Pandangan mak terarah kepada abah yang jelas kelihatan sugul. Asap rokok berkepuk-kepul ditiup angin menuju ke arah mak. Mak tutup hidung dengan muncungnya untuk mengelak, tetapi sedikit sebanyak asap berkenaan tetap memasuki rongga pernafasannya juga. Mak betul-betul tak tahan dengan bau rokok, tapi abah pantang kalau tak ada rokok. Lepas sebatang, sebatang. Berkotak-kotak sehari.
“Asyik mengadu kata takda duit…tapi beli rokok ada pulak…” desis mak, dan serentak dengan itu dia menggeleng-gelengkan kepala perlahan.
Abah langsung tak menghiraukan kesihatannya malah kesihatan orang lain, isteri dan anak-anak terutamanya. Dah puas mak menasihat, tapi suaminya itu tetap juga sama. Kata nak berhenti, tapi tak pernah bersungguh, mula-mula sahaja. Bila dah berkumpul dengan kawan-kawan, mulalah balik. Melantak rokok sama-sama.
“Kata tak ada duit. Tapi beli rokok ada duit pulak.” leter mak pada abah dan seperti biasa, abah buat pura-pura tak dengar, walaupun dia tahu dia yang bersalah, tapi nak buat macam mana? Rokok dah jadi sebahagian dari hidupnya.
“Kalau tak merokok, nanti tak ada selera nak makan.” balasnya.
“Takpalah, kalau macam tu, makan je rokok tu. Nanti saya patah-patahkan dan letak dalam pinggan ya. Dah tak payah makan nasi!” ucap mak marah. Abah hanya membalas dengan senyuman sumbing, tak mahu mulakan kerana mak pun tak ada kurangnya kalau dah sampai angin pusing. Perangai pun lebih kurang sama. Bezanya mak marah pada benda-benda yang tak betul, tapi abah marah bila disuruh buat benda-benda betul.
Keluhan abah mengembalikan mak ke alam realiti. Wajah abah di pandang sekilas sebelum dia meneruskan kerja-kerja membersihkan tunggul-tunggul bulu ayam yang masih tertinggal di kulit ayam tersebut. Mak tak nak bertanya kerana dia sudah tahu hasilnya. Duit yang angah bagi pasti hangus begitu sahaja.
“Kali ni pun tak jadi jugak…” tutur abah perlahan. Mak hanya memasang telinga, tak mahu cakap apa-apa.
“Dah banyak modal yang dipakai, tapi tak ada juga hasilnya. Nampak gayanya duit tokey hari ni kena gantung lagi.” ucapnya lagi sambil menggaru-garu kepala yang sudah keputihan ditumbuhi uban. Mak menghela nafas dalam, kerana hanya itu yang mampu dia lakukan untuk mendapatkan ketenangan.
“Bukannya tak ditegah, tapi awak yang buat tak endah. Sekarang terimalah.” bisik mak hanya di dalam hati, bukan tak berani menzahirkannya di hadapan suami, sebaliknya kekal berusaha untuk menghormati…selagi termampu dek diri sebelum dia menyedari. Dia pasti akan dimarahi lagi. Ah Fatt tak mungkin akan berdiam diri kerana minggu ni sahaja dah masuk dua kali abah culas tak dapat membayar penuh modal perniagaan, itu tak masuk lagi minggu-minggu sebelumnya dan minggu-minggu, tahun-tahun yang sebelumnya. Sudah bertahun-tahun tapi keadaannya tetap sama. Hutang mereka pada tokey dah bertimbun-timbun. Semuanya gara-gara kepercayaan karut suaminya tu.
“Duit orang menoreh getah haritu mana? Wahab kata dia dah bayar pada awak. Gunalah tambah-tambah dulu mana yang kurang.” tutur mak, mencadang.
“Mana adanya lagi duit tu. Kan dah pakai minggu lepas hantar pada ateh.” balas abah agak tegang.
“Lah! Bukan ke duit tu baru dia bayar pagi semalam? Saya terjemoh dengan dia di kedai masa nak beli beras. Dia kata dah bagi pada awak.” jawap mak, mempersoalkan kata-kata abah.
