Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 5b

“Assalammualaikum…assalammualaikum.” tutur Safi setibanya di depan pintu tangga rumah Mak Tam.

“Assalammualaikum…assalammualaikum.” tutur Man dan Ina pula bila menyedari panggilan Safi seperti tak cukup kuat untuk didengari.

“Assalammualaikum…” panggil mereka lagi, tapi rumah sunyi seperti tiada berpenghuni.

“Safi, Mak Tam tak ada kat rumah ke? Ke Mak Tam tido lagi?” soal Man bila seruan yang dilakukan langsung tak mendapat sahutan.

“Manalah Safi tahu, tapi, takkan Mak Tam tido lagi, hari kan dah cerah ni.”

“ Entah-entah Mak Tam pergi kedai tak?” balasnya.

“Mak Tam, pergi kedai? Mak Tam, mana larat pergi kedai! Kan ke biasanya kita yang tolong Mak Tam beli barang kat kedai.”

“Betulke Mak Tam tak ada ni? Ke dia saja duduk ontok-ontok(senyap-senyap) je kat dalam rumah?” soal Man lagi, mula meragui apa yang terjadi sebelum dia bertindak mendaki anak-anak tangga dengan batang kaki.

“Man takpayah!” marah Safi, tak bersetuju dengan tindakan Man itu, takut disalah anggap. Kalau dilihat orang, mungkin mereka akan ditangkap, tapi semuanya dah terlambat bila Man bertindak lebih cepat.

“Assalammualaikum…assalammualaikum…” tuturnya sambil mengetuk pintu rumah kayu.

“Assalammualaikum…” ulangnya tanpa henti, sebelum dia betul-betul pasti, Mak Tam dah tak ada di rumahnya.

“Dahlah, cepat turun, nanti kalau Mincun lalu, entah apalah yang dia cerita kat orang. Cepat!” gesa Safi, tak sanggup mereka dituduh sebagai pencuri kerana Mincun memang tak boleh dipercayai, mulutnya mengalahkan burung murai tercabut ekor, pantang ada perkara yang berlaku, pasti dialah yang menjadi pengulasnya. Orang lelaki, tapi mulut macam perempuan, bisiknya di dalam hati, sambil mengangkat sebelah bibirnya sendiri, ditemani perasaan tak puas hati bila memikirkan apa yang mungkin dan bakal terjadi.

“Jomlah kita balik pondok kita balik.” arahnya sebelum mula berjalan, Ina seperti biasa, tak ada banyak bantahan, lebih mudah mengikut apa yang diarahkan, tapi bukan Man, si kepala gonjeng.  

“Man nak pergi mana tu?” soal Safi tak percaya bila Man mengubah haluannya.

“Sekejap la, Man nak pergi sana sekejap.” balasnya sebelum melajukan langkahan kaki.

“Sana mana?” soal Safi tak percaya, bila Man dilihat semakin jauh daripadanya.

“Sanalah.” jawapnya sambil mengarahkan tangan pada destinasi yang bakal ditujui.

“Wei Man, balik!” teriak Safi yang sudah mula naik darah, saat menyedari ke mana Man nak pergi, tak ada tempat lain melainkan pokok jambu galah berbuah merah, milik Mak Tam yang tak ada dirumah, namun nampak sia-sia kerana langsung tak diendah.

“Man! Balik!!!”gesanya lagi, tak kenal putus asa, sebelum ketiga-tiganya sampai ke bawah pokok jambu yang dipenuhi dengan buah-buah ranum yang sebahagiannya sudah gugur menyembah tanah. Ada yang dah menjadi habuan binatang dan tinggal sisa sahaja, ada juga yang sudah dipijak dan dilanggar orang yang lalu lalang sampai lenyek, tak ubah macam kerepek, dan tak kurang juga yang masih elok paras rupanya. Memerah mengelilingi batang pokok yang besar lagi tinggi, serentak ketiga-tiga mereka meneguk air liur, sebelum saling berpandangan sesama sendiri, menyampaikan isi hati melalui kuasa telepati.

“Safi, Safi tak ingat ke apa yang Mak Tam cakap dulu?” soal Man tiba-tiba.

“Yang mana?” soal Safi kembali sambil cuba untuk mengingati semua yang perkara yang pernah terjadi.

“Kan Mak Tam pernah cakap, makan je buah-buah yang dia tanam kat tanah ni, sebab dia kata dia saja je tanam, lagipun dia cakap ini bukan tanah dia. Lepastu kan dia pesan, kalau dia tak ada pun boleh je ambik makan, Safi tak ingat?”

“Tak ingat masa tu dia cakap, masa kita ikut mak hantar ikan sungai pada dia lepas abah dapat banyak ikan sungai waktu pergi menjala, Safi tak ingat?” soalnya pada Safi.

“Ha, Ina pun ada kan masa tu, Ina tak ingat?” soal Man pada Ina pula. Serentak Ina mengangguk-anggukkan kepalanya setelah mengingati apa yang terjadi.

