Angah melilau mencari adik-adiknya dengan perasaan pelik. Pelik kerana langsung tak ternampak bayang, sedangkan baru sebentar sahaja tadi dia mendengar riuh-rengkak daripada ketiga-tiganya, Safi, Man dengan Ina, sebab dia dah nak kena bertolak. Sekali lagi jam di dinding diperiksa waktunya kerana dia tahu dia tak boleh lambat jika tak mahu ditinggalkan bus.
Sebelum menaiki bus ke bandar yang terdekat, dia perlu terlebih dahulu berjalan kaki kurang lebih 10 minit perjalanan, bagi kelajuan sederhana, tapi seandainya dia memecut tahap acara olahraga, bolehlah pendekkan tempoh sehingga separuh, tapi kenalah bersedia kerana badan pastinya akan berpeluh-peluh. Jika lambat dan tak dapat kejar bus waktu itu, jawapnya kenalah tunggu 30-45 minit lagi, itupun kalau bus tak meragam, tapi kalau meragam kadang-kadang kena tunggu sampai berjam-jam.
“Mana budak-budak ni? Tadi ada je berbunyi, tapi ke mana pulak semua pergi?” ngomel angah sambil terus mencari sebelum menjengukkan kepala di pintu tinggi, memerhati.
“Safi! Man…Ina!” tuturnya, namun dia kekal hampa.
“Mak, budak-budak ni dah kemana? Rasanya baru lagi tadi ada berbunyi. Ke mana pulak perginya?” soal angah pada mak yang sedang menyiapkan bekalan untuk dibawa bersama.
“Tak ada? Ya-Allah, kemana pulak hilangnya? Kan ke baru tadi ada lagi?” soal mak yang sudah selesai.
“Safi! Man! Ina…” seru mak berulang-kali, sambil tutut sama mencari.
“Takpa, angah cari kat atas rumah, mak tengokkan di sungai.” tutur mak lalu segera turun ke tanah. Dalam usaha menemukan semua adik-adiknya itu, angah mula perasan pada kejanggalan. Cadar tilam yang berjuntaian sehingga ke lantai telah menarik perhatian angah untuk memeriksa kawasan berkenaan dan memang tak syak lagi, ketiga-tiga adiknya itu memang berada di situ.
“Ya-Allah…apa yang kalian buat kat bawah ni? Kan ke berhabuk tu! Kotor! Dah, keluar!” arah angah sambil menggamitkan tangannya deras, minta arahannya segera dipatuh, namun hampa kerana adik-adiknya itu tak langsung mahu berganjak, sebaliknya mereka sedang teresak-esak. Bila melihat adik-adiknya menangis angahpun sedih jugak, tapi dia tahan dan tetap buat muka selamba, tak nak kalah pada ragam mereka.
“Dahlah! Cepatlah keluar…angah dah lambat dah ni! Kalian tak nak salam dengan angah ke? Tak nak hantar angah balik?” soal angah semula, mengekalkan sikap machonya, sambil menahan perasaan dan kekal berusaha untuk mendakap ketiga-tiganya, kerana kalau tak sekarang, mungkin dia perlukan masa yang berbulan-bulan lamanya sebelum dapat melakukannya semula. Kalau hantar surat pun, bukannya boleh nampak muka.
“Ina! Ina tak nak hantar angah balik?” soalnya pada Ina yang paling kecil, adik yang paling mudah dilembutkan hatinya, di waktu biasa, tapi entah kenapa, kali ini Ina pun dah tak nak patuh pada kata-katanya dan dia lebih rela duduk berhimpit di kawasan sempit.
“Ada jumpa? Dekat sungai tak ada!” tutur mak yang baru balik mencari di sungai sambil mengurut dada yang tersekat-sekat kelancarannya.
“Ada! Safi, Man dengan Ina ada menyorok kat bawah katil ni.” balas angah pada mak yang baru mendekati.
“Apa yang kalian buat kat bawah katil tu? Dah! Keluar cepat!” arah mak pula, dah malas nak berlambat-lambat, tapi tiada seorangpun yang mahu mendengar kata.
“Ha! Biarkan je angah, tak payah nak buang masa. Nanti disebabkan budak-budak ni, angah pulak yang tak sempat nak balik.”
“Biarkan jelah, kalau semua tak nak keluar, biar!” tutur mak menyelesaikan.
“Angah, tak siap lagi ke?” soal abah pula yang sedang duduk di bangku yang terdapat di bawah rimbunan langsat, takut mereka terlambat.
“Sekejap abah! Dah siap dah ni!” balas angah, memberitahu situasi sebelum berusaha untuk memujuk lagi.
“Tengok, abah dah panggil dah tu. Cepatlah keluar, angah dah lambat dah ni!”
