Home Novel Cinta Cinta Bertaut Di Hujung Rindu
Bab 3


Syafika melangkah pantas menuju ke kampus. Jam tangannya menunjukkan pukul 9.45. Masih ada 15 minit sebelum kelasnya bermula pukul 10 nanti. Shikin dan kawan-kawan serumahnya yang lain ada haluan masing-masing pada pagi itu. Liza mungkin  masih melayan mimpi. Shikin ada kelas pukul 8 pagi.Syafika tidak pasti di mana Ayu , Rita dan Rina. Mungkin masih di rumah sewa atau telah keluar dari rumah. Walaupun tinggal serumah mereka jarang dapat berbual dan bersembang bersama-sama. Masing-masing mengejar masa membuat ujian,kerja kursus dan segala macam tugasan yang tak pernah habis.

Kampus Universiti Permata Timur yang terletak di lereng sebuah bukit memang amat menarik. Menampung lebih lima ribu pelajar dari empat fakulti. Fakulti Perakaunan terletak di Blok D. Fakulti  Ekonomi dan Pentadbiran Perniagaan pula terletak di Blok C yang bersebelahan dengan Fakulti  Perakaunan. Fakulti Sains Tulin terletak di Blok A dan Fakulti Bahasa di Blok B. Di Blok Pentadbiran terletak pejabat Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor dan semua bahagian-bahagian pentadbiran Universiti Permata Timur.

Suasana kampus  amat sibuk pada pagi itu. Syafika berjalan menyusuri laluan yang digunakan oleh pelajar dan pensyarah menuju ke Blok D yang menempatkan Fakulti Perakaunan. Di sepanjang berjalan kaki menuju ke Blok D dia berselisih dengan beberapa orang mahasiswa dan mahasiswi yang bergegas menuju ke bilik kuliah masing-masing yang bermula pukul 10 pagi nanti.Sesekali dia berselisih dengan pensyarah dan kakitangan yang  berjalan kaki menuju ke destinasi masing–masing.Setiap kali dia berselisih dengan pensyarah dan kakitangan universiti  dia akan melempar senyum sebagai tanda hormat kepada mereka. Syafika berhenti singgah di kafe berhampiran Blok D untuk membeli beberapa keping kuih sebagai alas perut sebelum menuju ke kelas.

Setiap kali dia berselisih dengan kakitangan atau pensyarah lelaki matanya akan tertumpu kearah perut dan tangan mereka. Dalam hatinya tertanya-tanya, siapakah lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai Abang Pemikir itu. Adakah dia memang seorang pensyarah di universiti ini? Atau mungkin dia kakitangan. Mungkin juga dia siswa di sini. Yang pasti Abang Pemikir adalah seorang yang memang arif  dengan kampus Universiti Permata Timur. Jika tidak masakan dia boleh menceritakan dengan tepat tentang susun atur bangunan di Universiti Permata Timur.

Syafika melangkah masuk ke dalam kelas. Dia melabuhkan punggungnya di sebuah kerusi kosong bersebelahan dengan Wati. Dia mengeluarkan sehelai tisu dan mengelap mukanya yang bermanik dengan peluh. “Fika, berseri nampak pagi ni.”Syafika menoleh kebelakang. Kamarul tersengih memandang Syafika. Dari 25 orang pelajar di dalam kelas  Kewangan Korporat itu, cuma ada 5 pelajar lelaki. Kamarul adalah salah seorang pelajar yang  suka mengusiknya. Dia tau Kamarul menaruh hati padanya tapi dia sudah berterus terang kepada Kamarul yang hatinya sudah dimiliki. Dia sudah kenal Kamarul sebelum dia mengenali Haikal.Tidak ada cacat celanya Kamarul di mata Syafika. Kulitnya yang sawo matang, rambutnya yang lurus dan sederhana tinggi memenuhi cita rasa Syafika tentang lelaki idamannya.Tambahan pula Kamarul dari keluarga yang agak berada. Dia adalah diantara segelintir pelajar yang mampu berkereta sendiri . Kebanyakan pelajar siswa dan siswi di kampus ini samada berjalan kaki atau bermotorsikal. Berbasikal bukan pilihan terbaik memandangkan kampus ini terletak di lereng bukit.

Kamarul tidak pernah berputus asa memikat Syafika. Memang benar kata pepatah, hati perempuan umpama kerak nasi. Jika direndam dengan air lambat laun akan lembut juga.Walaupun Syafika tak pernah menganggap Kamarul sebagai kekasihnya tapi dia senang berkawan dengan Kamarul. Apabila pelajar-pelajar di kelas itu diarahkan membuat projek berkumpulan  dan mencari pasangan masing-masing Kamarul pantas memilih Syafika sebagai rakan projeknya. “Engkau jangan risau Fika. Semua aku siapkan. Nak cari bahan, nak siapkan slide powerpoint semua serah pada aku. Cuma aku nak mintak satu aja dari engkau. Engkau tak boleh berkata tidak pada aku,” kata Kamarul semasa berbincang tentang presentation yang mereka berdua akan buat. “Kalau semua engkau dah buat, semua dah kena serah pada engkau, aku nak buat apa pulak? Aku tak nak jadi penumpang  aja.Kesian kat engkau kalau semua engkau nak buat,” kata Syafika.

