“Hari ni mak nak datang!” sampai angah pada Fizah, Cen dan Imah. Serentak, bulat mata ketiga-tiganya, turut sama berkongsi rasa gembira.
“Mak nak datang? Betul ke? Abah Has ikut sekali?” soal Fizah pula, sambil tangan kekal mengupas kulit epal hijau yang ada dibawa bersama.
“Hmm, mak datang, tapi abah tak ikut, sebab abah nak buat ayam.” balas angah kekal tersenyum ceria kerana sudah berbulan-bulan dia menantikannya. Rindunya? Tak payah nak dikata. Banyaknya dah sampai tak boleh nak dikira.
“Has, mak jadi datang ke tak?” soal Fizah pada angah yang sudah mula lelah.
“Datang!”
“Datang kan Safi?”
“Mak datang kan?” soalnya pada Safi yang sedang berdiri di hujung kaki.
“Datang. Mak dah sampai dah pun, tadi Safi dah telifon. Mak kata, mak tengah tunggu along. Tengoklah nanti macam mana. InsyaAllah, kejap-kejap lagi sampailah.”
“Angah kalau dah penat, angah tidurlah. Nanti kalau mak dah sampai, Safi kejut angah.” cadang Safi yang dah mula dapat membaca riak wajah angah yang sedikit kecewa, melalui bibirnya.
“Ok, tapi nanti,..”
“...kalau mak datang masa angah tengah tidur…”
“Safi kejut angah ya. Jangan buat lupa…” balasnya sebelum mula merebahkan diri pula.
“Ok…” jawap Safi, ditemani rasa sedikit tak puas hati.
“Hello. Assalammualaikum. Mak dekat mana?! Bila mak nak datang?!” soal Safi sedikit tinggi, tak percaya yang mak belum sampai-sampai lagi, walaupun matahari dah beransur nak menyembunyikan diri.
“Waalaikumussalam. Mak dekat rumah along lagi ni!” balas mak membuatkan rambut Safi rasa terus naik tegak tinggi.
“Dekat rumah along lagi?! Dah tu bila mak nak datang sini?!”
“Mak tahu tak? Angah ni, dari pagi tunggu mak. Dok asyik bertanya tentang mak, bila mak nak sampai, bila mak nak sampai!”
“Kak Fizah, Kak Cen dengan Kak Imah pun sama. Daripada pagi tanya benda yang sama. Dah tu, bila mak nak sampai ni?”
“Along tu pulak, bilanya nak bertolak?!” soal Safi sambil menghela nafas berat akibat rasa terkilan yang berterusan.
“Macam mana mak nak datang…”
“Along ni!”
“Daripada tadi asyik ajak mak duduk berborak je dekat sini. Dah tu mak nak buat macam mana lagi? Takkan sampai nak dipaksa.” balasan mak itu tidak mampu untuk menyejukkan hati yang berbahang.
“Itulah sebabnya, Safi dah kata! Biar Safi yang ambik, tapi mak tak nak! Percaya sangat pada along tu! Dah tu sekarang nak buat macam mana?”
“Along ni memanglah…”
“Kenapa tak singgah hantarkan mak ke hospital terus tadi? Kalau nak ke Shah Alam, kan lalu dekat sini? Dah? Apa yang susah?” tutur Safi kekal tak puas hati, membuatkan mak segera sunyi.
“Takpalah, Safi letak telifon dulu. Assalammualaikum.” tambah Safi, segera mahu mencari penawar untuk mengubat hati.
“Waalaikumussalam…” balas mak perlahan ditemani rasa kekesalan.
Mak leka dalam dunianya sendiri walaupun dikelilingi dengan suara hilai tawa anak-cucu yang sedang bahagia bergurau senda dengan gembiranya kerana ingatannya pada angah terlalu kuat, melebihi kegirangan yang disaksi saat ini.
“Mak, nanti lepas makan, kita pergi jumpa tukang urut. Biar dia tengok-tengokkan lutut mak tu.” tutur along yang sudah datang sambil meletakkan pinggan yang dipenuhi dengan kelulan ayam goreng di tengah meja makan.
“Tak payahlah. Nanti-nanti jelah.”
“Ni, bila kita nak pergi hospital? Dah petang dah ni.” soal mak ingin mengetahui perancangan yang telah along lakukan.
“La, kalau pergi sekarang pun bukannya dapat masuk. Sebab waktu melawat malam.”
“Takpa, nanti malam kita pergi. Ni, nanti, sekejap lagi, along ingat nak bawak mak pergi jumpa tukang urut tu. Biar dia tengok-tengokkan lutut mak.”
“Along biasa pergi sana. Biasanya dialah yang mengurut orang rumah along lepas bersalin. Lagipun dah lama dah along tak ke sana. Dah alang-alang mak ada dekat sini, bolehlah kita pergi sekali.” tutur along memberitahu rancangan, membuatkan mak dah tak dapat nak menolak pelawaan.
“Hai…nampak gayanya, lambat lagilah baru boleh jumpa dengan angah…” bisik mak di dalam hati disertai rasa kecewa, tak menyangka, kerana seandainya dia tahu akan jadi begitu, pasti tidak dia bersetuju.
Bahang amarah Safi dah menjalar daripada hati terus ke kepalanya. Walaupun sudah dia berusaha untuk mengetepikan, tapi kekesalan yang datang, kekal tak dapat dipadamkan. Sekali lagi telefon bimbit yang ada di atas meja dijeling sebelum dia menggeleng.
“Lantaklah! Dah malas dah nak membuang masa!”
“Kalau kalian nak datang, datang! Kalau tak nak, sudah!” bisiknya memarahi sebelum mata dipenuhi dengan wajah angah yang kekal terlena. Perlahan-lahan tangannya didaratkan pada tangan kakak terbesarnya itu, sebelum jari-jemari angah digenggam lembut.
Suasana bilik yang sepi mendatangkan perasaan yang terlalu sukar untuk ditafsirkan maknanya. Entah kenapa, hatinya rasa macam ada yang tak kena, tak gembira dan berdebar-debar sahaja. Mungkin…ya! Mungkin kerana dia rasa dia dah gagal. Gagal memenuhi harapan angah untuk bertemu dengan mak.
Airmata yang cuba ditahan, gugur juga saat terpandangkan wajah tenang angah yang kekal nyenyak di perbaringan.
“Angah…”
“Safi…”
“Safi mintak maaf. Safi tak mampu nak buat angah gembira…” tuturnya sebelum segera mengesat air mata, tak mahu ditangkap sesiapa.
“Semua sebab mak! Mak yang buat angah sedih!” gerutunya, kekal tak puas hati pada apa yang terjadi.
“Assalammualaikum…” tutur mak yang baru sampai sebelum disusuli along pula.
“Waalaikummussalam.” balas Safi perlahan, tak berapa nak melayan.
“Angah…angah!”
“Mak ni. Mak dah sampai dah.” tutur mak yang sudah menyentuh dan menggenggam tangan angah.
“Hmm…” balas angah sepatah sahaja kerana teruja dah lama berganti dengan duka.
“Angah, macam mana hari ni? Ada rasa elok sikit?” sampuk along pula.
“Hmm.” balas angah kekal sepatah, dah hilang nafsu bercerita. Safi segera menghela nafasnya sebelum akhirnya dia membuat keputusan untuk ‘menenangkan’ diri dan tempat yang dituju, tak lain-tak bukan, tangga di balik pintu kecemasan.
“Allaahumma solli alaa muhammad…”
“Thibbi quluubi wa dawaa-ihaa…” zikirnya sambil membaringkan kepala di atas peha.