Selesai membaca komik kegemaran, Usop didatangi oleh Safi, Man dan Ina yang sudah bersedia untuk turut sama mengetahui sambungan.
“Ha, siapa nak baca kena bayar 20 sen.” tutur Usop memberitahu kebiasaan.
“La, bukannya beli pakai duit Usop pun!”
“Usop mintak duit dengan mak kan? Dah tu kenapa pulak nak mintak bayar? Usop ingat orang tak tahu ke?” balas Safi tak puas hati dengan cara Usop berurusniaga.
“Suka hati orang la. Duit mak ke, duit siapa ke? Yang penting, siapa nak baca, bagi sini 20 sen dulu. Siapa tak ada duit, jangan haraplah dapat baca!” balas Usop pula, sengaja menunjukkan kekerasan kepala.
“Tak guna! Ingat Safi tak tahu ke?”
“Usop nak guna duit tu buat beli rokok kan? Dahla hari tu mencuri buah kelapa dekat rumah orang, apa Usop ingat Safi tak tahu?”
“Lepastu, Usop ambik duit dalam poket seluar abah kan? Safi nampak hari tu! Jangan nak menipu!” nomel Safi tanpa henti tak tertahan melihat perangai Usop yang buruk laku.
“Apa Safi cakap? Cakap sekali lagi kalau berani!” marahnya sambil mengangkat kepala tinggi, mencabar kesabaran Safi.
“Usop memang tak guna!” balas Safi pantas sebelum beredar daripada situ sambil diiringi Man dan Ina yang turut sama rasa diabaikan.
“Kurang ajar! Perangai kau tu sama macam mak!” jawap Usop pula, sengaja mahu memarakkan api yang dah menyala.
“Ikut suka hati lah, nak perangai macam siapa pun. Yang Usop tu! Ingat perangai tu baik sangat ke?”
“Paling penting, perangai Safi tak macam perangai Usop. Entah apa-apa!” gerutu Safi lagi, tak mudah nak mengalah membuatkan Usop segera bangkit dan meluru ke arah Safi, mahu membuat perhitungan demi membuktikan kekuatan.
“Kau ni kan…” tuturnya sebelum melepaskan tendangan ke arah Safi, tapi mujurlah Safi sempat mengelak, kalau tak…
“Memang dasar pengecut! Apa ingat orang takut?” cabar Safi berani berteman dengan sakit hati kerana bukan pertama kali perkara seperti itu terjadi, dah terlalu banyak kali, tapi semuanya disimpan sesama sendiri. Berdesing telinga Usop mendengarnya dan tanpa berlengah tangannya bergerak, memulakan serangan ke bahagian muka pula. Mujurah Safi segera merapatkan lengannya ke bahagian muka, melindungi aset terpenting yang ada.
“Jangan! Jangannn…! Jangan!!!” pekik Man dan Ina bersilih ganti, tak menyukai apa yang dilihat dengan mata sendiri, tapi itu belum cukup untuk membuatkan Usop berhenti. Tak ubah macam peninju handalan, dia meneruskan hentakan sehinggalah dia rasa kepenatan, dan apa yang Safi mampu buat adalah bertahan.
“Sudah! Usop, sudahlah!” jerit Man lagi sebelum bertindak menolak tubuh Usop untuk meleraikan mereka, dan mujurlah usaha kecilnya itu akhirnya berjaya bila Usop dilihat mula menjarakkan diri.
“Kau ingat ya! Kalau kau report pada mak, kau siap!” ugutnya sebelum berlalu pergi.
“Safi, sakit ke?” soal Man dan Ina sambil memeriksa keadaan kakaknya itu.
“Tak! Tak sakit pun!” balas Safi, segera menidakkan walaupun air mata tiba-tiba dah datang bertandang.
Safi jadi sangsi pada gelagat Usop yang nampak mencurigakan. Apa taknya, akhir-akhir ini, boleh dikatakan hampir setiap petang Usop mengulang ke kebun belakang, tempat kegemaran si panjang, cik b dan pak belang dan hari ni, Usop tetap pergi lagi.
