Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 99a

Perut angah yang hangat diusap-usap sebelum sedikit air di dalam botol dituang ke telapak tangan sambil mulut membacakan ayat-ayat suci Al-Quran daripada surah Al-Qalam, ayat ruqyah yang diberitahu oleh ustazah yang menjalankan proses pengubatan secara tradisional, ikhtiar terakhir yang mampu dilakukan. Sambil membaca, air tersebut diratakan pada bahagian perut yang kehangatan.

Kulit perut angah mula kelihatan kembung dan berkilat sejak seminggu yang lepas, tapi yang peliknya ianya hanya akan berlaku pada waktu matahari naik dan terbenam sahaja. Bila ianya berlaku, tenungan angah mula jadi tajam dan sedikit menakutkan dengan mata hitam yang berkilatan. Keadaan itu membuatkan mereka pasti, memang ada yang ‘tak kena’ pada angah.

 

“Dia dah termakan benda bisa. Dah hitam dah semua bahagian dalam perut dia.”

“Takpa, kita cuba apa yang termampu. Nanti saya ikhtiarkan. Sama-samalah kita berdoa pada Allah, insya-Allah.” tutur ustazah berkenaan pada along dan Man selesai mereka menceritakan.

“Nanti, ambil air ni, buat minum sebahagian. Sebahagian lagi sapu pada bahagian perutnya. Sambil tu bacakan Al-fatihah, dengan selawat, kemudian surah al-Qalam, ayat 1-10.”

“Andai kata dah habis air ni, boleh dibuat sendiri. Bacakan Al-Fatihah dengan selawat, kemudian surah Al-Qalam tadi. Usaha kita, lebihnya terpulang pada Allah.” tambahnya lagi sebelum mencapai botol air minuman dan mula membacakan ayat-ayat daripada kitab suci.

 

Puntung kayu yang sedang dipegang dimain-mainkan kearah seekor katak yang sudah ditanjul pada bahagian tangan. Tak cukup dikuis, ‘dia’ mula mengetuk-ngetuk belakang katak tersebut, berteman senyuman yang makin mekar, bak kembang pagi, ceria tak terperi.

 

“Saya rasa memang ada yang sengaja yang nak mengenakan kita. Ada yang ‘menghantar’ benda kotor tu pada kita, tapi tak sangka, angah pulak yang kena.” tutur abah pada mak yang ada duduk berhampirannya.

“Saya dah tanya dengan Hj. Ripin, dia kata memang angah dah terkena.” tambah abah, membuatkan mak berhenti menyiram pokok bunganya.

“Dah pergi awak jumpa dengan dia? Betul ke dia cakap macam tu?” soal mak segera mahu mengetahui segala-gala.

“Dah tu macam mana? Ada dia bagitahu pada awak siapa yang mambuatnya?” soal mak pula segera mahu mencari pesalahnya.

“Tak, tak nak dia memberitahu. Saya tanya, tapi dia kalihkan ke lain.”

“Saya rasa orang yang kita kenal-kenal jugak, sebab tulah dia tak nak cerita.” jawap abah yang sudah menggaru-garu kepala.

“Ada dia bagitahu pada awak macam mana nak mengubatnya?” soal mak semula, terus mahu berusaha, namun gelengan yang abah berikan telah membuat hati dipalit rasa kecewa.

 

“Dia guna katak. Katak tu diikat dan dikurung.” tutur Pak Abu, tukang ubat yang dibawa oleh seorang kenalan angah ke rumah.

“Dia seru dan ketuk katak tu supaya jadi kembong.” tambahnya memberitahu pada mak. Safi masih kekal memerhati berteman sangsi kerana dia tidak mahu menuduh membuta-tuli, sebaliknya dia mahukan bukti.

“Memang tak ada cara nak mengubatnya?” soal mak, seakan merayu.

“Selagi katak tu ada dengan dia, kita memang tak boleh nak buat apa-apa. Sebab dia dah buat anak ni berkongsi nyawa dengan katak tu.”

“Tapi takpalah, kita cuba. Buat apa yang boleh kita buat.” tambahnya sebelum terus merawat. Ubun-ubun angah dipegang dengan sebelah tangan sambil mulut terkumat-kamit membacakan.

 

“Jalan Klang Lama.” tutur Safi memberi tahu lokasi pada pemandu teksi yang sedia menanti di hadapan lobi utama hospital berkenaan. Disebabkan semalam dia datang bersama dengan Man, hari ini dia perlu pulang sendiri.

“Boleh, naik naik!” balas pemandu lingkungan usia 50 an itu dan Safi segera meloloskan diri.

“Datang melawat orang sakit?” soalnya pula meneruskan bicara.

“Hmm.” balas Safi ala kadar, sekadar memenuhi syarat.

“Siapa?” soalnya lagi.

“Kakak.” jawap Safi kekal ringkas.

“Sakit apa?” tuturnya masih mahu mengambil tahu, mengganggu konsenterasi Safi yang sedang menoleh ke luar tingkap dan memerhati.

“Kanser ovari.” balas Safi sebelum menyandarkan badan pada kerusi dan meneruskan pemerhatian pada jalan raya yang bersebelahan.

“Oh, kanser. Biasanya kalau dah kena memang tak adalah…” jawap pak cik tersebut bersahaja, langsung tak memikirkan perasaan orang yang mendengarnya. Safi menjeling sekilas sebelum hatinya jadi malas. Malas nak memanjangkan lagi perbualan.

 

Ting! Bunyi lif berhenti sebelum disusuri dengan daun pintu yang terbuka sendiri. Selesai memastikan muatan, Safi berjalan dan mengambil tempat di belakang, tempat yang dirasakan paling selesa sekali.

“Tingkat berapa?” soal seorang lelaki pertengahan usianya, ingin memudahkan kerja.

“Tingkat 5.” jawap Safi memberitahu dan serentak itu dia membantu.

“Ada menunggu orang sakit?” soal lelaki itu pula.

“Ha.” jawap Safi sekadar berbahasa sambil menganggukkan kepala.

“Sakit apa?” soalnya lagi, menyelidiki.

“Kanser.” jawap Safi sebelum menghembus malas.

“Kanser?”

“Sebelum ni, ada juga orang yang saya kenal kena sakit ni, tapi dah meninggal dah. Susah nak sembuh kalau kena penyakit ni.” jawapnya dan Safi dah mula mengetap gigi. Mujurlah locing berbunyi, kalau tak, entah apa yang terjadi.

“Entah apa-apa! Kalian ingat kalian siapa?!”

“Senang-senang je nak menentukan rezeki orang. Mulut langsung tak pandai nak beralas.” gerutu Safi, masih berdiri di luar pintu lif yang sudah tertutup kembali.

“Takpa Safi, sabar…sabar!”

“Tak payah nak dihirau apa yang orang cakap. Terus percaya pada apa yang hati kau kata.”

“InsyaAllah tak ada apa-apa.” bisiknya merawat luka di dada.

Previous: Bab 98c
Next: Bab 99b

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.