Home Novel Cinta Cinta Bertaut Di Hujung Rindu
Bab 25

“Kenapa senyap aja ni? Letih ke?” Haikal memandang Syafika yang duduk berdiam diri. Kesesakan bandaraya Kuala Lumpur di petang itu menambahkan lagi sesak nafas Syafika yang tidak biasa dengan hiruk pikuk kehidupan kota.


“ Hmm,” jawab Syafika pendek. Matanya terus memandang ke luar tingkap kenderaan yang dipandu Haikal. Syafika membandingkan kereta mewah Amri dan kereta Haikal yang agak sederhana. Syafika cuba menepis kenangan dia beberapa jam bersama Amri.

“Sayang, kita berhenti minum air dulu boleh? Mesti sayang tak sempat berhenti masa dalam bas tadi. Tadi bas berhenti makan di mana?”tanya Haikal cuba memancing Syafika untuk berbual dengannya.
“Tadi berhenti makan di Merapoh,” sekali lagi hati Syafika mengingatkan dirinya tentang pembohongannya, tapi fikirannya terus menyatakan dia tidak berbohong.Memang pun dia berhenti di Merapoh tapi bukannya naik bas. Jahatnya aku, kata hati Syafika berbisik.

“Abang, sayang letih sangat. Kita balik terus kerumah maksulah ye,Lagipun dah nak Maghrib ni.Nanti abang boleh singgah sembahyang Maghrib di rumah mak su. Entah-entah mak su dah sediakan makan malam,” kata Syafika sambil bibirnya menguntum senyum dan memandang wajah Haikal

“Eh, tak perlah.Abang segan dengan maksu. Kalau sayang letih abang hantar sayang balik terus. Lagipun pagi besok sayang kena bangun awalkan?Nanti abang ambik sayang dalam pukul 7 pagi besok. Ma, abah dan Syahira duduk rumah maksu juga ke?” Haikal bertanya.

“Tak, ma duduk rumah sedara dia. Besok janji jumpa di tempat konvokesyen tu,” kata Syafika.

“Ohh.besok jangan lambat tau. Kuala Lumpur ni bukan macam Kota Bharu. Sini sesak 24 jam. Lagipun mesti ramai orang di tempat konvokesyen tu nanti. Nak cari tempat letak kereta pun susah,” kata Haikal.

Lembayung senja semakin menyembunyikan wajah ibukota. Hampir senja Syafika sampai ke apartmen maksu. Syafika mempelawa Haikal singgah tapi Haikal keberatan.Haikal membawa beg Syafika sehingga ke depan pintu rumah maksu.Dia keberatan untuk masuk apabila mak su mempelawa Haikal untuk masuk ke rumah.

“Tak perlah maksu.Saya pun nak balik cepat juga ni. Lain kali saya singgah ye.” kata Haikal tersenyum memandang wajah maksu Syafika yang masih kekal jelita pada usia awal 40an. Selepas bersalaman dengan Syafika Haikal bergerak menuju ke keretanya.

........................................................................................................................................................................
Selesai makan malam dan selepas berbual seketika dan maksu dan paksu, Syafika masuk kedalam bilik yang dikongsi bersama dengan Adi, anak bungsu maksu yang berusia 3 tahun.Adi memang manja dengan Syafika. Sambil berbaring di sebelah Syafika Adi membelek-belek bungkusan coklat yang dibeli oleh Syafika ketika berhenti di stesen minyak tengah hari tadi.Sambil mengusap-ngusap rambut Adi Syafika melihat mesej di dalam telefonnya  Terdapat berbelas mesej dari Amri kepadanya. Tidak ada satu pun mesej dari Haikal.Syafika membanding lagi.

“Sayang tengah  buat apa” tanya Amri di dalam mesej yang dihantar kepada Syafika
.
“Abang rasa bosan duduk di hotel ini. Bilik besar tapi tidur sorang-sorang”kata Amri lagi melalui mesej yang dihantar.

