Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 75

Seawal jam 5.30 pagi angah sudah mula bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Selesai bersolat Subuh, beg-beg sandang yang menjadi penemannya saban hari diraih sebelum dia mengatur langkah menjalani harinya seperti selalu. Walaupun masih awal pagi, namun kelibat penghuni-penghuni kota yang lain sudah banyak kelihatan di sana sini, berpusu-pusu untuk menaiki bas-bas Metro yang tak jemu mengambil dan menjemput mereka setiap hari. Begitulah rutin harian warga kota metropolitan. Bekerja sehabis daya demi untuk menggembirakan insan yang tercinta dan dia turut tak terkecuali kerana jasa mak dan abah masih berbaki terlalu banyak untuk dibalas…atau mungkin memang takkan pernah dapat dibalas.

 

“Has…”

“Ha, kenapa kak?” soalnya pada Kak Zai semula.

“Has…” ulang Kak Zai lagi membuatkan angah segera berkerut alisnya.

“Kak Zai ni kenapa?! Cakap putus-putus.”

“Ha! Jangan cakap pada Has yang akak tengah fikir nak buat benda yang bukan-bukan, sebab Has tak nak terlibat.” seloroh angah pula berteman senyuman.

“Eh, mana ada. Akak cuma nak tanya. Kenapa Has tak tak kahwin lagi?” soalnya.

“Tak jumpa jodoh lagi. Belum sampai seru.”

“Kalau nak tunggu si Izam, sampai ke tualah jawapnya. Entah bilalah nak hilang sotongnya tu.” balas angah, juga sekadar hiburan.

“Has, kalau akak kenalkan Has dengan adik akak, Has nak tak?” tutur Kak Zai, terus pada apa yang sudah dirancangnya membuatkan senyuman angah terhenti buat seketika.

“Adik akak?”

“Ha, adik akak. Dia kerja dekat Kuala Pilah. Has nak tak?” soalnya semula.

“Takpalah kak, bukan Has tak nak, cuma…” balas angah kekal teragak-agak.

“Cuma Has masih tak sedia. Lagipun banyak lagi tanggungjawap Has yang Has kena uruskan. Mak dengan ayah dekat kampung, adik-adik yang masih lagi bersekolah, semua tu yang jadi keutamaan Has sekarang. Soal berkeluarga ni, belum lagilah rasanya.”

“Akak janganlah marah. Has bukan tak sudi jadi adik ipar akak, cuma Has memang ada baaanyak sangat tangunggan dan beban waktu ni. Jadi Has tak rasa yang Has mampu nak tambah satu lagi.”

“Takpa, kalau ada jodoh, adalah. Akak marah ke?” soal angah tak suka bertelagah.

“Taklah. Buat apa akak nak marah.”

“Kalau Has dah cakap macam tu, iyalah.”

“Besar pengorbanan Has, tapi, besar lagi ganjarannya nanti. Takpa, macam apa yang Has cakap, kalau ada jodoh, adalah.” balasnya dengan perasaan bangga selesai mengetahui puncanya.   

 

“Assalammualaikum…” ucap angah.

“Waalaikummussalam. Angah sibuk? Tengah kerja ke?” soal mak, seboleh-bolehnya dia tak mahu mengganggu dalam waktu-waktu sebegitu.

“Taklah sibuk sangat. Angah tengah check stok ubat ni, kat dalam office. Kenapa Mak? Ada apa-apa ke?” soalnya kembali dengan mata yang kekal mengenalpasti ubat-ubat dan kuantiti yang masih ada dalam simpanan mereka.

“Mak cuma nak tanya. Angah jadi balik ke tak hari ni?” perlahan dan ada unsur-unsur kebimbangan, membuatkan angah mula rasa seperti ada yang tak kena.

“Insya-Allah jadi, kalau tak ada apa aral. Kenapa mak? Bunyinya macam ada yang penting je? Ada apa-apa yang jadi kat rumah?”

“Tak ada apalah. Takpa, mak tak nak kacau angah kerja.”

“Balik nanti elok-elok ya. Bawak kereta tu jangan laju-laju. Jaga diri, hati-hati. Takpalah, angah sambunglah kerja. Assalammualaikum…” balas mak segera mahu memutus bila telinga tertangkap bunyi batukan abah yang sudah ada berdekatan.

