Home Novel Cinta Cinta Bertaut Di Hujung Rindu
Bab 10

Malam ini dah masuk malam kedua Zurina berada di Tokyo.Petang tadi dia sempat menelefon Amri bertanyakan tentang Amri dan Syuhada.Sekembalinya Amri dari masjid yang terletak berhampiran dengan kediaman mereka, Amri menonton televisyen. Dia jarang berkesempatan untuk menonton televisyen disebabkan hambatan kerja yang mencuri masa dan tenaganya.

 

Sesekali Syuhada menghampirinya untuk bertanya soalan tentang perkara-perkara yang kurang jelas dengan apa yang dipelajari di sekolah. Tini telah lama masuk kebiliknya. Dia memang selalu tidur awal setelah letih bekerja seharian.Tambahan pula Tini memang bangun awal setiap pagi untuk menyediakan sarapan untuk Amri sekeluarga.

 

Jam 11 malam Amri mematikan televisyen dan masuk ke bilik tidur setelah Syuhada masuk tidur.Dia mencapai komputer bimbit dan membuka komputer bimbit sambil menyandarkan badannya di kepala katil.Kelihatan Ika sedang online dan Amri menyapanya.

 

Abang Pemikir: Salam. Dah lama ke online?

Ika: Baru aja . Pak cik kat mana ni?

Abang Pemikir: Kat rumah.

Ika: Aunty mana?

Abang Pemikir: Aunty kat Tokyo. Dia ada seminar di sana.

Ika: Oh. Lama ke kat Tokyo?

Abang Pemikir: Seminggu aja. Dah dua hari dia pergi.

Ika: Kesian pak cik tidur sesorang. Nak saya temankan ke?Hihi

Abang Pemikir: Haha. Nakal Ika ni. Kalau kena cekup dengan orang kampung apa saya nak jawab?

Ika: Kalau kena cekup dengan orang kampung kita nikahlah.Apa susahnya.

Abang Pemikir: Mudahnya jawapan Ika. Hidup tak semudah tu.Banyak perkara perlu difikirkan.

Ika: Alah pak cik ni. Ika gurau aja. Dia janganlah ambil serius sangat.

Abang Pemikir: Tapi pak cik ambil serius kalau betul awak nak nikah dengan saya. Lelaki mana yang nak menolak kalau perempuan muda,cantik dan terpelajar macam Ika ajak saya nikah. Haha.

Ika: Ika gurau ajalah pak cik. Ika pun tak lama lagi nak bertunang. Ma dah bising kata tak baik bercinta lama-lama tapi tak ada ikatan.

 

Tersentap hati Amri membaca kenyataan Syafika itu. Seribu satu macam perasaan menjelma di minda Amri. Cemburu, sedih, marah dan kecewa bercampur baur.

 

Abang Pemikir: baguslah kalau Ika nak bertunang. Rasanya nanti bila Ika dah jadi tunangan orang pak cik takkan bersembang lagi dengan Ika. Tak manis suami orang dan tunang orang berchatting.

Ika: Ala pak cik ni. Kalau Ika dah jadi tunang orang ke, isteri orang ke apa salahnya kita berchatting. Bukannya ada apa-apa pun kan?

Abang Pemikir: Memanglah tak ada apa-apa tapi pak cik tak suka ganggu hak orang lain. Oklah Ika ya, pak cik nak tidur ni.

Hati Syafika tertanya-tanya. Adakah Prof Amri merajuk dengan kata-kata dia sebentar tadi. Emosional juga orang tua ni, bisik hati Syafika.Tak apa, pandailah aku pujuk, katanya lagi di dalam hati.

 

Ika: Maaf ya kalau ada kata-kata saya yang menyebabkan pakcik tak suka. Saya selesa bersembang dengan pak cik. Sejujurnya semenjak kita kenal fikiran saya sekarang ni sentiasa ingat pada pak cik. Malahan mengatasi ingatan saya terhadap buah hati saya sendiri. Pak cik percaya tak? Setiap kali ada panggilan telefon atau sms saya sentiasa berharap panggilan telefon dan sms itu datang dari pak cik. Kalau panggilan itu datang dari Haikal saya sedikit rasa kecewa. Pelik kan? Tapi saya jujur dan berterus terang dengan pak cik.

 

Abang Pemikir: Siapa Haikal?

 

Ika: Haikal tu buah hati sayalah pak cik.

