Cuaca pagi yang redup sedikit sebanyak membuatkan Safi rasa mengantuk semula, tapi kalau nak tidur, rasanya baru lagi bangun. Sambil menguap dia menggaru-garu lengan yang rasa kegatalan dan tanpa dipaksa dia menguap lagi sebelum dia tersedar, ini tak boleh jadi, daripada sambung tidur, baik buat perkara-perkara lain yang boleh dilakukan, dalam erti kata lain, cari benda nak buat main. Dalam pada dia berfikir-fikir, Man datang dan duduk disebelahnya.
“Safi, hari ni kita nak buat apa?” soal Man sambil tangan membetul-betulkan tali lastik yang ada tergayut di batang tengkuk.
“Entahlah, tak tahu lagi. Angah dengan ateh mana?” soalnya pula mahu mengetahui situasi.
“Angah angkat air kat sungai, ateh pun pergi sungai jugak kot, sebab tadi Man nampak ateh turun tanah. Ina pun sama, Ina pergi ikut sekali.” balas Man sebelum membuka dan menggaya-gayakan lastik di tangan dengan sebelah mata dikecilkan.
“Orait la tu, jomlah kita turun, nanti kalau angah dah balik mesti dia tak bagi kita keluar rumah. Boringlah.” arah Safi sebelum bergegas turun ke tanah.
“Selipar…lupa, selipar Safi kan dah putus.” tuturnya sambil membelek-belek selipar jepun miliknya yang sudah terputus di bahagian pembahagi tengah.
“Man pakai selipar! Tak ingat apa mak kata? Mak kata kalau tak pakai selipar nanti cacing masuk kaki…tapi, selipar Man mana?” soalnya pula saat melihat Man mula mencari-cari.
“Entah! Tadi ada kat sini, baru lagi tadi ada kat sini. Ni mesti kerja Ina, mesti dia yang ambik pakai!” rungut Man sambil menggaru-garu kepala setelah sedar alas kakinya telah dilarikan seperti kebiasaan.
“Tengok ha, selipar dia ada kat sini!” ngomel Man lagi, sampai termuncung-muncung bibir dan berkerut-kerut dahi.
“Dahlah jom cepat, nanti kita tak sempat! Kalaulah angah nampak, mesti dia tak kasi.” ucap Safi separuh berbisik sebelum sama-sama beredar daripada situ. Sambil melangkah matanya tertumpu pada permukaan jalan untuk memastikan keselamatan, bagi mengelakkan sebarang kecederaan kerana mereka berdua hanya berjalan berkaki ayam.
Tunas-tunas dahan pokok koko banyak yang terdampar di tanah setelah abah selesai membuat kerja-kerja pemangkasan beberapa hari yang lepas tiba-tiba menerbitkan idea di dalam kepala.
“Man, kita main pondok-pondok nak?” cadang Safi sambil mengangkat dan menegakkan sebatang tunas koko yang tinggi dan rendang daunnya ke arah dahan pokok koko berkenaan.
“Nak nak! Kita nak buat pondok kat sini ke?” jawapnya teruja sebelum segera mengangkat sebatang dahan koko yang lain dan memberiannya kepada Safi.
“Ha, kita buat pondok kat sini. Man pergi ambik dahan-dahan yang ada kat sana, lepastu bawak kat sini.” balasnya sambil membetul-betulkan susunan dahan, biar rapat agar dapat menutupi setiap kawasan.
“Buat apa tu?” soal satu suara yang tiba-tiba datang daripada belakang, perlahan, tapi sudah cukup untuk menerbitkan debaran dan serentak dengan itu Safi dan Man mengurut dada terkejut.
“Ina ni! Macam mana boleh datang sini? Angah mana, angah? Ateh, ateh tahu ke Ina datang sini?” tutur Man sambil menjeling ke arah Ina sedikit tak puas hati, bila teringatkan apa yang terjadi.
“Kenapa Ina guna selipar Man? Kan Ina punya ada, kenapa nak ambil yang orang?” soalnya bertalu dengan mata yang mencerlung, tak berubah daripada situ, dan seperti biasa Ina hanya tersenyum bangga, buat macam tak ada apa-apa, mentang-mentanglah anak manja abah, bisik Man di dalam hati, tapi itu masa abah ada, masa tak ada…
“Bagi sini! Man nak selipar Man balik!” tuturnya mengarah, tapi nampaknya Ina sengaja buat endah tak endah. Menyahut tak, membalaspun tak.
“Bagilah siniii…itu selipar Man!” tambah Man yang mula bertindak membongkok untuk merampas selipar yang sedang berada di kaki Ina, tak suka hartanya dijarah, dan serentak dengan itu Ina lari untuk mendapatkan perlindungan daripada Safi.
“Bagilah balik!” herdik Man sakit hati dengan suara yang mula terketar-ketar menahan marah dan serentak dengan itu mereka mula kejar-mengejar mengelilingi Safi.
