Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 13

Beberapa bulan berlalu namun Safi masih belum pandai membaca berbanding dengan yang lainnya. Punca utama, tak ada lain, melainkan kerana dia lambat dalam mengenal dan membezakan huruf. Boleh dikatakan hampir keseluruhan pelajar di dalam kelasnya sudah pandai membaca, tapi dia masih di tahap mengeja, itupun merangkak-rangkak lajunya.

Hasil ujian bulanan pertama ini akan menentukan tahap pencapaian setelah berbulan dia terlibat dalam proses pembelajaran. Seorang demi seorang nama pelajar dipanggil oleh Cikgu Siti Endon, dan setiap kali selesai satu nama, jantungnya berdegup kencang lagi, menanti, manalah tahu namanya akan disebut nanti.

“Safiyyah.” seru Cikgu Siti Endon yang berbadan agak semangat serta kelihatan kuat, dan serentak dengan itu, Safi berdiri sebelum menyusun langkah kemas untuk mengadap. Berdebar-debar, sampai jantung mula rasa dupdap dupdap, namun senyuman yang terpemer di wajah guru kelasnya tu sedikit sebanyak membuatkan hatinya rasa lega.

 

“Siti menggoreng ikan sambil menggaram…hihihi…” ucap angah geli hati sambil memegang kertas ujian bahasa melayu bulanan pertama Safi.

“Suara orang menyanyi itu sungguh menakutkan, hahaha…” ketawanya lagi sambil menggeleng-gelengkan kepala tak percaya dan Safi hanya tertunduk mendengarnya.

“Ni, yang kat bawah ni, lagi kelakar…yang ni! Safi jawap suara orang meminta tolong itu sungguh merdu.” tambah angah lagi sebelum ketawa suka hati, betul-betul tak percaya pada hasil kerja adiknya.

“Tulah, bila angah nak ajar membaca Safi tak nak, sibuk sangat nak bermain, belajar sekejap, lepastu lari. Ha, nilah hasilnya.” bebel angah, tak nak berhenti, sambil terus meneliti.

“Ada ke menggoreng ikan sambil menggaram. Pernah ke nampak angah goreng ikan macam tu? Pernah? Hihihi…” gelaknya lagi membuatkan yang mendengar mula rasa kecil hati sebab dah banyak kali dia diketewakan, sebelum angah ateh, sebelum ateh Mak, lepastu Mat, paling benci Usop si cemel. Man dengan Ina yang langsung tak kenal abc pun lagi, dah pandai nak ketawakan dia. Dia sedih sebab ingat angah akan bela dia, tapi rupanya angah pun sama macam semua.

“Bagi balik kertas ujian Safi…” pintanya tersekat-sekat sebelum bertindak mencapai kertas yang ada di tangan angah berteman rasa kecewa di hati. Angah segera berhenti ketawa bila sedar Safi dah mula dilihat nak merajuk, bila mata bulatnya dah berubah jadi kecut.

“Takpa, nanti lepas makan angah ajarkan, tapi kali ni Safi kena janji! Janji kena belajar rajin-rajin. Ha, paling penting kurangkan sikit main. Tak payah hiraukan Man dengan Ina tu. Kalau diaorang nak main, biar diaorang main sebab dia tak sekolah lagi, tak macam Safi. Boleh Safi janji dengan angah?” soal angah minta persetujuan. Bukan niatnya mahu tergelak cuma tak tahan bila tengok Safi buat lawak.

“Hmm.” balas Safi yang masih tertunduk, kekal merajuk dengan muka terperosok.

“Pandanglah kat angah, lepastu baru jawap.” arah angah lagi mendongakkan dagu Safi tinggi, dan serentak dengan itu Safi ketawa suka hati bila angah dah buat janji sebab dia nak jadi pandai macam angah.

“Matematik Safi dapat berapa? Kertas ujian matematik Safi mana? Tak ada? Tak dapat lagi?” soal angah pula mahu mengetahui keseluruhan pencapaian adiknya itu.

