Amri menutup semula komputer di depannya. Sudah seminggu lebih dia tidak menerima sebarang email atau mesej dari Syafika. Ruang pejabatnya yang sepi sesepi hatinya. Amri,kenapa kau macam budak-budak? Bisik hatinya.
Dia membuka lembaran fail yang berada di meja di hadapannya. Dia membelek satu persatu dokumen dan membaca. Entah kenapa pagi ini hatinya merasa tidak tenteram. Seolah-olah ada sesuatu yang menghambat jiwa dan mindanya.Tiba-tiba telefon di mejanya berdering. Dia mengangkat gagang telefon.
“ Hello.Assalamualaikum,” Amri menjawab.
“Walaikumsalam.Prof, ni Syafika,” kedengaran suara di corong telefon.
Seakan tersentak dengan suara tersebut Amri terus bertanya, “ Syafika? Ika?” tanya Amri.
“Ye,’ jawab Syafika dengan suara sedikit bergetar.
“ Ika sihat?.Kenapa dah lama tak online. Saya sentiasa tertunggu-tunggu Ika online tapi hampa sebab sekarang awak memang dah lama tak online.” Kata Amri. Seolah hilang segala resah dan gelisah di hatinya selama ini.
“ Saya agak sibuk dalam seminggu dua ni. Prof sihat? “ tanya Syafika.
“ Kesian Ika buat call pada saya ni. Ika letak telefon, saya akan call balik,” Amri faham dengan masalah pelajar yang sentiasa mempunyai kekangan kewangan. Setiap detik panggilan adalah umpama menghabiskan wang yang amat berharga.
“ Eh. Tak apalah Prof. Saya sebenarnya ditugaskan untuk confirm semula dengan Prof tarikh seminar kita tu. Prof boleh datang ke?” kata Syafika.
“InsyaAllah saya akan hadir,” jawab Amri .
“Terima kasih Prof.” kata Syafika sambil mematikan telefon tangannya.Dia merasakan ada peluh dingin membasahi tapak tangannya.
Shikin yang duduk di sebelah Syafika cuma mampu tersenyum melihat gelagat Syafika.
“Fika, dari cara kau bercakap dengan Prof Amri tu aku nampak kau memang ada perasaan pada dia.Dengan suara menggeletar, dengan muka berpeluh. Itu bukannya normal,” kata Shikin.
“ Maunya tak berpeluh. Dia bukan calang-calang orang lah Shikin. Dekan Fakulti kita” kataSyafika.
“Baru sekarang kau sedar dia bukan calang-calang orang ye?. Yang kau siap berwebcam dengan dia tu tak berpeluh pulak ye? “ kata Shikin seakan menyindir.
“ Mana kau tahu aku tak berpeluh. Seluruh badan tau berpeluh,” kata Syafika sambil tertawa.
“Ish Ish. Ingat tuhan sikit Fika. Engkau buat apa sampai berpeluh satu badan tu? “ tanya Shikin sambil membayangkan benda yang bukan-bukan.
“ Kau ni Shikin.Suka buruk sangka pada aku. Tak baik tau, “ kata Syafika.
“ Aku bukan buruk sangka tak bersebab Fika tapi aku pelik sikit dengan perangai kau ni. Dah ada buah hati serba sempurna masih menggatal nak cari yang lain. Kalau kau dah tak nak sangat kat Haikal tu, bagi pada aku ajalah. Aku rela aja menjadi pilihan kedua,” kata Shikin.
“Wah wah. Kau ingat pakwe aku tu macam barang tepi jalan aja . Mudah-mudah nak lempar ke sana ke sini” sambil berkata tangan Syafika mencubit peha Shikin.
“ Adoi,” jerit Shikin kesakitan.Teriakan Shikin menarik perhatian beberapa orang mahasiswa yang sedang bersembang di dalam bilik kuliah itu.
………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………….
Sebaik selesai menyampaikan ucapan Amri diiringi beberapa orang pensyarah dan ahli jawatankuasa seminar bergerak ke bilik tetamu untuk jamuan ringan. Syafika menuang air ke dalam cawan tetamu. Encik Hussin yang duduk di sebelah Amri tak berkelip memandang wajah Syafika. Amri seakan mencemburui Hussin yang tak henti-henti memandang Syafika,menjadikan gadis itu merasa serba salah.
“ Sila Prof dan encik-encik semua makan apa yang ada ni. Mintak maaflah atas kekurangan,” kata salah seorang pelajar yang mungkin ahli jawatankuasa penganjur. Di atas meja terhidang pelbagai juadah. Ada mihun , roti jala dan pelbagai kuih muih.
“ Banyak lagi kerusi kosong ni. Panggil sekali ahli jawatankuasa untuk makan bersama. Kalau nak suruh kami habiskan semua ni memang tak laratlah. “ kata Amri.
