Home Novel Cinta Cerita Kita
Bab 61

Sambil berjalan matanya sesekali dialihkan ke kiri dan ke kanan untuk memeriksa, manalah tahu ada pula yang ‘menunggu’ kerana biasanya si panjang dan si kaki berbilang datangnya memang tak pernah diundang.

 

“Dah balik?” soal Abah yang duduk tertonggok di tempat biasa, di bawah rimbunan pokok langsat.

“Hmm.” balasnya ringkas. Safi tak mahu cakap lebih-lebih kerana dia masih terkilan dengan perbuatan abah. Tak ada modal lain. Pantang bergaduh mulalah mengungkit mahu tinggalkan rumah, tinggalkan mereka. Sudah terlalu banyak kali sangat, sampai dia dah tak dapat nak mengingat, tapi kebiasannya juga, pada kewat malam, abah pasti akan pulang.

 

“Khok khok khok!” bunyi batukkan abah jelas kedengaran sampai ke dalam rumah.

Mak yang masih sibuk membuat keronsang mengalihkan pandangan pada Safi. Man dan Ina yang masih bermain terus beralih dan mengambil tempat tidur masing-masing sebelum saling menjongketkan bahu sambil tersenyum. Mereka tahu, abah pasti akan kembali semula, cuma yang tinggal adalah soal masa.

Safi sedih kerana abah tak kuat semangat, tak sama macam mak. Mak tanggung semua yang berlaku dengan sabar, namun abah dilihat sebaliknya. Mudah sangat melatah dan naik marah. Bukannya nak cuba selesaikan masalah, tapi menambahnya adalah. Hati mak bukan saja dah berdarah dek kerana perangai anak-anak, malah angkara abah yang suka menambah.

“Safi, pergi buka pintu tu. Nanti mengamuk pulak lagi nanti.” bisik mak dan Safi segera menurut.

“Padam lampu! Kalian semua tidur!” arahnya lagi sebelum segera menyudahkan simpulan pada kerongsang yang masih ada ditangan.

 

Mak sudah bersiap-siap untuk ke pasar dan sebekas nasi goreng turut diletakkan ke dalam beg sebagai bekal sebelum mak teringatkan Mat lagi. Mak masih ingat, Mat sangat menggemari nasi gorengnya itu, serentak air matanya bergenang. Sebak. Bunyi deringan telefon yang menjerit-jerit minta diangkat mengalihkan tumpuan dan tanpa membuang masa mak bergegas ke depan untuk mendapatkannya.

“Waalaikumussalam…Ha, along!”

“Kenapa dah lama mak telefon tak angkat?”

“Mat mana? Mat? Kan haritu mak dah pesan bagitahu dia supaya telefon rumah. Semua orang dah risau ni.”

“Mat ada dekat mana?” soal mak tadkala mendengar suara along yang sayup-sayup di hujung talian, namun along kekal tak berbunyi.

“Mak tanya along ni! Mat kat mana?” soal mak tegas, semakin hilang kepercayaan pada along. Along masih terdiam. Dia makin takut untuk menerangkan perkara yang sebenar.

“Mat…” balasnya, masih ragu-ragu.

“Kenapa dengan Mat? Apa yang dah jadi pada dia? Along cakap betul-betul pada mak! Apa yang dah jadi sebenarnya? Mat mana?” soal mak setelah pasti akan apa yang terjadi. Memang ada sesuatu yang telah berlaku.

“Mat mak…”

“Mat kena tangkap polis! Sekarang dia ada dekat dalam lokap.”

“Masa polis buat check, polis jumpa dadah bawah tempat duduk motor dia dengan Azrie. Mat kata dadah tu bukan dia punya, tapi Azrie. Tapi, bila polis buat test air kencing rupanya Mat pun terlibat sama.” tutur along, takut-takut seraya menyampaikan.

“Ya Allah…Sejak bila? Di mana?” balas mak ingin segera mengetahui segala-gala.