“Dah tak ada duit tu! Dah habis buat belanja ke Melaka semalam. Dah tu nak buat macam mana lagi!” balas abah keras, dah mula naik angin.
Mak terdiam. Dia tak menyangka yang suaminya akan menghabiskan duit dengan semudah itu.
“Dah tu? Duit yang angah bagi tu tak cukup lagi? Berapa banyak yang awak guna?” soal mak semula bila bahang dah terasa sampai ke muka dengan sendirinya. Abah yang mendengar kekal sunyi, dah tak berani nak berbalas lagi, bukan takutkan bini, tetapi dah mula menyesali kekhilafan sendiri.
Mak tarik muka, kerana dia betul-betul rasa sengsara, bila keadaan sebegitu berulang dan berulang lagi saban hari sampai dah berpuluh-puluh kali. Abah memang tak pandai menguruskan kewangan keluarga, terutamanya pada saat-saat genting seperti ini. Setiap sen sangat berharga dan perlu digunakan sebaiknya. Anak-anak perlukan belanja. Menyedari keadaan itu, hasrat untuk memberitahu tentang hal ateh yang memerlukan wang dipendamkan. Kalau tahu ateh perlukan duit lagi, pasti suaminya itu akan mengamuk berhari-hari.
Nampak gayanya, terpaksalah dia mengeluarkan duitnya sendiri nanti. Duit simpanan dalam buku biru, hasil bekerja di kilang papan dulu, duit yang tak diketahui tentang kewujudannya selama ini, sebaliknya dia nyata terkejut bila menerima surat dari KWSP yang memaklumkan tentang baki terkumpul akaunnya yang sudah mencapai tahap matang dan dah menjangkau ke angka ribuan ringgit itu.
Rezeki Allah memang tak pernah diduga. Walaupun hanya bekerja tak sampai setahun, duit tersebut menjadi berlipat kali ganda setelah hampir 30 tahun dibiarkan tak terusik. Semua tu dia rahsiakan dari pengetahuan abah dan hanya gunakan bila perlu. Terutamanya masa-masa kecemasan seperti ini. Mak tak nak abah tahu. Mak takut abah minta untuk diguna buat kerja-kerja mengarutnya lagi. Aktiviti tak ada masa depan yang hanya mengundang kemurkaan dan menjauhkan diri dari keberkatan.
“Saya nak ke bandar petang ni, awak jangan datang lambat-lambat pulak nanti.” pesan mak pada abah yang baru hendak pulang ke rumah untuk bersembahyang.
“Ke bandar lagi? Nak buat apa awak ke bandar? Bukan minggu lepas awak dah pergi?” soal abah sambil mengerutkan alis sendiri.
“Ateh mintak poskan salinan kad pengenalan kita, katanya nak guna.” balas mak bersahaja dalam usaha menghalalkan acara, kerana dah tak ada cara lain yang ada bila pilihannya hanya ada dua, bercakap benar atau sebaliknya.
“Hmm, iyalah!” balas abah sebelum menuntun basikal yang ada di hadapan gerai dan bertolak pulang meninggalkan mak yang sedang mencongak-congak jumlah yang perlu dia keluarkan di dalam fikiran.
Mak menikmati permandangan daripada tingkap cermin bus henti-henti, sebelum dia bertindak mengecilkan lubang angin bila tudung yang dipakai sudah mula merasakan tekanan sampai dah berterbangan. Selesai dengan pekerjaan, mak memerhatikan pula keadan di dalam bus yang tak begitu sesak hari ini, mungkin kerana hujung bulan dah nak tiba, ditambah pula dengan keadaan cuaca yang hujan hampir setiap masa, membuatkan orang ramai hanya memilih untuk duduk di rumah sahaja bagi menjimatkan wang yang ada bila kebanyakan penduduk kampung bergantung hidup pada hasil-hasil kebun, getah terutamanya.