“Ada! Ada kat sini.” balas Safi sambil menyelongkar beg sekolah sendiri.

“Ha??? Matematik boleh pulak? Safi dapat A matematik?” tutur angah tak percaya dan serentak dengan itu Safi menganggukkan kepala.

“Kira ok lah ni. Ni maksudnya Safi bukannya tak pandai belajar, cuma Safi tak pandai membaca. Takpa angah ada cuti lama, ada 2 minggu, lepastu angah dah nak kena masuk sekolah balik.”

“Masa angah tengah cuti ni, angah akan ajar Safi membaca. Tak susah mana, cuma Safi kena betul-betullah ada rasa nak belajar. Kalau Safi tak ada rasa betul-betul nak belajar susahlah. Nanti masuk sini, keluar sini.” tambah angah sambil meletakkan jari pada telinga kanan dan kiri Safi, membuatkan Safi memendekkan kepala sendiri, tak ubah macam kura-kura yang nak menyelamatkan diri, sambil tersenyum menahan geli.

“Dahlah! Jom kita makan dulu. Lepas makan nanti, angah buat kelas tambahan untuk Safi. Jom makan.” tutur angah sambil menyusun kertas-kertas yang berkaitan.

 

“Safiyyah dengan Nurul ikut cikgu.” arah Cikgu Siti Endon yang baru selesai menjalankan sesi pembelajaran subjek Bahasa Melayu. Rita, Khadijah dan Fairuz segera menjeling ke arah Safi dan Nurul yang ada di bahagian belakang. Sambil memandang mereka berbisik sesama sendiri, lagak orang sedang mengeji dan bagi Safi…dia dah lali.

 

“Safiyyah dengan Nurul kemari. Duduk kat sini.” arah cikgu Siti Endon sampai di bilik guru.

“Cikgu dah tengok tahap penguasaan Safiyyah dengan Nurul, dan cikgu rasa cikgu terpaksa masukkan Safiyyah dengan Nurul dalam kelas pemulihan supaya cikgu dapat bagi tumpuan penuh pada Safiyyah dengan Nurul. Kalau di kelas susah sikit, yang lain semua dah pandai membaca, sebab semua dah masuk pra sekolah, tak macam Safiyyah dengan Nurul.” terang Cikgu Siti Endon mahu memastikan setiap pelajar di bawah jagaannya mencapai tahap yang ditetapkan, tak mahu ada anak-anak muridnya yang ketinggalan dan keciciran.

“Mulai minggu depan, setiap hari Selasa dengan Khamis pukul 8 dengan 10 pagi, cikgu akan buat kelas pemulihan untuk Safiyyah dengan Nurul, dekat perpustakaan. Safiyyah dengan Nurul tak payah pergi pendidikan jasmani dengan belajar muzik dulu. Cikgu dah bincang dengan guru besar dan dia dah benarkan.” terang Cikgu Siti Endon lagi dan serentak dengan itu Safi dan Nurul mengiyakan.

“Safiyyah dengan Nurul ambil buku ni sorang satu. Tengok-tengok dulu kat rumah, tapi jangan lupa bawa masa datang kelas nanti.” arahnya lagi dan tanpa banyak kata anak-anak muridnya itu menerima.

 

 Kain yang sudah kekeringan diletakkan di satu kawasan sebelum melalui proses lipatan. Tangan mak memang tak pernah berhenti bekerja selagi mak bukak mata, bisik Safi di dalam hati. Sambil memerhati, dia menggaru-garukan kepala sendiri.

“Safi tolong mak boleh?”

“Tolong ambilkan kain yang tergantung kat bilik hujung, bawak ke sini. Mak nak lipat.” tutur mak pada Safi yang kusyuk memerhati sejak tadi.

“Yang mana? Semua ni ke?” soal Safi kurang pasti setelah bergegas pergi.

