Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab116a

Rumput yang bertaburan di luar kawasan makan ditolak masuk ke dalam palong menggunakan hujung kaki. Kandang feedlot yang sepanjang lebih 100 kaki itu, perlu sentiasa dipantau keadaanya dan bekalan makanan perlu disediakan dua kali sehari. Sekali ruji, iaitu rumput segar dan sekali lagi makanan olahan yang diproses daripada campuran bijirin-bijirin termasuk jagung serta soya mengikut nisbah yang sudah ditetapkan.

“Ha, ha, ha! Buat apa tu!”

“Jangan bergaduh!” marah Safi saat terlihat seekor lembu yang sudah mula mencari gaduh dengan yang lainnya.

“Bergaduh! Bergaduh!”

“Asyik-asyik bergaduh! Boleh tak kalau tak bergaduh?!” bebal Safi lagi sambil terus juga memerhati bebola mata lembu yang hampir sebesar buah kundang saat memandang. Serentak itu, aksi si lembu berubah. Dah tak jadi nak marah.

“Ha! Macam tulah! Kawan elok-elok. Buat apa nak gaduh-gaduh…” tambahnya lagi, mensyukuri.

“Assalammualaikum…”

“Waalaikumussalam…”

“Awak?!”

“Tak cakap pun nak datang. Kenapa tiba-tiba datang sini?” soal Safi yang masih tekun menyambung kerja melonggok-longgokkan rumput ke dalam palong.

“Kenapa pulak tak boleh datang? Hari ni saya datang sebab nak beli lembu!” balas Naz yang sudah mula memeriksa.

“Ada nak buat kenduri? Berapa anggaran tetamunya? Kalau macam biasa, 10 kg daging cukup untuk 100 orang makan itu kalau masak secara berasingan, tapi kalau masak gulai kawah, sekali dengan tulang-tulang, boleh bergandalah.” terang Safi yang sudah turut sama menyertai.

“Pilihlah mana yang awak berkenan. Lepastu nanti bagitahu saya. Saya boleh buat anggaran harganya. Harga tu tak termasuk sekali dengan permit ya. Itupun kalau nak pihak kami yang uruskan. Kalau nak buat sendiri pun boleh.”

“Pejabat veterina dekat depan tu je ha.” tambah Safi lagi memberikan panduan.

“Awak ke yang nak kahwin?” soal Safi tiba-tiba.

“Ha? Ha!” balas Naz mengiyakan dan Safi menerima dengan seadanya.

“Ha! Dah jumpa?!” tutur satu suara daripada belakang keduanya.

“Ada Pak Long. Banyak. Pilihlah mana-mana yang berkenan.”

“Yang ni lembu kampung kan?” soal Naz pada Safi pula.

“Hmm. Yang ni lembu kampung. Dekat kandang sebelah tu brahman. Besar sikit, tapi harga lebih murah kalau ikut kilo.”

“Kenapa pulak murah?” soal Naz tak percaya.

“Memang macamtulah. Konsep pengeluaran. Yang besar jadi kecil, dan yang yang kecil jadi besar. Itu harga yang bos dah tetapkan. Dah tu macam mana? Nak yang mana?”

“Yang kampung la, sebab yang kampung barulah mencabar!” balasnya sambil tersenyum membuatkan Safi mengerutkan alis sendiri.

“Ha, yang ni? Berapa beratnya? Yang kuning belakang tu?” soal Pak Long, segera Safi mengenalpasti teg di telinganya.

“385…sekejap ya. Biar saya cari dulu…”

“Ha, yang tu lebih kurang 210 kg. Anggaran daging biasanya 1 per tiga jumlah berat. Lebih kurang 70 kg.”

“Tetamunya berapa orang?” soal Safi pula, ingin membantu.

“Agak-agak dalam tujuh ke lapan ratus macam tu. Tapi, kalau tak cukup susah. Buat kenduri, biar berlebih, jangan sampai berkurang, kalau tak nanti, jadi buah mulut orang. Kalau ada lebih, boleh bungkus-bungkus suruh tetamu bawa balik.” jawapan yang membuatkan Safi tersenyum kerana itu juga jawapan yang biasa mak berikan padanya.

“Kalau nak yang besar sikit, nanti, saya cari…”

“Ada yang berat 260 kg. 241…”

“Yang ni! Ha, yang dekat depan ni. Macam tahu-tahu pulak dia.” tutur Safi sambil mengusap kepalanya.

“Ha, elok sangatlah tu, besar pun besar, gemuk pun gemuk. Oklah, pak cik ambik yang ni. Duitnya macam mana?”

“Nak ambik sekarang ke?” soal Safi pula.

“Sekarang la! Kendurinya lusa. Permitnya pun pak cik dah sedia.”

“Oklah. Kalau macam tu kita ke pejabat dulu. Ikut sini.” arah Safi.

“Awak!” bisik Naz yang sudah beralih ke tepi.

“Hmm.”

“Oh, terlupa! Pengantin perempuannya orang mana?” tutur Safi bertanya.

“Jiran dekat-dekat taman.”

“Eloklah tu, tak payah nak bergaduh-gaduh bila balik beraya.”

“Tapi, tak bagitahu lagi!” jawap Naz, terkejut Safi dibuatnya.

“Tak bagitahu?! Lembu dah beli, kata lusa kenduri, tapi tak bagitahu lagi? Macam manalah awak ni.”

“Eh! Itu bukan lembu untuk kenduri saya, tapi untuk sepupu saya. Yang saya belum lagi…”

“Awak tolonglah pilihkan.”

“Buat apa?”

“Buat kita!” jawabnya selamba membuatkan Safi hanya mampu menggeleng kepala dan Naz terus ketawa gembira.

 

Keheningan malam yang dingin terasa mencerut tangkai hatinya. Mata yang sukar untuk dilena membuatkan dia bangun dan menuju ke tingkap biliknya pula. Saat tingkap kaca dibuka, serta-merta wajahnya disapa bayu yang datang tak diundang.

Pemandangan malam yang kelam, langit tak berbintang dan bulan yang tak bercahaya membuatkan dia betul-betul rasa sepi sendiri.

“Sejuknya…” bisik Ridzuan sambil ditemani bibir yang terketar. Segera dia menutup tingkap itu semula, dah tak tertahan nak menahan kesejukan.

“Hah…” satu keluhan dilepaskan kerana walaupun sudah puas mencuba, matanya masih enggan terlena. Tak mahu membuang masa, dia akhirnya bangun dan menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Selesai bersuci, sejadah dibentang sebelum dia mencapai kitab suci dan menyambung apa yang sudah dibaca awalnya.

Previous: Bab115b
Next: Bab116b

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.