Amri menjeling kearah telefon tangannya yang terletak di atas meja disamping timbunan fail. Di hujung meja, Naib Canselor Universiti Permata Timur masih membincangkan tentang masalah pengurusan di universiti itu. Ahli mesyuarat yang hadir kebanyakkanya kelihatan kurang berminat dengan apa yang diperkatakan oleh Naib Canselor. Ada seorang dua yang mencatat butir perbincangan. Amri melihat ada 7 missed calls dari telefon tangannya. Jam telah menunjukkan hampir 5.15 petang. Amri meminta izin keluar sebentar dari bilik mesyuarat.
Sebaik berada di luar bilik mesyuarat Amrimelihat kesemua missed calls datangnya dari Syafika. Amri terus menghubungi Syafika.
“ Ika, minta maaflah hari ni mesyuarat lambat habis. Mungkin dalam 15 minit habislah tu. Ika tunggulah ye. Nanti saya datang ambil Ika sebaik saja habis mesyuarat,”kata Amri separuh merayu. “ Ika kat mana ni?” tanya Amri.
“Tak apalahProf. Saya pun tak boleh lambat ni. Dah janji dengan abah. Abah tunggu di Kota Bharu.Nanti kalau saya lambat kesian pulak abah tunggu lama, “ kata Syafika. “Kita jumpa lain kali lah ye. Boleh kan Prof?” kata Syafika dengan nada memujuk.
“ Tak boleh ke Ika tunggu sekejap. Kejap aja lagi. Bukan lama sangat,” kata Amri.
“ Saya tak boleh tunggu lama Prof sebab pak cik pemandu teksi ni pun dah tenung saya semacam aja. Macam nak marah sebab saya mintak tangguh 5 minit lagi. Penumpang lain pun dah pandang lain macam kat saya ni,” kata Syafika.
Mengikut amalan di pekan itu, teksi akan berjalan sebaik sahaja penumpang mencukupi ke sesuatu destanasi. Jika penumpang masih belum cukup 4 orang teksi akan menunggu.
“ Kalau Ika kata macam tu tak apalah. Saya tak boleh nak halang Ika. Tak apalah, lain kali aja kita jumpa ye? “ balas Amri dengan nada kecewa.
Dia masuk semula ke dalam bilik mesyuarat. Sambil duduk dia mengingatkan semula apa yang berlaku dari pagi tadi hinggalah perbualannya dengan Syafika sebentar tadi.
Seawal pagi selepas Solat Subuh Amri telah memilih baju kemeja yang baru dibeli dan yang tak pernah lagi dipakainya. Walaupun malam tadi dia tidur lewat kerana berchatting dengan Syafika tapi pagi ini dia bangun dengan rasa segar. Tidak nampak langsung tanda mengantuknya. Selepas memilih baju dan tali leher, dia mengenakan pakaian. Zurina hanya memerhatikan sahaja gelagat suaminya dengan sedikit rasa kehairanan. Pada kebiasaannya Amri bukanlah seorang yang mementingkan sangat cara berpakaian tapi pagi ini dia merasakan kelainan pada suaminya.
“ Abang, kenapa Ina tengok hari ni abang ceria semacam aja. Pakai baju baru, tali leher baru.Ada temujanji dengan buah hati ke? “ kata Zurina sambil memandang Amri.
Tersentap sedikit Amri dengan teguran isterinya. Dalam hati Amri berkata, memang betullah naluri wanita tak boleh dipandang rendah. Seolah-olah Zurina tau apa yang ada di dalam minda Amri.
Wajah Amri sedikit berubah dengan teguran Zurina tapi dia cepat-cepat menyembunyikan perasaannya itu.
“ Mana ada buah hati. Buah hati abang Ina sorang aja.” Kata Amri melangkah ke arah Zurina yang sedang duduk di bibir katil . Amri lantas mencium pipi Zurina.
Zurina membetulkan ikatan tali leher Amri dan membalas ciuman suaminya. Tidak terlintas langsung untuk dia mencurigai suaminya. Bukan setahun dua dia telah kenal dengan Amri.Zurina bangga apabila ramai kawan-kawannya yang memuji mereka berdua sebagai pasangan yang secucuk. Pasangan ideal. Pasangan misali.
Di dapur Syuhada sedang bersarapan sambil dilayan oleh Tini, pembantu rumah yang setia dengan keluarga Amri. “ Abah, marilah sarapan sekali, “ kata Syuhada. “ Tak apalah .Abah makan kat pejabat nanti” balas Amri.
“ Kalau abah makan kat rumah nanti lambat pulak Hada nak ke sekolah” kata Amri sambil bergerak keluar rumah menghidupkan enjin kereta.
Beberapa minit kemudian Syuhada muncul di muka pintu diiringi Zurina. Selepas memncium tangan mamanya Syuhada bergegas menuju ke kereta.