“Bagilahhh…” arahnya sambil merayu, tapi nampaknya Ina yang dikenali dengan sikap besar kepalanya itu tetap tak mahu mengalah biarpun sebenarnya dialah yang salah. Sambil berlari, dia terkekeh-kekeh suka hati.
“Hik hik hik hik…” gelaknya, betul-betul mampu membuat yang mendengar rasa sakit hati.
“Safiii…tengoklah Ina niii...” adu Man merengek, minta pertolongan.
“Dahlah! Bising betullah kalian ni!” jawap Safi tegas namun kekal perlahan. Kalaulah angah tahu mereka di situ, silap haribulan adalah yang kena palu, tetapi kata-katanya itu tampak sia-sia kerana Ina masih belum bersedia untuk menyerahkan, atau dalam kata lain mungkin masih belum habis seronok menyakat abangnya itu.
“Safiii…tengoklahhhh…” rengek Man lagi, ditemani air mata yang sudah mula jatuh berjuraian di pipi.
“Ina, sudah! Bagi selipar Man semula! Kalau Ina tak nak bagi, pergi balik, jangan main dengan kami!” tuturnya tegas ditemani dengan bukaan mata yang luas, mahu pertelingkahan berkenaan segera ditamatkan. Lagipun memang Ina yang salah, kan dia yang mengambil barang orang.
“Iyalah iyalah…ambiklah.” balas Ina akur dengan arahan, tak suka dipulaukan dan serentak dengan itu Man mengesat air mata tanda gembira bila mendapat semula haknya.
“Tak nak kawan dengan Ina!” balas Man, tetap juga merajuk dengan muka yang masih berjeruk, sambil itu, sempat juga Ina dijeling kerana dia belum habis geram.
“Tak nak kawan sudah! Kahwin dengan anak Pak Dolah, tetek dia sebelah, orang tak kisah.” balas Ina dengan bangga diri sambil tersenyum-senyum sendiri.
“Macam mana Ina tahu yang anak Pak Dolah tu tetek dia ada sebelah? Ha ha? Mana Ina tahu? Ha?” balas Man menunjukkan ketidakpuasan hati yang berjaya disakiti.
“Dah dah! Kalau nak terus bergaduh macam ni, baik kita balik, tak payah main pondok-pondok lagi.” tutur Safi sekadar untuk mengugut.
“Taknak taknak taknak, jomlah main, Man nak main pondok-pondok.” balas Man pantas, tak rela keseronokannya terganggu dek pertelingkahan dengan adiknya itu.
“Ina?” soal Safi pula sambil mata tepat memandang wajah adik bongsunya itu, buat masa ini, tapi tak tahulah di masa depan ada ke tak adik lagi.
“Ina pun nak main.” balas Ina sambil mengangkat tangannya.
“Ok, kalau macam tu janji, jangan gaduh-gaduh lagi. Man, Ina, sini! Cepat salam.” arah Safi untuk mendamaikan keduanya, dan serentak dengan itu kedua-duanya bersalaman, ditemani wajah yang kekelatan.
Selesai menyiapkan pondok idaman, mereka bertiga mula rasa kelaparan, kebiasaan yang berlaku setiap kali tamat aktiviti berolahraga, perut mula minta diisi pula.
“Safi, jom kita pergi tengok pokok jambu Mak Tam kat hujung tu nak?” tutur Man memberikan cadangan.
“Nak buat apa?” soal Safi masih belum dapat menangkap apa yang Man rancang di hati.
“Jom kita kutip jambu kat bawah pokok tu nak?”
“Mana boleh! Itu kan Mak Tam punya, bukan kita punya. Takkan Man nak curi pulak!” tutur Safi segera membantah.
“Takkan nak ambik yang dah jatuh kat bawah pun tak boleh?” balas Man sukar untuk mempercayainya.
“Memanglah tak boleh, yang kat atas ke, yang kat bawah ke, sama je, sebab itu bukan kita punya, kalau ambil barang orang maknanya apa?” soal Safi pula, mahu adik-adiknya belajar tentang cara kehidupan di dunia. Curi, tipu, kan semua tu perkara yang tak baik, berdosa, bukan dia yang cakap tapi Allah yang cakap, sebab itu apa yang mak selalu pesan dan cakap.
“Curi!” balas Ina sepatah menyatakan jawapannya, sedang Man hanya mampu tertunduk sendiri.
“Betullah apa yang Ina cakap tu, curi. Nak ke Man makan barang curi?” soal Safi lagi.
“Taknak!” balas Man pasti sambil menggeleng-gelengkan kepala setelah menyedari.
“Ha, tahu takpa…” ucap Safi ditemani perasaan lega.
“Takpun macam ni, kita pergilah rumah Mak Tam dulu, mintak dengan dia, lepastu baru kita pergi ambik. Ha, kalau macam tu boleh?” balas Man mencadangkan.
“Ha, kalau macam tu boleh. Jom kita pergi rumah Mak Tam dulu. Mintak-mintak adalah dia kat rumah.” jawap Safi sebelum ketiga-tiganya bergerak bersama.