Home Novel Cinta Cinta Bertaut Di Hujung Rindu
Bab 34

“Assalamualaikum Prof. Dalam pukul 10 pagi nanti kita akan bawak Prof ke dewan pembedahan.Harap puan boleh tukarkan pakaian prof dengan pakaian ini ye,” kata jururawat sambil meletakkan pakaian yang perlu dipakai oleh Amri semasa dia menjalani pembedahan pintasan jantung nanti.

“Minta Puan bukakan juga semua pakaian termasuk jam tangan dan cincin Prof nanti ye Puan,”kata jururawat sambil tersenyum memandang ke arah Zurina yang sedang duduk di atas kerusi berhampiran dengan katil Amri.

“Abang, bangun sikit boleh? Ina  nak buka baju abang ni, “ kata Zurina sambil menarik badan Amri, cuba menyandarkan Amri di kepala katil. Syuhada dan Liza hanya memerhati dari jauh. Amri memerhatikan wajah anak-anak perempuan dia sambil membayangkan siapakah yang akan menjaga mereka jika ditakdirkan pembedahan ini gagal dan dia meninggal dunia. Semalam dia sempat bercakap dengan Aizat yang menelefonnya dari Amerika. Dia tidak boleh bercakap lama dengan anak lelaki sulungnya kerana dinasihatkan oleh doktor supaya banyak berehat.

Semalam Amri telah memaklumkan di mana dia menyimpan segala dokumen-dokumen penting supaya jika terjadi apa –apa pada dirinya Zurina tahu apa yang dia perlu buat. Buku simpanan, Buku Tabung Haji, ASB, sijil-sijil insurans semuanya dimaklumkan kepada Zurina. Kalau terjadi apa-apa pada dirinya sekurang-kurangnya Zurina tidak terkapai-kapai tak tahu apa yang perlu dibuat.

Amri membayangkan bagaimanakah keadaan Zurina dan anak-anak andaikata dia pergi meninggalkan mereka. Selama ini Amrilah yang menguruskan hal-hal rumahtangga.Dari hal-hal membuat pembayaran bil bulanan, mengambil Syuhada dari sekolah  dan pelbagai seribu satu macam kerja lagi.Amri tidak dapat membayangkan adakah Zurina mampu mengambil alih semua itu darinya jika ditakdirkan dia tiada lagi di dunia ini nanti.

Amri juga membayangkan reaksi Syafika apabila dia tiada. Syafika masih muda. Dia ada kekasih hati. Tidak sukar bagi Syafika meneruskan hidup. Pemergian Amri lebih memudahkan Syafika didalam membuat penentuan dan pemilihan. Timbul rasa cemburu di hati Amri apabila memikirkan kehidupan Syafika dengan suaminya nanti.Syafika akan bahagia bersama suami dan anak-anaknya nanti.

Di saat-saat ini Amri teringin sangat mendengar kata-kata perangsang dari Syafika.Dia amat-amat merindui suara gadis itu. Tapi Amri faham Syafika tidak berani menghantar sms atau membuat panggilan telefon dalam keadaan Zurina sentiasa ada di samping Amri. Ingin juga Amri mengucapkan kata-kata terakhir kepada Syafika andai ditakdirkan pembedahan ini tidak berjaya dan dia tidak ada lagi di dunia ini nanti .Kalau boleh dia juga ingin memohon maaf dari kekasih Syafika kerana mencuri hati Syafika. Ya Allah, banyaknya dosaku padamu. Banyaknya dosaku kepada isteri dan anak-anakku.Tanpa disedari air mata Amri mengalir membasahi kelopak matanya. Menyedari keadaan itu Zurina yang duduk di sebelah Amri cepat-cepat mengesat air mata Amri dengan tisu di tangannya. Dia meletakkan kepalanya di dada Amri yang sedang terbaring sambil mengenggam erat tangan Amri.Ketika itu air matanya mengalir bagai empangan pecah. Kedua-duanya menangis teresak-esak.Syuhada dan Liza juga yang memandang dari jauh merasa kesayuan yang dirasakan oleh ibu bapa mereka.

Tiba-tiba pintu bilik diketuk perlahan. Dua orang jururawat bersama dengan seorang pembantu masuk ke bilik sambil menolak troli.