“ Abang rehatlah ye. Besok kan abang kena bangun awal.Sayang banyak nak bagitahu kepada abang tentang isi hati sayang,” Syafika menaip mesej. “Nanti balik Kota Bharu sayang akan hantar email pada abang ye.

“Nite abang. Love you,”

Syafika tertunggu-tunggu panggilan atau sms dari Haikal tapi hampa.Syafika terlelap disamping Adi  yang memeluk rapat tubuh Syafika seakan enggan berenggang darinya.
........................................................................................................................................................................

Sebaik sahaja upacara konvokesyen selesai diadakan di Dewan Canselari yang tersergam indah itu, semua graduan melangkah perlahan-lahan bergerak keluar dewan. Di muka pintu dewan Syafika melihat Haikal, mama, abah dan Syahira tersenyum lebar menyambut Syafika. Haikal mengenggam sejambak bunga. Begitu juga Puan Noraini memegang jambangan bunga
.
Syafika tersenyum lebar melihat mereka.Suasana hingar bingar di luar dewan memeriahkan lagu suasana pada pagi itu.Masing-masing dengan keluarga dan sibuk bergambar.Sesekali Syafika menjeling cuba melihat kelibat Amri.Tadi semasa menaiki pentas dan menerima skrol dari Menteri Pendidikan selaku Pro canselor universiti Syafika sempat melihat Amri yang duduk di atas pentas bersama tetamu kehormat yang lain tersenyum kepadanya.Pada ketika itu dia rasa lemah lututnya apabila merasakan segala langkah dia dilihat oleh semua tertamu dan para graduan yang berada di dalam dewan.Lebih-lebih lagi apabila memikirkan Amri,lelaki yang bersamanya hampir sehari suntuk semalam turut berada di situ.

Syafika cuba juga mengintai rakan-rakan sekampus dengannya dicelah-celah orang ramai tapi masing-masing dengan hal tersendiri.Haikal,Syafika, Noraini ibu Syafika, Rahman ayah Syafika dan Syahira adik bungsu Syafika sibuk bergambar.Pelbagai gaya dilakukan oleh mereka.Sesekali dia menjeling kearah pintu besar dewan.Pada bila-bila masa sahaja tetamu kehormatakan berbaris keluar meninggalkan dewan.syafika tahu Amri adalah salah seorang tetamu kehormat yang akan berbaris keluar dari pintu dewan.

Sebaik sahaja juruacara mengumumkan perarakan keluar tetamu kehormat untuk meninggalkan dewan Syafika terus berhenti dari bergambar dan memandang ke arah pintu dewan. Ketika kebanyakan mereka yang berada di luar dewan tidak menghiraukan pengumuman tersebut dan terus dengan aktiviti masing-masing , Syafika seolah-olah menunggu seseorang untuk muncul dari dalam dewan.Dengan jarak pandangan lebih dari 500 meter di tengah-tengah kesesakan manusia memang sukar untuk Syafika melihat samada Amri telah keluar atau tidak dari dalam dewan.


Amri melangkah keluar dari dewan dan terus masuk ke dalam salah satu dari deretan kereta yang menunggu untuk membawa semua tetamu kehormat ke jamuan makan tengahari.Amri melihat dari dalam kereta Syafika dan beberapa orang yang berdiri berhampiran dengannya.Amri yakin Syafika tidak nampak dia kerana kereta itu bercermin gelap.Lelaki muda yang segak berdiri di sebelah Syafika itulah agaknya kekasih Syafika.Serta merta timbul rasa cemburu di hati Amri.

Perlahan-lahan kereta yang dinaiki Amri bergerak perlahan dipandu ke arah tempat di mana jamuan makan tengahari akan diadakan.Amri yang duduk di tempat duduk belakang sempat menoleh ke arah Syafika.Dia melihat dari raut wajah Syafika seolah-olah menunggu kehadiran seseorang walaupun lelaki  yang menjadi buah hatinya ada berdiri di sebelahnya.
........................................................................................................................................................................


“Tambah lagilah lauk tu aunty, uncle,” kata Haikal sambil menghulur pinggan berisi lauk ke arah Noraini. Rahman yang duduk di sebelah isterinya sedang tekun meratah ayam goreng kampung.

