“Angah nak buang air. Safi tolong bawak angah pergi tandas ya.” tuturnya tak berapa lama setelah terjaga.
“Akak, boleh ke berjalan? Kan baru lagi bedah ni? Tak payahlah pergi tandas. Kencing je dekat sini.”
“Ni, ni. Kan dah ada pasang tiup kencing dekat sini.” jawap Imah menerangkan, namun angah kekal dengan keputusan.
“Tak nak! Akak nak pergi tandas!” balas angah keras.
“Akak, janganlah buat perangai macam ni. Kencing jelah dekat sini!” bidas Imah semula masih tak dapat memerimanya.
“Tak boleh, faham tak?! Tak boleh!”
“Tak boleh nak kencing dekat sini!” balas angah yang dah mula nampak makin tertekan. Bersungguh-sungguh dia menahan, supaya tak ada yang keciciran.
“Ya-Allah kak Has, buang jelah dekat sini…”
“Ni, ni, kan dah ada tiubnya ni.” terang Imah semula, mahu memberi sedikit pencerahan padanya.
“Tolonglah faham. Tahu tak? Tak boleh nak kencing dekat sini…” balasnya seakan merayu membuatkan Safi rasa sayu kerana tak pernah angah kelihatan cemas sebegitu.
“Safi tolong angah! Bawak angah pergi tandas! Angah dah tak tahan dah ni! Tolong angah…” rayunya, dan demi memuaskan hati seorang kakak, Safi mula merapatkan dirinya. Tubuh angah Safi peluk kuat demi membantunya untuk bangun sebelum mereka bersama-sama bertatih ke ruangan mandi yang ada disediakan di hujung penjuru wad berkenaan.
Dia cuba untuk makan, namun entah kenapa setiap kali selepas makan, dia akan muntah semula dan cairan yang dikeluarkan bewarna hijau kekuning-kuningan. Baunya? Pahit tak tertahan. Selesai menadah muntah angah, Safi bergegas ke tandas untuk membersihkan bekas.
Angah yang sedang duduk bersandar mula rasa tak selesa kerana sudah berhari-hari dia menanti keputusan pembedahannya. Lebih memelikkan, tiada seorangpun doktor yang datang dan menjelaskan keadaan dirinya. Tentang penyakitnya dan tentang situasi semasa yang dihadapinya. Paling membimbangkan, setiap kali dia membuang air besar, yang keluar hanyalah air cair yang bewarna hijau kehitam-hitaman.
Berteman sedikit ilmu yang ada, dia mula rasa seperti ada yang tak kena. Sedang dia berfikir-fikir dia didatangi jururawat yang sedang meletakkan fail pesakit di setiap katil sebelum jadual lawatan doktor berlangsung.
“Safi, tolong ambik fail tu! Angah nak tengok.” tutur angah pada Safi yang ada duduk di sebelah.
“Boleh ke? Boleh ke baca?” soal Safi tak percaya dengan mata yang membesar dengan sendirinya.
“Takpa, ambik sekejap! Lagipun lama lagi baru doktor sampai sini. Biar angah tengok sendiri.” arahnya yang makin tertanya-tanya tentang keadaan diri setelah riak wajah doktor pakar yang merawatnya juga nampak tak begitu meyakinkan hati. Safi segera bertindak dan curi-curi mengambilnya.
Safi nampak angah tekun membaca kerana kalau dia, memang takkan dapat untuk faham apa-apa melalui tulisan cakar ayam yang dilihatnya.
“Ovarian cancer stage 3…” bisik angah perlahan sebelum mereka berbalas pandang. Safi nampak muka angah jadi pucat dengan serta-merta setelah menyampaikannya, sebelum angah dilihat terus juga membaca.
“30 cm?!”
“Dah tu, perut ni dah tinggal banyak mana?” soalnya pula sambil memegang perut yang masih terasa ngilu lukanya.
“Angah kenapa?” soal Safi masih tak mengerti.
“Safi, doktor dah potong banyak tali perut angah. Patutlah, apa yang angah makan, keluar sama macam mana rupa asalnya.” terang angah, sukar untuk mempercayainya.