Sebaik sahaja selesai menghantar Syuhada ke sekolah Amri terus ke pejabat. Di pejabat dia tidak boleh menumpukan perhatian terhadap kerja-kerjanya. Dia teringat perbualannya dengan Syafika di Yahoo Messenger.
Aku perlu beli sesuatu untuk Ika bila jumpa dia nanti. Takkan nak jumpa dia dengan tangan kosong? kata Amri di dalam hati. Apakah hadiah yang sesuai untuk Syafika? Amri mencongak-congak di dalam minda hadiah yang sesuai untuk Syafika. Tiba-tiba dia teringat yang Syafika pernah memberitahunya, Syafika amat gemar makan coklat. Amri rasa tak sabar untuk ke sebuah pasaraya yang terletak berhampiran dengan universiti untuk membeli coklat. Dia berharap Syafika akan suka coklat yang dibelinya nanti.
Segala persediaan sudah dibuat tapi seperti yang selalu didengar oleh Amri sehebat mana pun perancangan manusia, jika tanpa izin Allah apa yang dirancang akan gagal juga. Nampaknya rancangan Amri untuk berjumpa dengan Syafika pada petang ini hampir menemui jalan kegagalan akibat mesyuarat yang melebihi masa.
Sebaik sedar dari lamunannya Amri terus menatap wajah naib Canselor yang masih tak berhenti bercakap. Kalau diikutkan hati mahu saja Amri menuju ke depan dan mematikan mikrofon Naib Canselor. Tapi tindakan itu tak masuk akal. Suka tak suka, hendak tak hendak Amri terpaksa mendiamkan diri. Amri memandang sekelingnya. Dia melihat disebelahnya Dr. Rama melukis kartun Doraemon di buku catatan. Di penjuru sebelah sana kelihata ustaz Salam yang tersenggut-senggut menahan rasa mengantuk.
Walaupun ada perasaan marah di dalam hati Amri dengan kelewatan mesyuarat ini tapi dia cuba menghibur hati melihat telatah ahli-ahli mesyuarat yang hadir pada petang itu.
Sebaik sahaja mesyuarat ditamatkan pada pukul 530 petang Amri terus menelefon Syafika.
“ Ika kat mana ni?” tanya Amri.
“ Saya dah dalam teksi. Teksi dah bergerak pun ni, “ kata Syafika.
“ Alah, tak boleh ke suruh teksi tu berhenti. Ika tunggu aja kat situ,nanti saya datang ambik Ika,” kata Amri separuh merayu.
Sebaik mendengar rayuan Amri Syafika merasa serba salah. Takkanlah dia nak berhenti di tengah jalan sedangkan dia dah bersetuju untuk naik teksi ke Kota Bharu. Pak cik pemandu teksi nampaknya memasang telinga cuba mendengar perbualan Syafika.Dalam hatinya berkata, kalau budak ni turun alamat kuranglah satu penumpang.Kuranglah pendapatan dia untuk hari itu.
Syafika merasa serba salah mendengar rayuan Amri. Hatinya berbelah bagi samada ingin meneruskan perjalanan ke Kota Bharu atau berhenti menunggu Amri di tepi jalan.
“ Ika sampai mana tu?” tanya Amri.
“ Dah sampai depan mini market Salwa,” jawab Syafika.Teksi telah bergerak meninggalkan pekan kira kira 10 minit yang lepas.
“ Ok. Ika turun teksi. Ika tunggu saya di depan mini market Salwa tu. Dalam 10 minit lagi saya sampai, “ kata Amri.
“Tak apalah.Kita jumpa lain kali ajalah, “ balas Syafika
“ Ika, jangan lahmacam tu. Bukan mudah kita nak jumpa lain kali,” kata Amri.
“ Ok. Nanti saya suruh pak cik berhentikan teksi kat sini ” Balas Syafika ringkas.
“ Pak cik, boleh tak minta tolong berhenti kat depan mini market Salwa tu. Saya nak berhenti kat situ aja. Saya bayar tambang sampai ke Kota Bharu juga. Pak cik jangan risau, “kata Syafika.
Mendengar yang Syafika akan membayar tambang penuh pak cik pemandu teksi tanpa teragak-agak memberhentikan teksi betul-betul di hadapan mini market Salwa.
Syafika turun selepas membayar tambang .Pak cik pemandu teksi sempat mengusik Syafika. “Ini mesti pakwe yang telefon,” kata pak cik pemandu teksi sambil tersenyum.Syafika hanya tersenyum mendengar kata-kata pak cik pemandu teksi.
Syafika berdiri menunggu Amri. Dia berharap tidak ada kawan-kawan yang dikenalinya nampak dia menunggu. Dia berselindung di sebalik pokok cermai di depan mini market. Kalau ada kawan-kawan atau sesiapa yang mengenalinya mesti mereka akan rasa hairan kenapa Syafika berdiri di situ dengan memegang satu beg galas. Seolah-olah menunggu seseorang.