“ Yang lain semua serah pada aku, biar aku yang buat tapi boleh ke kau serahkan kasih sayang, hati, jiwa dan perasaan engkau pada aku?” rayu Kamarul dengan muka separuh berharap. Syafika tidak pasti samada Kamarul betul-betul serius atau sekadar bergurau. “Jangan nak mengarutlah Kamarul. Kan dah banyak kali aku cakap, aku dah ada boyfriend,”Syafika berkata.

Kamarul tersenyum sambil memandang muka Syafika. Dalam hatinya berkata, memang Syafika gadis yang begitu setia. Beruntunglah lelaki yang menjadi kekasihnya.“Sebenarnya aku nak minta engkau  yang buat presentation. Engkau taulahkan Bahasa Inggeris aku ni lintang pukang,” Syafika tersenyum saja mendengar penjelasan Kamarul.

Lamunan Syafika terhenti sebaik saja Encik Khalid, pensyarah Kewangan Korporat melangkah masuk ke dalam  kelas. Semua pelajar berhenti berbual dan menumpukan perhatian kepada Encik Khalid. Lelaki berkaca mata berusia sekitar awal lima puluhan itu menepati ciri-ciri yang Syafika bayangkan yang ada pada Abang Pemikir. Mungkinkah Encik Khalid adalah AbangPemikir? Kalau betullah Encik Khalid ini adalah Abang Pemikir, Syafika tak boleh nak bayangkan di mana dia nak letak mukanya bila Encik Khalid memandangnya nanti. Satu kesilapan besar bagi dia membenarkan Abang Pemikir melihat wajahnya di webcam malam semalam.

Kalau benar Encik Khalid adalah Abang Pemikir, dia bijak menyembunyikan hakikat itu. Tidak nampak riak wajah Encik Khalid menggambarkan yang dia adalah lelaki yang berchatting dengan Syafika malam semalam.Syafika merenung kearah perut Encik Khalid. Dia berfikir sejenak. Jika dilihat dari bentuk perut tu, dah macam perut Abang Pemikir. Dia memandang kearah pergelangan tangan Encik Khalid. Jam tangan yang dipakai oleh Encik Khalid mempunyai permukaan bersegi empat tepat sedangkan jam tangan yang dipakai oleh Abang Pemikir berbentuk bulat. Tapi Syafika terfikir, bukti jam tangan bukanlah bukti yang konklusif. Bukan satu kejanggalan untuk sesiapa pun memiliki lebih dari satu utas jam tangan. Walaupun dia duduk di barisan depan sekali tapi mustahil untuk Syafika boleh membaca jenama jam tangan yang dipakai oleh Encik Khalid.

Susah rupanya untuk menjadi pakar forensik  ini, kata hati Syafika.Setiap petunjuk perlu diteliti dan dikaji. Lebih mudah menganalisa Penyata Kewangan syarikat dari mencari bukti dan mengesahkan siapakah AbangPemikir. Siapakah dia? Bagaimanakah agaknya paras rupa dia?Adakah dia sekacak pelakon Aron Aziz yang menjadi kegilaan ramai? Pelbagai persoalan bermain di minda Syafika. Suara Encik Khalid menyampaikan kuliah cuma menjadi suara latar di dalam pemikiran Syafika. MemangSyafika tidak menggemari subjek ini. Istilah-istilah kewangan yang digunakan amat membosankan Syafika.. Penggabungan dan Penyatuan Syarikat, pengiraan dividen dan pelbagai topik yang disebut oleh Encik Khalid pada pagi itu  langsung tidak masuk ke kepala Syafika. Hanya Abang Pemikir saja yang berjaya menghuni kotak minda Syafika.

Encik Khalid menulis sesuatu di papan putih.Syafika menyalin apa yang ditulis walapun dia sendiri tak begitu faham denga napa yang tertulis itu. Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Sekarang dia yakin bahawa Encik Khalid bukannya Abang Pemikir. Bila dia perhatikan tangan Encik Khalid, didapati bula roma di pergelangan tangan Encik Khalid agak lebat berbanding denga bulu roma tangan Abang Pemikir seperti yang dia tengok di webcam malam semalam.