“Bulan 3 hari tu. Kena masa dia balik kerja dekat jalan dekat-dekat rumah along ni je. Lepastu esok, Mat akan dibawa dan dihadapkan ke mahkamah.” jawap along tak dapat nak berselindung.

“Laillahaillallah! Dah berbulan-bulan?! Kenapa baru sekarang along bagitahu pada mak?”

“Selama ni, mak percaya pada along, tapi, mak tak sangka yang along sanggup tipu mak. Patutlah mak telifon along tak angkat! Rupanya sebab ni…” ucapnya kesal. Air mata yang baru bergenang akhirnya membasahi pipi.

“Maafkan along mak…”

“Along tahu, sepatutnya awak-awal lagi along bagi tahu mak tentang hal ni, tapi along tak sampai hati.”

“Azrie anak saudara Kak Ijan tulah yang menjebak Mat. Sejak daripada Mat duduk di kampung lagi. Dialah yang bekalkan barang tu pada Mat. Along dah tahu lama, tapi along takut nak bagitahu mak dengan abah. Along takut mak sedih.” tutur along menerangkan. Mak tambah terkejut. Dah lama along tahu yang Mat mengambil dadah, tapi masih berkeras mahu membawanya ke bandar? Tempat semua gejala itu bermula. Along betul-betul tak ada fikiran! Marah mak, kekal didalam hati.

“Tulah sebabnya mak tak bagi along bawa Mat pergi dulu. Tapi, along degil! Along hanya fikirkan diri sendiri je.” marah mak dah tak tertahan. Hatinya pedih bila anak paling sulung mungkir janji lagi.

“Maafkan along mak. Along tahu, along salah. Along cuba nak tebus kesalahan along dengan menjamin Mat. Tapi dah puas along cuba, jumlahnya masih tak seberapa.” balas along sebak. Sedih kerana mak dah mula meraguinya.

“Berapa duit jaminannya?”

“3000.” jawap along perlahan

“Kenapa along tak bagitahu mak awal-awal?! Sekarang mana mak nak cari duit sebanyak tu dalam masa singkat macam ni?” luah mak, terlalu kecewa sebelum wajah Mat terbayang di hadapan mata.

“Maafkan along mak. Along tahu, along salah. Along mungkir janji. Along tak jaga Mat elok-elok.” jawap along, menyesali diri. Mak hanya diam. Fikirannya masih bercelaru memikirkan mana yang perlu dilakukan dulu.

“Di mana perbicaraannya?” soal mak, kekal berusaha untuk menyelesaikannya. Mak bertekad untuk membantu Mat. Biarlah habis semua duit simpananya selama ini pun, dia dah tak kisah. Asal Mat dapat dibebaskan.

 

“Betul awak tak nak ikut saya?” soal mak pada abah yang duduk membatu di tepi pintu.

Bukan mak tak tahu jawapan abah, cuma nak berbahasa. Nak cuba nasib. Manalah tahu kalau-kalau abah berubah fikiran sambil sampul duit RM 3000 tersebut disimpan kemas ke dalam beg.

“Sampai sana nanti, along dengan angah ada tunggu. Betul awak tak nak ikut sekali?” soal mak lagi. Abah jadi panas hati. Bukankah sudah dia nyatakan yang dia tak mahu pergi. Tapi si isteri tak habis-habis berbunyi. Betul-betul menyakitkan telinga dan hatinya.

“Awak kalau nak pergi, pergi jelah sendiri! Kan saya dah kata, jangan babitkan saya!”

“Daripada dulu lagi saya dah ingatkan awak, jangan percayakan sangat along tu. Tapi awak bukan nak dengar. Ha, sekarang rasakanlah!”

“Memang dasar anak tak tahu diuntung!” marahnya tak terbendung. Abah tak sangka madu yang diberi, tapi tuba yang diterima sebagai balasannya. Peluang kedua yang dibuka pada along telah disia-siakan begitu saja.

