Home Novel Cinta Cinta Bertaut Di Hujung Rindu
Bab 18

“ Ok. Lepas tu?‘” tanya Shikin kepada Syafika sambil mengunyah coklat pemberian Prof Amri.

“ Lepas dia sampai, aku naiklah kereta dia,” jawab Syafika sambil mencubit sedikit coklat yang terletak di atas meja. Cuma mereka berdua sahaja yang berada di dalam bilik di rumah sewa. Rakan-rakan serumah yang lain membuat hal masing-masing di ruang tamu di rumah sewa itu.

“ Habis tu masa dalam kereta kau berdua buat apa? “ tanya Shikin dengan rasa ingin tahu.

“ Kami berbuallah. Dia banyak tanya tentang keluarga aku, “ balas Syafika sambil turut mengunyah coklat.

“Takkan berbual aja. Tak pegang-pegang tangan ke? Hihi “ hilai Shikin.

“ Ish kau ni. Ke situ pulak perginya. Kau ingat aku ni dah gila ke nak pegang tangan suami orang?” kata Syafika menjegil matanya ke arah Shikin.

“ Alah, kalau kau boleh keluar dengan suami orang, apa pulak nak heran kalau kau pegang tangan suami orang” jawab Shikin selamba sambil mengelap tangan dan mulutnya dengan tisu.

“ Kau jaga mulut kau bebaik ye. Kau ingat aku ni perempuan murahan ke” kata Syafika sambil tangannya mencari peha Shikin dan memberi satu cubitan ke atas peha Shikin.

Shikin menjerit kesakitan sambil menggosok-gosok pehanya yang sedikit kemerahan akibat cubitan Syafika tadi.

“ Sedap pulak coklat Prof ni beli. Bila pulak kau nak keluar dengan dia lagi. Nak pesan mintak dia beli lagi banyak coklat, “ kata Shikin sambil bergerak ke meja untuk menyambung kerja-kerjanya.

Syafika yang sedang duduk di birai katil hanya memerhati sahaja gelagat kawan baiknya yangt elah dianggap sebagai adik beradik dia sendiri.

 

Beberapa minit kemudian Shikin menoleh kearah Syafika yang masih duduk di birai katil sambil berbalas sms dengan sesorang. Shikin bergerak menghampiri Syafika sambil memandang wajah Syafika yang sedang leka berbalas sms.

 

“ Fika, kau bersms dengan sapa? Dengan Prof ke atau dengan Haikal?” tanya Shikin .

“Haikal” jawab Syafika ringkas sambil matanya tidak beralih memandang telefonnya. Sambil itu dia tersenyum-senyum.Mungkin ada sesuatu yang disampaikan oleh Haikal yang mencuit hati Syafika.Begitu leka dia dengan smsnya.

Tiba-tiba telefon tangan Syafika berbunyi. Panggilan dari Amri disambut Syafika dengan suara ceria. Shikin Cuma mampu menggeleng kepala melihat gelagat Syafika. Timbul juga sedikit rasa cemburu di hati Shikin dengan apa yang dilalui oleh Syafika.Syafika beruntung ada dua lelaki yang berjaya menawan hatinya sedangkan bagi Shikin tidak ada seorang pun lelaki yang ingin menghampirinya. Shikin akur dengan kelebihan dan kecantikan yang ada pada Syafika. Tidak hairanlah ramai lelaki yang terpikat dengannya.

 

Agak lama juga Syafika dan Amri berbual. Shikin cuba mengabaikan perbualan mereka dan cuba menumpukan perhatian kepada buku yang ditatapnya namun dia gagal. Sesekali terdengar Syafika ketawa kecil . Kalau melihat kepada kemesraan itu Shikin dapat mengagak yang hubungan antara Prof Amri dan Syafika bukan lagi sebagai kawan. Malahan mungkin lebih dari itu.

 

Sebaik sahaja Syafika berhenti dari bercakap dengan Amri , Shikin terus menegur Syafika.

Happy nampak?“ kata Shikin dengan nada seakan menyindir.

Syafika tidak menjawab teguran Shikin tapi cuma membalas dengan senyuman.

“ Fika. Aku nak tanya sikit boleh tak?” kata Shikin dengan nada sedikit serius.

“ Tanyalah”balas Syafika sambil jarinya ligat membalas sms yang mungkin datang dari Haikal.

“ Aku tengok kau ni semenjak kenal dengan Prof tu dah macam lupa diri sikit” kata Shikin.

Syafika tersentak mendengar kata-kata Shikin. Selama dia mengenali Shikin tidak pernah sekalipun Shikin menegurnya sebegitu.

“ Kenapa kau kata aku lupa diri pulak? “ kata Syafika sambil memandang Shikin yang duduk bersebelahannya di tepi katil.

“ Yelah. Aku tengok kau dah tak berapa fokus pada pelajaran. Dulu aku selalu jadikan kau idola aku. Kau kuat study. Tapi sekarang ni aku tengok kau lebih suka berchatting. Cakap telefon lama-lama” kata Shikin.