 

Sekali lagi hati Amri tersentap.

 

Abang Pemikir: Oh. Namanya pun sedap macam nama bintang filem. Mesti orangnya pun kacak.

 

Ika: Isteri pak cik pun saya rasa tak kurang cantiknyakan?Pak cik nak tidur pukul berapa? Dah lewat ni.

 

Amri memandang jam di tangannya. Sudah hampir pukul 12tengah malam.Sesekali dia beralih kedudukan apabila terasa lenguh menyandarkan badan terlalu lama di kepala katil.

 

Abang Pemikir: Kalau Ika nak tidur dulu Ika tidurlah. Pakcik belum rasa mengantuk lagi ni. Lagipun bukan selalu boleh berchatting sampai tengah malam macam ni. Kalau aunty ada mesti dia bising ajak pak cik tidur. Dia risau pak cik tak cukup tidur. Nanti menjejaskan kesihatan pulak. Ika ada kelas pukul berapa besok?

Ika: Besok kelas pukul 10. Bolehlah bangun lewat sikit.

Abang Pemikir:Mesti nanti terlepas Subuh kalau tidur lewat.Tak baik tau.

Ika: Alah pak cik ni. Saya tengah cuti-cuti Malaysia lah.Hihi

Abang Pemikir: Oh. Patutlah rileks aja tidur lewat. Pak cik ada meeting pagi besok.

Ika: Pak cik tidurlah dulu.Saya nak sambung study sikit lagi.

Abang Pemikir: OK. Nite Ika

Ika: Nite pak cik. Love you.

 

Amri cuma tersenyum melihat perkataan yang terpapar di layar komputer bimbit itu. Dia mematikan komputer bimbitnya. Beberapa minit kemudian Amri terlena diulit mimpi

 

……………………………………………………………………………………………………………………………………

 

 

 

Syuhada memuncungkan mulut sambil menarik muka masam. Amri tahu anak perempuannya itu marah sebab dia terlewat sedikit pada pagi ini.Sesekali Amri melihat jam di dashboard keretanya.Baru pukul 7.10 pagi. Bukanlah lambat sangat pun,kata Amri di dalam hati.

“ Abah, boleh tak potong ikut sebelah kiri,” kata Syuhada dengan nada tidak sabar. Deretan kereta yang menunggu lampu isyarat bertukar dari merah ke hijau semakin bertali arus.

“Hada, tak baik sakitkan hati orang. Kalau abah potong ikut kiri nanti orang lain marah,” kata Amri. “Sabarlah sikit. Bukan jauh sangat punl agi,” Amri memujuk anak bungsunya.

 

Syuhada semakin menunjukkan wajahnya yang semakin kelat.Jari jemari nya memintal tali beg sekolahnya. Amri  faham sangat dengan perangai Syuhada. Dalam keadaan tertekan atau marah dia akan mencari sesuatu untuk dipintal. Kalau tidak tali beg, dia akan memintal hujung rambutnya. Tapi pagi ini tali beg menjadi mangsa kerana dia bertudung sekolah.

 

Di sebelah kiri Amri kelihatan beberapa orang penunggang motorsikal juga menunggu giliran untuk lampu isyarat berubah warna. Fikiran Amri mengimbau semula kenangan semasa dia kecil dulu. Motosikal Honda Cub arwah abahlah yang dilenjannya untuk kemana-mana. Sebagai abang sulung dia dipertanggunjawab oleh arwah abah untuk menghantar dan mengambil adik-adiknya kesekolah.Betapa susahnya arwah abah membesarkan dia lima beradik.Alhamdulillah, kesemua adik beradik telah berjaya dalam hidup. Alhamdulillah arwah abah sempat melihat kejayaan anak-anaknya.

 

Lamunan Amri terhenti sebaik terdengar bunyi hon kereta di belakang. Dia mengerakkan keretanya secepat mungkin. Syuhada cuma merenung keluar  tingkap sambil mulutnya mengomel menyatakan tidak puas hati kerana terlewat sampai ke sekolah.

 

Jam 7.25 pagi kereta Amri berhenti di luar pagar sekolah.“Tengok, kan abah dah kata Hada mesti akan sampai sekolah on time. Abah ni cekap bawak kereta mengalahkan Michael Schumachertau,” kata Amri cuba bergurau. Syuhada tetap memasamkan mukanya.