“Ha, semua. Ambik semua kain tu bawak kat mak.” arah mak setelah mendongak.

“Mak, malam ni kita makan apa?” soal Safi pula, tiba-tiba.

“Entahlah, tak tahu lagi. Kenapa? Safi dah lapar ke?” balas mak sebelum menghentikan pekerjaannya.

“Tak.” jawap Safi menidak.

“Sekolah macam mana? Seronok? Safi dah dapat banyak kawan dah?” soal mak pula sambil tangan tetap juga bekerja.

“Ada, sorang. Nama dia Nurul.” balas Safi pendek.

“Nurul? Anak siapa? Siapa nama bapaknya?”

“Nurul Aini binti Na…Na..Nawawi.” jawap Safi setelah berusaha mengingati.

“Nawawi? Dia tinggal kat mana? Ayah dia kerja apa?” soal mak seperti telah menyedari sesuatu.

“Rumah dia kat belakang masjid yang dekat dengan sekolah menengah. Nurul kata ayah dia kerja kat pejabat pertanian.” jelas Safi memberikan pengenalan.

“La, anak Pak Wi ke? Kalau Pak Wi mak kenallah, sebab dia kawan abah. Kalau pergi pasar mesti beli ayam kita. Eloklah tu, kawan baik-baik, jangan gaduh-gaduh, tak elok.” nasihat mak pula, tak menyangka.

“Mak, bila angah nak balik?”

“Angah tak ada cuti dah sampai hujung tahun. Kalaupun angah balik, hujung tahun nanti. Kenapa? Safi dah rindu kat angah?” duga mak dan serentak dengan itu Safi menggeleng lemah, tak dapat mengaku dengan mudah.

“Angah belajar jauh kat Melaka, kalau nak balik susah, kena tukar bas banyak kali, masanya pun lama, dah malam baru sampai sini. Tambang bas pun bukannya murah, berpuluh-puluh ringgit jugak, tu yang angah susah sikit nak balik, tapi angah pergi sana belajar, nak jadi pandai.”

“Safi pun nak jadi andai macam angah!” balas Safi mengakui.

“Kalau nak jadi pandai macam angah, kena belajar rajin-rajin, mula dari sekarang. Mak ingat lagi, angah dari kecik pandai belajar, selalu dapat nombor satu dalam kelas. Cuma masa dia darjah dua, dia kena deman panas, teruk sangat. Lama angah tak dapat pergi sekolah sebab dia sakit.” tutur mak mengulang, cerita yang biasa didendang. Sedang mereka bersembang, Ateh Man dan Ina yang baru selesai mandi di sungai pulang, tapi itu tak mampu mengganggu rentak cerita mak daripada kurang.

“Berbulan-bulan mak bawak angah berulang-alik ke klinik, tapi doktor tetap tak tahu apa sakit angah. Badan angah jadi kurus, kurus sangat, sebab tak ada selera nak makan. Bila makan je muntah, tapi angah tetap degil nak pergi sekolah, nak belajar, nak jumpa kawan-kawan. Mak dengan abah, berkeras tak benarkan, sebab angah langsung tak ada tenaga nak berjalan.” terang mak menceritakan, membuat air mata mula bergenangan, tak tahan bila teringatkan peristiwa berkenaan.

“Sampai berak angah dah keluar warna hitam. Masa tu mak terus teringat apa yang arwah nenek cakap. Nenek ada cakap, orang kalau dah keluar berak hitam biasanya dah tak lama, tapi mak tetap nak ikhtiarkan juga. Mak bawak angah pergi berubat dengan arwah mak guru, cikgu agama mak dulu. Dia tawarkan air yang dah dibaca doa dan zikir-zikir Allah untuk buat minum dan sapu pada muka dengan badan.” tambah mak bercerita secara berterusan tak sedar pada perubahan yang ateh pamerkan.

