolong abah dekat pasar, ganti mak. Usop pulak ke Bukit Freser, ada urusan kerja katanya.” terang mak dan Mat segera mengangguk faham.

“Along?” soal Mat sepatah, serentak itu, mak dan angah saling berpandangan.

“Tak ada dia datang lawat Mat?” soal mak semula.

“Tak ada pulak, sekali pun tak pernah. Sibuk agaknya. Takpalah, lagipun Mat tak kisah. Mak dengan angah kan ada.”

“Terima kasih sebab sudi jenguk Mat kat sini.” tuturnya ceria membayangi perasaannya yang sebenar. Sedih kerana along langsung tak menghiraukannya.

“Selamat hari lahir Mat.”

“Cepatlah keluar. Kami semua tunggu Mat.” ucap angah tegas bercampur macho.

“Ok, insya-Allah.” balas Mat ceria, seceria pagi ditemani cahaya.

“Potonglah kek ni. Mak ucapkan selamat hari lahir yang ke 23 tahun pada Mat. Semoga Allah satukan kita semua.” ucap mak, memanjatkan harapan.

“Terima kasih mak, angah, sebab sanggup susah-susah datang dari jauh jenguk Mat. Mat tahu Mat salah. Mat dah buat ramai orang susah...” balasnya perlahan, menyesali setiap satu perbuatan. Matanya sudah mula merah. Air mata mak yang ditahan sejak tadi, akhirnya gugur juga sampai angah yang terkenal dengan sikap ‘machonya’, turut tak dapat mengawal air mata.

“Dahlah, Mat potonglah kek tu, lepastu kita makan. Mak ada masakkan lauk-lauk kegemaran Mat. Ada kari ayam, gulai baung, sambal petai, ikan pekasam pun ada sekali.” Mat tersenyum gembira mendengarnya.

Angah tersentuh melihat kasih sayang mak yang tak pernah pudar pada Mat. Mak tetap sayangkan Mat sama macam dulu, bahkan lebih lagi kini. Angah percaya, benarlah kata orang. Kasih ibu membawa ke syurga, tak pernah pentingkan diri biarpun di hati merana. Senyap-senyap air mata yang bergenang diseka dengan hujung jari. Hidung angah merah menahan rasa. Mat yang melihat ketawa kecil dan serentak itu, angah menaikkan keningnya.

“Apa?” soalnya.

“Eee…angah nangis.” balas Mat dengan senyuman mengejek kerana seingat dia, selama ini, angah jarang-jarang benar menangis dia hadapan mereka.

“Ni semua sebab Mat lah! Cepat keluar! Lepastu janji yang Mat takkan dekat lagi dengan benda tak berfaedah tu.”

“Janji dengan angah, yang Mat akan berubah.” tegasnya. Dia mahu Mat memulakan kehidupan baru. Pekara yang lepas dah tak guna dikenang, yang penting masa depan. Hidup kena sentiasa positif. Mat masih muda dan perjalanannya masih panjang, tambahan pula, dia dah tak sanggup melihat mak bersedih lagi.

“Insya-Allah. Mat janji!” tuturnya yakin, membuatkan mak dan angah lega mendengarnya. 

Previous: Bab 64
Next: Bab 66

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.