 

Selepas mencium tangan Amri, Syuhada bergegas menuju masuk ke kawasan sekolah. Hiruk pikuk kanak-kanak sekolah menceriakan suasana.

 

Amri teringat kata-kata   Dr. Rashid rakan sejawatnya. Dr. Rashid yang sebaya dengan Amri pernah berkata apabila kita ada anak kita akan terperangkap sekurang-kurangnya selama 21 tahun. Amri menyangkal kata-kata Rashid sambil berseloroh yang orang yang berkahwin dan ada anak  bukannya terperangkap tetapi mereka yang memerangkap diri mereka sendiri. Kata-kata Amri disambut oleh  Dr. Rashid dengan gelak.

 

………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Sudah 4 hari Zurina ke Tokyo. Hampir setiap malam Amri dan Syafika bersembang. Tak puas melalui YM mereka bersembang melalui telefon.Pelbagai perkara yang dibincangkan dari makanan kegemaran hinggalah ke pasukan bola sepak yang disokong. Amri tidak menyangka  Syafika adalah peminat sukan.

 

Pagi itu dengan wajah lesu separuh mengantuk, sebaik sahaja selesai menghantar Syuhada ke sekolah Amri terus ke pejabat. Suasana di pejabat masih lagi sunyi. Belum ramai kakitangan yang masuk kerana masih terlalu awal.

 

Sebaik sampai ke pejabat Amri lantas membuka komputernya.Seperti biasa dia akan membuka email dan mencatat mana-mana temujanji atau sebarang majlis yang dia perlu hadiri sepanjang hari. Dalam puluhan email dari dalam inbox email dari Syafika menarik perhatiannya dan dia membaca email itu.

 

Salam Prof,

Saya rasa terpanggil untuk menulis email kepada Prof. Selama beberapa hari aunty berada di luar negara kita banyak menghabiskan masa bersembang. Saya rasa seolah-olah telah mengenal prof selama bertahun-tahun walaupun hakikatnya tempoh perkenalan kita tak sampai pun 3 bulan.

 

Saya akui saya keliru dengan perasaan saya. Apabila dalam perbualan kita malam tadi Prof menyatakan rasa gembira sebab beberapa hari saja lagi aunty akan balik, saya rasa cemburu yang teramat sangat.Saya tak faham kenapa saya perlu rasa begitu. Padahal Prof bukannya kekasih saya. Saya merasakan kita tidak boleh berterusan begini.

 

Saya faham saya hanyalah gadis yang mentah dari segi pengalaman hidup. Saya akan anggap Prof sebagai ayah saya. Sebenarnya bukan saya tidak pernah mencuba menganggap Prof sebagai seorang ayah tapi hati saya ini cukup degil.

 

Saya rasa sebelum keadaan menjadi lebih parah, lebih baik saya berundur diri dari hidup Prof.Saya akui saya amat mencemburui hidup Prof yang boleh saya anggap sempurna.

 

Saya harap selepas ini saya takkan terserempak lagi dengan Prof di mana-mana pun. Kalau dulu saya akui hati saya begitu amat gembira untuk ke kampus tapi mulai hari ini saya merasakan menjejak kaki ke kampus seolah-olah memasuki penjara yang tidak ada jalan keluar.

 

Saya berharap Prof sekeluarga berbahagia dan dirahmati Allah dunia dan akhirat.

 

Yang Benar

 

Syafika

 

Amri membaca berulang-ulang kal email dari Syafika. Seakan tidak percaya bahawa apa yang dia baca itu dari Syafika. Malam tadi semasa bersembang melalui YM tidak ada sebarang tanda yang Syafika akan membuat keputusan sedrastik itu.Amri bergerak ke arah tingkap dan memandang ke luar.Dari jauh kelihatan berduyun-duyun mahasiswa  berjalan menghampiri kampus. Pejabatnya yang terletak di tingkat 3 bangunan fakulti memberikan panorama pagi hari yang begitu menarik tapi pada ketika itu jiwa Amri seakan kosong.Amri membayangkan antara ramai pelajar itu salah seorangnya ialah Syafika. Dia berjalan semula menuju ke meja. Dia melihat gambar keluarganya di dalam bingkai besar yang tergantung di dinding pejabatnya. Perasaan bersalah menyelinap ke dalam hati Amri apabila melihat gambarnya sekeluarga.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.