Memang sah yang Encik Khalid bukan Abang Pemikir. Syafika tersenyum sendirian. Dia sendiri tak faham kenapa dia terlalu obses untuk mengetahui identiti sebenar Abang Pemikir. Abang Pemikir adalah satu misteri.Satu enigma yang menghantui pemikirannya. Dia tak berpuas hati selagi dia tidak mengetahui siapakah insan sebenar di sebalik nama Abang Pemikir itu.

Sebaik kelas berakhir pada pukul 12 tengahari Syafika menelefon Shikin untuk makan bersama di kafe. Shikin datang bersama Ayu dan mereka bertiga makan di Kafe berhampiran Blok D.

“ Shikin, aku nak tanya sikit.Engkau tau tak mana-mana pensyarah di fakulti kita yang isteri dia outstation di KL dalam sehari dua ni?” tanya Syafika sambil  menjamu selera. “ Peliknya soalan engkau  ni Fika. Manalah aku tau isteri pensyarah mana yang outstation, isteri pensyarah mana yang tak outstation. Kalau pun isteri dia outstation, engkau nak mengurat dia ke? Ke dia ajak engkau keluar?Engkau jangan main-main dengan suami orang Fika. Orang kata suami orang ni kalau berkata-kata lembut gigi dari lidah. Engkau kenal dari mana pensyarah tu?” tanya Shikin.

“ Taklah, aku ada kenal sorang chatter ni . Dah banyak hari juga aku berchatting dengan dia. Dia cakap dia pensyarah kat sini.Rasa macam antara percaya dengan tidak. Ni yang aku nak cari siapakah dia,kalau betullah dia tu pensyarah kat sini,” terang Syafika panjang lebar. Ayu cuma mendengar tanpa memberi sebarang komen.

“ Engkau ni jangan mudah sangat percaya. Dalam internet orang boleh menipu. Boleh ubah-ubah identiti. Aku memang tak main chatting-chatting ni. Kalau betul-betul nak berkenalan  jumpa aja cakap terus terang,” Shikin memang suka berterus terang. Hubungan Shikin yang beberapa kali putus ditengah jalan dengan beberapa orang lelaki menjadikan dia seolah-olah begitu serik untuk menjalin sebarang perhubungan lagi.

“ Gerak hati aku memang kuat mengatakan dia ni pensyarah kat fakulti kita,” kata Syafika.

“Apa sebab yan gengkau yakin sangat chatter tu pensyarah kat fakulti kita? Ntah-ntah orang tu tak ada kena mengena langsung dengan universiti ni,“ kata  Shikin dengan nada skeptikal. ‘Sebab cara dia bercahatting tu aku boleh agak yang dia tu bukan orang sebarangan. Kalau boleh bercakap pasal forensic accounting, aku tak fikir orang yang bukan dari bidang perakaunan tau pasal benda tu,” hujah Syafikah lagi.

“Aku tak nak komenlah  pasal chatter tu. Bukan penting mana pun. Yang penting ada assignment  kena siapkan minggu depan, cuma sebagai kawan aku nak ingatkan engkau jangan percaya sangat pada lelaki.Lelaki ni bagi aku macam sesumpah, boleh bertukar warna kulit mengikut keadaan  ,” jelas Shikin sambil mengangkat punggung menuju ke sinki untuk membasuh tangan.

Selepas makan tengah hari mereke bertiga berjalan kaki balik kerumah sewa mereka. Syafika ada satu lagi kelas pada pukul 2 nanti.Selepas solat Zohor dia bersiap untuk ke kelas semula. Rita dan Rina sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah sewa sebaik saja Syafika melangkah keluar menuju ke kampus.

************

Amri menatap fail di depannya. Dia diminta mempengerusikan Panel  Penemuduga pensyarah-pensyarah baru yang memohon ke Universiti Permata Timur. Sepatutnya panel itu dipengerusikan olehTimbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik tapi pagi tadi dia diminta menggantikan beliau sebab Timbalan Naib Canselor terpaksa menghadiri mesyuarat dengan Menteri Pendidikan di Johor Bahru.Bersamanya ada empat  orang ahli panel yang turut sama menjadi penilai. Profesor Nazir , Dr. Kamil, Encik Rama dan Encik Haziq . Puan Nazirah bertindak sebagai setiausaha.

So, kita semua dah buat keputusan nak ambil calon nombor 3 dan calon nombor 5 sebagai pensyarah. Kalau berdasarkan ranking yang ada di dalam fail ini itulah keputusannya. Semua setuju ke?’ Tanya Amri.

Masing-masing menganggukkan kepala tanda setuju.

“Kalau macam tu saya kira selesailah mesyuarat kita ini. Terima kasih kepada Prof Nazir, Dr.Kamil , Encik Rama, Encik Haziq  dan Puan Nazirah atas kehadiran kemesyuarat ini, “ ujar Amri. Mereka berenam bersembang sambil menikmati kuih dan air kopi yang terhidang di atas meja mesyuarat itu.

