TAHUN 2017
“ Fika, tolong hulurkan pinggan tu.Kau ni dari dulu sampai sekarang makan tak pernah habis.Perut kau tu dah kecut ke? Ke jaga body sebab dah ada orang baru?,” kata Shikin sambil merenung wajah Syafika.
Syafika menghulurkan pinggan yang hanya luak separuh sahaja makanan di dalamnya.
“ Kau ni pun sama aja Shikin. Tak berubah dari dulu sampai sekarang. Kuat makan,” kata Syafika melihat Shikin menghabiskan makanan yang ditinggalkan oleh Syafika.
“ Hi hi,” Shikin tertawa sambil mengunyah makanan.
“Aku tanya kau tak jawab pun soalan aku,” kata Shikin sambil menolak ke tepi pinggan yang kosong.
“Apa soalan kau tadi?” Syafika bertanya.
“Ehh mak cik ni.Memang kuat beranganlah sekarang ni.Aku tanya , kau dah ada orang baru ke sekarang ni?” Shikin bertanya. Nada pertanyaan agak serius.
“ Mana ada. Aku masih sololah.Apa kau nak rekomenkan sesapa ke? “ kata Syafika tertawa kecil.
“ Kau tu yang memilih. Ramai aja yang nakkan kau tapi kau tu yang jual mahal. Dah dua tahun arwah tinggalkan kau.Hidup perlu diteruskan Fika.Aqil makin besar.Dia perlukan seorang bapa yang boleh dijadikan contoh dalam hidup dia.Tak rasa kesian ke pada Aqil.Orang lain ada mak, ada bapak.Dia ada mak aja,” kata Shikin beria ia.
“Aku ok aja.Aqil pun ok. Aku ada kerjaya sendiri. Aqil pun boleh aja menumpang kasih dengan bapa sedara dia.Sebelah Haikal pun ramai bapa sedara.Sebelah aku pun ada abang aku.Kau tak payahlah fikir pasal aku. Pandailah aku nak hidup,” kata Syafika cuba menepis kata-kata Shikin.
“Eh, aku nak tanya kau satu perkara.Memang aku tahu gaji kau dah cukup besar. Kau dah cukup makan minum.Tapi bila malam-malam nak tidur cuma peluk bantal aja kau tak rasa sunyi ke?” Shikin bertanya.
“Alah, yang kau ada suami tu tiap-tiap malam kau peluk suami kau ke? Entah-entah kau berpaling kekiri, dia berpaling ke kanan. Aku tahu sangatlah perangai orang kahwin ni,” kata Syafika.
“Hihi. Kau ni kalau bab menjawab memang pandai. Bukan aku tak kenal Syafika ni.Serius aku tanya ni.Takkan tak ada lelaki yang cuba dekati kau Fika,” Shikin memandang tepat ke mata Syafika.
“Ada tu memang ada Shikin.Tapi ramai lelaki tak jujur.Cuba ambik kesempatan.Mentang-mentanglah aku ni ibu tunggal.Dia orang ingat aku ni perempuan murahan ke,” kata Syafika.
“ Kau ni kan.Asyik berburuk sangka aja pada lelaki.Kalau sikap kau macam tu aku rasa sampai ke tua pun kau akan hidup sorang-sorang.Cuba kau fikir Fika.Aqil makin lama makin besar. Nanti satu hari dia akan berumahtangga. Nanti bila dia ada isteri takkan kau nak ganggu kehidupan keluarga anak kau. Masa tu kau mesti akan rasa sunyi tinggal sorang-sorang,” kata Shikin.
“Kenapa pulak aku kena hidup sorang-sorang.Aku ikutlah Aqil pergi mana pun.Aqil dah janji dia nak jaga mama sampai bila-bila.Aku tak boleh berpisah dengan Aqil,” kata Syafika.
“Yerlah sekarang ni dia kecik lagi.Dia bergantung pada kau.Nanti bila dia dah besar, dah ada kerja sendiri, dah ada keluarga sendiri lain pulak ceritanya. Kau boleh ke duduk bersama dengan menantu? Aku rasa jarang menantu perempuan boleh duduk serumah dengan mak mertua.Kalau datang ke rumah dia sesekali tak apalah.Tapi kalau duduk serumah tak lama perang tarik rambutlah jawabnya. Sebab tu ramai orang perempuan yang berdoa lepas solat minta dipanjangkan usia kedua ibu bapanya tapi minta dipendekkan usia mak mertuanya.Hihi,” Shikin bercakap dengan nada serius dan lucu bercampur aduk.