Keadaaan bising di dalam restoran itu tidak menganggu selera makan mereka berlima. Haikal sengaja membawa mereka makan jauh sikit dari dewan konvokesyen untuk mengelakkan dari kesesakan orang ramai tapi sangkaan dia meleset. Di restoran ini pun rupa-rupanya ramai para graduan dan ahli keluargayang menjamu selera selepas istiadat konvokesyen.

“Syahira boleh dapat 5A tak dalam UPSR?” kata Haikal sambilmemandang ke arah wajah Syahira yang sedang tekun menjamu selera.

Syahira sekadar tersenyum tersipu-sipu tanpa menjawab soalan Haikal

“Fika, Ma nak balik Kota Bharu pagi besok.Kereta pun kosong lagi, bolehlah balik sekali dengan Ma,” kata Noraini memandang Syafika.Haikal yang duduk di sebelah Syafika cuma mendiamkan diri.

“Alah Ma.Tak puas lagi nak bermain dengan Adi ,” kata Syafika merujuk kepada anak bungsu maksu.

“Lagipun dah janji dengan Shikin nak pergi shopping. Dah janji pun dengan Shikin nak balik sekali dengan dia “ kata Syafika  merayu pada ibunya.


“Kena tanya abah dulu.Abahnya, anak awak mintak tangguh nak balik tu,” Noraini seolah melambung bola kepada Rahman untuk membuat keputusan. Dia mengelak untuk membuat keputusan.

“Tak apalah. Bukan selalu pun dia datang Kuala Lumpur ni,”kata Rahman.

Syafika dan Haikal saling berpandang sesama sendiri.Memang dalam kereta sepanjang perjalanan dari rumah mak su ke dewan konvokesyen tadi Haikal telah berjanji untuk membawa Syafika membeli belah dan berjanji akan memberi hadiah kepada Syafika.

Selesai makan Haikal membayar makanan di kaunter.Syafika dan Haikal bergerak ke arah kereta Haikal sementara Noraini tiga beranak menuju ke kereta Rahman.Sebelum berpisah Noraini sempat meminta Syafika menyampaikan salam kepada maksunya dan meminta maaf kerana tidak sempat singgah ke rumah kerana kesuntukan masa.

“Jangan melencong ke mana-mana lepas ni. Balik terus kerumah maksu,” kata Noraini.

“Yelah, yelah. Ma ni,” jawab Syafika dengan rasa malu bila melihat Haikal tersenyum-senyum mendengar kata-kata Noraini.

Selepas bersalam-salaman mereka bergerak dalam dua kereta menuju kearah yang berasingan.
........................................................................................................................................................................


Haikal melepaskan tangan Syafika sebaik sahaja telefonnya berdering.Semenjak berada di kompleks membeli belah kira kira 2 jam yang lepas tidak kurang empat panggilan telefon berhubung dengan kerjanya terpaksa dijawab oleh Haikal. Walaupun Syafika rasa terganggu dengan panggilan-panggilan telefon itu dia cuba memujuk hatinya.Dia tak mahu bertengkar dengan Haikal dalam keadaan mereka terlalu jarang berjumpa.

Sesekali dia membelek telefonnya.Amri menghantar mesej memberitahu dia telah bergerak ke Kota Bharu selepas subuh pagi tadi.Pada ketika ini Amri telah sampai ke Kuala Lipis. Syafika merasakan kesunyian Amri kerana memandu seorang diri.Alangkah indahnya jika dia dapat menemani Amri di sepanjang perjalanan seperti semalam.

Lamunan Syafika terhenti apabila Haikal meyentuh bahunya dari belakang.


“Sorry sayang.Macam inilah kerja saya.Abang tau sayang tak suka macam ni. Tapi bukan abang sengaja,” kata Haikal cuba memujuk.

“ Tak apa. Faham,” jawab Syafika ringkas sambil cuba menyembunyikan perasaan kecewanya.