“Safi bukan tak ingat, cuma…” belumpun sempat Safi menghabiskan, Man dah memulakan, satu demi satu buah jambu dikutip dan dimasukkan ke dalam gendong baju, Ina yang masih tercegat turut teruja setelah melihat apa yang berlaku sebelum sama-sama bergegas mengambil satu dan Safi tahu, dah tak ada apa yang boleh mengelakkan perkara seperti itu berlaku. Tanpa sedar dia bertindak untuk menjadi pemerhati disitu, menjaga keadaan, takut pada mata-mata lain yang mungkin ada berdekatan.

“Dah dah dah! Dah cukuplah banyak tu! Cepat-cepat, nanti ada orang lalu.” arah Safi separuh berbisik, tak betah berlama-lama di situ, bila melihat jumlah kutipan sudah melebihi apa yang diharapkan, tapi nampaknya Man masih belum puas lagi.

“Man, dahlah! Dah cukup dah tu! Man nak ambik banyak mana?” soalnya tak percaya bila Man dilihat belum puas dengan apa yang ada.

“Ha, lantaklah, Safi nak balik dah. Ina cepat, jom kita balik, tinggalkan Man sorang-sorang kat situ. Biar dia kena ambil dengan hantu!” tegasnya pula sebelum berlari meninggalkan kawasan berkenaan sambil memimpin tangan Ina dan meninggalkan Man keseorangan. Melihat keadaan itu, barulah Man kekalutan.

“Safi tunggu!” tuturnya sambil berlari dengan berhati-hati, takut hasil kutipan yang berada di dalam gendong baju jatuh berciciran ke jalan.

“Safi, tunggulah…” rayunya pula, tak suka bila ditinggalkan, dan serentak dengan itu Safi memperlahankan langkahan.

 

Sesampainya mereka ke dalam pondok buatan, semua buah-buah yang ada dilonggokkan di tengah-tengah sambil mereka duduk secara bulatan.

“Tengok, besar kan yang ni, tak pecah pun lagi, sebab yang ni Man dapat kat dalam semak, tak macam yang ni, yang ni ada pecah sebab jatuh kat jalan.” ujar Man memberi ulasan dengan memegang kedua-dua biji buah jambu berkenaan sambil membuat perbandingan.

“Yang besar ni Ina punya, Ina yang dapat.” tutur Ina pula, mula menunjuk-nunjuk.

“Ha, yang ni pun Ina yang punya.” tambahnya lagi tetap tak mahu kalah sebelum membelek-belek buah berkenaan dengan tangan kecilnya sedang Safi masih lagi berfikir-fikir untuk mengambil langkah yang seterusnya.

“Betulke Man dengan Ina nak makan buah ni?” tuturnya tak pasti bila hati mula terbit rasa sangsi.

“Betullah, kenapa? Tak boleh ke?” soal Man pula.

“Boleh tu…bolehlah…rasanya, sebab Mak Tam dah cakap boleh, cuma rasa macam tak elok.” balasnya sambil menggaru-garu lutut.

“Dah tu, sebenarnya boleh ke tak?” soal Ina pula bila dia seperti tak mendapatkan jawapannya.

“Bolehlah..kot, makan jelah, lagipun dah bawak sampai sini, takanlah nak pergi hantar balik.” tutur Safi setelah berfikir agak panjang, lagipun memang selalu Mak Tam cakap begitu. Pokok tu hak semua katanya.

Sedang sedap-sedap makan, Safi mula perasan ada yang benda yang buat dia tak sedap badan, serentak jarinya menggaru-garu bibir yang rasa kebas dan kegatalan.

“Man! Kenapa bibir Man jadi besar?” tuturnya terkejut, dengan mata yang membulat dengan sendirinya.

“Ina pun sama! Ina, mulut Ina dah bengkak!” tambahnya terkejut sambil meneliti wajah Man dan Ina tanpa henti sebelum segera mencapai baki buah yang masih berada di dalam genggaman keduanya lalu melantingkannya ke dalam semak.

 “Safi, mulut Safi pun sama, mulut Safi dah jadi besar.” tutur Man sambil mengarahkan jari telunjuknya ke arah bibir Safi yang kelihatan amat berbeza daripada kebiasaannya.

“Safi, gatal…” adu Ina pula sambil menggaru-garu bibir yang mula rasa kegatalan.

“Tulah, kan awal-awal tadi Safi dah cakap, tak boleh ambik barang orang, tengok sekarang apa dah jadi, inilah akibatnya.”

“Dah tu nak buat macam mana sekarang?” gesa Man sambil menggaru-garu bibirnya lagi.

“Dah dah dah, jangan garu, nanti kalau garu takut dia jadi lagi besar.” balas Safi pula sambil menahan diri daripada mengambil tindakan yang sama, menyental bibir semahunya.

“Dahlah jom balik, jom bagitahu angah, dia mesti tahu apa nak buat.” tambah Safi lagi sebelum semuanya bergerak pulang ke rumah.

 

“Angahhh…” tutur mereka serentak segera mahu memberitahu apa yang berlaku pada angah yang sedang membaca buku.

“Angah tengoklah mulut kami! Mulut kami dah jadi besar…” adu Ina pula dan angah apa lagi, hampir terlompat dia dibuatnya.