“Tak baik kau cakap macam tu Shikin.Mesti kau yang selalu berdoa minta dipendekkan umur mak mertua kau tu.Kan orang dah kata bila kita kawin dengan seseorang kita bukan berkahwin dengan suami kita aja tapi kita juga berkahwin dengan keluarganya juga kan. Kau dulu nak nikah tak pergi kursus perkahwinan ke? “ kata Syafika.
“Mak mertua aku dah meninggal lama sebelum aku kenal dengan suami aku lagi.Jadi aku bukan menantu yang mendoakan kematian mertuanya. “ kata Shikin sambil mengunyah kentang goreng berbaki di pinggan.
Syafika cuma tersenyum melihat gelagat Shikin.
“Aqil dah berapa tahun? “ Shikin bertanya.
“Dah lima tahun,”jawab Syafika ringkas.
“Cepat betul masa berlalu kan Fika? Ingat lagi kita duduk menyewa ramai-ramai. Aku, kau,Ayu,Rita dan kekawan yang lain.Seronok sangat masa tu,” kata Shikin mengimbau kenangan semasa di universiti.
“Masa tu kau asik bergayut telefon dengan Haikal aja.Aku pulak yang cemburu tengok kebahagiaan kau berdua masa tu,” kata Shikin.
“Shikin, aku minta tolong kau jangan cerita hal lama. Nanti aku sedih,” kata Syafika sambil cuba menahan airmata dari mengalir.
“ Maaf Fika. Aku tak berniat buat kau sedih,” kata Shikin.
“ Tapi dulu aku pun cemburu tau bila tengok kau macam nak mengurat Haikal. Ingat tak masa kita sama-sama ikut Haikal tengok tapak projek di Gua Musang. Masa tu kau dengan Haikal tak berhenti-henti bersembang.Aku punyalah cemburu.Kalau ikut hati nak aja buka pintu kereta terjun dari kereta tu. Kau pun satu dah tau Haikal tu kekasih aku yang kau cuba ngurat dia tu apa hal? “ kata Syafika membuka semula kisah lama Haikal dengannya walaupun pada mulanya dia melarang Shikin dari bercerita.
“ Ish kau niFika. Ke situ pulak yang kau fikir. Takkan aku nak buat macam tu pada kawan sendiri,” kata Shikin. Pada ketika itu ingatanya terhadap Haikal semakin membara.Dia sememangnya menaruh hati kepada Haikal tetapi pada ketika itu cinta Haikal terhadap Syafika begitu utuh. Shikin teringat bagaimana mesranya perhubungannya dengan Haikal ketika dia mula-mula sampai di Kuala Lumpur dulu. Sehingga dia tersalah tafsir budi baik Haikal terhadapanya. Cepat-cepat Shikin membuang ingatan terhadap Haikal jauh-jauh.Timbul rasa bersalah di hatinya terhadap Zaine suaminya yang telah memberikan kebahagiaan kepadanya dan seorang cahaya mata yang comel.
“Fika, kita kena balik pejabat ni.Dah lama kita kat sini.Kau tak apalah bos.Aku ni kuli aja.Nanti kena leter dengan bos pulak kalau masuk lambat,” kata Shikin.
“Aku nak tanya satu soalan terakhir sebelum kita balik ni.Sampai bila kau nak berterusan hidup macam ni.Kalau kau betul-betul serius nak aku carikan pasangan untuk kau aku boleh tolong carikan.Kau bagi aja spesifikasinya.Ala-ala Aron Aziz? Ala ala Fattah Amin? Kau sebut aja. Aku boleh cari,” kata Shikin bersungguh.
“Bagilah aku masa untuk aku Shikin.Aku masih belum boleh lupakan Haikal,” kata Syafika.
“Dua tahun Fika. .Berapa lama lagi kau nak tunggu?Masa muda, masa cantik inilah kau kena ambik peluang.Sementara body pun masih tegang sana , tegang sini.Nanti bila dah tua berkedut sana berkedut sini tak ada dah lelaki yang nak. Masa tu baru terhegeh-hegeh minta tolong aku carikan memang aku tak layanlah,” kata Shikin.
“Jiwa, hati dan perasaan bukan boleh dipaksa Shikin.Seumur hidup aku ada dua orang lelaki sahaja yang berjaya mencuri hati aku, Haikal dan Prof Amri.Haikal dah tak ada. Prof Amri suami orang.,” kata Syafika.