Walaupun mereka kelihatan teragak-agak akhirnya sebahagian dari mereka duduk memenuhi kerusi yang kosong. Syafika duduk betul-betul berhadapan dengan Amri.Tiba-tiba Amri pula yang merasa kekok apabila dia merasakan seolah-olah Syafika memerhatikan gerak-gerinya.
Selepas makan Amri meminta diri untuk meninggalkan majlis dan kembali semula ke pejabat. Dia masih ada banyak urusan yang perlu diselesaikan. Seorang wakil siswa bangkit mengambil hadiah cenderahati sambil mengiringi Amri ke keretanya. Amri sedikit kecewa apabila Syafika tidak bersama mengiringinya ke kereta.
“ Terima kasih Prof kerana sudi datang merasmikan majlis kami yang tak seberapa ini. Minta maaflah kalau ada kekurangan sedikit sebanyak,” kata mahasiswa berkaca mata sambil menghulurkan salam kepada Amri.
Selepas bersalaman, Amri masuk ke dalam kereta.
Sebaik memasuki kereta dan menghidupkan enjin Amri sempat melempar pandangan ke luar memerhatikan jika Syafika masih berdiri di sana. Tapi dia tidak nampak Syafika. Mungkin Syafika telah masuk semula ke dalam dewan seminar untuk bersama-sama mahasiwa yang lain untuk sessi seterusnya.
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
“ Haikal, I nak you siapkan juga sekolah ni by hook or by crook sebelum sessi persekolahan tahun depan. Kalau tak kita akan ada masalah besar.You dah jadi jurutera kat sini bukan baru sehari dua. Dah masuk lima tahun. Takkan you tak tau cara kita bekerja,” kata Kamal sambil memandang ke arah Haikal.
“ Kalau sekolah ni tak siap kat mana kita nak letak bebudak tu. I lah yang kena menjawab pada Kementerian.Silap-silap nanti syarikat kita kena senarai hitam,” ujar Kamal.
Haikal menundukkan kepala sambil melihat segala plan dan dokumen yang bertaburan di atas meja di depan mereka. Halim dan Arshad yang turut berada bersama di dalam mesyuarat itu cuma mampu berdiam diri sambil memandang Haikal dengan wajah penuh simpati.Mereka dah masak dengan perangai bos mereka yang mudah menyinga dalam keadaan marah.
Peluh menitis membasahi baju yang dipakai oleh Haikal. Penghawa dingin yang dipasang di dalam kabin yang telah diubah suai menjadi pejabat tapak seolah olah tidak berfungsi.
“ I nak you bagi jaminan projek kita ni boleh siap dalam masa yang kita dah tetapkan. Kalau tidak bukan you aja yang tak akan ada kerja tapi business I pun akan lingkup. Boleh tak you all semua janji projek ni akan siap on time?” sergah Kamal kepada Haikal, Halim dan Arshad.
“ Sebenarnya Encik Kamal saya tak berani nak janji. Semua bergantung kepada faktor cuaca.Kalau tak hujan macam sekarang ni InsyaAllah kita boleh siap dalam masa yang ditetapkan. Tapi kita susah nak ramalkan cuaca sekarang ni, “ kata Haikal.
“ Sekarang ni boleh dikatakan tiap-tiap hari hujan,” sambung Haikal lagi.
Halim sebagai penyelia projek pula mencelah. “ Kita ada masalah dengan tenaga kerja. Minggu lepas pihak imigresen buat rush kat site kita ni. Lima belas orang pekerja Indonesia kita kena angkut sebab tak ada permit kerja . Sekarang ni memang masalah sikitlah kalau nak cari buruh binaan yang bagus,” kata Halim lagi.
“ Saya tak nak dengar alasan. Kalau saya datang sini nak dengar alasan baik saya tak payah datang,” rengus Kamal.” Saya nak projek kita siap dalam jangkamasa yang kita dah tetapkan. Kalau tidak, bukan awak semua aja yang akan bermasalah, saya pun akan gulung tikar nanti,”
“ Kalau perlu kita suruh pekerja kita tu kerja lebih masa sampai malam,hujung minggu kita kerah aja. Kalau perlu bayar bayaran lebih masa kita buat aja bayaran lebih masa. Yang penting kita kena siapkan juga projek ni on time ” kata Kamal sambil bergerak keluar tanpa menjamah kuih yang terhidang di atas meja.
Cakap memang mudahlah. Nanti suruh orang kerja lebih masa dia bising pulak cakap belanja besar. Tak ada untung. Kalau ikut hati rasa nak tumbuk aja muka orang tua ni,bisik Haikal di dalam hati sambil berjalan mengiringi Kamal ke keretanya.
Sebelum masuk ke kereta Kamal memandang sekeliling memerhatikan projek pembinaan sekolah yang sudah lebih 80 peratus siap.
“ Haikal. Mulai hari ni I nak you hantar pada I laporan harian. I kena pantau projek ni dengan lebih teliti,” kata Kamal sambil melangkah ke tempat duduk belakang kereta.