Selepas membayar harga pakaian Syafika, mereka berdua bergerak ke sebuah restoran untuk menjamu selera. Pada ketika itu pelanggan tidak begitu ramai lagi.Mereka memilih satu sudut yang agak terpencil .Selepas mengambil pesanan, pelayan restoran bergerak meninggalkan mereka berdua.

“Nanti abang bincang dengan keluarga abang untuk tetapkan hari untuk masuk meminang sayang,” kata Haikal sambil mengenggam tangan Syafika.Berubah air muka Syafika mendengar kata-kata dari Haikal. Nasib baik cahaya suram di restoran menyembunyikan perubahan raut wajah Syafika dari pandangan Haikal.


“Sebenarnya kalau boleh sayang nak kerja dulu. Nak rasa pegang duit sendiri sebelum kita kahwin,” kata Syafika.

“Ya.Nanti abang cuba carikan kerja yang sesuai untuk sayang di Kuala Lumpur ni.Lagi cepat sayang dapat kerja lagi cepat kita boleh nikah,”kata Haikal tersenyum.

“Abang pun bukan muda.Dah masuk 3 siri ni.Kalau lambat kawin lambat dapat anak.Nanti dah bongkok tiga hantar anak pergi sekolah orang ingat hantar cucu pulak. hehe,” Haikal ketawa kecil.

Sekali lagi fikiran Syafika melayang mengingatkan Amri. Jika dia tinggal di Kuala Lumpur dia tidak boleh lagi berjumpa dengan Amri.Syafika cuba untuk menghapuskan ingatan dia terhadap Amri, lebih-lebih lagi ketika dia sedang bersama Haikal.

“Sayang tau tempat sayang semestinya di sisi suami.Semua tu sayang tau,”kata Syafika cuba meyakinkan Haikal.Kelihatan Haikal agak ragu-ragu dengan kesediaaan Syafika berpindah ke Kuala Lumpur selepas berkahwin nanti.

“Cuma sayang minta bagi sayang sedikit masa lagi untuk sayang bekerja.Kalau boleh sayang nak bekerja untuk setahun dua di Kota Bharu lebih dulu.Tak sampai hati nak tinggalkan ma, abah dan adik serta merta.Dulu sekolah asrama penuh, lepas tu masuk universiti pun jarang balik rumah. Lepas ni dah kawin pun tinggalkan ma dan abah,” kata Syafika.

“Alah, Kota Bharu ke Kuala Lumpur tu bukannya jauh sangat.Naik kapalterbang sejam dah sampai,” kata Haikal merasa sedikit kurang sabar dengan alasan Syafika

“ Ke awak ada kekasih di sana?Ralat nak tinggalkan buah hati?” tanyaHaikal
.
Berderau darah Syafika mendengar soalan dari Haikal. Seolah-olah ada yang memberitahu Haikal tentang hubungannya dengan Amri.Tidak lain tidak bukan ini mesti Shikin punya kerja.Tapi takkan Shikin busuk hati sampai macam tu sekali?Syafika mencongak-congak jawapan yang dia cuba berikan pada Haikal.

“Eh, mana ada. Abang sorang ajalah buah hati sayang.Sedap-sedap dia tuduh kita , entah-entah dia kat sini perempuan keliling pinggang,” kata Syafika cuba membidas semula Haikal.

“Sayang ni.Abang ni tak ada masa pun nak jumpa perempuan.Kerja, kerja , kerja. Itu aja yang abang tau,” kata Haikal.

“ Nanti kalau dah kawin boleh ke abang kurangkan kerja abang tu,” kata Syafika.


“Sayang jangan risau.Abang kerja kuat , kerja 24 jam sehari semalam pun bukanuntuk orang lain. Untuk kita dan masa depan kita juga kan? “ kata Amri.

Syafika menguntum senyum. Telefon tangan yang sedang dipegangnya bergetar menandakan ada mesej yang masuk. Mungkin Amri ingin memberitahu Syafika lokasi terkini dimana dia berada.Syafika takut untukmembaca mesej di hadapan Haikal. Takut Haikal sedar riak air mukanya yang akan berubah ceria apabila membaca mesej dari Amri.

Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.