“Apa ni?” soal angah pada jururawat yang sudah bersedia untuk menyuntiknya.
“Antibiotik.” balasnya sebelum bersedia untuk meneruskan.
“Iyalah, saya tahu antibiotik, tapi jenis apa?” soal angah semula, tak rela memasukkan sebarang ‘anasir’ asing yang tak diketahui status kehalalannya.
“L*****”.” balasnya dan serentak dengan itu angah terus menjarakkan tangannya.
“Saya tak nak!” jawapnya, tegas dan tak dapat nak berkompromi lagi.
“Tapi doktor suruh bagi. Dah tu betul ke awak tak nak ni?” soalnya jururawat tersebut dengan wajah bercuka.
“Betul saya taknak!” balas angah segera mengesahkan.
“Ok, takpa.” jawapnya sebelum mengangkat semula dulang ubat dan beredar.
“Angah, kenapa tak nak?” soal Safi bila mereka dah tinggal berdua. Angah hanya menggeleng-gelengkan kepala sambil terus dan terus memikirkan keperluannya.
“Cik Hasmawati, kenapa tak nak ambil ubat tu? Kenapa awak tolak?” soal seorang doktor wanita bertudung yang baru sampai, diiringi dengan dua orang doktor wanita melayu yang lain.
“Saya tak nak.” jawap angah tegas, sama seperti sebelumnya kerana hati masih tak dapat rela nak menerima.
“Awak tahu kan apa yang akan jadi kalau awak tak ambil antibiotik tu? Awak akan mati!”
“Setahu saya, awak ahli farmasi kan? Dan sepatutnya awak lebih tahu tentang itu!” tuturnya tetap mahu membenarkan setiap satu tindakan. Safi nampak angah berusaha untuk mengawal emosinya dengan menggaru-garu belakang tapak tangan.
“Dah tu sekarang, betul awak masih nak tolak?” soalnya semula dengan riak muka ‘pandai’ dan ‘berkuasa’, tak beza dengan dua doktor lain yang ada mengikutnya. Sambil memeluk tubuh mereka mengadili apa yang angah minta.
“Ya.” balas angah ringkas, tak nak berkias, dan serentak itu, ketiga-tiganya memandang diantara satu sama lain sebelum beredar. Angah sempat menghadiahkan senyuman payar pada Safi yang ada di sebelah. Senyuman yang penuh ‘bermakna’ setelah puas dimarahi, membuatkan Safi makin pasti, angah menolak dengan otak.
“Angah, kenapa? Kenapa angah tak nak ambik ubat tu?” soalnya mahu tahu.
“Ubat tu…”
“Sebab ubat tu tak halal…ada b**i kat dalam tu.” jawap angah demi merungkai segala persoalan di minda adiknya. Terbulat mata Safi tak berkelip. Manakan mungkin keadaan seperti itu pernah difikirkan.
“Ada b**i?! Dah tu kenapa sibuk-sibuk sangat nak bagi? Sampai sangup nak ungkit tentang mati lagi! Dah gila ke apa?!” soal Safi makin tak percaya setelah makin lama memikirkannya.
“Mati ni Safi…”
“Kalau dah nak mati, bila-bilapun boleh mati…”
“Bukan ubat yang boleh buat kita hidup…” balas angah kekal teguh dengan pegangannya, kerana hanya pada Allah dia berserah dan takkan sesekali dia menghianati hati.
“Takpala angah, biarlah apa yang orang nak cakap pun. Angah buatlah keputusan yang angah rasa betul.” tutur Safi sambil menepuk-nepuk bahu angah, memberikan galakan.
“Li, mak dah pergi rumah Mak Su…”
“Ha! Dah pergi?!”
“Dah tu apa katanya? Dia setuju?” soal Gazali, teruja sampai rasa nak pergi berlari.
“Dia sakit Li…”
“Dia kena kenser. Sekarang ni dia di Kuantan, sedang buat rawatan.” jawap Wan Yan perlahan dengan wajah kecewa, tak menyangka apa yang sedang menimpa. Serentak itu, Gazali terus terduduk di kerusi.