“Waalaikummussalam…” balas angah perlahan. Ada nada kerisauan dikesan pada suara mak tadi dan dia tahu pasti ada sesuatu yang dah terjadi.

Fail stok ubat dihadapan ditatap, namun, fikirannya melayang memikirkan perkara yang mungkin sedang mengganggu mak. Puas otaknya di perah, seketika kemudian dia mengalah.

“Balik nanti tahu jugak kan? Buat apalah nak memeningkan kepala memikirkan?” bisiknya dalam hati sebelum meneruskan tugasan yang tergendala. Serentak itu, skrin komputer diteliti semula.

“Hmm…yang ni dah nak kena order…” tuturnya sebelum mencatit butiran yang diperlukan setelah fokus semula pada tugasan.

 

“Abah nak minta angah tolong belikan abah tanah kebun getah. Tanah  Pak Sohor di hulu tu, boleh?” soal abah terus, tak mahu berselindung lagi. Angah terdiam. Wajahnya terus berubah. Dia tak menyangka persoalan seperti itu yang abah utarakan.

“Angah gunalah duit yang angah bagi abah bulan-bulan tu untuk bayar. Nanti, angah dah tak payah bagi abah duit lagi dah. Abah boleh gunakan hasil kebun untuk buat belanja. Boleh?” ucap abah dengan senyuman mengharap. Angah masih terkesima, tak tahu bagaimana mahu menjawapnya.

“Angah bukannya apa abah…”

“Kalau boleh, angah tak suka berhutang. Lagipun, ajal maut bukannya kita yang tentukan. Kalau umur angah pendek nanti macam mana? Angah tak nak bawa hutang tu sama. Angah tak sanggup abah. Angah tak nak menyusahkan diri sendiri.” balasnya menyatakan pegangan sambil mengharapkan pengertian. Bukannya dia tak mahu, tapi hatinya tak mudah untuk merelakan semua itu.

“Lagipun buat apalah nak susah-susah lagi buat kerja berat-berat macam tu. Kan elok berehat.” tambah angah lagi, cuba mempengaruhi abah untuk membatalkan hasratnya itu. Serentak itu, senyuman di wajahnya tadi mati. Abah tak sangka yang angah sama macam isterinya, tak mahu mengerti apa yang cuba diusahan oleh diri.

“Takpalah kalau macam tu!” jawap abah kasar sebelum turun ke tanah. Harapan untuk membina empayer di kawasannya musnah, dimusnahkan oleh angah.

 

Sejak daripada hari itu, hubungan mak dan abah bertambah dingin. Abah menyalahkan mak kerana dirasakan isterinya itu tak mahu membantunya memujuk angah. Suasana di rumah jadi makin sunyi bila abah dan Usop dilihat berkerjasama ‘erat’ untuk menjayakan hasrat, perang dingin yang menuntut banyak kederat.

“Makan Usop.” pelawa mak pada Usop yang sudah selesai berpakaian.

“Huh! Takpa, Usop nak makan dekat luar dengan abah!” balasnya yang sudah berjalan melintasi mak, tanpa langsung ada rasa bersalah. Ngauman enjin motosikal sengaja dikuatkan untuk membuktikan kekesalan. Mak hanya mampu memandang, berteman hati walang.

“Mat, makan! Mak ada masak mee goreng pagi ni. Makanlah dulu.” pelawa mak lagi, kali ni pada Mat pula. Mat tak berkata apa sebelum dia mencapai pinggan dan mengambil sesenduk. Selesai di situ, dia turut sama keluar mengikut jejak si adik ‘rintik’.

Mak rasa sungguh terkilan dengan keadaan. Mahu atau tidak, dia perlu menerima segala tempiasnya dan sekarang dia sedang dipinggirkan oleh suami dan anak-anaknya sendiri.

“Astargfirullah hal adzim…astargfirullah hal adzim…astarghfirullah hal adzim…” rayunya berulang kali sebelum segera mengesat air mata yang menitis di pipi. Tudung saji yang tersadai dikemaskan semula selesai dia meneliti mangkuk dan isinya. Susah hati, ya, itulah apa yang sedang dirasakannya kini.

 

“Angah, esok Safi nak balik kampung.” tutur Safi pada angah yang berada di hujung talian.