“Tak habis-habis lagi ke? Tak habis-habis mengulang cerita yang sama! Bosan gila!” gerutunya didalam hati dengan muka masam mencuka sebelum beralih ke rumah belakang, tak sudi mendengarnya, taknak bernanah telinga.

“Tak lama lepas tu, barulah angah sihat sikit. Ada selera nak makan balik, lepastu sihat macam biasa sampai mak buat nazar puasa.”

“Dah setengah tahun lebih angah tak pergi sekolah, tapi angah cepat kejar semua yang dia tertinggal. Tak sangka masa periksa, angah masih boleh dapat nombor dua.” tutur mak lagi sambil tersenyum bangga. Bahagia bila memikirkannya, tapi tak berjaya melembutkan hati ateh yang mendengarnya.

“Takpa, tengoklah! Ateh akan buktikan yang ateh lebih hebat daripada dia!” gerutunya sendiri, tak suka dibanding-bandingkan dengan sesiapa, paling dia tak suka bila mak dan abah terlalu sangat menjadikan angah sebagai contoh dalam banyak perkara.

 

Safi tercari-cari kasutnya selesai aktiviti di perpustakaan sekolah. Puas dia mencari, tapi kasutnya tetap juga tak dijumpai sedang rakan-rakan yang lain telah pun beransur pergi.

“Safi, kasut kau mana?” soal Nurul yang telah selesai menyarung kasut.

“Tadi Safi letak kat sini. Ha, dekat sinilah Safi letak, tapi mana? Tak jumpa pun!” balasnya beriya-iya menceritakan sampai termuncung-muncung bibir atas dan bawahnya. Satu demi satu kasut yang tinggal diteliti, namun itu bukanlah miliknya. Daripada jauh Safi dapat melihat Rita, Khadijah dan Fairuz melemparkan senyuman yang lain macam sahaja kepadanya, membuatkan dia pantas berasa seperti ada yang tak kena dan tanpa berlengah dia terus mencari.

“Safi, bapak aku dah sampai dah, tapi kau macam mana?” soal Nurul tak tahu apa yang perlu dilakukan dulu.

“Kau baliklah, sebab sekejap lagi abang aku sampai. Nanti dia boleh tolong aku carikan kasut tu. Kau pergilah balik dulu. Esok jangan lupa datang sekolah.” balasnya tak mahu menyusahkan teman.

“Betul ke ni?” tutur Nurul semula, sukar untuk mempercaya.

“Ha, betullah. Kau pergilah balik dulu. Nanti, bapak kau marah pulak.”  

“Ok, kalau macam tu, esok kita jumpa. Bai bai...” balasnya sambil melambai segera dibalas Safi yang mula ditinggalkan kesorangan.

“Tadi memang letak kat sini, tapi mana dia pergi?” soalnya kembali sebelum mencari-cari lagi. Daripada mata tangga bawah dia naik ke tangga paling atas, memeriksa laluan yang dilaluinya sejak mula, dan daripada atas dia turun semula sampailah ke anak tangga paling bawah, namun hasilnya tetap tiada dan serentak dengan itu dia mula rasa sebak pula.

“Tadi kan ada kat sini, tapi mana? Siapa yang ambik?” soalnya lagi ditemani air mata yang mula menuruni lekuk pipi, lantas segera disapu dengan lengan kecilnya itu. Tanpa mengenal putus asa dia bergerak pula ke bahagian bawah bangunan perpustakaan berkenaan, tempat papan kayu lama disusunkan dan tanpa menunggu lama, kasutnya akhirnya ditemukan di belakang susunan kayu tersebut, agak tersorok daripada pandangan mata.

“Ha! Jumpa pun! Siapa yang alih letak kat sini?” ngomelnya lagi.

“Ni mesti kerja Rita ni! Nasib baik jumpa.” tuturnya geram bercampur dengan lega sebelum menyarung kasut carefree berkenaan.

 

Previous: Bab 12b
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.