“Kalau awak tak nak ikut, takpalah, tak payah. Tapi, janganlah sampai di sumpah seranah anak tu. Tak elok. Kan anak kita tu…” jawap mak kekal perlahan. Mak tahu biarpun perangai along buruk, dia tetap anaknya yang perlu dipupuk. Tak ada gunanya menyalahkan sesiapa kerana semuanya sudah berlaku.

“Awak macam ni lah! Selalu menangkan anak! Itulah sebanya hidup kita tak pernahnya nak senang!”

“Niat awak yang salah…Besarkan anak-anak untuk beri kesenangan pada awak, bukannya kerana tanggungjawap.” balas mak, menjawab. Lama abah senyap dan mak turut sama sunyinya.

“Tapi, bukan ke dah memang jadi tanggungjawap anak-anak untuk balas jasa mak dan bapak yang dah berhabis menyekolahkan mereka? Sampai berhutang keliling pinggang dibuatnya?”

“Bila dah berjaya mereka lupa? Dasar anak tak tahu diuntung. Lupa tanggungjawap pada keluarga!” gerutu abah semula.

“Tengok…Awak tak habis-habis ungkit kisah lama. Zam Mara tu kan dah tak ada. Apa lagi yang nak di fikirkan.” balas mak, tak gembira pada topik perbualan.

“Awak senanglah bercakap! Hati saya ni!”

“Hati saya ni masih sakit tahu. Mungkin awak boleh lupa, tapi bukan saya!” tutur abah masih tak puas hati. Serentak itu, dia mencapai bantal lalu menghempaskan badan.

“Zam tu…” belumpun sempat abah menambah, mak dah menoktah.

“Sudah-sudahlah tu! Tak payah kita nak bergaduh-gaduh disebabkan orang yang dah tak ada.”

“Saya ni nak jalan jauh…ke awak memang dah tak nak saya balik dah?” soal mak membuatkan abah terus terdiam. Mak dah malas nak melayannya lagi. Lagi dilayan lagi panjang ceritanya nanti. Mak tahu, abah pasti tak akan mengalah.

Beg dikepit kemas kerana segala wang hasil titik peluhnya tersimpan di situ. Bunyi hon kereta di hujung jalan menandakan yang Mail sudah sampai. Mak terpaksa menyewa teksi untuk ke Klang. Sehari RM 150. Mak sanggup lakukan apa saja, demi membuktikan kasihnya pada Mat.

“Dahlah tu. Saya dah nak pergi dah ni. Lauk-lauk semua dah ada dekat bawah tudung saji.”

“Saya pergi dulu. Assalammualaikum.” tutur mak sebelum mecapai tangan abah lalu mengucupnya.

“Hmm. Waalaikumussalam. Elok-elok.” balas abah yang dah hilang sedikit marah.

 

Sesampainya di Pandamaran, mak nampak Mat diiring menuju ke kenderaan polis yang telah sedia menanti di perkarangan mahkamah. Mak nampak kedua-dua belah tangan Mat dibelenggu dengan gari. Mak terkejut melihatnya. Along dan angah yang setia menunggu sejak tadi segera mandapatkan mak yang baru tiba. Mak terpinga-pinga, tak menyangka.

“Mak…” ucap keduanya sambil bercucuran air mata.

“Kenapa mereka bawa Mat? Mereka nak bawak Mat pergi mana? Kan mak dah datang nak jamin Mat?”

“Mak dah bawa duit tu! Ni! Ni, ada kat dalam beg ni.” tutur mak terketar-ketar sambil tangannya menyeluk perut beg yang kemas didakap sejak tadi.

“Mak, dah tak sempat dah mak…Mahkamah dah jatuhkan hukum. Mat dah dihantar ke pusat serenti.” jawap angah dalam tangisan. Mak seperti tak dapat mempercayainya. Sia-sia dia berusaha kerana kini, Mat tidak dapat dijamin lagi. Air mata mak mengalir laju. Mat akhirnya perasan akan kehadiran mak di situ.

“Mak!” tuturnya perlahan lalu melambai-lambaikan tangan sebelum dia tersedar bagaimana keadannya. Segera dia cuba menyembunyikan gari yang terpasang di badan. Namun, dia betul-betul tak sangka yang mak sanggup datang sejauh itu untuknya.