“ Baik Encik Kamal,” kata Haikal sambil menutup pintu kereta . Sebaik pintu kereta ditutup kereta bergerak perlahan dipandu meninggalkan tapak pembinaan. Haikal hanya memerhati sahaja debu-debu yang ditinggalkan oleh kereta Kamal.
Sebaik kereta Kamal telah hilang dari pandangan, Haikal mengeluarkan telefon dari poket seluarnya. Dia melihat ada 12 missed calls dari Syafika. Lantas, dia mendail nombor Syafika.
“ Sayang. Sorry tadi I dalam mesyuarat masa you call, “ kata Haikal sebaik sahaja Syafika menjawab panggilannya.
Di hujung sana kedengaran esakan tangisan Syafika. Haikal memang faham sangat dengan perangai Syafika yang mudah menangis apabila rasa tertekan.
“ Kenapa? You tak sihat ke?” tanya Haikal.
“ I fed up lah dengan you sekarang ni. Dahlah call susah sangat nak jawab. Nak harap you yang call I memang susah,” kata Syafika diiringi esakan tangis.
“ You bukan tak tau I kan sibuk. I kerja siang malam pagi petang bukan ke untuk masa depan kita juga?Lainlah kalau I berpoya-poya dengan perempuan lain ke, atau langsung ta kingatkan you sebab keluar dengan kawan-kawan ke. You kan faham kerja I macam mana, “ kata Haikal cuba memujuk Syafika lagi.
“Tu ajalah yang you tau. Kerja kerja kerja,” bentak Syafika. “ I rasa you dah berubah sekarang ni. Dulu pun you kerja juga tapi tak pernah lupakan I. Dulu kalau I bagitahu you I ada test ke, exam ke, mesti you akan wish I good luck ke apa ke. Sekarang ni tak usah kata nak wish good luck, tarikh harijadi I pun you dah tak ingat,”raung Syafika di hujung talian.
Alamak, harijadi dia hari ni. Macam manalah aku boleh lupa , kata hati Haikal.
“ Sorry sangat-sangat sayang. I janji nanti I belikan you hadiah istimewa ya,” kataHaikal.
Syafika mematikan talian tanpa mengucapkan salam. Shikin yang duduk di sebelahnya hanya mampu menggeleng kepala melihat Syafika yang menangis teresak esak.
“ Sabarlah Fika.Dia betul-betul lupa. Takkan kau tak boleh maafkan dia, “ pujuk Shikin.
“ Aku dah jemulah dengan kehidupan yang macam ni Shikin. Ada kekasih tapi macam tak ada. Orang lain aku tengok berkepit kesana kemari dengan pakwe masing-masing. Macam aku ni nak jumpa tiga empat bulan sekali pun susah,” kata Syafika.
“ Kau jangan cakap macam tu Fika.Kau sepatutnya bersyukur dapat buah hati yang baik, bertanggungjawab. Kau nak cari orang macam mana lagi?” kata Shikin.
“Ntahlah Shikin.Aku tau Haikal lelaki baik. Tapi aku tak tahanlah dengan lelaki yang lebih pentingkan kerja dari segala-galanya,” kata Syafika. “ Kadang-kadang aku fikir dia tu macam robot. Tak ada perasaan. Sampaikan tarikh hari lahir aku pun dia tak ingat,” kata Syafika.
“Aku lagi hairan dengan perangai kau ni. Setakat lupa tarikh lahir pun dah besar sangat bagi kau. Entahlah, aku dah malas nak nasihat kau. Kau dah besar panjang.” Kata Shikin menuju ke bilik air.
“ Aku nak mandi.Pukul dua nanti ada kelas. Malas dah nak melayan perangai kau ni,” kata Shikin merungut seorang diri.
Ketika Shikin berada di bilik air Syafika membuka komputer bimbit dan terus ke YM. Dia meninggalkan mesej yang mudah kepada Profesor Amri.Mesejnya berbunyi , “ Prof.Saya tension.”
Selepas berjumpa dengan Prof Amri beberapa hari lepas Syafika sering membayangkan betapa bahagianya Amri dan keluarganya. Dia boleh membayangkan Amri seorang yang penyayang. Dia teringat ketika matanya terpandang gambar Amri sekeluarga semasa dia dan Shikin berada di bilik Amri beberapa minggu lepas.
Salahkah aku mencemburui kebahagiaan orang lain? Kata hati Syafika.Haikal, kenapa semakin hari perasaan kasihku kepada mu semakin pudar. Ya Allah ya tuhanku, berikanlah kekuatan untuk aku menghadapi cabaran di masa-masa akan datang. Berikan aku ketenangan hati.
Sayup sayup Syafika terdengar laungan azan menandakan masuknya waktu Zohor. Perlahan-lahan dia mengelap air mata dan beredar mengambil wuduk. Selesai solat Zohor Syafika terus berdoa di sejadah. Walau masa telah menghampiri jam tiga petang dia masih tidak berasa lapar. Cuma dia seorang yang tinggal di bilik. Shikin telah lama meninggalkan dia untuk ke kuliah.