“ Abang, hujung minggu ni kita balik Kelantan nak? Dah lama kita tak balik Kelantan.Ma baru telefon sayang pagi tadi.Dia cakap dia rindu nak tengok Aqil,” Syafika menjeling ke arah Haikal yang kelihatan mengerutkan dahi mendengar kata-kata Syafika.
“Alah sayang. Hujung minggu ni abang sibuk. Bos abang mintak abang layan kawan dia dari Jepun. Dia nak main golf.Nak tolak pun susah juga,” kata Haikal.Dia tahu Syafika tentunya merasa kecewa dengan jawapan yang diberikan tapi tugasnya sebagai orang nombor dua syarikat membuatkan dia tidak ada banyak masa untuk keluarga.
‘Dah agak dah’.Itulah jawapannyabila diajak balik kampung.Jawapan yang sama juga akan diberi jika diajak keluar ke pusat membeli belah atau bersiar-siar.Dunianya hanyalah kerja, kerja dan kerja.
Syafika hanya mampu bersungut di dalam hati.Dia hanya mampu memendam rasa kecewa.Syafika mula merasa bosan dengan hidup yang terlalu rutin.Pagi-pagi pergi kerja selepas menghantar Aqil ke rumah ibu mertuanya.Balik kerja lewat petang.Selepas mengambil Aqil dari rumah mak mertua dia memandikan Aqil, meyuapkan Aqil makan dan seribu satu macam kerja rumah yang tak pernah selesai.Haikal pernah mencadangkan untuk mengambil pembantu rumah tapi Syafika merasakan satu pembaziran.Apatah lagi dia merasa lebih selamat meninggalkan Aqil dibawah jagaan ibu mertuanya sendiri.
“Kenapa tak suruh Ma aja yang datang ke sini.Duduklah sini lama mana pun.Rumah kita ni bukannya ada orang lain pun,” kata Haikal.
“Abah tu sapa nak jaga? “ Syafika bertanya.
“Ajaklah abah datang sekali,”kata Haikal.
“Abah tu bukannya boleh tinggal rumah lama-lama.Macam-macam alasanlah yang dia bagi. Tak boleh pergi masjidlah.Macamlah kat Kuala Lumpur ni tak ada masjid,” Syafika menjawab sambil disambut ketawa kecil oleh Haikal.
“Orang tua biasalah. Selesa di tempat sendiri,” kata Haikal.
Aqil telah terlena awal memberikan sedikit ruang untuk Syafika dan Haikal pada malam ini.
Syafika bergerak dari birai katil, menghampiri Haikal.
“Abang, jom tidur.Dah lewat ni,”kata Syafika sambil matanya menjeling ke arah jam dinding yang menunjukkan telah hampir 11 malam.
“Sayang tidurlah dulu.Abang nak siapkan kerja ni.Sikit aja lagi,” Haikal menjawab sambil tangannya mengusap tangan Syafika yang terletak dibahunya.
“Good Night Abang,” kata Syafika sambil mencium pipi Haikal dan dibalas Haikal dengan ciuman mesra.
………………………………………………………………………………………………………………………………………
Pesawat berlegar-legar di ruang udara Kota Bharu. Sementara menunggu pesawat mendarat Aqil menunjuk-nunjuk ke arah bawah dari jendela kabin kapalterbang. Mungkin dia cuba menyatakan sesuatu kepada Syafika. Butir katanya masih belum begitu jelas lagi.
Sebaik sahaja pesawat mendarat dan selepas melalui pemeriksaan kastam yang tidak begitu ketat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Kota Bharu Syafika mendokong Aqil sambil menarik beg bagasi.Di ruang menunggu kelihatan ayah Syafika ,Rahman dan ibunya Noraini sedang menunggu kehadiran Syafika dua beranak dengan wajah teruja.
“Sayang sayang cucu nenek ni,”kata Noraini sebaik sahaja Syafika melepaskan Aqil dari pegangannya.Noraini terus mencium pipi Aqil namun Aqil cuba mengelak, tidak biasa dengan Noraini yang dia jumpa sesekali sahaja.
Rahman hanya memerhatikan sahaja gelagat isterinya yang teruja menyambut kehadiran cucu sulung mereka.
Selepas bersalaman mereka berempat menuju ke arah kereta Rahman yang diletakkan di tempat letak kereta lapangan terbang.
“Abang Haikal kirim salam.Dia tak dapat balik.Sibuk dengan kerja,” jelas Syafika kepada emak dan ayahnya.
Rahman dan Noraini cuma tersenyum mendengar kata-kata Syafika. Mereka telah masak dengan perangai menantu mereka yang kuat bekerja.
Haikal amat jarang dapat menemani Syafika balik ke kampung.Kadang -kadang Noraini terasa hati juga apabila Haikal jarang menemani Syafika dan anak tapi lama kelamaan Noraini tidak ambil hati apabila memikirkan yang Haikal seorang menantu yang baik.Tidak lokek dengan wang ringgit, cuma jarang dapat bersama.
Syafika membuka semula telefon yang dimatikan tadi apabila menaiki pesawat.
Aqil yang duduk di pangkuan neneknya kelihatan semakin mesra dan tidak takut-takut lagi.