Shikin pun tertanya tanya kenapa tiba –tiba Syafika membuat keputusan untuk balik kekampung pada minggu ini. Kebiasaannya Syafika cuma balik kampung sebulan sekali.Padahal dua minggu lepas Syafika sudah pun balik kampung. Apabila Shikin bertanya kepada Syafika dia hanya memberi alasan rindukan emak dan abahnya di kampung
Kelihatan dari jauh kereta mewah Amri memberi isyarat untuk memberhentikan kenderaannya.Syafika rasa gementar tapi dia tidak boleh berpatah balik. Dia tidak ada pilihan kecuali melangkah masuk ke dalam kereta.
“Assalamualaikum Prof, “ kata Syafika sambil duduk di tempat duduk penumpang di sebelah Amri. Dia merasa malu untuk menatap muka Amri.Beg galas yang di bawanya diletakkan di kaki.
“ Walaikumsalam.Dah lama ke menunggu?” kata Amri sambil melihat ke arah Syafika yang tunduk malu.
“ Baru aja.”Jawab Syafika ringkas.
Bau wangian yang dipakai oleh Syafika membangkitkan sikit rasa kelelakian Amri.
“Maaf Prof sebab menyusahkan Prof. “ kata Syafika sambil memandang ke luar .Kereta bergerak perlahan meninggalkan mini market Salwa.
“ Taklah. Tak menyusahkan saya pun. Kan saya yang ajak Ika jumpa , takkan Ika menyusahkan saya pulak,”balas Amri memandang wajah gadis itu yang tertunduk malu.
“ Macam mana kuliah? Semua ok ke? “ tanya Amri
“ Semua Ok. Cuma sibuk sikit sebab dah nak peperiksaan akhir ni, “ balas Syafika , masih memandang keluar. Dia malu untuk menatap wajah Amri.
Amri memperlahankan sedikit keretanya apabila kereta di depan membrek dengan tiba-tiba.
Mereka berbual tentang beberapa perkara sepanjang perjalanan kira kira sejam ke Kota Bharu.Sebaik kereta memasuki bandar Kota Bharu Amri bertanya kepada Syafika di manakah kebiasaannya dia menunggu abahnya.
“ Prof berhentikan saya dekat tepi kedai roti berhampiran dengan stesen teksi tu pun tak apa. Nanti saya tunggu abah kat situ,” kata Syafika.
“ Kan saya dah cakap banyak kali tak perlu panggil saya Prof. Saya setuju aja kalau Ika gantikan aja panggilan Prof dengan gantinama yang Ika cadangkan itu,” kata Amri ketawa kecil.
Syafika merasa amat malu dengan kata-kata Amri itu. Kalau ikutkan hatinya mahu saja dia meminta Amri memberhentikan keretanya pada ketika itu juga. Dia lebih rela menunggu abahnya di tepi jalan walaupu nkedai roti yang dimaksudkan hampir satu kilometer dari sini .Dia merasakan mukanya merah padam akibat rasa malu yang teramat sangat.
“ Saya bergurau aja. Maaflah kalau Prof tak suka dengan gurauan saya tu,” kata Syafika.
Amri tertawa kecil mendengar kata-kataSyafika. Rasa nak ketawa melihat Syafika yang malu-malu. Kalau dalam Yahoo Messenger bukan main lagi. Bila dah jumpa bersemuka, Syafika lebih gemar berdiam diri dan mengatur tutur katanya dengan Amri.
Jalan raya yang sesak di bandar Kota Bharu terutama menjelang hujung minggu melambatkan pergerakan kereta Amri. Setelah kereta Amri memasuki pusat bandar Syafika bimbang jika abahnya sudah sedia menunggu. Dia takut kalau-kalau abahnya nampak dia keluar dari kereta Amri. Mesti abah akan bersoal jawab dengannya nanti.Tumpang kereta siapa? Balik dengan siapa? Dan segala macam soalan yang akan ditanyakan.
Sebaik sahaja sampai di tempat yang dituju, Amri memberhentikan kereta. Dia mengambil bungkusan di tempat duduk belakang keretanya dan menyerahkan kepada Syafika.
“ Saya tak tahu nak belikan apa untuk Ika. Ika pernah beritahu saya yang Ika suka makan coklat.Harap Ika suka dengan coklat yang saya beli ni,” kata Amri sambil menghulurkan bungkusan berisi coklat kepada Syafika. Syafika menyambutnya dan membalas dengan ucapan terima kasih.
Sebaik sahaja membuka pintu kereta, Syafika memandang ke arah Amri. Sambil tersenyum Syafika mengucapkan terima kasih kepada Amri. Sepanjang perjalanan hampir sejam semenjak dari tadi inilah kali pertama Syafika memandang ke muka Amri. Amri membalas senyuman Syafika.
Amri kemudiannya memandu ke rumah dengan hati yang berbunga rasa gembira.