Dalam keadaan sukar, ada masanya mak teringat tentang peristiwa lama. Kenangan yang tak mampu untuk dilupakan, kenangan manis bersama emak dan ayah yang tersayang, tak terkecuali, segala pahit manis yang dirasa sepanjang tempoh menempuh alam rumahtangga. Manisnya memang ada dan dia takkan sesekali menidakkan, tapi pahitnya…hanya mampu ditelan.
“Awak cagarkan tanah kebun tu! Saya dah tak ada cara nak kumpulkan duit buat bayar yuran along. Nanti kalau tak dibayar, tak keluar pulak keputusan periksa dia. Saya rasa dah tak ada cara lain dah!”
“Saya dah cuba mintak pinjam dengan Su, tapi dia pun tak dapat nak bagi sebab suami dia tengah menanggung adik kembar dia yang sakit. Jadi dia memang tak ada duit. Awak cagarkanlah dulu.” arah abah. Remuk hati mak mendengarnya. Kenapalah kebun getah tu selalu menjadi mangsa, dulu dah sekali, takkanlah sekarang ni dia kena buat sekali lagi. Rintih mak di dalam hati, tak dapat merelakan ianya terjadi.
“Awak cagarkannya dulu. Awak jangan risaulah, nanti tahulah saya membayarnya. Awak….” tambah abah yakin kekal berusaha memujuk isterinya itu, tapi itu langsung tak dapat mengubat kerisauan yang semakin menunjang di hati mak, sebab mak masih ingat kisah dulu. Segala kata-kata abah yang selepasnya hanya masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri sahaja bila minda segera menyelongkar sejarah lama.
“Awak cagarkan tanah tu ya. Kalau dapat pinjaman tu nanti bolehlah kita buat modal untuk bina reban dengan beli anak ayamnya sekali. Saya ingat bila dah maju nanti saya nak bela itik sekali. Rasanya itik pun boleh buat untung jugak.” tutur abah yang sedang duduk bertentang dengan mak.
“Cagarkan tanah ni? Perlu ke sampai mencagarkan tanah? Memang dah tak ada cara lain nak dapatkan modal?” soal mak pula masih tak rela membiarkan. Abah mula menggaru-garu belakang kepala, tak suka.
“Sebab dah tak ada caralah saya mintak awak cagarkan tanah tu. Kalau ada cara lain, tak adalah saya mintak. Awak nilah! Dah tu awak nak bagi ke tak ni?” soal abah semula, tegas. Mak yang sedang melipat baju masih berusaha untuk mencari jawapan untuk itu. Melihat mak yang masih ragu-ragu abah menambah.
“Tak payahlah awak nak risau. Nanti bila dah maju perniagaan kita tu, saya bayarlah balik semua. Takkan tergadailah tanah tu.”
“Lagipun kita bukan nak pakai banyak. Buat pinjaman 2, 3 ribu pun dah cukup.” pujuk abah semula. Lembut gigi daripada lidahnya dan demi memenuhi hasrat suami, nak akhirnya menerima.
“Awak! Awak! Cepat datang sini!”
“Tengok apa yang jadi pada ayam-ayam ni! Kenapa boleh jadi macam ni?” tutur mak hampir menempik saat terpandangkan ayam-ayam yang sudah terbaring semuanya. Moyok dan tak bermaya. Air mata ketakutan segera menitis di pipinya.
“Ya-Allah…kenapa boleh jadi sampai macam ni. Apa sebabnya?” soal mak pada diri sendiri sambil memikirkan kejanggalan yang memungkinkan semua itu terjadi.
“Kenapa? Apa!” tutur abah tak percaya sampai bulat matanya saat terlihat keadaan ayam-ayam pedaging yang sudah semuanya hampir terbaring. Beratus-ratus ekor keseluruhannya dan paling dikesalkan, hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi hasilnya dah boleh dituai.
“Awak, kenapa boleh jadi macam ni? Dekat mana salah kita? Apa yang kita salah beri?” soal mak pula sebelum menyapu air mata dan mula masuk memeriksa setiap ekor ayam yang sudah mati terpukang. Tinggal beberapa ekor sahaja yang tercegat itu pun masih belum tentu panjang umurnya.