“La ilahaillallah…apa yang kalian buat ni? Kenapa boleh jadi macam ni?” tuturnya mengucap saat terpandangkan akibat. Safi dan Man hanya mampu sunyi, takut untuk menjelaskan punca semua itu terjadi, tapi tidak Ina si mulut murai.

“Angah, tadi kami curi buah jambu Mak Tam, lepastu terus jadi macam ni.” tutur Ina menerangkan, langsung tak melalui sebarang tapisan.

“Baguslah sangatlah tu! Memang padanlah muka jadi macam ni! Rupa-rupanya pergi mencuri!” sergah angah marah.

“Orang bukan curi, orang kutip buah yang ada kat bawah je. Lagipun itu buka curi sebab Mak Tam…” belumpun sempat Man menjelaskan, angah terlebih dahulu membuat pintasan.

“Dah dah dah! Curi ke, tak ke, malas dah angah nak dengar alasan kalian, betul-betul malas! Angah nak duduk belajar pun tak senang! Kalian ni memang suka sangat menyusahkan orang! Memang…” bebelnya sambil mengetap gigi, namun tak lama sebelum dia sedar ada perkara yang lebih penting untuk dilakukan, tak sanggup melihat adik-adiknya itu menahan kesakitan sampai dah berpeluh-peluh di dahi dan badan.

“Cepat! Sini ikut angah! Basuh mulut dengan muka tu dulu.” tuturnya sambil bergerak ke muka pintu dapur setelah mengambil secebuk air dan seketul sabun mandi yang ada berhampiran.

“Man, berhenti menggaru!” arahnya pada Man pula, bila melihat Man yang masih menggarut-garut bibirnya sendiri sambil dalam hati, tak henti berdoa agar usahanya itu menjadi. Seorang demi seorang adiknya itu dibersihkan dengan harapan akan ada kejayaan, lagipun mak tak ada, kalau mak ada, mak mesti tahu apa yang perlu diihtiarkan.

“Pergi ambil bantal, lepastu baring kat depan.” arahnya pada Ina dan Man yang sudah selesai dibersihkan sambil tangan tetap juga bekerja membersihkan Safi yang ada dihadapan dan tanpa berlengah Man dan Ina segera menurut arahan.

“Dah! Lepas ni angah dah tak nak tengok kalian merayap-rayap lagi dalam kebun tu! Kalau angah tahu kalian pergi main ke kebun tu lagi, siaplah!” ugutnya sebelum duduk di sebelah Safi, Man dan Ina yang sedang terbaring di dalam barisan.

“Angah, gatal lagi.” rengek Ina sambil menggaru-garu bibir sendiri.

“Hish! Kan angah dah cakap, jangan garu! Kalian nak mulut kalian tu jadi besar macam mulut tempayan?” balas angah cuba untuk menakutkan, serentak adik-adiknya itu menggeleng ketakutan.

“Ha, tahu takpa. Kalau taknak, baring senyap-senyap!” arahnya lagi, mengalahkan menteri.

“Itulah sebabnya, orang dah cakap, jangan ambil barang orang, tengok apa yang dah jadi sekarang.”

“Safi yang besar, sepatutnya Safi jaga adik-adik, ni tak, Safi ikut je apa yang diorang nak, langsung tak pandai nak menasihatkan adik-adik. Kan dah cakap yang curi tu dosa, sekarang dah percaya?” tambah angah lagi sebagai peringatan bila berkesempatan.

“Dah malas angah nak marah-marah, sebab dah selalu sangat angah pesan, jaga kelakuan. Memang kita orang susah, tapi kita masih cukup makan, tak perlulah sampai nak mencuri, sebab itu kan dosa. Tahu tak dosa tu apa?” soalnya pula, tak penat mengingatkan kerana hidup sememangnya singkat… terlalu singkat. Tengok sajalah, sedar tak sedar sudah 15 tahun dia hidup didunia setelah Allah tiupkan roh ke dalam tubuhnya, dan entah seberapa lama lagi roh itu akan berkekalan di dalam jasadnya dia sendiri pun tidak tahu.

“Dosa tu neraka kan?” balas Safi yang sudah agak memahami, sedang Man dan Ina tetap terkebil-kebil mencari jawapan lagi.

“Hmm, betullah tu, dosa tu neraka. Nak ke kalian masuk neraka?” soal Angah pula serentak adik-adiknya itu menggeleng-gelengkan kepala, dan tanpa dipaksa terukir senyuman lega di bibirnya, tapi cuba untuk disembunyikan sebahagiannya, kerana dia mahu sentiasa dilihat tegas di mata adik-adiknya itu.

“Dah, siapa yang dah mengantuk tidur. Ingat, jangan garu kalau tak nak mulut tu jadi besar macam mulut tempayan. Tangan tu letak kat bawah.” arahnya lagi dan tanpa banyak kata Safi, Man dan Ina patuh pada apa yang di arah. Menyedari adik-adiknya itu kepanasan, angah segera mencapai surat khabar sebelum mengipaskannya ke arah mereka untuk mendamaikan perasaan, kalau tak banyak pun…sedikit.

Previous: Bab 5a
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.