Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 53

Ketibaan angah dan ateh disambut kurang ceria kerana mereka masih terasa kehilangan Bodok yang setia, namun, seperti yang telah rancang, menu hari ni tetap adalah satey bakar dengan kuah kacang. Bau harum satey yang dibakar memenuhi ruang rumah. Harum semerbak, bukti mak memang pakar dalam memasak. Biasanya semua yang mak sediakan lebih sedap daripada yang dibeli diluar. Angah yang baru duduk, sempat mencapai secucuk satey ayam yang sudah siap dibakar.

“Ha. Dah makan satu. Ada 7 cucuk sorang je tau. Angah dah tinggal 6.” ucap Safi mengingatkan kerana dia memang sukakan pengiraan.

“Apa pulak? Ini Safi yang punya! Safilah yang tinggal 6.” balas angah mengusik dan seperti biasa, adiknya itu memang mudah membantah dan melatah.

“Mana aci macam tu.”

“Mak, tengoklah angah ni!” adu Safi. Angah ketawa terkekeh-kekeh dibuatnya, sampai terjongkang-jongket bahu. Mak hanya tersenyum melihat telatah anak-anaknya itu. Dia tahu yang angah tak maksudkannya, hanya mahu menyakat sahaja.

“Tak pa! Angah ambil yang Ina punya. Ina tak larat nak makan banyak.” sampuk Ina yang sedang leka memerhatikan mak mencucuk daging ke lidi.

“Alahai. Baiknya adik angah yang sorang ni. Man tak nak offer yang Man punya pada Angah jugak ke?” soal angah, dan serentak itu, Man menggaru-garu puncak kepala, segera. Tak tahu nak menjawap apa sebelum dia tersenyum menampakkan gigi tengahnya yang rongak dan masih belum tumbuh gantian.

“Kedekut!”

“Mana ada kedekut…” balasnya malu-malu, cuba membela diri.

Safi mengalihkan pula pandangannya pada Ateh di rumah depan bila dia perasan yang ateh hanya memandang daripada jauh. Hubungan ateh dengan angah yang renggang sejak dulu tampak sukar untuk dirapatkan selagi ateh kekal melebel angah sebagai anak emas mak dan abah.

Safi perasa keadaan itu, dan dia cuba untk membantu kedua-duanya, namun sikap ateh yang terlalu mencemburui angah, sukar untuk diubah sehingga akhirnya dia sanggup menyisihkan dirinya sendiri. Tak mahu ambil peduli hal angah dan angah pun dilihat sama, membalas. Macam magnet yang sama kutubnya, saling menolak antara satu sama lain. Itulah keburukannya sikap cemburu, meracuni hati dan fikiran. Langsung tak  mendatangkan sebarang kebaikan.

“Ateh makan.” Safi cuba menjernihkan kekeruhan antara keduanya.

“Takpa. Nanti-nantilah.”

“Lagipun tak sembahyang lagi ni. Ateh nak mandi dulu.” balasnya. Sehelai tuala dikeluarkan daripada beg yang sarat dengan pakaian sebelum dia ke sungai untuk membersihkan diri.

“Nak ikut!” jerit Man dan Ina serentak, dah dasar hantu air. Pantang dengar orang nak ke air, terus ikut berlari. Berdentam-dentum rumah dengan hentakan kaki kecil keduanya.

“Jangan berlari! Jatuh nanti!” pesan mak. Sudah berulang kali diingatkan, tapi langsung tak memberi kesan.

Angah mengambil tempat dan duduk di sebelah mak sebelum wajah mak dipandang lama. Mak perasan akan keadaan bila angah dilihat seperti sedang memikirkan sesuatu.

“Kenapa? Angah ada nak cakap apa-apa dengan mak?” soal mak sambil kekal dengan pekerjaannya.

“Mak, kalau angah cakap, mak jangan marah ya.”

“Hmm. Cakaplah apa bendanya.” secucuk lagi satey yang telah siap diletakkan ke dalam pinggan. Safi yang sedang membakar turut sama memberikan perhatian.

“Minggu lepas, along adalah datang cari angah di rumah sewa. Dia tanya khabar mak abah dengan adik-adik sekali. Macam dah menyesal je angah tengok along tu mak. Mak tak nak maafkan along lagi ke?” tutur angah, menyampaikan apa yang telah dititipkan.

“Nak maafkan macam mana? Telifon rumah pun tidak, balik ke sini pun dia dah tak berani.”

“Dia cari angah sebab tu je? Tak ada sebab lain? Ke dia ada mintak duit dengan angah?” soal mak mula sangsi.

“Mana ada mak ni! Angah manalah ada duit. Baru nak mula latihan amali. Lagipun kan dia dah kerja. Mestilah along yang bagi angah duit. Mak ni lah.” bohong angah.