“Apa yang orang jabatan haiwan ni bagi sebenarnya? Dia bagi ubat ke racun?!!” tutur abah kasar sebelum turut sama memeriksa. Ayam yang sudah mati diasingkan daripada yang masih nyawa-nyawa ikan.
“Awak, dah tu kita nak buat macam mana ni?” soal mak semula.
“Nanti awak pergilah bagitahu pada orang jabatan haiwan tu. Mintak dia datang dan tengok apa yang dah jadi ni.” cadang mak pula sambil terus dan terus memeriksa. Tangisannya pecah juga menangisi setiap satu nyawa yang sudah tiada.
“Apa masalah sebenarnya? Kenapa boleh jadi macam ni?”
“Sebelun disuntik semalam, ayam ni elok je semuanya. Makan minum, semua macam biasa.Tak ada yang pelik pun. Tapi kenapa lepas disuntik macam ni pulak jadinya?!” soal abah pada pegawai yang dah menjalankan kerja-kerja penyuntikan sebelumnya.
“Saya…saya nak minta maaf bang. Saya mengaku saya silap. Ubat yang diberi semalam bukan ubat untuk ayam, tapi…tapi untuk lembu.” balasnya. Mak dan abah segera terbeliak mendengarnya, tak menyangka.
“Patutlah boleh jadi macam ni! Macam mana kalian buat kerja! Takkan sampai nak membezakan ubat pun tak boleh! Ayam dengan lembu, sama?” herdik abah yang sudah hilang kesabaran dan pegawai tersebut segera menundukkan pandangan.
“Awak, bawak bersabar…” tutur mak cuba untuk mententeramkan.
“Sabar kata awak? Ni dah kira cukup sabar dah saya ni. Kalau ikutkan hati…” balas abah sambil menggenggam penumbuk sendiri. Pegawai persebut segera mencari jalan untuk melepaskan diri.
“Takpalah bang, takpun macam ni.”
“Abang datang ke pejabat buat laporan. Lepas tu nanti biar pihak kami bayarkan pampasan. Kalau diikutkan…” belumpun sempat dia menghabiskan abah dah membuat cantasan.
“Takpayah! Tak payah cakap apa-apa dah! Sekarang pergi balik!” arah abah sebelum beredar dah tak mahu memanjangkan perbincangan.
“Awak…” seru mak, namun abah dah beredar.
“Macam mana? Macam mana ceritanya tentang tanah kebun tu?”
“Ni, masuk kali ni dah berapa kali pihak bank hantar surat amaran. Ni awak nampak ni? Surat yang baru saya dapat tadi. Dah sampai surat merah dah. Dah tu macam mana ni? Dari mana kita nak cari 900 tu?” soal mak bertalu-talu sambil terus menjalankan tanggungjawap sebagai ibu pada anak yang masih menyusu.
“Dah tu awak nak saya buat macam mana? Dari mana saya nak dapatkan duit sebanyak tu?” pekik abah yang tiba-tiba dihambat amarah. Marahkan isteri yang tak henti-henti mendesak membuatkan mak segera tersentak, tak menyangka yang dia akhirnya ditempelak.
“Awak jangan tanya saya! Saya tak tahu…” tambah abah sebelum bergegas menukar persalinan.
“Awak…bukan ke dulu awak yang beriya-iya berjanji, tapi sekarang…” tutur mak tersekat-sekat dah tak dapat menahan sebak. Berjurai-jurai air matanya menangisi nasib diri yang tak henti-henti diuji. Tanah dah digadai, tapi hasilnya tak dapat dicapai. Memikirkannya, mak jadi makin hiba.
“Dah! Jangan awak sebut lagi tentang ni depan saya! Kalau tak…” balas abah sengaja membiarkan sebahagian digantungkan sampai berombak-ombak dada menahan kemarahan. Mak dah tak tertahan, dan apa yang mampu dilakukan hanyalah menerima kehadiran ‘hujan’. Along, angah, Mat, ateh hanya mampu berkumpul di satu penjuru tanpa ada sesiapa yang berani nak menyaksikan keadaan itu. Hanya telinga yang menjadi saksi. Selesai abah menyarung pakaian, mereka akhirnya ditinggalkan.