“ Kalau nak pilih calon untuk jadi pensyarah tak sama ke kriterianya untuk pilih calon nak jadi isteri nombor dua?” Tanya Profesor Nazir  sambil ketawa berdekah-dekah dikuti dengan ketawa kecil oleh Dr. Kamil dan Encik Rama.Nazirah mencemik tanda tak setuju dengan lawak yang bersifat sexist itu. Profesor Nazir yang menghampiri umur persaraan memang dikenali sebagai seorang yang suka berlawak.Kadang kala lawaknya boleh menyakitkan hati bagi sesiapa yang tidak biasa dengan caranya.

“ Prof jangan bcakap macam tu. Prof Amri mana suka topik macam tu. Tak kan terlintas di hati dia nak buat macam tu kan?” Ujar Encik Haziq sambil memandang Amri.

“Air tenang jangan disangka tak ada buaya. Betul tak Amri?” tanya Prof Nazir. Amri tersenyum. Dia dah faham  sangat dengan perangai Prof Nazir yang telah dikenali lebih dari 15 tahun.

You tau tak?I  ada teori tentang tiga kategori lelaki bila bercakap soal berpoligami. Kategori pertama ialah lelaki yang bercakap nak berpoligami dan dia betul-betul buat apa yang dia cakapkan . Kategori ni I namakan sebagai lelaki berjiwa Hang Jebat. Berani buat dan berani tanggung akibatnya. Kategori yang kedua ialah lelaki yang bercakap nak berpoligami tapi tak berani buat. Yang ini I  namakan sebagai kategori Mat jenin. Suka berangan-angan tapi satu pun tak jadi . I  termasuk dalam kategori ini . Haha. Kategori ketiga ialah lelaki yang tak berani menyebut pun soal berpoligami apatah lagi nak buat. Kategori ini I  namakan sebagai kategori suami misali. Amri, I  masukkan you dalam kategori ni, hahaha,” kenyataan Prof Nazir itu disambut dengan derai ketawa oleh mereka yang hadir di bilik itu kecuali Nazirah yang mukanya masam mencuka.

Interesting theory. Nanti boleh lah kita berdua buat satu kertas kerja dan bentangkan kat konferens di Bandung . Sempat lagi nak hantar kertas kerja ni. Cuma saya nampak teori Prof  Nazir tu ada kelemahan sebab  Prof tertinggal satu lagi kategori. Lelaki yang tak bercakap pasal nak berpoligami tapi dalam diam-diam dia buat.Entah-entah saya masuk dalam kategori itu. Kita nak namakan kategori apa kalau lelaki macam tu?” tanya Amri sambil disambut dengan derai ketawa oleh tiga lagi lelaki yang berada di bilik itu.

“Kategori  pengkhianat atau pemusnah. Lelaki macam tu elok dihukum tembak aja,” kata Nazirah sambil menutup fail dengan keras. Mereka yang lain tertawa melihat gelagat Nazirah.

**************************

Selesai solat Isyak Amri membuka computer riba dan secara automatik Yahoo Messenger  tertera di layar. Terdapat beberapa offline messages yang ditinggalkan oleh Ika. Mengikut catatan masa yang tertera di Yahoo Mesenger itu, Ika telah beberapa kali meninggalkan mesej kepadanya. Pukul 5.30 petang, 6 petang, 7malam dan terakhir ialah sebentar tadi pukul 8.30 malam.Kesemua mesej itu berbunyi “ Pak Cik, I miss you.” Amri tersenyum dan berfikir. Dah angau kebudak ni? Dia pun menaip satu mesej “ Ika, jangan memuja bayang.Pesanan ikhlas dari pak cik.”

Dia signout dari Yahoo Messenger  dan mula fokus kearah mengedit kertas kerjanya yang akan dibentangkan di Bandung minggu depan. Ada beberapa perkara yang dia perlu diedit untuk menjelaskan lagi konsep yang cuba diutarakan di dalam kertas kerja itu. Syuhada berada di biliknya. Mungkin sedang menelaah pelajaran.

Tiba-tiba telefon tangannya yang diletak di sebelah berbunyi  .Dia menjawab panggilan dari Zurina.

“Abang tengah buat apa tu?” Tanya Zurina.

 “Tengah tengok-tengok kertas kerja ni,” balas Amri.”Sayang habis mesyuarat pukul berapa tadi?” dia bertanya pada Zurina.

“ Lewat jugak.dekat pukul 6.30 baru habis. Abang jangan lupa tau, Sabtu ni Ina sampai Kota Bharu pukul 11.30 malam,” Zurina mengingatkan Amri.

“Ok, Abang  akan ambik sayang nanti. Bye sayang. Love you,” kata Amri.

Love you too,”balas Zurina.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.