Dia terkejut. Rahsianya nyaris terdedah. Mak macam tahu-tahu apa yang berlaku. Ya! Memang itulah tujuan asal along datang menemuinya tempoh hari. Meminta dipinjamkan duit kerana duit gajinya habis lesap entah ke mana. Sampai duit sewa rumah pun dah bertunggakan.

Gerem rasa hati dibuatnya. Nasiblah abang. Kalau adik, dah lama ditempeleng. Puas along memujuk, merayu, akhirnya tepaksalah dia relakan. Melayang duit gaji hasil kerja sambilannya sebagai juruwang di pasaraya berdekatan rumah. Along memang betul-betul menyusahkan. Tak cukup dengan itu, dia dipaksa memujuk mak untuk menerimanya semula. Bukannya sekali, tapi dah banyak kali sangat along mengunjunginya seperti itu. Pening kepala dibuatnya.

“Betulke dia ada bagi angah duit?” soal mak tak lama kemudian, inginkan kepastian.

“A’ah…Along bagi angah duit belanja sikit.” pembohongannya yang kedua kali, membuatkan dia mula rasa berdosa pada mak. Semuanya jasa along! Betul-betul menyesakkan hati! Bebelnya sendiri berteman rasa tak gembira. Dia tak mahu menceritakan hal yang sebenar. Takut nanti mak tambah marah dan kecewa. Kalau abah tahu, lagi gila.

“Dia dah tukar nombor. Nombor baru ada dalam handphone angah. Kalau mak nak, nanti angah beri.” pujuk angah lagi. Mak masih terdiam kerana hatinya masih belum terbuka untuk menerima along semula.

“Mak, mak masih marahkan along lagi ke?” soal angah semula.

“Mak nak tak kalau angah telifon…”

“Nanti-nantilah. Kan mak tengah sibuk ni.” tutur mak, memendekkan topik perbualan.

“Okey…Nak buat.” ucapnya sebelum pergi membasuh tangan di pintu.

“Tak payah, tak payah. Biar mak yag buat, nanti tercucuk jari, susah. Angah makan je lah. Lagipun dah nak siap dah ni.” balas mak kekal fokus pada urusan. Suaranya mendatar saja membuatkan Safi tak dapat nak membaca fikiran mak saat itu. Adakah mak belum bersedia untuk memaafkan along? Angah memandang ke arah Safi dan Safi hanya mengangkat bahu. Tanpa menunggu lama, secucuk lagi satey dicapai.

 

Bunyi radio yang kuat mendendangkan lagu-lagu barat menerusi stesyen Hitz.fm terasa menyakitkan telinga. Ateh meluru kedalam bilik lalu mengubah frekunsinya kepada stesyen IKIM.fm yang memutarkan lagu-lagu nasyid dan zikir-zikir amalan. Angah yang sedang melukis potret-potret artis-artis kegemarannya di dalam buku lakaran, mula naik angin satu badan bila ateh dilihat seperti sengaja mahu mencabarnya. Mulutnya terkumat-kamit, menyumpah barangkali.

Ateh memang sengaja ingin mengganggu ketenteraman dan ada saja yang nak dibuat untuk menyakitkan hatinya. Angah menuju ke bilik Mat, lalu siaran di radio stero milik Mat itu ditukar kembali. Ateh yang sedang berdiri di tepi tingkap sempat dijeling geram, sebelum dia kembali menyambung aktiviti masa lapangnya itu.

Bila nampak angah dah ke depan, ateh ‘mula’ lagi. Siaran radio diubah semula kepada frekunsi kegemarannya dan sengaja dikuatkan volum radio tersebut. Tindakannya itu betul-betul menaikkan kemarahan angah. Begitulah keadaannya berkali-kali, sehinggalah sampai ke satu tahap angah dah tak boleh tahan lagi.

“Woi perempuan! Kau ni dah kenapa ha?!!! Apa yang kau tak puas hati sebenarnya? Kalau tak puas hati cakaplah!” sergah angah. Ateh hanya membalas dengan jelingan tajam menikam.

Suara kuat angah mengejutkan Safi yang sedang ‘mengintip’ ayam bertelur di bawah rumah. Binggit, sampai tercampak tahi telinga, sehingga mampu membuatkan ibu ayam yang sedang mengintai di mata tangga terbang melarikan diri. Angah memang tak boleh dibuat main. Kalau dah mengamuk boleh terbalik rumah dibuatnya. Macam gajah mina. Betul-betul sama dengan abah. Abah borek, angah rintik. Betul-betul menakutkan. Bisik Safi di dalam hati.

“Ha sudah! Dah mula dahhh…” tuturnya yang sedang berada di bawah rumah. Safi yang sedang berdiri terus duduk, membatu macam kayu.