Sebaik sahaja telefon dibuka Syafika melihat mesej wassapp yang berpuluh-puluh.Ada arahan dari ketua jabatan tempat dia bertugas memintanya menyiapkan satu penilaian projek yang perlu diserahkan pada mesyuarat minggu depan.Ada juga wassap dari kumpulan rakan-rakan sekolah.Ada kumpulan wassapp dari rakan-rakan yang sama-sama belajar di Universiti Permata Timur dahulu.
‘Sayang, semoga menjalani percutian yang bermakna.Abang sayang pada Sayang’.Mesej ringkas dari Haikal membuat Syafika merasa sedikit lega.Sekurang-kurangnya Haikal tidak melupakannya dan Aqil.
Syafika mencari-cari mesej dari Amri.
‘Selamat kembali ke Kota Bharu.Saya berharap sangat kita dapat bertemu’
Mesej ringkas dari Amri menambahkan debaran di hati Syafika. Memang dia yang memaklumkan kepada Amri yang dia akan balik ke Kota Bharu pada hari ini.Nampaknya Amri tidak lupa tarikh ini.Timbul pula rasa menyesal di hati Syafika kerana memaklumkan kepada Amri tentang kepulangannya
Syafika mengalihkan pandangan keluar dari kereta yang sedang bergerak menuju ke rumahnya.Rumah kelahirannya di mana dia dibesarkan.Alangkah indahnya kampung halaman kelahiranku, bisik hati Syafika.
Syafika merasa seolah-olah Amri begitu dekat dengannya.Kalau jarak dari Kuala Lumpur ke kampus Universiti Permata Timur lebih kurang 400 kilometer dirasakan jauh tapi pada pagi yang cerah ini jaraknya dengan Amri hanya dipisahkan sejauh lebih kurang 60 kilometer. Terasa ingin dia terbang segera kepada Amri dan mendakap tubuh Amri.
‘Syafika, apakah kau telah lupa kepada suami dan anak?’ bisik hati Syafika membawanya semula kealam nyata.
Syafika merenung semula ke telefon dan membalas mesej dari Amri.Mesej dari Haikal dibiar tidak berbalas.
Syafika: Salam prof.Saya baru saja mendarat di KB.Dalam perjalanan ke rumah mak.
Lama Syafika menunggu jawapandari Amri namun hampa.
Sebaik sahaja tiba di rumah Syafika terus membawa Aqil ke dalam biliknya.Semenjak Syafika mendirikan rumahtangga dan berpindah ke Kuala Lumpur Noraini ibu Syafika tidak mengubahsusun atur bilik itu.Bilik itu memang tidak digunakan langsung. Adik Syafika juga telah ke sekolah berasrama penuh.
Syafika terbaring melepaskan letih di atas katil disamping Aqil disisinya.Aqil kelihatan begitu tekun bermain dengan alat permainan yang diberi oleh Noraini sebentar tadi.
Syafika merenung sekeliling bilik itu.Angin Laut China Selatan bertiup memasuki jendela bilik memberikan suasana nyaman tanpa memerlukan penyaman udara.
Terlalu banyak kenangan di dalam bilik ini.Di bilik inilah dia berbalas sms dengan Amri semasa mabuk bercinta satu ketika dulu. Di bilik ini jugalah dia meluangkan masa berjam-jam berbual dengan Haikal tanpa menghiraukan waktu yang menjangkau dinihari.Jika dinding bilik ini mampu berkata-kata, setiap patah perkataan dari bilik ini mampu diungkapkan menjadi sebuah novel.
Selepas menyalin pakaian Syafika memimpin Aqil keluar menuju ke dapur.Noraini telah menyediakan kuih kegemaran Syafika.Noraini mengusap kepala Aqil, mengeratkan lagi hubungan dengan cucunya.
“Ma, lusa Fika nak ke universiti lama Fika,” kata Syafika memula bicara sambil meneguk air kopi panas yang terhidang.
“Buat apa nak ke sana?” Noraini bertanya kehairanan.
“Ada sedikit masalah dengan urusan transkrip Fika dulu,” kata Syafika berbohong.Oh tidak Syafika, dah lama kau tidak berbohong seperti ini.Bisik hatinya.
“Nak bawak Aqil sekali?” tanya Noraini.
“Ye. Kalau Aqil nak tinggal dengan Ma tak apa tapi takut dia tak biasa nanti susah pulak.Cuma Fika nak pinjam kereta abah,” jawab Syafika.Dia berharap ibunya tidak perasan dengan perubahan nada suaranya.Nada suara orang berbohong.
“Ish, takkan nak bawak Aqil panas-panas.Nanti demam si Aqil ni.Aqil nanti duduk dengan nenek boleh? Mama Aqil ada kerja penting kat universiti,” kata Noraini.
“Boleh,” jawab Aqil dengan acuh tak acuh sambil matanya terus tertumpu pada permainan pembelian neneknya.
Lega Syafia mendengar jawapandari Aqil.
Terasa tak sabar untuk dia menunggu lusa.Hari yang akan mempertemukannya dengan Amri lelaki yang pernah dicintainya dulu.