“ Prof, kita dah nak jalankan pembedahan sekejap lagi. Kami nak bawa Prof ke dewan pembedahan.Prof dah bersedia ke,? “ kata salah seorang jururawat bersuara lembut.

Dengan pertolongan pembantu lelaki mereka memindahkan Amri dari katil ke troli .Selepas itu pembantu menolak troli dengan pantas menuju ke dewan bedah diikuti oleh dua jururawat bertugas,Zurina, Syuhada dan Liza. Sebaik sahaja sampai di pintu dewan bedah jururawat memberhentikan troli  sambil memandangke arah Zurina dan anak-anak.

“ Maaf Puan.Setakat ini sahaja Puan boleh iringi Prof. Dalam tu tidak ada sesiapa yang dibenarkan masuk kecuali doktor dan petugas-petugas sahaja,” kata jururawat.

Zurina dan anak-anak mencium pipi Amri.Ketiga-tiga mereka menangis teresak-esak. Jururawat hanya memerhatikan sahaja drama yang berlaku di depan mata mereka. Mungkin sudah lali dengan  apa yang mereka saksikan setiap hari.

Sebaik sahaja pembantu menolak troli masuk ke dalam dewan pembedahan Amri merasakan suhu bilknya yang begitu dingin. Inilah kali pertama dia mengalami sendiri suasana 

 di dalam bilik pembedahan.Dia melihat sekeliling. Beberapa  orang kelihatan bersedia untuk melakukan pembedahan. Kesemuanya bergaun dan memakai penutup muka. Mengikut pandangan Amri ada lebih kurang 7 atau 8 orang yang berada di dalam bilik itu. Kesemua mereka bercakap dengan suara seakan-akan berbisik diantara satu sama lain.

Troli Amri ditolak ke tempat di mana pembedahan akan dijalankan. Seorang jururawat yang lengkap berpakaian memakai penutup mulut bergerak menghampiri Amri. Lampu cerah betul-betul menyinari tepat ke muka Amri.Melihat lampu cerah yang terus bersinar tepat kemukanya mengingatkan Amri lampu yang digunakan oleh doktor gigi ketika dia mendapat rawatan pergigian.

“ Prof, kita nak mulakan prosedur sebentar lagi. Prof tengok lampu tu. Prof mengucap dua kalimah syahadah lepas tu Prof kira satu sampai sepuluh ye? ,” kata jururawat bersuara lembut.

Amri menurut seperti yang diarahkan. Tidak sampai pun ke nombor sepuluh dia hanyut seolah-olah lelap dalam tidur yang panjang.

…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

Sayup-sayup kedengaran azan berkumandang. Amri mendengar tapi tidak mampu membuka mata.Adakah aku masih hidup? Adakah aku telah mati? Berjayakah pembedahan itu? Jika aku telah mati mungkinkah aku kini berada di syurga? Takkan mungkin ada azan di neraka. Semua persoalan itu bemain di minda Amri.

“Pesakit dah sedar doktor, “ kata jururawat bertugas. “ Ye ke, dalam setengah jam lagi saya akan sampai di hospital,” balas doktor Rujhan yang ketika itu baru selesai menunaikan solat Subuh di rumahnya.

Kira-kira setengah jam kemudian doktor Rujhan masuk ke bilik rawatan rapi diiringi oleh Zurina dan jururawat bertugas. Syuhada dan Liza menunggu di luar bilik.

Selepas melihat tekanan darah, degupan jantung dan beberapa bacaan doktor Rujhan memandang kearah Zurina sambil berkata , “ Alhamdulillah, Prof dalam keadaan baik. Tidak ada komplikasi pembedahan setakat ini. Dia perlu banyak rehat.Saya minta supaya tidak ada pelawat kecuali ahli keluarga terdekat dalam masa sehari dua ini.Biarkan prof tidur.Jangan ganggu dia, “ kata doktor Rujhan.

Zurina mengucap rasa syukur teramat sangat kepada Allah yang menunaikan doanya selama ini. Airmata kesyukuran menitis membasahi pipinya.Dia memegang dan menyapu-nyapu pipi Amri sebelum bergerak meninggalkan bilik rawatan rapi.