“Takpalah kalau kalian tak nak hantar angah, takpa. Angah pergi dulu, assalammualaikum.” tutur angah tegas sebelum beredar kerana sedar dia dah kesuntukan masa.
“Mak, ateh mana?” soalnya mula sedar ateh pun tiada juga.
“Ateh kat sungai basuh baju, tak siap lagilah tu. Takpa, sekejap, biar mak panggilkan.” tutur mak namun segera ditegah angah.
“Mak, tak payahlah mak. Angah dah lambat dah ni, biarlah.” balas angah setelah sedar sejak kebelakangan ini ateh seperti sengaja nak menjauhkan diri daripadanya, paling teruk bertegur sapapun dah tak hendak, entah apalah yang dah bersarang di kepala benak. Bisik angah sendiri, tak mahu melayan persengketaan.
“Cuk cuk cuk! Bodok…bai bai.” tutur angah pada Bodok sang penjaga rumah, walaupun dia hanyalah seekor anjing peliharaan sahaja dan serentak dengan itu Bodok menggerak-gerakkan ekornya ke kiri dan ke kanan, sampai berombak-ombak bulu kembangnya, seperti memahami. Melihat angah bergerak, Bodokpun segera bergerak mengikut, sebelum dia terhenti bila rantai yang dipasang pada kepala dah rasa tegang pada tamatan terakhir dawai perentang yang agak panjang, kawasan yang dibenarkan dia untuk lalu-lalang.
“Huh! Huh! Huh!!! Aukk! Aukk! Aukk!!!” raungnya sedih, tak puas hati dengan jarak yang diberi, tapi nak buat macam mana, kalau dilepas, dia pasti akan terus berlari, paling teruk dia akan mengejar orang pulak nanti.
“Safi, angah dah pergi tu…sampai bila kita nak menyorok kat sini? Betulke kalau kita menyorok angah tak jadi balik?” soal Ina perlahan, cuba memastikan.
“Entahlah...” balas Safi pula kerana dia sendiri dah mula meragui keputusan yang dibuat awal tadi.
“Dahlah, jom kita keluar, Man nak hantar angah balik!” tutur Man yang ada di bahagian yang paling dalam dah malas nak bermain sorok-sorok lagi. Paling teruk, walaupun mereka menyorok, ia tak memberi kesan seperti yang diharapkan dan tanpa berlengah ketiga-tiganya segera merangkak keluar dari tempat rahsia…dulu, mungkin tak selepasnya.
Melihat angah yang sudah turun daripada rumah, Safi, Man dan Ina pun cepat-cepat mengekor daripada belakang, dengan hanya berkaki ayam, dah tak sempat dah cari selipar, takut ditinggalkan.
“Huuu…huuu…huuu…” tangis ketiga-tiganya, tak mengira. Apa yang mereka tahu hanyalah menurunkan hujan air mata. Sambil berjalan, sambil itu mereka manangis tak berhenti.
“Selipar mana? Selipar? Kenapa tak pakai selipar?” soal mak pada ketiga-tiganya, namun langsung tak beri kesan apa-apa sebelum mak sedar dah tak ada guna.
“Dahlah! Yang kalian menagis-nangis ni kenapa?” soal mak pula sebelum dia juga sedar…takmungkin dapat menghentikan semuanya. Apa yang mak mampu lakukan hanyalah menggeleng-gelengkan kepalanya sahaja.
Sesampainya mereka di simpang jalan besar, tempat penghabisan mereka boleh menghantar dan tengok angah, mereka akhirnya bersalaman. Sorang demi seorang bersalam dengan angah, dan keadaan tu buat angah rasa gembira, kerana itulah yang diharapkannya. Berada bersama-sama dengan orang yang dia sayang sampai ke saat yang terakhirnya.
Memang dia tak pernah menzakirkan cintanya dengan kata-kata, tapi itulah hakikatnya, dia sangat sayangkan setiap ahli-ahli keluarga, terutama adik-adiknya yang paling kecil ini, sebab dia yang bantu mak dan abah membesarkan mereka. Belajar tidurkan adik, bancuhkan susu adik bila adik lapar, memandikan, memasak untuk mereka, menjaga adik-adik masa mak dengan abah keluar cari rezeki demi menyara keluarga dan semua tugas tu dia buat dengan gembira demi membantu ringankan beban mak dengan abah.
“Huuu…angahhh…” rengek Ina si kekemeh, dan tanpa berlengah angah segera mendakapnya.
“Dahlah, jangan menangis! Yang kalian menangis-nangis ni kenapa?” tutur angah mahu menghentikan tangisan ketiga-tiganya, selebihnya mahu memujuk hatinya juga supaya kekal teguh dan tak menunjukkan reaksi yang berlebihan. Takut mencalarkan kemachoannya di depan adik-adik, kalau tak nanti, budak-budak tu dah tak takut dengan dia lagi, lepastu makin dah tak nak mendengar kata.