“ Aku taulah nak jaga diri aku. Kau ni kan kalau dah mula berleter macam nenek-nenek aja” kata Syafika sambil berpaling kearah lain. Jarinya masih terus bermain dengan telefon tangannya.

“ Aku tanya kau sesuatu yang agak peribadi sikit. Kalau kau rasa perkara ni terlalu peribadi,kau ada pilihan untuk tak jawab soalan aku ni “ kata Shikin.

“ Tanyalah.Kalau dengan engkau tak ada yang peribadi bagi aku. Semua aku cerita pada kau”kata Syafika.

“ Kau tak rasa bersalah ke terhadap Haikal bila kau keluar dengan Prof Amri tu? “ tanya Shikin.

“Memanglah aku rasa bersalah Shikin. Kalau aku tak rasa bersalah seolah-olah aku ni bukan manusia tapi robot yang tak ada perasaan” kata Syafika sambil memandang muka Shikin.

“ Kau tak rasa kesian pada Haikal?Apa perasaan kau kalau Haikal keluar dengan perempuan lain tanpa pengetahuan kau? Kau marah tak? “ tanya Shikin lagi.

“ Aku tau Haikal takkan keluar dengan perempuan lain. Haikal bukan lelaki yang macam tu”kata Syafika dengan rasa sedikit tertekan.

“ Kalau kau tau Haikal tu lelaki yang baik, kenapa kau perlu balas kebaikan dia dengan perbuatan kau yang keluar dengan Prof Amri tu. Kau tak fikir ke apa perasaan isteri dan anak-anak Prof Amri kalau dia orang tau apa yang kau buat “kata Shikin lagi.

“ Aku keluar dengan Prof tu pun bukan bermakna aku curang pada Haikal. Dia setakat hantar aku ke Kota Bharu aja.Kau aja yang buruk sangka. Suka fikir yang bukan-bukan.Entah-entah engkau cemburu sebab aku berkawan dengan Profesor, “ kata Syafika.

Shikin rasa tersentap dengan kenyataan Syafika itu. Belum pernah dia dan Syafika bertengkar sepanjang tempoh persahabatan mereka yang bermula semenjak dari bangku sekolah menengah hingga ke menara gading.

“Sedap mulut kau aja kata aku cemburu. Selama ni ada ke aku cemburukan kau masa kau dengan Haikal? Ada ke aku rasa cemburu bila keputusan peperiksaan kau lebih baik dari aku? Ada ke aku rasa cemburu keluarga kau lebih berada dari keluarga aku?.Kalau aku nak cemburukan kau dah lama aku patut rasa cemburu. Kalau aku nak cemburukan kau dah lama kita putus persahabatan.Aku tegur kau sebab aku dah anggap kau macam adik beradik aku sendiri. Aku tak nak kau hanyut nanti Fika.Aku tak nak kau jadi seperti pepatah Melayu yang dikejar tak dapat yang dikendung berciciran. Apa kurangnya Haikal? Kau fikir baik-baik apa yang aku cakap ni” kata Shikin.

“ Aku takut Prof tu nak ambik kesempatan bila berkawan dengan engkau” kata Shikin lagi.

“ Kau jangan buruk sangka pada Prof tu pulak. Kau tau tak? Masa dalam kereta hari tu tak usah kata nak ambik kesempatan, sentuh aku pun tidak” kata Syafika membela Prof Amri.

“ Alah, memula aja macam tu. Nanti lama kelamaan kau akan nampaklah belang sebenarnya. Kau bukan tak tahu perangai lelaki. Semuanya kalau berkawan dengan perempuan  semuanya tak ikhlas. Semua nakkan sesuatu”kata Shikin.

 

Suasana rumah sewa itu semakin sunyi. Mungkin penghuni-penghuni yang lain telah lena diulit mimpi. Dari jauh kedengaran bunyi dentuman guruh menandakan hari akan hujan.Shikin menutup tingkap rumah kerana angin yang masuk teramat dingin. Malam gelap pekat tidak kelihatan sabutir bintang pun di langit.

 

“ Satu lagi aku nak tanya pada kau. Boleh?” kata Shikin.

“Kau ni kan Shikin. Banyak betul pertanyaan malam ni. Ok, tanyalah apa yang kau nak tanya tu,” kata Syafika.

“Kalaulah Prof tu memang dah betul-betul sukakan engkau macam mana? Kau sanggup tinggalkan Haikal? “ kata Shikin.

“ Dahlah Shikin.Aku peninglah. Malas nak fikir. Nak tidur dah ni.kau nak tidur pukul berapa? Besok kan ada kelas pukul 8. Nanti terlajak tidur pulak nanti” kata Syafika berbaring di atas katil .

“ Kejap lagi aku tidurlah. Kau tidurlah dulu” kata Shikin .

 

Selang beberapa minit kemudian Syafika dibuai alam mimpi sementara Shikin masih tekun menghadap  buku.