“Apa pandang-pandang? Cakaplah apa yang kau tak puas hati! Muka je elok, tapi perangai..” marah angah lagi. Ateh kekal membuat muka selamba. Dah lama isu itu berlarutan dan dia sendiri tak tahu dimana silapnya. Sedar-sedar sahaja, ateh dah tak nak bertegur sapa. Dah bertahun-tahun, namun keadaannya tetap sama. Selama ini dia mendiamkan diri, tapi kini, dia dah tak tahan lagi. Ateh langsung tak tahu menghormatinya sedang dia yang lebih dewasa.

“Yang kau senyap je tu kenapa? Cakaplah! Cakap apa yang kau tak puas hati sebenarnya.” tutur angah lagi, ingin ‘membincangkan’ segala kepincangan.

“Memang dasar anak emas. Semua mesti ikut cakap dia.”

“Apa? Ingat angah sorang je yang akan berjaya nanti? Yang akan ubah nasib keluarga? Ateh pun bolehlah.”

“Ateh akan buktikan yang ateh pun boleh berikan kesenangan pada mak dengan abah. Tak payah nak belagaklah.” jawapnya memuntahkan segala isi yang ada di hati.

Kata-kata ateh menyentap tangkai hati angah. Sampai hati ateh menuduhnya seperti itu. Kini baru dia tahu, selama ini ateh mencemburui perhatian yang diperolehinya daripada mak dan abah. Angah perasan sejak dia di MRSM lagi, ateh dilihat sudah mula menjauhkan diri. Rupanya segalanya sebab dengki. Memang tak masuk akal. Ateh dah melampau. Bukan dia yang minta, dah mak dengan abah nak kasi, nak buat macam mana lagi? Bisik angah pada diri sendiri sebelum wajah ateh di hadapannya dijeling, dan ateh membalas dengan jelingan yang sama.

“Apa? Tak betul ke apa yang ateh cakap? Dah memang angah anak manja abah dengan Mak kan. Mengaku je lah. Daripada dulu lagi.”

“Apa ingat ateh tak tahu yang abah dengan mak selalu lebihkan angah dalam semua perkara. Orang boleh nampaklah. Dah tu nak tipu siapa?”

“Angah pulak memang suka kan, suka sangat bila abah denan mak buat macam tu.”

“Menyampah!” tutur ateh dengan mulut yang temuncug-muncung mengalahkan Mak Joyah di hujung kampung. Pot-pet, pot-pet tak kena tempat.

“Dah teringin sangat nak makan penampar free ke ha?!”

“Mulut tu jaga sikit! Kalau bercakap guna kepala otak, bukan kepala lutut! Belajar je sampai U, tapi otak dungu.”

“Tuduh orang tua sendiri macam tu. Apa?! Ingat tak berdosa ke? Dengar nasyid konon, tapi hati, kotor! Berhentilah menuding jari pada orang lain. Cermin diri tu sendiri sebelum pandai-pandai nak mengadili orang lain!” balas angah yang sudah naik hantu kerana dia memang pantang dicabar sebegitu. Ateh memang perlu ‘diajar’. Tengok! Tak fasal-fasal dia yang kena, sedang dia tidak berbuat apa-apa.

Ateh sakit hati mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut angah lalu tanpa dipaksa, air matanya mula menitis laju.

“Sikit-sikit menangis! Sikit-sikit menangis! Itu je lah yang ateh tahu! Dah tak ada modal lain! Umur je tua, tapi akal besar kacang hijau!”

“Jangan ikut perangai along nanti sudahlah. Berjanji je yang pandai, usahanya jauh sekali. Tak habis-habis menyusahkan orang!” bebel angah memuntahkan segala yang terbuku di hati selama ini.

 Kalau ateh minta diajar, dia dengan senang hati akan mengajar. Tak payah upah. Free of charge. Puas hatinya. Memang itu yang ateh cari, minta dimaki. Dahlah masalah along tak selesai-selesai, sekarang ateh dilihat sengaja nak menambah. Tak serik-serik.

‘Gulp!’ Safi yang sedang memasang telinga sejak tadi, segera meneguk air liur. Tak berani nak masuk campur kerana angah memang amat menakutkan.

Ateh menuruni anak tangga laju sebelum berlari ke arah sungai. Ingin mengubati hati yang terluka. Dia tak pernah menjangka angah akan bertindak sekasar itu. Bukan tak pernah, tapi biasanya angah akan lebih sabar. Tak terdetik dihati dia akan dimaki sekejam itu.

Safi segera menyembunyikan diri. Dia tak mahu sesiapa perasan. Nanti suasana pasti jadi lebih canggung dibuatnya. Hal itu diantara angah dan ateh, jadi, biarlah mereka yang selesaikannya sendiri, sedang abah dengan mak turut tidak tahu-menahu akan apa yang berlaku.

 

Previous: Bab 52
Next: Bab 54

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.