“Balik kampung lagi? Kan minggu lepas dah balik?” balasnya tak percaya. Iyalah, perjalanan dari Perak ke Pahang, bukannya dekat, kalau naik bus, perlu banyak peringkat.

“Dah janji dengan mak. Dah janji nak teman mak tebas kebun getah dekat hulu tu. Mak kata kebun dah semak yang amat. Sampai dah tak nampak mana satu getah, mana satu mengkirai.”

“Kesian pulak Safi dengar bila mak cakap macam tu. Kalau nak tunggu cuti semester, lama lagi, alamatnya, macam hutanlah kebun tu nanti.” balas Safi bercerita apa yang diketahui.

“Abah dengan Usop tak pergi tengok?”

“Tak adanya mereka nak pergi. Waktu menanam hari tu pun, tak ambil kisah langsung. Tak hairanlah, sebab memang bukan daripada dulu macam tu? Takadanya mereka nak terlibat.”

“Man?” soal angah semula.

“Man kan kerja, mana ada sangat masanya. Takpa, Safi dah siapkan assignment Safi, tinggal nak hantar je esok. Ingat lepas kelas pagi nak terus gerak balik. Tapi, Safi tak bagitahu pada mak yang Safi nak balik. Saja nak buat mak terkejut. Hehehe.” balas Safi sampai tersenyum menampakkan gigi saat terbayangkan situasi yang bakal terjadi.

“Safi?”

“Ha.”

“Macam mana Safi boleh tahan dengan mak?”

“Maksudnya?”

“Iyalah, mak tu kan suka sangat bercakap. Ada jelah benda yang nak disebut dan ditegurnya. Tapi angah hairan, macam mana Safi boleh tahan dengan mak. Kalau angah, hai…memanglah.”

“Angah tengok Safi je yang elok sangat dengan mak. Yang lain-lain pun macam tu-macam tu je dangan mak.” tambahnya menyatakan apa yang dirasakan.

“Ooo…”

“Sebab mak kan mak!” balas Safi terang, membuatkan angah segera berhenti membayang.

 

“Nak ikut tak?” soal angah pada Safi yang ada di sebelahnya.

“Tak naklah. Angah nak pergi keluar duit je kan?”

“Hmm. Takpa, kalau Safi tak nak keluar, tunggu kereta. Nanti kunci pintu!” arah angah pula selesai membuka tali pinggang keledar dan mencapai beg duit yang ada diatas papan board depan.

 

“Angah tak dapat nak bagi duit pada mak dengan abah minggu ni sebab angah dah guna duit tadi untuk bayar hutang kad kredit dulu. Kalau nak keluarkan esok, macam susah pulak.” tutur angah pada Safi yang ada di sebelah dengan mata yang kekal fokus pada pemanduan.

“Kalau nak ke bandar esok semata-mata untuk keluar duit, rasa macam tak syok, sebab petang kita dah nak balik ke KL balik.”

“Angah ingat, hujung minggu depan angah balik lagi. Ha, masa tu baru bagi duit belanja untuk mak dengan abah. Lagipun memang biasanya angah balik minggu depan kan? Cuma bulan ni gaji masuk awal.” terangnya.

“Angah bukan apa, dah biasa. Malas rasanya nak naikkan had pengeluaran kad tu. 1000 je sehari, sebab kad angah ni masih kad remaja lagi. Kalau nak tukarpun, leceh, nak kena pergi bank. Manalah ada masa nak uruskan semua tu. Hari-hari kerja. Bila cuti, bank pun cuti sekali.” tambah angah lagi menyuarakan perasaan.

“Takpa angah. Takkanlah mak dengan abah nak marah.” balas Safi penuh yakin sambil mengangguk-anggukkan kepala.

 

Huluran tangan angah tak berisi kali ini dan keadaan itu telah membuatkan abah termakan hasutan perasaan. Hatinya rasa makin sakit dan disebabkan oleh kesakitan itu juga, timbul bibik-bibik kebencian yang membunuh secubit kepercayaan. Muka abah bertambah masam dengan bibir yang sengaja dimuncungkan. Angah nampak semua itu, tapi dia tak mampu berkata apa.

Previous: Bab 74
Next: Bab 76

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.