 

…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

 

Amri melangkah masuk ke Klinik Rosli sambil disambut dengan senyuman penyambut tetamu. Rasa tidak selesa di sebelah dada kirinya semenjak malam tadi menyebabkan Amri membuat keputusan untuk ke Klinik Rosli. Doktor Rosli juga  adalah bekas rakan satu sekolah dengannya.Amri melihat jam di tangannya baru pukul 9 pagi

 

“ Doktor ada? “tanya Amri kepada penyambut tamu yang berusia awal 20an itu.

“ Doktor belum sampai lagi. Dalam 10 minit lagi dia akan sampai. Prof nak berjumpa doktor ke?“ tanya penyambut tamu berbaju kurung merah jambu dan bertudung sedondon.

“ Ya. Saya nak jumpa dia.Tak apa saya tunggu dia  “balas Amri ringkas.

 

Sambil menunggu kehadiran doktor Rosli Amri meluangkan masa membaca majalah yang di susun di rak di tepi dinding. Kebanyakan majalah berkaitan dengan bidang kesihatan dan penjagaan kesihatan. Sesekali mata Amri mencuri pandang kepada gadis penyambut tetamu yang berada di kaunter. Ketika itu dia teringat Syafika. Rasanya dia ni sebaya dengan Syafika, kata hati Amri.

 

Amri lantas mengeluarkan telefon tangannya dan menghantar sms kepada Syafika.Dia menunggu beberapa minit namun tidak ada jawapan dari Syafika. Mungkin dia ada kelas agaknya, kata Amri di dalam hati. Dia melihat jam tangan. Dia melihat juga telefon mengharap Syafika membalas smsnya.

 

Tiba –tiba daun pintu klinik ditolak oleh seorang. Kelihatan wajah seorang lelaki sebaya denganAmri masuk dengan bibir menguntum senyum.

“ Dah lama ke tunggu? Sorrylah lambat sikit pagi ni” kata doktor Rosli sambil mnghulur tangan berjabat dengan Amri. Oleh kerana tidak ada pesakit lain lagi yang berada di klinik itu doktor Rosli terus mengajak Amri masuk terus ke bilik rawatan.

 

Sebaik Amri menceritakan kepada doktor Rosli rasa tidak selesanya, beliau terus melakukan pemeriksan tehadap Amri .Doktor Rosli mengeluarkan stetoskop untuk memeriksa degupan jantung Amri.

 

“ I rasa you tak ada masalah dengan jantung you setakat ni. Tapi kalau nak buat pemeriksaan lebih mendalam kita buat ECG” kata doktor Rosli.

 

Doktor mengarahkan jururawat melakukan persediaan untuk membuat ECG terhadap Amri.Amri berasa risau juga takut-takut hasil ujian ECG akan memberitahu sesuatu yang dia tidak ingin tahu.Rasa berdebar untuk menunggu keputusan ujian.

 

Amri lega apabila diberitahu oleh doktor Rosli yang hasil ujian menunjukkan dia bebas dari sebarang masalah jantung.

 

“ I nak you kurangkan tekanan. Kena kawal makan. Jaga berat badan. Banyakkan buat senaman”kata doktor Rosli sebaik sahaja dia selesai memberitahu Amri hasil ujian ECG itu. Sebaik sahaja doktor menyebut pesanan itu mata Amri terus tertumpu kearah perut doktor Rosli yang agak boroi sambil tersenyum.

 

Menyedari pandangan mata Amri doktor Rosli tertawa kecil. “ Ikut apa yang doktor cakap tapi jangan buat apa yang doktor buat” kata doktor Rosli sambil ketawa kecil.

 

Memandangkan tidak ada pesakit lain yang sedang menunggu mereka berbual –bual sebelum Amri meninggalkan klinik .

 

“ Rosli, I nak tanya you ni. Pada peringkat umur kita ni kalau ada isteri  muda baik untuk kesihatan ke atau tak baik untuk kesihatan? “ tanya Amri dengan nada bergurau.

 

“ Haha. Jarang I dengar soalan macam ni. Taulah you Profesor kat universiti. Mestilah ramai siswi yang terpikat dengan profesor kan? “ kata doktor Rosli juga dengan nada bergurau.

 

“ Seriously. You memang ada isteri muda ke? Ke you tak percaya pada I, takut I mengadu pada Zurina. Haha” doktor Rosli ketawa.

“ Eh. Mana ada.Tadi tu I gurau-gurau aja” kata Amri tersengih.

“ Kalau ada apa salahnya. Nanti I bagi you ubat kuat. Maklumlah kita enjin lama ni mana nak  sama dengan enjin baru . Kena selalu jagalah”kata doktor Rosli di sambut dengan hilai ketawa Amri.

“ Tapi kalau untuk kesihatan minda, I nasihatkan you baik kekal dengan seorang aja. Kalau seorang pun susah nak handle, kalau ramai makin botak kepala nanti” kata doktor Rosli mengakhiri perbualan pada pagi itu .

 

Amri memandu semula ke pejabat dengan rasa lega kerana disahkan oleh doktor bebas dari masalah jantung.

 

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.