“Makkk...” ulangnya daripada dalam perut truck polis berkenaan. Mak nampak Mat menyebut kalimah keramat itu dan dengan serta-merta dia bermandi air mata. Berkeping-keping hatinya dan itulah apa yang dirasa kerana dia hanya mampu melihat anaknya dibawa pergi tanpa langsung ada usaha untuk membuat mereka berhenti.

“Mattt…”

“Kenapa Mat tak tunggu mak?” ucapnya sebelum angah memeluk mak untuk mententeramkannya.

“Dahlah mak, dah dah.” tutur angah, berusaha untuk memujuk hati mak. Along kekal tercegat, tak berani nak mendekat.

 

Safi rasa kurang selesa bila dia bertentang mata dengan beberapa orang pelajar yang sedari tadi dilihat mencuri pandang padanya. Bukan dia tak kenal siapa, tapi, disebabkan kenal jugalah mereka berpelakuan begitu.

“Safi, abang kau hisap dadah kan?” soal Romzy, jiran setaman mertua along.

“Hmm. Dah tu kenapa?” soal Safi pula, malas nak melayannya.

“Ha, tengok! Betul kan cakap aku!”

“Abang dia memang kena tangkap dengan polis sebab hisap dadah.” tuturnya seakan-akan gembira dengan pengesahan yang Safi berikan. Manataknya, selesai bertanya, mereka tersenyum pula.

“Kau tahu dari mana? Siapa yang bagitahu?” soal Safi, mahu mengetahui puncanya.

“Adalah!” balasnya kekal bahagia manakala Najib dan Omar sudah mula ketawa.

“Yang korang suka sangat ni kenapa? Boleh dapat duit ke?”

“Ingat jelah satu benda ni…”

“Dadah ni najis, dan najis tu ada di mana-mana. Hari ni mungkin abang aku yang kena, esok lusa, entah-entah kita.” tambah Safi sebelum beredar.

“Alah…malulah tu…Malu sebab ada abang yang masuk penjara.” lekeh Najib pula dah melupakan sifat ‘kesotongannya’.

“Cakap tu biar beralas sikit boleh?! Abang aku bukan masuk penjara. Dia masuk pusat serenti la.” bela Safi sebelum berlalu pergi. Segera mahu melenyapkan ejekan yang baru sahaja didengari. Dalam sukar, dia berusaha untuk menahan air mata, supaya dia tak direndah-rendahkan oleh sesiapa.

 

Mak menapak masuk ke dalam kedai mamak yang sedang riuh kerana dipenuhi pelanggan untuk membeli beras, namun setibanya mak ke situ, suasana berubah sunyi dengan sendiri. Mak nampak mereka sedang berbisik-bisik sesama sendiri sambil menudingkan jari. Segera mak menundukkan kepala dan bergerak untuk mencari beras yang dihajati. Selesai mencari, mak cepat-cepat membuat bayaran pada Lani, dan berlalu pergi.

“Ha, kau! Baru je kita sebut-sebut dah muncul!” tutur seorang pelangan tetap di kedai tersebut.

“Terkejut aku tadi! Mujurlah dia tak dengar apa yang kita cakap.” jawap seorang pelanggan yang lain.

“La, apalah yang nak berahsia lagi! Dah memang betul anak dia yang kena tengkap. Bukannya benda bohong.”

“Tulah, anak-anak ni, kita kena dijaga elok-elok. Kalau tak, beginilah jadinya. Mendadah.” tambahnya dengan penuh yakin.

“Sabar orangnya Timah tu. Kalau aku, memang jawapnya dah tak keluar rumah dah. Malu!” jawap saingnya itu, kekal hangat menceritakan apa yang terlintas di kepala. Lani yang mendengar hanya mampu menarik nafas dalam kerana suka atau tidak, Mat tetap saudaranya.

 

(Tamat-bahagian kedua)

 

Previous: Bab 60
Next: Bab 62

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.