Daripada tingkap, Safi memerhati kawasan sebenar yang Usop tujui. Berhati-hati dia meneliti sebelum dia pasti tempatnya, di pangkal pokok kabung yang berdahan rendang, bersebelahan pula dengan batang koko yang tumbang. Agak lama Usop berada di situ dan keadaan itulah yang membuatkan Safi lebih-lebih lagi sangsi.
“Apa benda yang dibuatnya kat dalam semak tu?” bisiknya sendiri sebelum menoleh ke belakang, takut ada pula yang lain datang, kerana kerja pengintipannya masih lagi alang-kepalang.
“Apa benda yang si cemel tu sorok dekat situ?” tambahnya lagi sambil memikirkan sebarang kemungkinan yang berlaku.
“Takkanlah…takkanlah dia sorokkan komik tu dekat situ?” duga Safi setelah hampir pasti dengan telahannya sendiri.
“Ooo…patutlah komik tu tak ada dekat atas rumah. Rupa-rupanya dia sorok dekat situ…” bisik Safi, gembira dengan kejayaan yang bakal diperolehinya.
Kawasan pangkal pokok kabung diteliti dengan berhati-hati. Dari satu sisi ke satu sisi dia mencari sebelum dia menjumpai apa yang Usop cuba rahsiakan daripada pengetahuan semua, tapi yang peliknya dia hanya berjaya menjumpai sebiji tin sardin bersaiz besar.
“Apa benda yang disorok kat dalam ni?” masih tertanya-tanya sebelum cuba menyongkel tutup tin berkenaan menggunakan dahan koko kecil yang baru dipatahkan.
“Apa benda…Ya-Allah! Setan!” tuturnya terkejut bercampur dengan benci setelah melihat apa yang menjadi isi.
“Cisss! Tak guna punya Usop! Habis tercemar mata ni! Memang setan betul!” marahnya lagi, memaki, sebelum memasukkan semula gambar-gambar tak senonoh yang menjadi penghuni tin sardin berkenaan.
“Memang dasar kepala tak betul! Entah dari mana dapat gambar-gambar tak guna macam ni!” tambahnya lagi sambil cuba membersihkan segala gambaran yang masih melekat di dalam ingatan.
“Astargfirullah hal adzim! Astargfirullah hal adzim, astargfirullah hal adzim…” bisiknya dalam usaha membersihkan kotak fikiran dan sambil berfikir-fikir dia mendapat idea yang lebih berguna.
“Takpa, jangan haraplah dapat tengok gambar ni lagi!” tuturnya sebelum bergerak ke tebing sungai yang tinggi dan dipenuhi dengan akar wulan, selaput tunggul dan keladi.
“Ha, ambik!” tuturnya sebelum mencampakkan tin berkenaan ke dalam semak, tempat terbaik untuk menghapuskan bukti kerana tak mungkin ada sesiapa yang akan berjaya mencari.
Wajah Usop nampak suram dan tak tenteram. Sesekali dia dilihat menggaru-garu belakang kepala tanda ada yang tak kena pada dirinya. Safi yang sedari tadi memerhati hanya mampu bertepuk tangan…di dalam hati kerana hanya dia yang tahu apa yang terjadi.
“Hmm! Kalau berani tanyalah…tanya, tanya siapa yang ambik ‘harta pusaka’ tak berguna kalian tu!” gerutu Safi sendiri setelah mengingati apa yang terjadi. Figura wanita-wanita yang tak langsung ditutupi dengan seurat benang itu muncul lagi, mambuatkan dia serta-merta rasa sakit hati.
“Setan!” tambahnya lagi memarahi, tak menyangka yang matanya sudah dicemari. Sedang dia memaki dan menyumpahi, tanpa disedari dia sebenarnya sedang diperhati.
“Apa pandang-pandang!” marahnya, melempiaskan apa yang terbuku di hati, mendengarnya, Usop serta-merta jadi naik angin lagi.