Angah tengok elok-elok muka Safi, Man dengan Ina satu-satu, sebab lama lagi baru dia dapat baik. Lagipun dia tak ada telifon bergambar buat simpan gambar adik-adik untuk ditengok bila hati mula teringat, tapi mujurlah muka mak dengan abah ada dalam simpanan dia, itupun dalam bentuk gambar pasport, gambar lama yang mak dengan abah ada, dan dah tak diguna. Dia minta untuk ambil dan simpan dalam beg duitnya.
“Sudah-sudahlah tu! Lambat kita nanti!” gesa abah pula yang kekal menanti sejak tadi.
“Dahlah, angah dah kena pergi ni. Kalian ingat ya, jangan nakal-nakal. Kalau angah tahu yang kalian buat perangai bukan-bukan, siaplah kalian bila angah balik nanti!”
“Safi, belajar mengeja dengan ateh, jangan asyik nak mengelat je. Tahun depan Safi dah kena masuk sekolah dah. Ha, dah tinggal berapa bulan je lagi ni. Ingat! Jangan mengelat!” pesan angah tegas tak mahu adiknya itu membuang masa sahaja dan tanpa banyak kata Safi menganggukkan kepala. Mata angah dah mula merah menahan, tapi seperti biasa, dia bukan jenis yang mudah nak tunjukkan perasaan.
“Mak angah pergi dulu…” tuturnya pula setelah beralih ke arah mak yang sudah menanti, namun air mata yang cuba ditahan sejak tadi akhirnya jatuh juga, tapi cepat-cepat dia kawal diri sebab dia bukan nak pergi mati, sebaliknya dia nak pergi menimba ilmu, sebanyak mana yang dia termampu untuk membina masa depan keluarganya.
“Angah jaga diri, sembahyang jangan sampai lupa. Tak ada makna kejayaan, kalau sembahyang kita tinggalkan, memang takkan ada keberkatan.” pesan mak seperti biasa, tak penat mengingatkan.
“Hmm.” balas angah sebelum mengangguk faham.
“Dah dah dah! Sampai bila pun tak habis kalau macam ni. Tengok jam dah pukul berapa, kalau tak kena gaya, ditinggalkan kita nanti!” gesa abah yang sudah mula bergerak dengan basikal yang ditolak.
“Angah pergi dulu…assalamualaikum.” tuturnya sebelum turut sama mula bergerak sambil melambai-lambaikan tangan mengisyaratkan perpisahan dan keadaan itu membuatkan adik-adiknya makin tak dapat nak kawal perasaan. Bila tengok angah dah melangkah dan lambaikan tangan, mereka tahu, masa mereka bersama angah hanya sampai di situ. Apalagi, meraunglah semuanya tak henti.
“Huhuhu…angah!” teriak mereka serentak, dengan rasa sebak.
“Ya-Allah, sudah-sudahlah tu!” tutur mak sambil memeriksa kawasan sekeliling mengharap tiada siapa yang memeling dan mujurlah, hanya mereka yang berada di situ.
“Susah dengan kalian ni, macam sayang beruk! Masa angah tu ada, kalian suka sangat melawannya, tapi, bila dia dah balik, mulalah buat perangai macam ni. Setiap kali pun macam ni. Hei…apalah!” ngomel mak sambil menepuk bahu Man dan Ina lembut, masih cuba untuk memujuk, tapi nampaknya tak ada seorangpun yang nak berkurang, sebaliknya bertambah ada. Akhirnya sebab dah penat menasihat, mak hanya memekakkan telinganya.
Angah hanya dapat tengok apa yang berlaku, sebab makin lama jarak mereka jadi makin jauh, tapi yang pasti tangan tetap juga tak berhenti dilambaikan setiap kali pandangannya dipalingkan. Melihat angah melambai, Mak, Safi, Man dan Ina segera membalas lambaian.
Safi tengok, makin lama, angah makin hilang…makin jauh dan makin tak kelihatan, dan pada masa tu bermulalah pertandingan raungan terkuat diantara mereka bertiga, dan pemenangnya tak lain dan tak bukan si kecil Ina, budak paling manja!
“Dahlah! Jom kita balik! Apalah, buat malu je kalau dinampak dek orang!” gesa mak sebelum berjalan pulang, ditemani tangisan anak-anak yang masih tak nak hilang. Mak hanya dapat menggeleng-gelengkan kepala bila setiap kali wajah anak-anaknya itu dipandang, tapi dalam hati mak bangga sebab dia dapat menyaksikan makna kasih sayang.