Amri mendengar segala yang diucapkan oleh doktor Rujhan kepada isterinya tapi dia tidak berdaya memberi  sebarang reaksi. Malahan nak membuka mata pun terasa kelopak matanya begitu berat sekali. Rasa bagai digam. Dia dapat merasakan sentuhan jari Zurina di pipinya.

Sebaik sahaja Zurina bergerak meninggalkan bilik Amri terus terlelap.

…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

Syafika terus berada di sejadah sebaik sahaja selesai menunaikan solat Subuh. Dia berdoa kepada Allah agar Amri selamat menjalani pembedahan pintasan jantungnya. Dia tahu Amri telah menjalani pembedahan itu pada pagi semalam. Hatinya meronta-ronta  ingin mendengar suara Amri. Terasa rindu yang teramat sangat untuk dia mendengar suara lelaki itu.Dia takut Zurina mengesyaki sesuatu kalau dia kelihatan terlalu rapat dengan Amri.

Setakat ini dia lihat Zurina tidak menaruh sebarang syak wasangka terhadap hubungannya dengan Amri. Dan kalau boleh biarlah keadaan itu kekal. Sekurang-kurangnya sehingga Amri sihat semula. Dia tidak mahu membebankan perasaan Amri sekeluarga. Bagi Syafika biarlah dia yang menanggung penderitaan seorang diri asalkan Amri bahagia. Itulah pengorbanan yang terpaksa dia lakukan sebagai orang  ketiga.

Selepas berzikir dan berdoa, Syafika bangkit dari sejadah dan bersiap sedia untuk pergi ke tempat kerja .sebaik melangkah dari biliknya dia melihat Suriati sudah bersedia.

“ Jom, lewat dah ni, ‘ kata Suriati sambil bergerak menuju ke pintu.

Sebaik melangkah masuk ke dalam kereta dan kereta bergerak perlahan meninggalkan rumah sewa mereka Suriati melihat ada sesuatu yang tak kena dengan Syafika.

“ Kenapa ni Fika. Akak tengok sehari dua ni Fika nampak macam tak bermaya aja. Fika tak sihat ke,” kata Suriati.

“ Taklah kak.Saya ok aja, “ kata Syafika.

“ Alah, dengan akak pun Fika nak berahsia? Akak kenal Fika. Fika gaduh dengan pak we ke? ,”Tanya Suriati.

“Eh, mana ada.Akak ni memandai-mandai aja, “ kata Syafika sambil mencebik bibir.

“Ke  teringat Prof?,” kata Suriati.

Syafika tunduk membisu. Dia tidak mengiakan dan tidak menidakkan.

“ Fika, akak dah malas nak cakap perkara yang sama berulang-ulang. Fika ada akal. Fika bukan budak-budak. Fika fikir sendirilah ye samada tindakan Fika ni betul ke salah, “kata Suriati sambil membelokkan kereta masuk ke kawasan letak kereta Universiti Permata Timur.

Suriati dengan Shikin ni sama aja, kata hati Syafika. Suka sangat memberi nasihat yang tak diminta.Hati Syafika memberontak.

Sebaik sahaja memberhentikan kereta Suriati membuka pintu kereta. Dia menunggu Syafika keluar dari kereta tapi Syafika tidak bergerak dari kerusi tempat duduk penumpang. Dia terus tunduk.

“Tunggu apa pulak tu. Dahlah kita ni dah lambat. Dia buat perangai pulak, “ kata Suriati meninggalkan Syafika di dalam kereta. Dia bergegas menuju ke bangunan pentadbiran untuk mengambil cap jari kehadiran seperti biasa setiap hari.

Dia lambat banyak kali tak apalah. Bos kekasih hati, bentak hati Suriati. Aku ni kalau lambat nanti dapatlah surat cinta dari bos, kata Suriati didalam hati sambil mengintai dari jauh Syafika yang masih membungkam di dalam kereta. Selepas mengecap jari di mesin tanda kehadiran dia terus kembali semula ke kereta.

“Fika, jangan jadi budak-budaklah. Malu orang tengok tu, “ kata Suriati sambil menarik perlahan tangan Syafika. Syafika bangun dan terus bergegas menuju ke bangunan pentadbiran.Suriati hanya mampu melihat dan menggeleng kepala melihat perangai Syafika yang kadang kala keanak anakan.

Previous: Bab 33
Next: Bab 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.