“Kau ni kenapa ha? Kalau bercakap tu, tak boleh ke elok-elok?” tutur Usop marah, berbalas rasa.
“Ikut suka hati orang la, mulut orang, yang nak sibuk tu kenapa?” balas Safi berani sebelum bertindak mengosongkan baldi kerana dia dah tak mahu terlalu memikirkan tentang perkara itu. Lagi difikir, lagi lamalah perkara tak senonoh itu diingati, lagipun bukannya boleh mendatangkan faedah pada sesiapa.
“Kau ni kan, memang dasar kurang ajar!” tutur Usop, hampir bertempik, tak suka disanggah.
“Memang! Memang Safi kurang ajar! Tak tahu lagi ke siapa yang ajar?” balas Safi tetap tak mahu mengalah. Nak takut buat apa, lagipun bukan dia yang buat salah.
“Takpa…takpa! Kau tengoklah nanti!” ugut Usop masih tak puas hati membuatkan Safi rasa makin benci.
“Apa? Ingat orang takut ke?” balas Safi sambil menghadiahkan jelingan separuh mata pada Usop yang berkaca mata sebelum dibalas Usop dengan jelingan yang sama.
Safi terbongkok-bongkok mencedok baldi air bersaiz sederhana besar itu sebelum membawanya mendaki cerun yang terdapat di jamban mandi dengan berhati-hati, tak mahu terlalu banyak air yang ditumpahi kerana dia mahu mencipta rekod baru hari ini, membawa air penuh dua baldi, bila kebiasaannya dia hanya mampu mengangkat tiga suku isi.
Sedang dia fokus pada angkatan, dia bertembung pula dengan Usop yang lalu bersama-sama dengan baldi airnya juga, dan seperti hari-hari yang sudahnya, mereka hanya sunyi sahaja, tak langsung bertegur-sapa, yang ada hanyalah jelingan-jelingan tanda amaran.
“Apa pandang-pandang!” tutur Usop, sengaja mahu memulakan pergaduhan.
“Siapa pandang Usop. Orang pandang pokok!” balas Safi perlahan sambil menahan cungapan nafas yang bergerak deras hasil daripada usaha keras. Tambahan pula, dia malas nak bergaduh kerana dia ada matlamat lain, iaitu memecahkan rekod sendiri. Mendengar jawapan Safi, Usop serta-merta menyinga dan tanpa diduga, dia menyentak rambut panjang Safi. Disebebabkan serangan yang tak terduga itu, baldi yang dijaga rapi sejak tadi tergegar sebelum menumpahkan hampir separuh daripada isi.
“Usop ni dah kenapa ha?!!! Setan betullah!” tempik Safi dah naik hantu kini kerana dia betul-betul tak boleh nak bertahan dengan perangai abangnya yang satu ni. Betul-betul tak ubah macam setan!
“Ha, padan muka!” balas Usop sambil ketawa sengaja mahu membalas dendam untuk segala yang disimpan, tapi itu masih belum mampu membuatkan dia rasa puas hati dan tanpa berlengah kedua-dua baldi yang masih mempunyai isi, disepak sekuat hati, membuatkan baldi yang tak berdosa itu terlanting jauh ke dalam semak, sengaja mahu menambah sakit hati Safi.
“Tak guna!” jerit Safi ditemani perasaan kecewa yang dah tak tertanggung banyaknya dan tanpa dipaksa air matanya turut datang bersama.
“Hahaha…padan muka!” tutur Usop gembira menzahirkan kemenangannya sebelum beredar meninggalkan Safi yang masih meneliti keadaan baldi yang sudah pecah di sebahagian sisi.
“Memang dasar setan…” tuturnya perlahan berteman perasaan kecewa yang tak tertahan sambil segera menyeka air mata dengan lengan.
“Dah habis dah…dah habis pecah dah baldi ni…” tuturnya lagi sambil terus juga meneliti. Sambil-sambil itu, sempat juga di memikirkan cara untuk membaiki.