“Ye aku tau kau sayang sangat-sangat pada arwah,” kata Shikin.
“Sebab tu sampai sekarang aku tak tergamak guna perkataan arwah untuk Haikal. Bagi aku Haikal tetap hidup subur dalam hati aku ni,” kata Shikin.
“Fika, Prof tu masih berhubung dengan kau lagi ke? “ Shikin bertanya kepada Syafika.
“Dulu masa Haikal baru meninggal dia selalu juga wassap aku.Tanya khabar tentang aku,tentang Aqil tapi aku tak pernah balas wassapp dia.Perasan bersalah aku terhadap Haikal menyebabkan aku seolah-olah menyalahkan Prof itu atas kecurangan aku terhadap Haikal. Lama kelamaan bila aku tak pernah balas wassapp dia , dia berhenti dari menghubungi aku.Tapi aku tak pernah lupa tengok gambar profil dia setiap hari.Aku suka tengok keluarga dia bahagia.Anak-anak dia pun dah kerja rasanya kecuali yang bungsu itu aja yang masih belajar,” kata Syafika menjelaskan dengan panjang lebar.
“Wah, ini betul-betul pemuja jarak jauh. Kalau kau betul-betul masih sayangkan dia apa salahnya kau hubungi dia semula.Aku rasa Prof tu pun mungkin suka kalau kau hubungi dia semula sebagai kawan” Kata Shikin.
“ Tak naklah Shikin.Cukuplah aku buat kesilapan dulu. Ganggu rumahtangga orang. Aku tak nak dah ulangi kesilapan yang sama sekali lagi.Dia ada keluarga yang bahagia.Aku tak nak jadi penganggu rumahtangga orang,” kata Syafika.
“Agaknya dia dah pencen.Sekarang berapa umur dia? “ Shikin bertanya Syafika.
“Tak pastilah Shikin. Mungkin dah pencen. Kalau belum pencen pun dekat-dekat nak pencen.Mungkin dah dekat 60 tahun umur dia sekarang ni,” kata Syafika.
Bercakap tentang Prof Amri Syafika teringat bagaimana dia telah pergi ke Melaka bersama Amri semasa Haikal berada di Bangkok.Ya Allah, betapa besarnya dosaku kepada arwah suamiku.Tiba-tiba air mata jernih membasahi kelopak mata Syafika.Cepat-cepat dia mengelap air mata , bimbang jika Shikin ternampak.
“Aku sebagai kawan cuma boleh bersimpati tapi yang menanggungnya engkau sendiri.Bagi aku apa salahnya berhubung dengan Prof tu sebagai kawan bukannya kekasih.Sekurang-kurangnya boleh juga menghilangkan rasa sunyi kau tu, “ kata Shikin.
“Cukup-cukuplah tu Shikin.Aku tengok kau ni pun satu.Dulu masa aku berkawan dengan Prof tu kaulah orang yang paling kuat menentang.Nasihat aku macam-macam.Cuma aku aja yang degil tak makan nasihat.Sekarang ni kau pulak yang suruh aku berbaik dengan Prof tu.Macam tak kena aja nasihat kau kali ni,” kata Syafika.
“Dulu lain Fika,sekarang keadaan dah berubah.Dulu ada Haikal, sekarang Haikal dah tak ada,”kata Shikin.
“Tapi isteri Prof tu masih ada lagi.Aku tak nak jadi pengganggu rumahtangga orang” kataSyafika
Mana kau tahu isteri dia masih ada? Etah-entah dah tak ada.Hihi,” Shikin ketawa.
“Ish ish kau ni Shikin, kenapalah perangai kau tak berubah-ubah dari dulu sampai sekarang,”kata Syafika.
“Aku malas dah nak melayan kau ni.Nanti kepala aku jadi pening,” kata Syafika sambil bingkas bangun.
“Tu yang orang suruh kawin cepat-cepat. Kalau sakit pening ada orang yang jaga,” kata Shikin sambil dia juga bangun meninggalkan restoran makanan segera itu.
“Yerlah,yerlah.Nanti aku iklan besar-besar.Mana-mana jejaka yang nak kawin dengan aku dapat rumah dan kereta percuma.Dan dapat anak yang ready made .Tak payah bersusah payah bertungkus lumus buat anak. Hihi,” kali ini giliran Syafika pula yang ketawa besar.
Shikin berpaling dan mencubit lengan Syafika.Syafika menjerit kesakitan.